Hijrah Daripada Jahiliyah Moden

12.07.2010

Zaman ini merupakan zaman yang amat mencabar. Kerana jahiliyah yang kita hadapi berbeza. Berbeza yang amat sangat. Kalau dahulunya pada zaman Rasulullah SAW, jahiliyah yang dilihat adalah jahiliyah dimana kelompok yang belum memeluk islam memerangi islam itu sendiri. Benar, ada wujudnya golongan munafik, tetapi konteksnya berbeza, iaitu mereka memeluk islam atas alasan mungkin kerana pengaruh dan lain-lain. Tetapi jahiliyah abad ini lebih mencabar. Lebih dahsyat dan lebih tenat. Dan sebagaimana sabda Rasulullah membuktikan bahawa Islam itu menjadi asing/dagang sebagaimana ia datang. Jangan menafikannya! Ianya memang sedang berlaku.

Jahiliah lampau berbeza kerana perbezaan jahiliah dan islam itu memang semua umat pada ketika itu faham dengan jelas. Kefahaman yang ada membezakan yang haq dan bathil itu amat jelas. Tidak ada grey area pada kefahaman itu. Kefahaman yang dibina oleh madrasah Rasulullah itu membolehkan ummat memahami islam dengan sempurna dan jelas. Maka tidak ada penyimpangan atau pun ruang keraguan diantara haq dan kebatilan. Tetapi kini, keraguan atau grey area itu wujud. Bukan kerana islam itu lemah, atau ada kurangnya, tetapi kefahaman itu tiada pada umat. Kerana kefahamannya tidak dibina.

Kefahaman pada Islam itu hanya mengikut hawa nafsu. Maka banyaklah wujudnya doktrin-doktrin jahiliyah yang diaplikasi di “negara islam”. Maka timbullah ungkapan dari ‘pejuang islam’ sendiri yang mengatakan:

"Ulama duduk di tepi. Biar pemimpin buat kerja."

Ini jelas mengasingkan islam dari kehidupan. Jadi kenapa mengaku anda ‘pejuang islam’ kalau anda sendiri men’sekular’kan islam. Timbul lagi kefahaman yang songsang pada umat kini. Mereka mengaku mereka Islam. Aku bangga jadi Islam. Alhamdulillah, aku dilahirkan sebagai Islam. Tetapi, apakah cara hidup mereka jelas sebagaimana syariat Allah turunkan.

Adakah Allah redha kalau kamu tidak menutup aurat? Dan dengan senang hati mengatakan, ”takpe, asal hati baik”. Adakah Allah redha kamu bermaksiat kepada Allah? Adakah Allah redha kamu mencipta sembahan selain dia?Ber’tuhan wang ringgit’, perempuan, nafsu, kuasa dan macam-macam lagi sembahan yang kita ciptakan sama ada kita sedar atau tidak.

Senang sekali disimpulkan bahawa jahiliyah yang paling tenat kini adalah hendak menyedarkan orang yang sudah bersyahadah tentang apa ertinya mereka bersyahadah. Apa ertinya mereka menganut islam. Ini bukan masuk lagi kepada mereka yang kononnya bangga dengan Islam tetapi hakikat hatinya membenci islam. Dengan mengatakan bahawa islam itu adalah doktrin atau sistem padang pasir 1500 tahun lampau.

Apa yang dibawa mudah disebut. Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah rasulNya. Tetapi untuk memahami dan melaksanakan tuntutan kalimah syahadah dengan benar itu bukan satu perkara yang mudah dalam menghadapi jahiliyah akhir zaman.

Kalimah pertama menjelaskan bahawa keesaan Allah, hanya Allah satu-satunya tuhan sekalian alam. Mari kita lihat pada kriteria ini. Bilamana kita bercakap tentang tuhan, maka pada tuhan itu pasti kita berasa 'cinta padaNya', 'berharap padaNya', ingin dekat denganNya. Kalaulah, kuasa dan jawatan itu memenuhi kriteria di atas, maka kita menjadikan jawatan dan kuasa sebagai tuhan. Ingatlah, pangkat dan jawatan tak mampu membeli ampunan di hadapan tuhan. Kalaulah harta memenuhi kriteria itu, maka kita bertuhankan harta. Kalau perempuan memenuhi kriteria itu, maka kita bertuhankan perempuan yang kita sayangi.

Jika kita meyakini keesaan Allah, maka kita perlu yakini bahawa Muhammad itu pembawa risalah Allah. Maka pada Muhammad itu perlu kita contohi tanpa mengira bidang. Sebagai contoh,dalam berpolitik, perlu kita fikirkan apa Rasulullah SAW buat. Rujuk pada sirah kehidupan baginda. Peristiwa yang berlaku kepada baginda, daripada peristiwa kedatangan Islam ke semenanjung tanah arab, proses dakwah dan tarbiyyah di kota makkah, hijrah ke madinah, perang badar, uhud dan khandak serta perang yang lain, serta pembukaan kota makkah dan sebelumnya perjanjian hudaibiyah serta selepas peristiwa itu semua merupakan ‘guidance’ dalam kehidupan kita.

Peristiwa-peristiwa itu bukan sekadar sejarah. Ianya adalah panduan. Petunjuk, contoh tauladan, ikutan. Bayangkan, dalam hidup 63 tahun sang nabi, betapa banyaknya peristiwa yang baginda lalui. Itu bezanya seorang nabi dengan pemimpin biasa. Peristiwa yang baginda alami sebenarnya manual untuk kita. Al quran, hadis dan sirah baginda Rasulullah sebenarnya diturunkan sebagai manual untuk umat Islam. Buktinya :

"Inilah kitab yang tidak ada keraguan dalam nya.petunjuk untuk orang bertaqwa." (Al-Baqarah : 2)

Jelas dan terang. Tetapi menapa kita mencari selain daripada al Quran. Kononnya al Quran ini sudah tidak valid. Cuma buku tulisan 1500 tahun lampau berasal dari padang pasir.

Jangan sekadar mengharap. Mengharap Allah akan menghapuskan kerajaan yang kejam dan zalim, kemungkaran hanya dicegah dengan doa. Hanya mengharap Allah membantu saudara Palestin hanya dengan laungan slogan. Ya, benar. Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Bantuan dari langit itu akan datang dengan usaha. Kita perlu bekerja! Perlu kita faham, bantuan itu datang bukan dengan percuma!

Dan kalau kita perhati, bukankah kisah Maryam yang tercatat dalam al Quran itu adalah satu perintah yang kita jadikan panduan! Diceritakan Maryam setelah melahirkan Nabi Isa menjadi amat lemah. Lalu Allah mewahyukan untuk menggoncang pohon tamar. Logiknya, adakah Maryam yang amat lemah mampu menggoncang pohon tamar yang besar macam pokok kelapa sawit sampai jatuhnya buah tamar? Kalau kita yang sihat pun sukar. Rasionalnya disini, biarpun kita amat lemah, kita tetap perlu berusaha.

Tapi kita hanya anggap tidak lebih daripada sebuah cerita!

Ayuh! Kita berhijrah!


Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda