Huffaz 'Burung Tiong'

6.15.2009

Hafiz (bahasa Arab: حافظ قرآن‎ atau حافظ, jamak huffaz, bermaksud penjaga) merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang lelaki yang telah berjaya menghafaz al-Quran sepenuhnya. Gelaran ini juga turut diberikan kepada para ilmuan Hadis yang telah berjaya menghafaz, mengkaji sanad hadis tersebut (salasilah perawi hadis) serta mentafsirnya dengan baik sekali manakala burung tiong pula merupakan sejenis burung yang popular dan digemari kerana kemampuannya boleh dilatih meniru dan mengajuk suara manusia. Apa yang ingin dibicarakan adalah mengenai 'penghafal Al Quran seperti burung tiong'.

Teringat sewaktu berada diminggu Haluan Siswa(orientasi) Darul Quran, Ustaz Zamri Shapik sering mengingatkan kami dengan kata-katanya "kita tidak mahu melahirkan huffaz seperti burung tiong di dalam sangkar emas tetapi kita ingin melahirkan huffaz seperti pokok balak di hutan". Jelas sekali maksud beliau yang tidak mahu kami menjadi seperti seekor burung tiong di dalam sangkar emas yang dipuja oleh segenap lapisan masyarakat dengan kemampuan dalam menghafal Al Quran tetapi hanya sekadar meniti di bibir-bibir sahaja tanpa ada pemahaman dan pengamalan tentang ayat-ayat yang dibaca. Beliau mahukan kami menjadi seperti pokok balak di hutan yang mampu membesar dengan sendiri, berdikari dan berdiri gah di sisi pokok-pokok balak yang lain tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa.

Kini kita sendiri boleh melihat di sekeliling kita dengan kebanjiran penghafal Al Quran bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang rata-rata mampu menutur dan melafazkan setiap kalimah di dalam Al Quran dengan fasih dan lancar tetapi hanya terdapat segolongan kecil dikalangan penghafal Al Quran yang mampu memahami dan hanya beberapa orang sahaja yang dapat memahami serta mengamalkan intipati yang terkandung di dalam kitab suci Al Quran dalam kehidupan seharian. Lihat sahaja pada seekor burung tiong yang dilatih sehingga dapat melafazkan ucapan 'assalamualaikum' setiap kali ada manusia yang menghampirinya tetapi adakah seekor burung tiong yang tidak dikurniakan nikmat akal memahami maksud 'salam' yang dilafazkannya? Sudah tentu tidak. Kalau kita menjawab salam burung tiong tersebut, ia langsung tidak memahami apa yang kita lafazkan. Sama juga halnya dengan sebuah mesin atau robot yang di'set' oleh perekanya yang dapat berkata-kata tetapi langsung tidak memahami perkataan yang dituturkannya.

Adakan kita para penghafal Al Quran hanya seperti seekor burung tiong atau seperti sebuah mesin yang 'berakal'? Hanya mampu untuk melafazkan setiap kalimah dan ayat Al Quran tetapi langsung tidak memahami apa yang dilafazkan. Apabila sedikit pemahaman pun tidak ada, maka pengamalannya bagai bermimpi disiang hari. Oleh sebab hal inilah munculnya ramai dikalangan penghafal Al Quran yang menjadi fitnah kepada seluruh penghafal Al Quran khususnya dan fitnah kepada Islam amnya kerana akhlak dan keperibadian mereka yang jelas bertentangan dengan Al Quran yang meniti bibir-bibir mereka sehari-hari. Oleh yang demikian, kita(penghafal Al Quran) perlu menjadi pokok balak yang teguh mendokong Islam ditengah-tengah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kini dan mejadi 'role model' untuk memimpin masyarakat memahami dan mengamalkan Islam sebagai manhaj kehidupan seharian.

"Kemudian kami jadikan Al Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka diantara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri(dengan tidak mengendahkan ajaran Al Quran), dan diantaranya ada yang bersikap sederhana , dan diantaranya ada yang mendahului(orang lain) dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar(dari Allah semata-mata)- Surah Faatir:33

Sabda Rasulullah s.a.w: "Bacalah Al Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya"- Hadis riwayat Imam Muslim.

Bagaimana Al Quran akan menjadi syafaat kepada kita nanti sekiranya kita tidak memahami dan mengamalkan isi kandungannya serta kita memiliki akhlak yang jelas bertentangan dengan Al Quran? Atau nanti Al Quran yang akan melaknat kita?(nauzubillah) Ayuh mari kita sama-sama memahami dan mengamalkan Al Quran serta menyeru seluruh umat Islam untuk menjadikan Al Quran sebagai perlembagaan dan manhaj kehidupan.
Comments
3 Comments

3 komentar:

  • Post a Comment

    Apa komen anda