Ini Peluang Anda Wahai Perokok

9.01.2009
Salam Ramadhan

Sekiranya anda bercadang untuk berhenti merokok, gunakan peluang sepanjang Ramadhan ini untuk menjauhkan diri anda dan membuang tabiat buruk merokok yang ada pada diri anda itu. Proses berhenti merokok memerlukan perancangan dan juga penentuan masa yang sesuai dan teratur. Jika ia dirancang dengan betul dengan keazaman yang kuat pasti akan membawa kepada kejayaan.

Banyak alasan diberikan oleh perokok untuk meneruskan tabiat buruk ini. Antara alasan yang sering dilontarkan ialah merokok merupakan tabiat lama yang telah sebati dengan jiwa, merokok boleh mengurangkan stress dan menyebabkan ketagihan kepada nikotin. Hal ini berlaku kerana sikap anda yang tidak serius untuk meninggalkan tabiat buruk tersebut. Ya, memang sukar untuk meninggalkan tabiat lama tetapi walau sesukar mana sekalipun anda mampu untuk melakukannya dengan berbagai cara.

Berhenti Secara Mendadak

Cara ini memerlukan motivasi, ketahanan diri dan kesungguhan yang tinggi dalam diri seseorang. Sekiranya anda mampu menahan diri untuk tidak merokok selama 12 hingga 14 jam pada siang hari dibulan Ramadhan, alangkah baiknya jika anda teruskan sehingga 24 jam dan hari-hari yang seterusnya tanpa merokok.

Berhenti Beransur-ansur

Anda boleh mengurangkan jumlah batang rokok yang dihisap dalam sehari secara beransur-ansur sehingga ketahap tanpa rokok. Cara ini biasanya menemui kegagalan kerana faktor persekitaran, emosi dan keinginan nafsu. Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk kita melatih nafsu. Sekiranya pada siang hari kita mampu mengawal nafsu dengan baik, pada waktu malam juga kita mampu untuk melakukannya.

Menangguh Pengambilan

Perokok menangguh pengambilan rokok. Biasanya anda merokok selepas berbuka, cuba tangguh dengan melakukan perkara lain untuk mengurangkan kekerapan merokok. Selepas berbuka anda boleh terus bersiap menunaikan solat maghrib dan membaca al Quran.

Sokongan

Beritahu rakan dan ahli keluarga tentang rancangan anda untuk membuang tabiat buruk merokok. Dapatkan bantuan dan sokongan dari rakan dan ahli keluarga. Ini amat diperlukan kerana anda mungkin tidak mampu untuk mendepaninya sendirian.

Untuk membuang tabiat buruk merokok memerlukan komitmen yang tinggi serta usaha yang berterusan. Sesetengah perokok hanya berjaya berhenti untuk tempoh sekejap sahaja. Sekiranya ini berlaku kepada anda, janganlah beranggapan anda telah gagal atau merasa kecewa. Teruskan azam dan kuatkan semangat, kejayaan tidak berlaku hanya dengan satu cubaan sahaja. Gunakan kesempatan kelebihan puasa untuk menghalang diri anda daripada terus merokok.
Tetapkan pendirian untuk tidak akan merokok dan jangan sekali-kali menerima tawaran rokok percuma daripada kawan-kawan sama ada untuk menjaga hati kawan atau sebagainya. Berterus terang kepada mereka tentang niat anda.

Bila timbul keinginan untuk merokok, tolak keinginan itu dengan sekeras-kerasnya. Katakan sahaja 'Tak Nak' tanpa segan dan jangan sesekali menyatakan 'tak apa sebatang sahaja', kerana disebabkan sebatang itulah yang akan menyebabkan anda kembali menjadi penagih nikotin dan hamba rokok.
Comments
2 Comments

2 komentar:

  • 日月神教-任我行
    This comment has been removed by a blog administrator.
    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • 揚州炒飯Penny
    This comment has been removed by a blog administrator.
    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda