Bijak, Bodoh & Bangang Di Ramadhan

8.10.2010
Ramadhan bakal menemui kita lagi. Ada yang gembira dan ada yang berduka apabila tibanya Ramadhan. Tiga situasi iaitu Bodoh, Bangang dan Bijak dapat diperhatikan sepanjang bulan Ramadhan. Mari selusuri satu persatu perkara berkaitan Bodoh, Bangang dan Bijak di bulan Ramadhan.

Apabila Ramadhan hampir tiba :

Kita seorang yang 'Bodoh' jika mula terbayangkan betapa peritnya menjalani kehidupan seharian yang meletihkan tanpa makan dan minum pada siang hari, perlu bersusah payah ke masjid atau surau pada setiap malam dan mesti memaksa diri bangun pada setiap awal pagi untuk bersahur.

Kita seorang yang 'Bangang' jika apabila tibanya Ramadhan, sudah mula teringatkan kemeriahan berhari raya di kampung dan mula berfikir-fikir warna jumlah baju raya yang perlu disiapkan menjelang Aidilfitri, sudah terbayang jenis langsir yang akan menjadi hiasan tingkap rumah dan mula menghitung kos keseluruhan bagi menyambut hari raya serta mengharapkan Ramadhan akan berakhir dengan segera.

Kita seorang yang 'Bijak' jika mula menyusun jadual yang padat dengan ibadat, bacaan al Quran, amal kebajikan dan mahu mengumpul seberapa banyak yang mampu ganjaran yang dijanji oleh Allah SWT sepanjang ramadhan. Kita 'Bijak' jika tidak sabar-sabar untuk menjalani tarbiyyah spiritual Ramadhan, 'pesta ibadah' dan mengharapkan Ramadhan berterusan sepanjang tahun.


Kita memang 'Bodoh' jika tiba sahaja Ramadhan, kita merancang dan mengatur bisnes serta menghitung kira-kira berapa banyak untung yang mampu diperoleh daripada jualan bazar Ramadhan, untung daripada tempahan baju raya ataupun kuih raya sepanjang bulan Ramadhan.

Kita memang 'Bangang' apabila sering terbayang hidangan moreh yang berupa kuih muih yang cukup enak dan digandingkan dengan minuman yang cukup menyelerakan. Paling tidak, kita sering mengharapkan dan mencari 'port-port free' di mana-mana masjid untuk mendapatkan bekalan berbuka puasa secara percuma.

Kita sangat 'Bijak' jika membayangkan ganjaran pahala yang semestinya berkali-kali ganda lebih banyak daripada untung hasil jualan makanan di bazar Ramadhan, tempahan kuih dan baju raya. Kita juga seorang yang 'Bijak' jika sentiasa mengimpikan nikmat di syurga yang pastinya lebih nikmat daripada hidangan moreh yang menyelerakan dan bekalan berbuka secara percuma di masjid.


Kita cukup 'Bodoh' apabila imam masjid meminta khidmat kita untuk menjadi imam sepanjang Ramadhan, kita menjawab dengan muka yang tidak tahu malu, "berapa masjid ini nak bayar kat saya?"

Kita memang 'Bangang' apabila mula terbayang-bayang berapa ramaikah pak cik dan mak cik yang menjadi makmum kita yang berhasrat nak memasukkan kita ke dalam shortlist "calon menantu" mereka.

Kita memang 'Bijak' apabila menjadi imam bagi solat terawih dan berjaya mengatur jadual lengkap program qiamullail, tadarus al Quran serta siri-siri pengajian di masjid sepanjang Ramadhan tanpa mengharap sebarang balasan semata-mata untuk menjaga keikhlasan hati dan kesucian ibadah.

Semoga kita tergolong di kalangan yang BIJAK sepanjang Ramadhan kali ini dan tidak tergolong daripada kalangan yang Bodoh dan Bangang sebagaimana yang dinyatakan. Matlamat utama madrasah Ramadhan adalah untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa.

"Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa."

Maaf jika terdapat kekasaran dalam penggunaan bahasa. Sudah cuba mencari istilah yang lebih lembut dan lebih sesuai daripada perkataan 'Bodoh dan Bangang' tetapi tiada satu pun istilah yang dirasakan paling sesuai dengan situasi tersebut melainkan 'Bodoh dan Bangang'.

"Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza"
Comments
2 Comments

2 komentar:

  • Post a Comment

    Apa komen anda