Semangat Tahi Ayam

10.09.2009

Salam dari Bagan Pinang

Ahlan wa sahlan buat sahabat yang baru menjejakkan kaki ke Bumi Kinanah, Bumi Anbiya', Mesir. Kata orang Mesir, Mesir adalah Ummuddunya(ibu dunia). Kita tanya mereka semula, kalau Mesir Ibu Dunia, di mana letaknya Bapa Dunia? Menggaru kepala mereka nak menjawab. Kita beritahu mereka Bapa Dunia adalah Malaysia(promote tanah air), mereka tak percaya. Terpulang pada mereka. Itu cerita orang Mesir.

Al kisah orang Malaysia pula kini merupakan musim mahasiswa baru berbondong-bondong mengusung beg menjejakkan kaki di Bumi Mesir ini. Berkobar-kobar nampaknya semangat mereka hendak menuntut ilmu di sini. Bagus. Semoga semangat itu kekal hingga ke akhirnya.

Masa mula-mula sampai dulu, kita pun lebih kurang juga bersemangat. Maklum sajalah, dari jauh datang menaiki kapal terbang membawa harapan keluarga dan masyarakat. Orang-orang lama ada cakap, semangat kamu ini sekejap saja, tengoklah dalam dua atau tiga bulan lagi, tiba saja musim yang betul-betul sejuk nanti, entah ke mana semangat itu menghilang. Masa itu baru dapat kenal siapa yang benar-benar bersemangat dan siapa yang hanya ber'semangat tahi ayam' saja.

Memang benar apa yang dikatakan oleh orang-orang lama, 'hanya semangat tahi ayam', hangatnya cuma seketika. Sewaktu kemuncak musim sejuk, lebih kurang 3 peratus saja yang mampu mengangkat selimut tebal untuk menjejakkan kaki ke kelas dan dan 3 peratus ini jugalah yang meneruskan talaqqi bersama para masyaikh. Sedih dengan situasi ini.

Kita bukan mahu melemah apatah lagi memusnahkan semangat mereka yang baru tiba tetapi kita cuma mengingatkan kerana kita meletak harapan yang cukup besar kepada mereka yang baru ini untuk sentiasa memperbaharui niat dan sentiasa bersemangat untuk menuntut ilmu di sini walau macamana keadaan sekalipun. Jangan jadi seperti generasi sebelum kamu yang pemalas.

Pesanan khusus buat diri sendiri juga buat semua supaya sentiasa mengingat kembali apa matlamat utama kita datang ke Bumi Anbiya' ini dan harapan yang cukup tinggi daripada keluarga dan masyarakat diletakkan di atas bahu kita. Jika selimut tebal itu pun kita tidak mampu untuk angkat, apatah lagi mahu memikul beban amanah yang cukup besar yang tertanggung di bahu kita ini.

Selamat maju jaya, selamat belajar buat semua mahasiswa baru dan selamat mengutip mutiara-mutiara ilmu daripada para masyaikh di Bumi Ilmu ini.

"Dan sedikit sekali daripada hamba-hambaKU yang bersyukur" - surah Saba' ayat 13

"Ya Allah, jadikan kami tergolong dikalangan golongan yang sedikit"
*golongan yang sedikit adalah orang-orang yang bersyukur.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda