Para Pelajar Dan Penuntut Ilmu, Sila Ambil Perhatian!

4.30.2011


Sering didengari dan diperhatikan, ramai di kalangan kita yang begitu gigih dan tekun dalam menelaah pelajaran dan menuntut ilmu siang dan malam tidak kira dalam apa jua bidang pengajian kerana mahu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Melalui natijah kecemerlangan yang diperoleh dalam peperiksaan tersebut akan menjadi wasilah kepada sebuah pekerjaan yang baik, gaji yang lumayan serta pangkat yang tinggi. Jangan kita tertipu dengan habuan dunia yang sedikit, perhatikan nasihat al Imam Hujjatul Islam al Imam al Ghazali di dalam kitab Bidayatul Hidayah.

Dan ketahuilah bahawa manusia di dalam menuntut ilmu ini terbahagi kepada tiga keadaan :

Pertama : Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat maka dia tidak berniat  dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah SWT dan negri akhirat. Maka orang ini termasuk di dalam golongan orang yang beruntung.

Kedua : Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan segera (dunia) dan mendapatkan kemuliaan pangkat dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini adalah berada di dalam golongan yang berbahaya. Jikalau dia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan 'su'u al khatimah' kemudian urusannya terserah kepada Allah (kalau mahu dimaafkan atau diseksa). Tetapi kalau dia mendapat taufik sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan  terhadap apa yang tercedera dan tercuai. Maka bolehlah dia dikumpulkan bersama golongan yang beruntung kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.

Ketiga : Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut itu untuk mencapai  segala hajatnya dan mengaut keuntungan dunia. Walaupun  demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para ulama'. Dia bercakap seperti percakapan ulama' dan berpakaian seperti pakaian ulama', padahal zahirnya dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpunkan kekayaan dunia. Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang binasa , jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk dia bertaubat kepada Allah  kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal dia telah lupa firman Allah yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan perkara yang kamu tidak amalkan?" - Surah al Sof : ayat 2

Dan orang ini sebenarnya termasuk dalam golongan yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud :

"Selain daripada Dajjal, ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal. Lalu ada orang yang bertanya : 'Apakah itu wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab : 'Mereka adalah ulama' Su' yakni ulama' yang jahat."

Dajjal itu tujuannya sudah jelas untuk menyesatkan manusia tetapi ulama' su' ini walaupun lidahnya pandai memalingkan orang lain daripada cinta dunia, namun amal dan perbuatan mereka adalah mengajak orang lain membuat kejahatan kerana amalan seseorang itu lebih berkesan daripada percakapannya. Dan orang ramai lebih mudah tertarik dengan perbuatan ulama' su' ini dengan perbuatan mereka. Maka apa yang dapat dirosakkan oleh ulama' su' ini dengan perbuatan mereka adalah lebih banyak daripada apa yang dapat  dibaikkan oleh lidah mereka. Orang yang jahil sebenarnya belum berani menghimpun harta dunia sebanyak-banyaknya kecuali setelah mereka melihat keberanian ulama' su' ini. Maka ilmu yang ada pada mereka menjadi penyebab keberanian orang ramai membuat berbagai maksiat. Maka inilah yang dibimbangi oleh Rasulullah SAW.

Namun demikian, nafsu ammarah ulama' su' selalu membisikkan di telinga mereka bermacam-macam angan-angan dan membisikkan kepadanya bahawa dia telah banyak menabur jasa dikalangan manusia sehingga dia layak untuk menerima bermacam-macam anugerah daripada Allah. Nafsunya juga mengkhayalkan kepadanya bahawa dia adalah lebih baik daripada hamba-hamba Allah yang lain.

Wahai para penuntut! Maka jadikanlah dirimu bersama dengan golongan yang pertama dan hati-hatilah supaya engkau tidak termasuk di dalam golongan yang kedua kerana banyak sekali orang yang lalai yang telah diragut oleh kematian sebelum sempat bertaubat lalu rugilah dia. Dan jangan sama sekali engkau termasuk ke dalam golongan yang ketiga maka engkau akan terjerumus ke jurang kebinasaan yang tidak diharapkan dapat diselamatkan atau diperbaiki lagi.


Comments
2 Comments

2 komentar:

  • lieya pinky girls

    insyallah..dengan niat yg ikhlas dri hti kta pasti b'jya dunia akhirat...

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda