Selamat 'Pendek' Umur!

8.09.2010
Ucapan hari lahir biasanya diisi dengan doa-doa dan puji-pujian. Seringkali singgah di gegendang telinga sempena hari lahir adalah doa-doa dimurahkan rezeki, limpahan kurniaan rahmat, kurniaan kejayaan dan ampunan dosa-dosa tetapi amat jarang sekali kita mendengar ucapan yang berbentuk peringatan seperti 'Selamat Pendek Umur!' dan 'Selamat Menghadapi Kematian!' sempena hari kelahiran seseorang. 

Tidak salah bergembira memperingati hari kelahiran namun perlu disedari pada setiap pertambahan hari dan tahun, umur yang berbaki semakin pendek, bukan semakin panjang. Ketika di alam rahim, Allah SWT telah menetapkan tarikh kematian bagi setiap manusia. Ertinya, semakin bertambah usia, umur yang berbaki semakin singkat dan langkah menuju kematian semakin dekat...

Tiada siapa yang mengetahui berapa lama tempoh dia mampu hidup dan berapa lama baki sisa usianya. Imam Nawawi menyatakan bahawa yang paling hampir dengan kita adalah kematian dan yang paling jauh adalah masa lalu kerana tiada siapa yang tahu bila saat kematiannya akan tiba dan amat mustahil untuk kita kembali ke masa lalu. Nilaian utama umur adalah pada keberkatannya, peningkatan ketaqwaan, tinggi keilmuan, banyaknya amalan dan bukan pada panjangnya tempoh kehidupan dan banyaknya kiraan umur.

Imam Syafie (150H-204H) dan Imam Nawawi (631H-676H) perhatikan kehidupan dua Imam agung yang memiliki usia yang hanya lebih kurang separuh abad sahaja namun ilmu, pandangan dan kitab-kitab mereka menjadi rujukan dan sandaran utama sepanjang abad sehingga ke hari ini. Mereka terus 'hidup' dan seolah-olah masih wujud hingga ke saat ini bersama curahan ilmu dan jasa-jasa mereka.

Doa dan pujian sempena hari lahir perlu ditambah dengan ucapan peringatan 'pendek umur' agar sentiasa sedar dan bersiap siaga kerana kematian semakin hampir, bukan semakin jauh. Ucapan tersebut bukan bermaksud mendoakan seseorang agar dipercepat kematian tetapi sebagai peringatan menghadapi kematian. 'Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati'. Selamat beramal.

Selamat Hari Lahir,
Selamat Pendek Umur!
Comments
1 Comments

1 komentar:

  • Post a Comment

    Apa komen anda