Keperluan Berorganisasi & Kepimpinan

8.19.2009
Salam Muktamar & Mesyuarat Agung

Kesyumulan Islam meliputi segala aspek kehidupan. Islam menyediakan Al Quran dan Sunnah sebagai panduan kepada manusia sebagai pemacu kehidupan agar tidak menyimpang daripada landasan keimanan dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Antara perkara yang amat dititikberatkan didalam Islam adalah dalam soal organisasi(tanzim) dan kepimpinan(al-qiyadah). Organisasi dan kepimpinan adalah dua perkara yang sangat berkait rapat dalam meneruskan gerak kerja dakwah seterusnya mendaulatkan Islam di muka dunia kerana kepimpinan adalah institusi terpenting dalam sesebuah organisasi dan sesebuah organisasi memerlukan kepada kepimpinan. Saidina Umar pernah menyatakan "Tidak ada Islam melainkan dengan jamaah, tidak ada jamaah melainkan dengan kepimpinan dan tidak ada kepimpinan melainkan dengan taat"

Mengapa perlunya berorganisasi? Dan kenapa perlunya kepada kepimpinan? Jawapannya cukup mudah dan ringkas, manusia tidak akan mampu bekerja sendirian bagi memikul amanah yang cukup berat ini. Diumpamakan seperti sebatang lidi yang sangat mudah dipatahkan tetapi amat sukar untuk dipatahkan sekiranya dalam jumlah yang banyak. Organisasi akan membentuk sebuah ikatan yang kukuh, yang sukar dipatahkan oleh agenda musuh yang mahukan Islam itu jatuh tersungkur lalu dipijak dan diludah. Sebuah organisasi umpama serumpun lidi yang terikat kukuh memasak teguh dalam ikatannya yang padu menyukarkan ianya untuk dipatah remukkan. Adakah anda pernah mendengar tentang sesuatu organisasi berjaya mencapai visi dan misinya tanpa adanya kepimpinan? Tidak dapat dinafikan bahawa membenarkan pernyataan di atas adalah seperti berkhayal dan bertentangan dengan fitrah manusia kerana hakikat diutuskan para rasul kepada umat manusia adalah untuk memimpin seluruh umat manusia daripada kegelapan menuju cahaya Islam.

Allah s.w.t menyatakan di dalam Al Quran bahawa Dia amat menyukai sekiranya manusia yang mahu berjihad demi mendaulatkan Islam berada dalam satu perkumpulan manusia yang tersusun rapi, teratur dan kemas sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah As Saf ayat 4 yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya dalam barisan yang tersusun rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" Menjadi syarat utama kepada perkumpulan manusia yang ingin memastikan hala tuju kumpulan mereka berada dalam keadaan terusun rapi, teratur dan kemas adalah dengan wujudnya organisasi dan kepimpinan dalam kumpulan mereka. Berdasarkan maksud ayat di atas, jelas dinyatakan bahawa perjuangan yang tidak memiliki organisasi yang jitu, tidak ada wadah dan tidak teratur adalah tidak disukai oleh Allah s.w.t kerana organisasi yang teratur, tersusun rapi dan kemas sudah pasti akan merancang dan membentuk satu perancangan yang rapi, realistik dan sistematik seterusnya menggerakkan pelaksanaan yang lebih kemas dan sempurna untuk mencapai matlamat yang diimpikan. Benarlah kata-kata yang diungkapkan saidina Ali k.w bahawa kebenaran tanpa sistem atau perancangan yang kemas akan dikalahkan oleh kebatilan yang punyai sistem yang teratur lagi kemas.

Rasulullah s.a.w memerintahkan untuk mewujudkan kepimpinan sekalipun berada dalam perkumpulan yang berjumlah yang sederhana dan sedikit sebagaimana sabda baginda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud : "Jika tiga orang keluar dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah satu diantaranya sebagai pemimpin". Hadis ini menggambarkan tentang betapa pentingnya kepimpinan dalam sesebuah perkumpulan dan organisasi kerana arahan Rasulullah supaya mewujudkan seorang pemimpin jika tiga orang keluar dalam satu perjalanan. Apa pandangan anda terhadap perkumpulan yang lebih ramai dan mempunyai sasaran yang lebih tinggi? Sudah tentu lebih-lebih lagi. Oleh yang demikian, Islam amat menitik berat mengenai soal kepimpinan kerana kepimpinan merupakan salah satu daripada tiang agama dan agama tidak akan dapat ditegakkan dengan sempurna tanpa wujudnya kepimpinan.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan di dalam Al Siyasah Al Syar'iyyah bahawa " wajib diketahui bahawa mentadbir perkara manusia termasuk kewajipan agama teragung, bahkan agama tidak bernlai tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan umat manusia hanya akan dicapai dengan sempurna melalui perkumpulan kerana satu sama lain saling memerlukan dan ketika berkumpul mereka harus memiliki pemimpin". Lakaran sejarah turut menyingkap tentang betapa pentingnya kepimpinan dimana sewaktu kewafatan Rasulullah s.a.w perkara pertama yang ditumpukan oleh para sahabat adalah memilih seorang pemimpin untuk mereka sehinggakan mereka mendahulukan perkara tersebut daripada urusan pengkebumian baginda s.a.w. Mereka segera membai'ah saidina Abu Bakar dan segera menyerahkan urusan pentadbiran kepada beliau.

Meneliti sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Tidak halal bagi tiga orang yang berada di tanah lapang(dataran kosong) di atas muka bumi ini melainkan hendaklah dilantik menjadi ketua seorang daripada mereka". Tugas kita adalah untuk memikul amanah agama dan melaksanakan segala tuntutannya seperti melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar tidak akan sempurna melainkan dengan organisasi dan kepimpinan begitu juga dengan semua perkara yang lain yang diwajibkan seperti jihad, keadilan, membantu orang-orang yang dizalimi, melaksanakan hudud dan lain-lain.

Jelas sekali bahawa organisasi dan kepimpinan amat penting dalam Islam tidak kira samada berada dalam perkumpulan yang kecil dan lebih-lebih lagi berada dalam perkumpulan yang berjumlah besar. Marilah kita sama-sama menyusun organisasi, mentaati pemimpin dan memberi kepercayaan penuh kepada para pemimpin untuk sama-sama mendaulatkan Islam serta saling menegur di dalam memastikan organisasi kita kekal relevan dan mampu membawa perubahan, tidak kiralah organisasi berbentuk persatuan, kelab, pentadbiran kampung, taman, negeri atau negara sekalipun.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda