Tahu Mengutuk, Tidak Pandai Beradab

6.18.2009
Gambar di sebelah mungkin ada kaitan dengan entri kali ini. Alhamdulillah masih diberi ruang untuk melakar coretan di laman blog ini. Bukan Ambo sahaja, malah ramai yang turut melahirkan rasa terkilan dan menyatakan kekesalan terhadap keadaan yang berlaku tempoh hari setelah selesai Rehlah Fayyoum 2009 kerana 'rumah telah siap tapi pahat masih berbunyi' dan lebih-lebih apabila ramai manusia 'bacul' mula mengecam, mengeji dan mengutuk 'di belakang'. Terlebih dahulu, tidak lupa kepada mereka yang memahami dan menyelami situasi yang berlaku. Jazakumullahu khairan kathira.

Jawab dahulu persoalan-persolan ini. Kenapa perlu mengecam, mengeji, memfitnah dan mengutuk? Adakah Islam mengajar kita metod ini? Pernah Rasulullah mengecam, mengeji, mengutuk dan mencaci sahabat-sahabat baginda? Dari mana dan daripada siapa kita mencedok cara meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan cara begini? Hanya menurut tuntutan nafsu yang sentiasa menyuruh kearah perkara-perkara yang keji dan dilarang oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia. Kita semua pelajar muslim, sama-sama belajar dan tahu bagaimana Islam mengajar kepada kita cara beradab dan berakhlak. Apa guna semua yang telah kita belajar jika tidak mempraktikkannya?

Sekiranya benar-benar berani dan mahu mendapatkan kebenaran, bukan 'cakap belakang' caranya. Sila tampil ke depan dengan diri kita yang sebenar dan bukan hanya pandai bercakap de sebalik tabir. Islam mengajar kita perbincangan, dapatkan penjelasan daripada pihak AJK dan cuba nilai sendiri adakah perkara tersebut dirancang sebegitu atau sebaliknya. Seterusnya, apa faedah yang diperoleh daripada 'cakap belakang' ini? Jika diselitkan dengan kata-kata menghina, mengumpat, mencarut, memfitnah dan sebagainya, bukankah itu perbuatan yang berdosa?

Untuk pengetahuan semua, Ambo hanya melayan 3 atau 4 mesej yang terawal sahaja (selain tu bukan Ambo. Sekian dimaklumkan) di ruang shoutbox di sebelah ini. Sengaja Ambo biarkan sahaja kerana ingin melihat reaksi para sahabat sekalian. Ambo tidak kisah orang yang memaki Ambo, cuma agak terkilan kerana mereka menghentam dan menghina(boleh lihat disebelah) AJK lain yang telah berusaha memberikan yang terbaik. Tidak cukup setakat itu sahaja, musyrif pun turut menjadi mangsa. Apa bagus sangatkah mereka ini? Kalau bagus sangat, silakan jadi AJK dan atur sebuah program yang langsung tidak ada cacat celanya. Kalau benar-benar lelaki yang berani, sepatutnya kalian menyatakan nama sebenar dan bukan berselindung disebalik 'nickname' yang berbagai itu.
Semoga maksud ayat Al Quran dan Hadis Rasulullah di bawah ini menjadi panduan dan pengajaran untuk kita bersama :

'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.'
(Surah al-Hujurat:11)

Manakala sabda Rasulullah s.a.w pula:

Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)

Ambo hendak mengingatkan diri sendiri dan sahabat sekalian agar kita sama-sama menjaga adab terutamanya dalam tutur kata agar kita tidak tergolong dikalangan mereka yang dicela oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda