Berinteraksi Dengan Al Quran

8.17.2011
Antara peristiwa terpenting yang berlaku di bulan ramadhan adalah berlakunya penurunan al Quran. Ramadhan adalah bulan diturunkan al Quran.

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Alquran sebagai petunjuk bagi manusia danpenjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil)." - al-Baqarah : 184

Oleh kerana itu, selain disebut sebagai syahrus siyam (bulan puasa), bulan Ramadhan juga disebut sebagai syahrul quran (bulan al Quran). Pada bulan Ramadhan, al Quran diturunkan untuk menjadi panduan, perlembagaan dan pedoman kepada manusia terhadap segala aktiviti dan gerak geri mereka di dunia.

Pada bulan ini juga, Malaikat Jibril turun bertemu baginda Rasulullah SAW untuk mendengar dan menyemak bacaan al Quran daripada Rasulullah SAW.

Iman Al Zuhri berkata, 
"Apabila datang Ramadhan, kegiatan utama kita (selain berpuasa) ialah membaca al Quran."

Namun, seharusnya kita tidak hanya sekadar membaca sahaja, kita perlu mentadabbur, memahami dan mengamalkan segala isi kandungan al Quran. Bukannya memilih mana-mana bahagian yang berkenan kita ambil, bahagian yang tidak berkenan kita tinggalkan.

Bulan Ramadhan merupakan kesempatan serta peluang bagi umat Islam untuk benar-benar berinteraksi dengan al-Quran. Hal ini bertujuan untuk meraih kualiti hidup sebagai hamba, keberkatan dan meniti jalan menuju umat terbaik dengan petunjuk daripada al Quran. Bagaimana untuk kita berinteraksi dengan al Quran? 

1. Tilawah (membaca)
2. Tadabbur (menghayati dan memahami)
3. Hafal
4. Amal
5. Mengajar
6. Tahkim (menjadikan sebagai perlembagaan dan berhukum dengan al Quran)

Rasulullah SAW bersabda :
“Sebaik-baiknya kamu adalah yang mempelajari Alquran dan yang mengajarkannya.”

Ramadhan sebagai syahrul quran (bulan al Quran) dan bulan yang penuh berkat, terlalu rugi jika hari demi hari bulan Ramadhan terus berlalu begitu saja. Prioriti amalan yang berkait dengan al Quran menjadi keutamaan!

Helaian demi helaian akhbar mampu dibelek, mata yang tidak berkelip memahami isi kandungan novel. Mengapa kita tidak boleh melakukan sebegitu kepada kitab agung al Quran? Sedang pada masa yang sama kita sedar novel itu cuma imaginasi penulisnya sahaja, akhbar pula sangat tipis kesahihannya tetapi al Quran itu langsung tidak ada keraguan padanya.


Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda