Dua Golongan Pemakai Tudung

8.13.2009
Terdapat dua golongan orang-orang yang memakai tudung. Satu seperti sebuah akuarium dan yang kedua, seperti sebuah sungai. Jangan cepat melatah kerana ini hanyalah kiasan dan insya' Allah saya akan huraikan kiasan-kiasan tersebut pada akhir artikel ini. Diharapkan tiada yang tersinggung kerana bukan itu tujuannya artikel ini. Sekadar renungan bersama.

Hah? Apa maksud sebuah akuarium? Cuba kita perhatikan. 'Akuarium' menurut kamus bermaksud sebuah tangki untuk menyimpan ikan hidup. Biasanya, akuarium ini adalah tertutup. Banyak sebab-sebabnya, tetapi yang paling utama adalah untuk mengelakkan habuk atau cicak masuk ke dalam akuarium lalu merosakkan kecantikkan akuarium itu. Kalau kita perhatikan, akuarium ini tak boleh ditutup penuh, kerana perlu ada lubang-lubang udara untuk membolehkan pertukaran gas yang amat penting untuk memastikan kesihatan dan kesinambungan kehidupan ikan. Akuarium juga tujuannya untuk mempamerkan ikan-ikan dan pemandangan dalam air yang indah. Setiap orang yang memandang sebuah akuarium yang cukup jagaannya akan terpersona melihat keindahannya. Seseorang boleh mengetahui berapa banyak ikan yang ada, apa jenis ikan yang ada, cantik atau tidak malah pelbagai lagi, apatah lagi kalau ada sinaran lampu yang menyinari. Air dalam akuarium pula berbeza. Kalau cukup jagaannya, nampak bersihlah air akuarium itu. Kalau tak pernah bertukar, kita pun geli nak tengok. Itulah cerita akuarium.

Bagaimana pula cerita sungai? Percayakah anda setiap sungai yang ada di dunia ini sebenarnya ada 'penutup'? Kalau tak percaya, carilah sungai di atas muka bumi ini yang apabila kita mendongak memandang ke atas tiada langit atau awan yang melindungi. Itulah 'penutup' sebuah sungai. Penutup ini bukan sahaja menutup, malah berinteraksi dengan sungai dengan melengkapkan kitaran air. Itulah antara tujuan 'penutup' sungai ini. Kalau dibandingkan dengan akuarium, bolehkah seseorang mengagak berapa banyak ikan atau hidupan yang ada dalam sebuah sungai? Kita mungkin boleh mengagak apakah jenis-jenis yang ada tetapi mustahil untuk kita mendapat jawapan yang tepat. Sebab apa? Salah satu sebabnya adalah sungai tidak bertujuan untuk mempamerkan segala isi hidupan yang ada di dalamnya. Air sungai pula bagaimana? Air sungai termasuk dalam kategori air-air yang bersih, maksudnya kita boleh bersuci dengan air sungai. Tapi mungkin ada yang kata, banyak juga sungai yang tampak kotor. Hah? apa hujahnya pula? Kita renung kembali, kebanyakan sungai yang kotor adalah disebabkan kesalahan manusia yang suka membuang sampah merata-rata dan sebagainya. Jadi, tidak boleh sama sekali kita nak salahkan sungai.
Okay, selesai.

Macam mana, sudah dapat membuat nilaian? Biarlah saya nyatakan pendapat saya. Seorang perempuan yang memakai tudung sekadar untuk menunjuk-nunjuk adalah seperti sebuah akuarium. Tujuan penutupannya adalah supaya orang menganggapnya cantik, wara' bertudung. Nampak bertutup, tapi masih ada bahagian-bahagian badan yang terbuka. Mempamerkan segala perhiasan diri dan boleh dilihat oleh sesiapa sahaja. Air di dalam akuarium diibaratkan seperti hati si pemakai. Pernahkah dia mencermin hatinya iaitu membersihkan pemikirannya sebab orang boleh nampak kejernihan atau kekeruhannya. Renung kembali, sejernih-jernih air akuarium, mahukah atau bolehkah kita bersuci dengannya? Tepuk dada tanya iman.
Sungai pula dikiaskan sebagai seorang perempuan yang mahu dilindungi. Oleh itu, akan sentiasa ada interaksi diantara tudungnya dengan personaliti dirinya. Bila ada interaksi ini, dia akan sentiasa ingin membawa imej yang baik. Segala perhiasan yang ada di dalam dirinya tidak akan dipamerkan, kerana dia tahu setiap yang memandangnya pasti akan terpersona dengan perhiasan-perhiasannya itu. Air sungai yang bersih mengalir melambangkan hati si pemakai yang mahu sentiasa bersih dengan secara berterusan mencerminkan dirinya. Sebagai manusia biasa, kadangkala dia tidak dapat menahan diri dari perkara-perkara yang boleh mngeruhkan hatinya, namun dia tidak pernah lupa untuk menjernihkannya kembali, umpama air sungai yang keruh menjadi jernih semula setelah habis musim hujan.

Pengajaran daripada ayat 31 surah An Nur.

Pandangan Anda? Klik Di Sini
Comments
2 Comments

2 komentar:

  • mohdruzaimy

    salam sejahtera....

    tahniah kerana berjaya mengpostkan satu artikel yg begitu hangat kalau dibincangkan sesama golongan terpelajar dan lebih afdal lagi jika dikatakan golongan yang mengambil jurusan agama.

    Mungkin ada wanita yang terasa dengan artikel tersebut pada pandangan saya. tetapi, tidak mengapa kerana ia adalah untuk kebaikan bersama dan menandakan golongan-golongan yang terasa itu masih lagi mempunyai kesedaran dan tanda keimanan.

    lagi elok lagi, jika maksud yang ingin disampaikan penulis ( sahabat saya ) juga di tujukan kepada golongan lelaki. melihatkan arus dunia sekarang, cara pemakaian golongan lelaki juga banyak tersasar dari dasar2 yang telah ditetapkan oleh syarak.

    ingatlah...(jatuh bangunnya sesebuah negara bergantung kepada golongan wanita...eloknya akhlak golongan wanita, maka eloklah negara itu..jika jatuhnya moral wanita maka...mintak jauh lah daripadanya)

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Ambo

    Salam..
    terima kasih atas pandangan akh ruzaimy..
    Insya'allah ambo akan cuba utk tulis mengenai cara pemakaian org2 lelaki pula lepas ni..
    Kalau ada yang nak terasa dgn artikel ni, biarlah mrk terasa. Mungkin kerana mereka terasa kerana apa yang ditulis ini ada pada diri mereka...

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda