Baca Al Quran Tapi Tak Bertudung

8.30.2009
Catatan 8 Ramadhan 1430 Hijrah.

Perjalanan ke Hayyu Sabie' dimulakan dengan pergaduhan antara pemandu Tremco dengan seorang penumpang. Pergaduhan semacam itu menjadi kebiasaan di sini. Perkara kecil saja tetapi dibesar-besarkan.

Posisi kedudukan agak tidak selesa kerana terpaksa duduk di sebelah seorang wanita arab. Keadaannya yang hanya mengenakan jeans, rambut yang diikat dibiarkan tanpa ditutup, berbaju coklat yang jelas menampakkan bahagian leher dan sedikit bahagian dada.(Ya Allah! Aku sedang berpuasa). Pandangan dikawal rapi.

Tremco menyusur laju. Wanita yang berada di sebelah tadi membuka beg yang dibawanya. Perlahan-lahan mushaf al Quran dikeluarkan, membelek-belek sebentar lalu dibacanya. Kaget. Terkejut. Pandangan ditumpukan kepada mushaf yang dipegang wanita tersebut untuk mendapatkan kepastian. Ya, itu memang al Quran. Dia sedang membaca ayat-ayat daripada surah Ali Imran. Setelah benar-benar pasti, aku bisikkan pada teman di sebelah. Dia juga terkejut. Memang ini kali pertama kami melihat perkara ini dengan mata kepala sendiri. Tidak pernah kami melihat di Malaysia atau di mana-mana.

Berbagai andaian dan persoalan bermain di fikiran namun biarlah ia sekadar andaian dan persoalan sahaja. Kami hanya memerhatikan sahaja tanpa ada sebarang teguran atau pertanyaan.

Ini hanya catatan. Sekadar perkongsian pengalaman untuk semua.
Comments
1 Comments

1 komentar:

  • Post a Comment

    Apa komen anda