Pergaulan muslimin muslimat melalui internet?

8.06.2009

Satu persoalan yang perlu dibincangkan ialah ramai yang mencari pasangan dan mencari teman dengan menggunakan kemudahan teknologi seperti ‘'chatting' dan perhubungan melalui laman-laman tertentu. Apakah prinsip Islam yang perlu kita pegang dalam hal ini? Hal ini sudah menjadi lumrah pada hari ini terutamanya dikalangan remaja, tanpa mengira apakah batas yang ada pada Islam supaya aspek syariat dan moral tidak diabaikan. Seperti yang diketahui, segala jenis peluang samada negatif atau positif terdapat dalam teknologi moden masa kini. Walau apa pun, yang jelas muslimin dan muslimat tanpa mengira umur turut menggunakannya lantas bertanggungjawab kepada Allah s.w.t. yang telah memberikan kita segala kemudahan dan kemewahan teknologi.

Kita tidak boleh tersasar daripada panduan yang Allah s.w.t. telah gariskan. Internet dan 'chatting' sebenarnya sama seperti menulis surat kepada seseorang ataupun menelefon seseorang ataupun sebenarnya adalah kombinasi kedua-duanya. Muslimin dan muslimat perlu mengikut batas-batas yang telah ditetapkan keatas percakapan dengan telefon ataupun menulis surat. Islam tetap mengharamkan penulisan surat-surat cinta yang membangkitkan syahwat ataupun perbualan yang intim dan manja dalam perbualan telefon antara muslimin muslimat yang bukan muhrim tanpa ada ikatan yang sah antara satu sama lain.

Didalam perbualan, penulisan ataupun 'chatting', kita mesti menegakkan sifat HAYA' ataupun malu di dalam diri masing-masing. Muslimin dan muslimat tidak diizinkan berchatting hanya untuk bersosial ataupun sebagai hobi dengan mana-mana pasangan yang berlainan jantina tanpa ada ikatan yang sah. Tidak wajar bagi muslimin dan muslimat yang bukan muhrim berchatting dalam jangka masa yang panjang kecuali keharusan dalam bermuamalat seperti untuk perniagaan atau pendidikan. Semua bentuk interaksi hendaklah sopan dan mengikut batas-batas yang digariskan oleh syariat. Al Quran telah mengingatkan kita berulang-ulang kali bahawa semua perkataan akan dicatat oleh para malaikat dan kita akan dipertanggungjawabkan ke atas perkataan yang telah kita gunakan di akhirat nanti.

" Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat-benar(dalam segala perkara)" Al Ahzab : 70

" Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."Qaaf : 18

Jika seseorang itu bertemu dengan seseorang melalui internet dan berniat untuk berkahwin, hendaklah dia melibatkan orang lain ataupun ibu bapa dalam ber'chatting' atau berurusan dengan bakal pasangannya. Hendaklah orang lain itu melakukan siasatan dan rundingan bagi pihaknya. Bukankah lebih baik jika 'chatting' itu ditemani orang lain?

Islam mengharamkan Khalwah (duduk bersunyi) diantara muslimin dan muslimat yang bukan muhrim tanpa ada ikatan yang sah. Dalam hal ini, khalwah secara virtual boleh terjadi dengan perbualan melalui internet ataupun telefon. Sebagaimana diharamkan bersunyi-sunyian dalam keadaan fizikal, begitu juga bercakap melalui telefon atau 'chatting', lebih-lebih lagi interaksi itu berkaitan perkara yang peribadi, perbualan intim dan manja sehingga membangkitkan syahwat.

Kita juga harus berhati-hati sebelum diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsu akan faedah yang kononnya wujud dalam ber'chatting' dengan yang bukan muhrim atau seseorang yang entah diketahui siapakah identiti dirinya yang sebenar. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita sedang ditipu dan diperdaya dengan nama-nama samaran serta lakonan orang yang sedang ber'chatting' dengan kita. Bukankah Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud :

"Daripada tanda keelokkan (kesempurnaan) imannya ialah ia meninggalkan apa yang tiada sangkut paut dengan dirinya" Hadis riwayat Tarmizi.

Sama-samalah kita memikirkannya...wallahua'lam

Ada pandangan? Klik di sini

P/S: Agak lama tidak memasukkan entri ke dalam laman blog ini, nampaknya semacam sudah bersawang. Mungkin kerana disibukkan dengan beberapa perkara penting namun itu bukanlah alasan untuk meninggalkan medan dakwah alam maya ini.
Comments
1 Comments

1 komentar:

  • imtiaz

    ya setuju dgn pandangan ni.pernah juga merasai..smg ALLAH ampuni..^-^

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda