Berbeza Qiraat, Berbeza Ganjaran

8.12.2011

Perbezaan bacaan qiraat al Quran mengandungi hikmah serta kelebihannya yang tersendiri. Jika dibedah dan dikaji sampai kiamat sekalipun rahsia-rahsia yang terkandung di dalam kitab agung al Quran tidak akan pernah habis digali. Antara perkara yang dinyatakan oleh para sarjana ilmuan Islam adalah perbezaan bacaan qiraat al Quran akan menghasilkan perbezaan ganjaran pahala yang diperolehi oleh pembaca.

Sebagai contoh adalah perbezaan bacaan qiraat pada ayat keempat dalam surah al Fatihah iaitu pada kalimah :

Imam 'Asim, Imam al Kisaie, Imam Yaakub dan Imam Khalaf al 'Asyir membaca dengan huruf Alif selepas huruf Mim (مالك) manakala para imam qurra' yang lain membaca dengan tanpa huruf Alif selepas huruf Mim (ملك)

Imam Qurtubi menyatakan, sebahagiannya menjadikan alasan melebihkan qiraat (مالك) kerana terdapat padanya satu huruf yang ditambah iaitu huruf Alif. Maka si pembacanya memperolehi ganjaran sepuluh kebaikan berbanding dengan qiraat (ملك). Walaubagaimanapun, ia hanyalah perbandingan pada sudut sebutan lafaz sahaja dan bukannya pada sudut makna kalimah tersebut.

Imam al Razi juga menyatakan sedemikian di dalam Tafsir al Kabir mengenai kalimah (مالك) di dalam surah al Fatihah, "sesungguhnya pada kalimah ini terdapat pertambahan huruf, maka pada bacaannya akan melebihkan ganjaran pahala yang diperolehi".

Hal ini disandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW mengenai kelebihan orang yang membaca al Quran :

Maksudnya “Barangsiapa yang membaca satu huruf kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif adalah satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.”

Jom, sama-sama perbanyakkan bacaan al Quran di bulan Ramadhan ini. Jika mampu, bacalah dengan bacaan qiraat yang berbeza kerana ganjarannya juga berbeza sebagaimana yang disebut oleh para ulama'

Target bacaan penuh al Quran sepanjang Ramadhan ini :
Qiraat Hafs - selesai
Qiraat Abu Jaafar - menanti
Qiraat Warsy - akan dilaksanakan


Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda