Kita Mencuri???

7.30.2009 2 komentar

Setiap hari teknologi yang mampu dicapai oleh manusia semakin canggih sehingga kita tidak mampu untuk mengejar satu persatu. Ambo hanya sekadar hendak berkongsi pendapat tentang penggunaan software atau windows pirate yang semakin berleluasa penggunaannya kini. Apakah hukumnya di sisi Islam? Haram atau tidak? Kalau kita sebagai pelajar, memang banyak sangat menggunakan software dan windows pirate macam ni...Maklum sajalah, boleh dikatakan kita memang tidak mampu untuk membeli software atau windows yang original kerana harganya yang terlalu mahal. Persoalannya sekarang, apakah kesannya pada kita pada kemudian hari. Adakah penggunaan software dan windows pirate kita itu tidak dikira sebagai 'mencuri' hak orang lain? Selain itu, ramai dikalangan pelajar kini menjalankan perniagaan sambilan dengan membaiki dan mem'format' komputer. Sekiranya kita menjalankan perniagaan berkaitan dengan komputer(tidak kira pelajar atau bukan pelajar), seperti repair + format pc dengan menggunakan software pirate. Apakah kita tidak menzalimi pereka software atau windows tersebut dengan 'mencuri' hasil yang sepatutnya diperolehi oleh mereka tetapi dirampas melalui software pirate yang kita gunakan tersebut?
Apakah status rezeki yang diperolehi sumber perniagaan begitu?

Ada pandangan? Klik di sini


Perlu Jaga Tepi Kain Orang

7.26.2009 0 komentar

“Jangan nak menyibuk hal orang la!!”
“Jangan sibuk nak jaga tepi kain orang”
“Awak ni siapa nak halang saya??”
“Saya tak ganggu hal awak dan saya tak nak awak campur hal saya”
“Jangan ganggu hal aku. Suka hati akulah apa aku nak buat. Kalau aku mati pun bukannya aku duduk satu kubur dengan kau”

Inilah antara ungkapan yang sering singgah di cuping telinga apabila kita cuba menghalang atau menegur seseorang yang melakukan kesalahan samada salah disisi undang-undang Allah atau undang-undang ciptaan manusia. Kononnya mereka menganggap diri mereka 'up to date' dan mengatakan kita ini tak 'up to date' kerana tidak mengikut arus kemodenan. Inilah realiti yang berlaku apabila kejahilan, sifat sombong, mentaliti hiburan dan kedegilan telah menggari umat Islam.

Keadaan akan menjadi kian kronik sekiranya tanggungjawab menyuruh perkara yang baik dan mencegah perkara yang mungkar ditinggalkan kerana segala kemungkaran berlaku tanpa ada pencegahan. Sememangnya menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk ‘menjaga tepi kain sendiri dan menjaga tepi kain orang dalam konteks mencegah perkara mungkar disamping menyeru dan menyuruh kearah perkara kebaikan.

“dan hendaklah ada sebahagian dikalangan kamu yang menyeru kearah kebaikan dan mengarah kearah ma’ruf serta mencegah yang mungkar dan mereka inilah golongan yang beroleh kejayaan” Ali Imran : 104

“kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan ditengah-tengah masyarakat manusia untuk mengajak mereka kearah yang ma’ruf dan mencegah mereka dari yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah s.w.t. Ali Imran : 110

Sabda Rasulullah s.a.w : “sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah mencegah dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hati. Ini adalah selemah-lemah iman”.

Implikasi yang amat buruk bakal dihadapi seluruh umat manusia apabila gerak kerja ini diabaikan dan ditinggalkan. Paling ketara adalah retaknya hubungan dua hala antara Allah dan hambaNya. Lebih ketara apabila implikasi itu menular sehingga menghancurkan peradaban manusia. Tanpa amar ma’ruf dan nahi mungkar generasi manusia kehilangan pedoman, akhlak kian terhakis dan akidah akan terancam.

Sikap hanya jaga tepi kain sendiri’ perlu dihapuskan serta merta dalam diri setiap umat Islam kerana sikap ini cukup berbahaya kerana ia akan memberi laluan yang cukup selesa kepada aktiviti kemungkaran tanpa ada sebarang pencegahan untuk menghalang berlakunya kemungkaran. Sebagai contoh, kita membina rumahtangga yang penuh dengan tarbiyah islamiyah dalam mendidik isteri dan anak-anak tetapi membiarkan serta tidak mempedulikan segala kemungkaran yang berlaku di sekitar kawasan tempat tinggal kita. Persoalannya, selama manakah kita akan mengurung isteri dan anak-anak di dalam rumah? Adakah anak-anak tidak punya rakan dan teman? Bagaimana pula dengan komunikasi keluarga kita dengan masyarakat?

Sewajibnya kita setiap umat Islam mesti bertanggungjawab untuk melaksanakan hal ini bagi memastikan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan seterusnya mengelakkan kita dilaknat oleh Allah sebagaimana Allah melaknat Bani Israel akibat keengganan mencegah kemungkaran.

Muslimah Upload Gambar

7.18.2009 11 komentar

Dunia semakin canggih, segalanya hanya di hujung jari. Klik saja terus dapat. Bercerita tentang aktiviti meng'upload' gambar pada laman-laman tertentu seperti Friendster, Myspace, Facebook, Blog dan lain-lain dilihat kini menjadi perkara biasa sahaja terutama dikalangan wanita yang bergelar muslimah. Gambar-gambar yang di'upload' itu disertai dengan bermacam-macam ragam, aksi(aksi yang paling popular adalah 'peace' dengan dua jari) dan gaya 'posing' yang berbagai sehingga ada gambar-gambar yang di'upload' menampakkan kesan-kesan jerawat yang ada di muka. Terbit rasa hairan di dalam hati ini, di manakah perginya rasa segan mereka? Tidakkah terbit rasa malu di hati mereka? Malu adalah merupakan lambang keimanan...

Berbagai kemungkinan yang menjadi tujuan utama mereka meng'upload' gambar-gambar pada laman-laman tertentu seperti gambar tersebut adalah untuk tontonan umum sebagai menceritakan perkara-perkara yang telah berlaku dengan gambar seperti menyambut hari lahir, hari raya dan pergi melancong. Kemungkinan juga tujuannya adalah supaya orang yang tidak mengenali mereka boleh mengenali dengan gambar dan mungkin juga sebagai tontonan untuk mereka yang sudah kenal serta boleh melihat gambar selalu. Mungkin juga mereka ingin mempertontonkan kepada umum kecantikan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Ada golongan yang mem'private'kan album gambar mereka dan hanya boleh ditonton oleh orang-orang tertentu sahaja(jawapan ada dibawah). Berbagai kemungkinan, segalanya bergantung kepada tujuan dan niat masing-masing.

Tidakkah kalian merasa gambar kalian adalah sangat berharga? Adakah wajah kalian yang cantik itu dicipta hanya untuk tontonan umun? Tidak salah rasanya jika ada yang menyatakan bahawa ramai yang bangga meletakkan gambar dengan niat mahu mempertontonkan kecantikan yangg telah dikurniakan Allah kepadanya. Sanggupkah kalian menjadikan wajah yang cantik itu untuk memerangkap kaum lelaki, menggoyahkan iman kaum lelaki dan seterusnya mampu meruntuhkan iman kaum lelaki yang melihat gambar tersebut? Sanggupkah kalian menjadikan gambar dan diri kalian menjadi bahan umpatan bagi kaum lelaki? Tentu kalian tidak tahu apa yang mereka bualkan di belakang, jika kalian tahu sudah tentu kalian akan 'cuak' untuk meng'upload' gambar.

Dunia hari ini semakin canggih sehingga kita tidak mampu untuk mengejar satu persatu kelajuan perkembangan teknologi. Perlu kalian ingat bahawa hanya dengan 'klik' pada butang tetikus sahaja gambar kalian akan ter'save' secara automatik dan dimuat turun ke mana-mana komputer sahaja. Bagi kes mereka yang mem'private'kan album gambar, perlu diketahui bahawa orang lain mungkin tidak mampu untuk memecah masuk ke album 'private' anda tetapi perlu kita ingat bahawa 'owner'(pemilik) laman tersebut senang sahaja melihat gambar-gambar 'private' kalian. Perlu kalian tahu bahawa selain pemilik laman tersebut, mungkin ada dikalangan 'hackers' yang mampu memecah masuk ke album-album peribadi kalian. 'INGAT', dengan segala kecanggihan yang ada kini dengan mudah sahaja gambar-gambar kalian di'edit' oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan Superimpose Photo, Photoshop, Fireworks dan lain-lain. Jangan kalian terkejut sekiranya gambar-gambar kalian terpampang pada skrin laman-laman yang tidak sepatutnya kerana hanya satu kesilapan sahaja. Adakah ketika itu kalian mampu lagi berbangga? Apa yang mampu anda lakukan ketika itu adalah hanya merintih tak tentu pasal sahaja atas kesilapan yg dilakukan oleh kalian sendiri.

Perlu ambo tekankan di sini bahawa ambo bukanlah musuh-musuh kalian semua, bukan mahu mengaibkan atau menghentam kalian semua tetapi ambo adalah saudara seislam kalian yang hanya mahu mengingatkan diri ini sendiri dan kalian semua agar gambar-gambar kita tidak dieksploitasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

http://www.youtube.com/watch?v=OVHDB7BnuWo

http://gadis-melayu-bertudung.blogspot.com

Jika kita perasan, laman di atas kadangkala mencerita perkara yang langsung tidak ada kena mengena dengan gambar yang dipamerkan. Semoga kita memelihara diri dan maruah kita daripada dicemari oleh manusia yang tidak berakhlak.Kadang-kadang kita hendak menasihati orang supaya jangan meletakkan gambar dengan sewenang-wenangnya pada laman friendster, myspace, facebook, blog dan lain-lain tetapi seolah-olah macam tak makan saman. Nanti kata "ala..ape salahnye..". Tapi kalau tak peduli kena eksploitasi..terpulanglah pada diri masing-masing. Kalau nak letak sangat gambar, sila fikirkan bagaimana keadaan gambar itu supaya tak dieksploitasi seperti yang ada dalam laman di atas. Apa-apa pun, marilah sama-sama kita menjaga pandangan kita.

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". - An-Nuur: 30

Apa Pandangan Anda?? Klik di sini

Formula Serangan 4 S dan 4 F

7.16.2009 0 komentar
Sewaktu masa dahulu, golongan kafir yang menentang Islam menyerang umat Islam melalui peperangan bersenjata tetapi serangan-serangan yang dilakukan oleh mereka dilihat gagal untuk melemahkan umat Islam malah lebih meningkatkan kekuatan ketenteraan Islam kerana perbezaan motif peperangan antara golongan Islam dan golongan kafir adalah umat Islam yang berperang kerana memiliki impian untuk mati(syahid) tetapi golongan kafir berperang adalah untuk hidup. Menurut sejarah, bermula selepas berakhirnya perang Salib, pendekatan yang digunakan oleh golongan kafir bukan lagi menyerang secara membunuh nyawa-nyawa umat Islam tetapi serangan yang digunakan adalah cukup licik dan halus iaitu dengan membunuh pemikiran Islam yang ada dalam jiwa umat Islam secara serangan pemikiran (ghazwul fikr) untuk melemahkan akidah dan melekakan umat Islam daripada memahami dan menghayati Islam seterusnya memudahkan mereka dalam menghapuskan nyawa umat Islam.

Serangan pemikiran keatas umat Islam yang dilakukan secara bertubi-tubi, teratur, kemas dan terancang dilihat berjaya untuk melemahkan umat Islam apabila mampu untuk merosakkan akhlak umat Islam dengan mewujudkan insan yang pincang akhlak serta buruk tingkah laku. Melalui serangan pemikiran juga dapat menghancurkan fikrah Islam, memporak perandakan kefahaman Islam dan meleraikan kesatuan umat Islam malahan lebih dibimbangi ia dapat merosakkan akidah umat Islam dengan menyangsikan umat dengan pegangan Islam.

Terdapat lapan fomula yang dikenalpasti menjadi formula barat dalam menyerang pemikiran umat Islam iaitu Formula 4 S(Empat S) dan Formula 4 F(Empat F).

Formula Empat S

S 1 : Song (lagu) - Lagu-lagu yang melalaikan daripada mengingati Allah

S2 : Sport (sukan) - kempen membuka aurat, melupakan ibadah dan percampuran diluar batas antara lelaki dan wanita

S3 : Sex (seks) - mengajurkan seks luar nikah

S4 : Smoke (rokok) - ketagihan dan pembaziran harta

Formula Empat F

F1 : Fun (seronok) - Keseronokan yang melampau dan tidak mengikut syariat, hedonisme dan arak

F2 : Food (makanan) - Makanan Syubhah(diragui taraf kesahihan halal dan haram)

F3 : Fashion (fesyen) - Pendedahan aurat terutamanya wanita

F4 : Fit (dadah) - ketagihan dan merosak akal sera jasad manusia

Pelbagai kesan buruk timbul terhadap umat Islam seperti umat jahil pada Islam, tidak mengenal Al Quran, tidak memahami erti jihad, politik dikuasai oleh golongan sekular, penguasaan militeri(tentera), kemunduran ekonomi umat Islam, ketandusan generasi pewaris Islam, larutnya keperibadian Muslim dalam jiwa umat Islam dan menyebabkan ketaatan umat Islam kepada orang-orang kafir.
Adakah kita telah tergolong dalam kalangan percaturan dan perancangan musuh-musuh Islam???
Ayuh bangkit wahai umat Islam.
...

Di Mana Al Quran Berjalan?

7.12.2009 0 komentar

Persoalan berlegar di fikiran tatkala memikirkan keadaan diri ini, penghafaz, pengkaji, pelajar dan pembaca Al Quran yang kini dilihat semakin hari semakin ramai. Alhamdulillah, satu perkembangan yang cukup baik jika dilihat pada sudut kuantiti namun sebaliknya jika diperhatikan secara mendalam pada sudut kualiti golongan ini pada masa kini. Ramai yang mampu untuk membaca, belajar dan menghafal isi kandungan Al Quran tetapi berapa ramai yang mampu untuk melaksanakan isi kandungan yang dibaca, dihafal dan dipelajari daripada Al Quran dalam berakhlak, berkelakuan dan cara hidup di dunia ini? Hati ini sangat sedih dan pedih sekali apabila masyarakat kini mula mempertikai, memperlekeh dan meremehkan golongan pelajar Al Quran akibat akhlak dan keperibadian buruk yang ditonjolkan oleh golongan pelajar Al Quran sendiri.

Apa yang dapat kita lihat adalah naskhah Al Quran yang cukup banyak pada masa kini sehingga tidak termampu untuk membelek kesemuanya tetapi 'Al Quran yang berjalan' di muka bumi kini amat sukar untuk dilihat. Al Quran yang berjalan dengan maksud golongan yang mempelajari Al Quran dan melaksanakan sepenuhnya segala tuntutan serta arahan yang terkandung di dalam Al Quran ibarat seorang tentera yang menerima arahan dan melaksanakan segala arahan tersebut. Kita sebagai golongan yang belajar dan membaca Al Quran tidak sepatutnya menjadikan Al Quran hanya sebagai bahan bacaan harian atau bahan untuk menambahkan ilmu semata-mata tetapi kita sepatutnya mempelajari Al Quran adalah untuk dilaksanakan dengan serta merta samada dalam urusan hidup peribadi atau urusan hidup masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasaie ketika saidatina Aisyah ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w maka beliau menjawab "kelakuan dan perjalanan hidup baginda(Rasulullah s.a.w) adalah Al Quran.

Al Allamah Syed Qutb menyatakan Al Quran datang bukan sebagai sebuah buku panglipur lara, bukan sebagai sebuah buku sastera, juga bukan sebagai sebuah buku kesenian, sejarah dan novel, malah ia datang untuk dijadikan panduan hidup, panduan Ilahi yang tulen dan sendiri merasmikan Al Quran sebagai pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Demi melahirkan golongan Al Quran yang berjalan, dasar 'belajar untuk terus melaksanakan' perlu ada dalam diri setiap pelajar dan pembaca Al Quran, bukan ayat-ayat Al Quran hanya meniti di bibir sahaja tanpa ada pemahaman dan pelaksanaan isi kandungan Al Quran ibarat seekor burung tiong yang mampu berkata-kata tetapi tidak memahami dan melaksanakannya.

Di mana Al Quran yang berjalan pada masa kini? Bagaimana dengan kualiti golongan penghafal, pelajar dan pembaca Al Quran kini? Adakah kita merasakan diri kita tergolong dikalangan Al Quran yang berjalan? Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang disabdakan Rasulullah yang bermaksud: "berapa ramai orang yang membaca Al Quran akan tetapi Al Quran melaknat mereka"

Ketahuilah bahawa golongan Al Quran yang berjalan adalah tunggak utama dalam perjuangan Islam yang berada di barisan yang paling hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Semoga kita dapat mencontohi akhlak yang telah dipamerkan oleh generasi permulaan Islam yang lalu dalam menjadikan diri kita sebagai salah seorang daripada 'Al Quran yang berjalan'.

Apa pandangan anda? Klik di sini

Aku Lebih Baik

7.11.2009 0 komentar

Cuba imbau kembali masa lalu samada baru sebentar tadi atau yang telah lama berlalu, pernah tak terpacul daripada mulut atau terdetik di hati kita 'aku lebih baik' dengan makna kita lebih baik, lebih bagus, lebih segala-galanya serta meremeh dan merendahkan orang lain. Tentu pernah kan? Itu adalah hasil daripada sifat takabbur atau sombong yang telah berkudis di dalam hati dan jiwa kita. Takabbur atau sombong dalam erti kata yang sebenar adalah menolak kebenaran dan meremehkan serta merendahkan manusia. Untuk apa kita bersikap sombong? Tidak sedarkah diri kita cuma hamba yang diciptakan hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Allah amat murka jika ada makhluk yang bersifat takabbur kerana sifat tersebut tidak layak bagi makhluk. Kisah sang Iblis secara jelas menunjukkan sifat takabbur dengan mengingkari serta enggan untuk sujud kepada Adam a.s. Punca keengganan Iblis untuk sujud kepada Adam a.s adalah kerana menyangka ia lebih baik daripada Adam a.s sebagaimana digambarkan oleh Allah dalam surah Al A'raf ayat 12 yang bermaksud "Allah berfirman: 'apakah yang menghalangmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?' Iblis menjawab: 'aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku daripada api, sedang dia Engkau jadikan daripada tanah".

Lihat saja kini berbagai-bagai ragam manusia sombong, orang kaya sombong berjalan dengan megah dan berbangga dengan kekayaan yang dimilikinya, pemerintah seperti UMNO-BN juga sombong dengan keengganan menerima cara yang digariskan oleh Islam dalam mentadbir negara dan setiap lapisan masyarakat punya cara tersendiri dalam bersikap sombong. Golongan yang paling teruk dan paling rugi adalah orang yang miskin dan bodoh tetapi bersikap sombong.

Paling mengaibkan adalah para agamawan, pendakwah dan aktivis Islam yang bersikap sombong kerana sikap sombong tersebut menjadi fitnah kepada Islam dan menjadi penghalang bagi orang-orang yang cuba mendekati Islam. Sebetulnya bagi agamawan, pendokong Islam, pendakwah, aktivis Islam dan seluruh umat Islam bersifat tawadhuk atau merendah diri kerana sifat tawadhuk adalah sangat mulia disisi Islam dan dipandang mulia di mata masyarakat.

Iman Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali seseorang yang sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini pertama, kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Keduanya kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.

Perkara ketiga yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat. Perkara keempat menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk. Sifat sombong kelima berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.

Keenam, sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap badan dengan batu dan besi. Akhirnya yang ketujuh kata Imam Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak dan dijilat api.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sekalipun seberat biji sawi daripada sifat takabbur".

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah."” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

Hargai Peluang

7.10.2009 0 komentar
Orang selalu kata peluang hanya datang sekali sahaja, jangan lepaskan peluang yang ada. Kalau masa boleh boleh diundur kembali, Ambo akan putar masa kembali ke zaman kanak-kanak. Mustahil. Itu cuma angan-angan kosong. Hakikatnya adalah kehidupan mesti diteruskan. Masa bukan emas kerana masa tidak ternilai harganya. Nilainya tidak setanding dengan nilaian emas yang mampu dijual beli dengan wang ringgit. Masa adalah nyawa kita, masa adalah kehidupan kita. Masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Itu adalah nilaian masa. Allah s.w.t bersumpah dengan masa dalam surah Al-'Asr yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Ada sesekali datang peluang yang sangat dinanti-nantikan, ada juga datang dua peluang sekaligus dan hanya perlu memilih salah satu sahaja serta ada juga yang datang hanyalah peluang yang terakhir. Macam-macam. Apa yang menjadi masalah adalah tidak mahu mengambil peluang tersebut dan tidak tahu menggunakan peluang yang ada. Ini adalah sangat merugikan.
Jarang sekali akan datang peluang untuk kali yang kedua jika pada kali yang pertama menemui kegagalan tetapi jika hadir peluang yang kedua, usah sia-siakan peluang yang ada. Pergunakan dengan sebaiknya untuk mencipta kejayaan pada kali kedua.

Jangan berangan untuk berjaya pada kesempatan akan datang kerana kesempatan akan datang belum lagi pasti akan muncul kembali dan kita belum pasti akan bertemu dengan peluang akan akan datang. Pergunakan sebaiknya peluang yang sudah terbentang di hadapan mata dengan sebaiknya dan usah persia-siakan.
Rancanglah dengan sebaiknya kerana kegagalan dalam perancangan adalah sama seperti merancang untuk gagal.Semoga berjaya kepada sahabat dalam imtihan daur thani(peperiksaan ulangan). Insya' Allah bittaufiq wannajah.

Apa pandangan anda? Klik di sini
...

Kita Pemain, Pengurus Atau Sekadar Penyokong

7.04.2009 1 komentar

Pernah tak kita mengambil pengajaran daripada satu perlawanan bola sepak dengan melihat kepada perbezaan antara para pemain, pengurus atau jurulatih dan penyokong bola sepak sepanjang perlawanan? Inilah secebis pengajaran yang yang dapat kita kongsi bersama.

"Bodohnya pemain tu, hantaran cantik macam tu pun tak boleh nak jaringkan gol lagi", cetus seorang penyokong.
"Tak mengapa, cuba lagi. Lepas ni, tahan dulu bola tu sebelum rembat kuat-kuat ke arah gol", kata jurulatih.

Jika pemain melakukan kesilapan dalam permainan, para penyokong akan memarahi pemain tersebut dengan menghina dan memaki tetapi berbeza dengan seorang pengurus atau jurulatih memarahi pemain iaitu dengan memberi semangat dan cara untuk memperbaiki kesalahan yang telah dilakukan pemain.

Sekiranya pasukan yang disokong diketahui akan kalah kerana ketinggalan 0-5 dan permainan masih berbaki 10 minit sahaja lagi, para penyokong seolah-olah sudah tidak lagi menyokong pasukan mereka tetapi sebaliknya dengan para pemain mereka tetap meneruskan permainan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pengajaran

Dalam kita mengkritik, menegur atau memarahi seseorang, janganlah sesekali bertindak seperti penyokong bola sepak yang menghina, memaki dan mencerca pemain tetapi contohilah sikap seorang pengurus atau jurulatih bola sepak yang juga memarahi dan mengkritik pemain tetapi disebalik kemarahan seorang jurulatih menunjukkan cara bagaimana memperbetulkan kesilapan yang dilakukan. Begitulah dalam kita memarahi dan mengkritik, bukan dengan menghina tetapi menunjukkan jalan untuk membetulkan kesilapan tersebut.

Para pemain dan penyokong adalah ibarat para pendokong dan penyokong sesebuah gerakan Islam. Sebahagian mereka yang hanya menyokong gerakan Islam akan bersama dengan gerakan pada saat gerakan Islam berada dalam keadaan teguh dan kuat tetapi berbeza dengan seorang pendokong gerakan Islam yang akan tetap bersama dengan gerakan Islam samada semasa gerakan Islam dalam keadaan kuat atau mengalami kemerosotan dan dilanda pelbagai masalah.

"janganlah mengkritik sebagai seorang penyokong bola sepak, kritiklah sebagai seorang jurulatih bola sepak"

"jadilah pendokong perjuangan Islam, sekiranya tidak mampu jadilah penyokong perjuangan Islam dan jangan sesekali menjadi pengongkong kepada perjuangan Islam"

Apa pandangan anda? Klik di sini
...

Lelaki Lemah???

7.03.2009 1 komentar

Jika melihat pada sudut fizikal dan kekuatan zahiriah tubuh badan sememangnya lelaki dikurniakan oleh Allah s.w.t dengan sedikit kekuatan melebihi kaum wanita kerana lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita. Disebalik keperkasaan dan kekuatan itu, lelaki juga turut memiliki kelemahan sebagaimana firman Allah dalan surah al-Nisa' yang bermaksud : "kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" ayat 29.

Terdapat tiga perkara yang dikenal pasti menjadi kelemahan seseorang lelaki sejak zaman berzaman dan lebih dikenali sebagai formula 'tiga ta' untuk memusnahkan dan melemahkan seseorang lelaki iaitu :

1. Wanita
2. Harta
3. Takhta

Tidak sedikit lelaki yang rebah dipersada wanita. Sekuat-kuat lelaki boleh ditipu oleh sebodoh-bodoh wanita. Begitulah nisbah hebat dan kuatnya kuasa wanita dalam menundukkan lelaki. Sekuat mana pun lelaki selalunya kalah oleh kata-kata lembut sang wanita. Seorang lelaki boleh menangis apabila ditinggalkan oleh seorang wanita, padahal dia terkenal dengan seorang yang perkasa. Di medan pertempuran dia boleh membunuh begitu ramai musuh, tetapi berhadapan dengan wanita, hatinya boleh tunduk dan lemah longlai. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "takutlah akan dunia dan takutlah akan wanita kerana fitnah pertama yang melanda Bani Israil adalah daripada wanita".

Islam tidak menghalang umatnya untuk mencari harta kerana harta benda adalah merupakan perhiasan hidup di dunia. Perlu diketahui bahawa harta adalah merupakan satu fitnah kepada manusia. Ramai manusia yang sanggup menggadaikan agama kerana harta, sanggup membunuh kerana harta dan sanggup melakukan segala-galanya kerana harta. Ramai juga dikalangan lelaki yang pada awalnya sangat kuat dan berani tetapi manjadi lemah apabila disogokkan dengan harta dan sikap materialistik mula membenih di dalam jiwa. Contoh yang paling mudah adalah kisah Qarun pada zaman Nabi Musa a.s yang mengingkari perintah Allah akibat tenggelam dalam kemewahan harta yang dimilikinya. Firman Allah s.w.t dalam surah al Anfal yang bermaksud: "dan ketahuiah bahawa harta dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian".

Takhta, pangkat, darjat dan sebagainya sememangnya menjadi kegilaan ramai manusia.
Dengan adanya takhta, pangkat atau kekuasaan, seorang manusia mampu mempengaruhi manusia yang lain, mudah mendapatkan harta, lebih dikenali orang ramai dan sebagainya. Seorang lelaki boleh dilemahkan dengan hanya menawarkan kepada mereka takhta atau pangkat kerana itu adalah sifat yang ada pada manusia yang suka kepada pangkat dan kekuasaan. Lelaki juga akan menjadi lemah dan penakut untuk menyatakan kebenaran kerana bimbang akan kehilangan pangkat dan kekuasaan yang dimiliki.

Segala kelemahan di atas sebenarnya mampu diatasi oleh para lelaki yang berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam, sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dan menjalankan kehidupan berdasarkan manhaj kehidupan yang telah digariskan oleh Islam kepada umatnya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada".


Panduan Memilih Calon Suami(upgrade)

1 komentar

Secara fitrahnya setiap manusia memerlukan pasangan dan teman hidup. Oleh yang demikian, Allah mensyariatkan kepada umat Islam perkahwinan sebagai satu-satu cara yang halal untuk perhubungan diantara lelaki dan wanita selari dengan kehendak fitrah kejadian manusia. Sebelum berkahwin, biasanya kebanyakan lelaki sudah membayangkan bagaimana ciri ciri wanita yang bakal menjadi isteri yang akan menghiasi hidupnya samada pada sudut kefahaman agama, akhlak ,kecantikan, harta dan keturunan sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari : "seseorang perempuan dikahwini kerana empat perkara, harta, keturunan, kecantikan dan agamanya. Pilihlah yang beragama, kamu memerlukannya". Manakala dalam satu hadis yang lain pula Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa seorang wanita yang solehah adalah sebaik-baik perhiasan dengan sabda baginda melalui riwayat Imam Muslim : "Dunia adalah keseronokan dan sebaik baik keseronokan dunia ialah perempuan yang solehah".

Nabi s.a.w menyarankan kepada lelaki agar memilih perempuan yang beragama dan berakhlak. Satu persoalan yang hendak ditimbulkan di sini adalah bagaimana dengan para wanita? Adakah mereka perlu memilih siapakah yang bakal menjadi suami mereka? Jawapannya, ya. Sama sahaja. Mereka perlu memilih seorang lelaki sebagaimana yang telah digariskan oelh Islam iaitu seorang yang bertakwa, memiliki akhlak yang mulia dan berasal daripada keturunan yang baik-baik sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud : "Apabila orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Jika kamu tidak mengahwinkannya, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di atas muka bumi ini". Diingatkan kepada para wanita tidak tergoda dan terpedaya dengan kebaikan serta pujuk rayu yang hanya dilakonkan oleh segelintir lelaki dan tidak mudah 'cair' dengan ayat-ayat manis lelaki yang hanya berlakon baik dihadapan anda. Anda perlu siasat dan mengenal pasti siapa dan bagaimana akhlaknya kerana orang yang bakal anda pilih adalah seorang yang bakal menjadi suami anda dan akan memimpin sebuah rumahtangga yang boleh diibarat sebuah 'negara kecil'. Suami adalah ibarat Perdana Menteri dalam sesebuah keluarga. Jika Perdana Menterinya rosak, maka buruklah seluruh negara tersebut. Oleh yang demikian, pilihlah seorang 'Perdana Menteri' yang benar-benar memahami agama dan yang baik akhlaknya.

Kepada para wanita, satu panduan yang boleh dikongsi untuk anda semua iaitu dalam memilih lelaki yang bakal lelaki yang menjadi pemimpin dalam sebuah 'negara kecil' anda iaitu dengan memilih lelaki yang mampu menjadi imam solat. Rasanya perlu untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai lelaki yang mampu menjadi imam solat iaitu seorang lelaki yang mampu mengimamkan solat bacaan kuat(subuh, maghrib dan isyak) kerana pada solat yang bacaan jahr(kuat) ini pelbagai perkara yang dapat dinilai terhadap diri seseorang lelaki. Pertama, pada sudut kepimpinan dalam keluarga. Lelaki yang mampu mengimamkan solat dapat dilihat bahawa ia akan mampu membimbing keluarganya nanti dalam pelbagai aspek terutama dalam aspek ibadah. Sekiranya lelaki tersebut tidak mampu untuk menjadi imam, cuba fikir fikirkan terlebih dahulu kerana dalam aspek ibadah yang dilakukan setiap hari pun tidak mampu untuk menjadi pemimpin apatah lagi dalam aspek yang lain-lain, mungkin tidak mampu untuk memimpin keluarganya dengan sebaik mungkin. Sekiranya ada lelaki yang ingin meminang anda, terlebih dahulu bertanya kepada mereka adakah mampu menjadi imam solat dan selepas itu barulah menilai mengenai perkara-perkara yang lain.

Kedua, adalah pada sudut ilmu dan kefahaman agama kerana seorang lelaki yang ingin mengimamkan solat(diingatkan solat yang dimaksudkan adalah solat Subuh,Maghrib atau Isyak) hukum-hukum asas fiqh seperti perlu mengetahui rukun-rukun solat, syarat-syarat sah solat, perkara yang membatalkan solat dan kesempurnaan dalam pembacaan al Quran terutamanya surah al Fatihah. Kebanyakan lelaki 'takut' untuk mengimamkan solat yang Jahr(subuh,maghrib dan Isyak) kerana takut untuk membaca ayat ayat al Quran secara kuat disebabkan bimbang bacaan tidak betul. Melalui imam solat juga boleh dinilai tahap ilmu asas fiqh dan ilmu pembacaan al Quran. Ramai dikalangan lelaki yang 'penakut' ini lebih sanggup untuk menjadi imam bagi solat Zohor dan Asar tetapi pada solat subuh, maghrib dan Isyak mereka mencari jalan untuk mengelak.

Perkara ketiga adalah pada sudut akhlak atau pekerti seseorang lelaki. Kebanyakan mereka yang mampu menjadi imam adalah mereka memiliki akhlak, budi pekerti serta mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat. Tidak dinafikan juga bahawa ada yang bukan sekadar mampu menjadi imam solat biasa malah turut dijemput menjadi imam di masjid-masjid tetapi berakhlak dengan akhlak yang tidak sewajarnya dengan 'tiltle' seorang imam. Kita semua tanpa mengira lelaki atau perempuan sudah tentu menginginkan pasangan yang baik dan memiliki akhlak yang mulia. Adalah diingatkan, janganlah terlalu memilih dan mencari yang terbaik sebaliknya jadikan diri kita dahulu seorang yang baik, berakhlak mulia dan soleh atau solehah kerana Allah telah menjanjikan yang baik adalah untuk mereka yang baik.

Jangan terpedaya dengan kecantikan atau ke'handsome'man semata-mata kerana cantik atau tampan seseorang tidak akan kekal hingga ke akhirnya. Nanti kalau uban dan berterabur, pipi dah kendur, gigi pun sudah gugur, mata dah kabur dan berjalan pun hampir nak tersungkur hilanglah segala kecantikan dan ketampanan yang ada. Begitu juga dengan keturunan dan harta yang tidak akan kekal selamanya. Pilih yang beragama serta berakhlak mulia kerana akan membawa kepada keredhaan Yang Maha Esa dan memacu arah menuju ke syurga.