Perlu Jaga Tepi Kain Orang

7.26.2009

“Jangan nak menyibuk hal orang la!!”
“Jangan sibuk nak jaga tepi kain orang”
“Awak ni siapa nak halang saya??”
“Saya tak ganggu hal awak dan saya tak nak awak campur hal saya”
“Jangan ganggu hal aku. Suka hati akulah apa aku nak buat. Kalau aku mati pun bukannya aku duduk satu kubur dengan kau”

Inilah antara ungkapan yang sering singgah di cuping telinga apabila kita cuba menghalang atau menegur seseorang yang melakukan kesalahan samada salah disisi undang-undang Allah atau undang-undang ciptaan manusia. Kononnya mereka menganggap diri mereka 'up to date' dan mengatakan kita ini tak 'up to date' kerana tidak mengikut arus kemodenan. Inilah realiti yang berlaku apabila kejahilan, sifat sombong, mentaliti hiburan dan kedegilan telah menggari umat Islam.

Keadaan akan menjadi kian kronik sekiranya tanggungjawab menyuruh perkara yang baik dan mencegah perkara yang mungkar ditinggalkan kerana segala kemungkaran berlaku tanpa ada pencegahan. Sememangnya menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk ‘menjaga tepi kain sendiri dan menjaga tepi kain orang dalam konteks mencegah perkara mungkar disamping menyeru dan menyuruh kearah perkara kebaikan.

“dan hendaklah ada sebahagian dikalangan kamu yang menyeru kearah kebaikan dan mengarah kearah ma’ruf serta mencegah yang mungkar dan mereka inilah golongan yang beroleh kejayaan” Ali Imran : 104

“kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan ditengah-tengah masyarakat manusia untuk mengajak mereka kearah yang ma’ruf dan mencegah mereka dari yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah s.w.t. Ali Imran : 110

Sabda Rasulullah s.a.w : “sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah mencegah dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hati. Ini adalah selemah-lemah iman”.

Implikasi yang amat buruk bakal dihadapi seluruh umat manusia apabila gerak kerja ini diabaikan dan ditinggalkan. Paling ketara adalah retaknya hubungan dua hala antara Allah dan hambaNya. Lebih ketara apabila implikasi itu menular sehingga menghancurkan peradaban manusia. Tanpa amar ma’ruf dan nahi mungkar generasi manusia kehilangan pedoman, akhlak kian terhakis dan akidah akan terancam.

Sikap hanya jaga tepi kain sendiri’ perlu dihapuskan serta merta dalam diri setiap umat Islam kerana sikap ini cukup berbahaya kerana ia akan memberi laluan yang cukup selesa kepada aktiviti kemungkaran tanpa ada sebarang pencegahan untuk menghalang berlakunya kemungkaran. Sebagai contoh, kita membina rumahtangga yang penuh dengan tarbiyah islamiyah dalam mendidik isteri dan anak-anak tetapi membiarkan serta tidak mempedulikan segala kemungkaran yang berlaku di sekitar kawasan tempat tinggal kita. Persoalannya, selama manakah kita akan mengurung isteri dan anak-anak di dalam rumah? Adakah anak-anak tidak punya rakan dan teman? Bagaimana pula dengan komunikasi keluarga kita dengan masyarakat?

Sewajibnya kita setiap umat Islam mesti bertanggungjawab untuk melaksanakan hal ini bagi memastikan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan seterusnya mengelakkan kita dilaknat oleh Allah sebagaimana Allah melaknat Bani Israel akibat keengganan mencegah kemungkaran.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda