Jangan Sampai Menghina

6.26.2009
Allah maha agung penciptaanNya, mencipta manusia dengan memiliki pelbagai jenis naluri hati dan berbagai cara pemikiran. Meskipun dua beradik kembar yang memiliki wajah yang seiras dan sama jantina, cara pemikiran dua beradik ini adalah tidak semestinya sama. Setiap orang bebas memberi dan menyatakan pandangan masing-masing tetapi dengan syarat ia mestilah tidak bercanggah dan tidak membelakangi ketetapan syara'. Kita berhak menerima atau menolak pandangan yang diberikan dengan cara yang baik. Jika tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, kita boleh menolak dengan baik dan bukannya dengan meremehkan dan merendahkan pendapat dan orang yang mengeluarkan pendapat tersebut. Kita juga boleh mengkritik pendangan seseorang tetapi jangan sesekali menghina pandangan yang telah dilontarkan olehnya kerana pandangan kita belum tentu merupakan pandangan yang terbaik dan boleh jadi pandangan yang kita perlekehkan itu adalah yang yang paling bernas dan terbaik.

Jangan kita rasa kita adalah lebih baik daripada orang lain kerana ia boleh membawa kepada lahirnya rasa takabbur dalam diri. Elakkan bersikap seperti iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam a.s kerana takabbur dengan menyangka dirinya lebih baik daripada Adam a.s kerana ia diciptakan daripada api sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah. Takabbur dalam definsi yang sebenar yang sebenar adalah menolak kebenaran dan menghina manusia. Begitu juga halnya dalam menerima dan mengkritik pandangan orang lain, jangan biarkan sifat takabbur merajai hati dan diri kerana Rasulullah bersabda "tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi sekalipun daripada sifat takabbur". Jika mengkritik sesuatu pandangan, jangan sesekali sampai menghina dan memperlekehkan pandangan orang, cuba hormati dan meraikan pandangan yang dilontarkan meskipun pandangan yang dilontarkan agak kurang bernas. Cuba amalkan sikap berlapang dada dan tidak terlalu taksub dengan pandangan kita. Contohi akhlak yang ditunjukkan Rasulullah semasa peperangan khandak Rasulullah bagaimana Rasulullah menerima cadangan Salman Al Farisi untuk menggali parit. Jika akhlak rasulullah tidak menjadi qudwah kepada kita, akhlak siapa lagi yang hendak kita contohi.
Comments
1 Comments

1 komentar:

  • faizluqman

    takutnya kalau kalau ter ada perasaan merendahkan org lain tu.. kdg2 ramai je yg rasa die lebih baik dr org lain.. maybe mungkin die lah pelajar agama atau pun die lah yg paling warak... so, die tahu semua.. sedangkan iman dan ketaqwaan tu tak dapat diukur.. hanya Allah yg mengetahui semua tu.. insaf tol baca artikel ni.. huk huk..

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda