Rileks Sekejap

11.05.2010 1 komentar
Jom rileks dengan kisah lucu Juha


Juha Mencari Cincin


Pada suatu hari, Juha telah kehilangan cincinnya di dalam rumah, oleh sebab di dalam rumahnya gelap, dia telah membuat keputusan untuk mencari cincin itu di luar rumah. Semasa sedang asyik beliau mencari cincin tersebut, seorang jiran yang melihat gelagat Juha mencari sesuatu pun bertanya kepada beliau :
Jiran : Apa yang engkau cari wahai Juha?
Juha : Cincinku.
Jiran : Cincin milik kamu hilang di mana?
Juha dengan tenang menjawab : Hilang di dalam rumah.
Jirannya pelik, lalu bertanya kepada Juha : Kalau cincin kamu hilang di dalam rumah, mengapa kamu mencarinya di luar rumah?
Juha dengan tenang menjawab : Di Dalam rumah tu gelap, harap-harap cincin tu keluar...

Wasiat Juha

Juha pernah mewasiatkan kepada ahli keluarganya supaya mereka mengkebumikan beliau pada hari kematiannya nanti di sebuah perkuburan lama. Ahli keluarganya kehairanan lalu bertanyakan sebab atau hikmah di sebalik wasiatnya. Juha menjawab : "Apabila datang dua Malaikat Munkar dan Nakir untuk menyoalku nanti, aku akan katakan kepada mereka bahawa aku telah lama meninggal dan aku telah pun disoal oleh mereka sebelum ini. Apabila mereka melihat perkuburan lama itu, mereka akan percaya pada kata-kataku lalu meninggalkan aku. Oleh sebab itu, aku boleh terlepas dari soalan-soalan mereka dengan cara yang mudah .



Pulangkan Selipar Aku!

Pada suatu hari Juha telah melintasi sebatang sungai, lalu berwudu' di tebingnya dengan menanggalkan selipar yang dipakainya, setelah selesai daripada berwudu', salah satu daripada seliparnya terjatuh ke dalam sungai, lantas dibawa oleh arus sungai yang deras. Beliau lantas segera menoleh ke belakang lalu kembali berpaling ke arah sungai, seraya menengking dengan nada yang tinggi: "Ambillah kembali air wudu'mu ini dan Pulangkanlah kembali selipar milik aku."

Memaknakan Pengabdian

11.04.2010 0 komentar
Kita sebagai muslim mesti meletakkan keyakinan sepenuhnya bahawa kita tidak berada di dunia ini melainkan hanya untuk beribadah kepada Allah SWT sahaja. Firman Allah SWT:
"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya untuk mereka menyembahKu" Surah al Zariyat : 56

Beribadah kepada Allah SWT dilahirkan daripada segala gerak geri dan tindak tanduk manusia yang baik, membangunkan ummah untuk memakmurkan bumi Allah, menegakkan kalimah Allah yang Maha Agung, melaksanakan hukum Allah dalam kehidupan daripada sekecil-kecil urusan hinggalah kepada sebesar-besar urusan manusia dengan mewujudkan rasa pengabdian kepada Allah Yang Maha Esa di dalam jiwa muslim yang mana dia tidak mengharapkan sesuatu melainkan keredhaan Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap perkara yang dilakukan sekalipun hanya kerdipan mata adalah ibadah selama mana setiap gerakannya hanya berniat untuk Allah SWT.

Amal ibadah yang paling agung adalah melaksanakan syariat Allah SWT di muka bumi dan menegakkan hukum Allah dalam kehidupan seharian yang mana meliputi dan mengatur segala kehidupan manusia sama ada peribadi muslim, keluarga muslim, masyarakat, negara dan dunia.

Setiap muslim mempunyai misi dalam kehidupan ini iaitu memastikan segala urusan hidupnya berlandaskan syariat Allah SWT. Islam kita tidak akan sempurna kecuali dengan membawa misi ini dan pengabdian kepada Allah tidak dapat diwujudkan melainkan ia diamalkan dengan penuh kesungguhan secara berterusan dan penuh keikhlasan untuk diterapkan di alam realiti. Identiti seorang muslim yang sebenar dapat diwujudkan melalui misi ini dan menjadikan kehidupannya di dunia ini terlalu bermakna dan bernilai pada setiap saat waktu.

Setiap muslim mesti memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap misi ini dengan melaksanakan segalanya berdasarkan kemampuannya, mengorbankan sepenuh waktunya, mengorbankan jiwa dan harta demi misi ini. Segala pengorbanan ini merupakan tanda kehidupan yang sangat istimewa dan bernilai kerana ia adalah makna pengabdian yang tinggi dan petanda ia dekat dengan Allah SWT. Kenikmatan hidup tidak akan dapat dirasai tanpa ada pengorbanan untuk Islam dan tidak ada makna pengabdian kepada Allah SWT.

Semua ini adalah ibadah yang paling agung yang dilakukan oleh seorang muslim sejati. Kita sebagai muslim perlu sedar bahawa kita perlu melaksanakan misi ini tanpa berbelah bagi dan mesti bekerja tanpa mengenal erti lelah dan penat demi mendokong misi ini. Demi menjadi muslim sejati, sama-sama kita mengabdikan diri kepada Allah, menegakkan panji kalimah Allah dan melaksanakan syariat dan hukum Allah SWT. Semoga mendapat keredhaan Allah. Matlamat kita adalah Allah SWT.

Jangan Berhenti!!!

11.01.2010 0 komentar
Jangan pernah berhenti memberi. Berilah apa jua yang ada sedaya upaya yang mampu diberi dan dikongsi. Membaca, membaca, membaca, membaca, membaca dan menulis! Jangan berhenti membaca dan menulis!

Sekian, blog ini telah di'update'!

pena daie

Sekufu Tarbiyyah Dan Fikrah

10.02.2010 2 komentar

Sekufu - Persamaan diantara kedua pasangan suami dan isteri. Kesamaan taraf pada sudut agama yang baik, kedudukan, harta, keturunan, taraf pekerjaan, pendidikan dan lain-lain.

Firman Allah SWT
"Adakah orang yang beriman sama dengan orang fasik? Mereka tidaklah sama." Surah al Sajdah : 18

Memilih pasangan hidup adalah pemilihan dalam menentukan belahan jiwa seseorang sepanjang hayat sehingga bertemu di syurga, insya'allah. Amat penting seseorang untuk memilih lelaki/wanita yang sekufu dalam menjalani proses pentarbiyahan kerana melalui tarbiyyah akan membentuk fikrah(kefahaman) Islam yang sebenar. Apabila fikrah Islam terbentuk dalam jiwa, nilaian sekufu akan hadir berdasarkan kefahaman Islam yang diterapkan dalam diri kedua-dua lelaki dan wanita. Jika wujud perbezaan dan perselisihan, maka terbukalah ruang-ruang bahaya dan risiko terutamanya apabila wujud percanggahan pada sudut prinsip, pertentangan idea, gerak kerja dan citarasa kerana kedua-duanya menilai sesuatu berdasarkan neraca yang berlainan menggunakan kefahaman yang tidak sama.

Persamaan dalam pentarbiyahan dan sekufu dalam fikrah Islam adalah sangat penting kerana kita hidup bukan untuk hidup biasa-biasa tetapi hidup kerana Allah SWT dan RasulNya. Kita hidup untuk bekerja membawa dan menyebarkan risalahNya, hidup untuk memperjuangkan agamaNya, cita-cita hidup untuk syahid dijalanNya. Kita bukan hidup untuk makan, tidur, bersosial dan mengerjakan rutin harian sahaja. Hidup kita membawa misi dan visi yang besar, menanggung serta memikul tanggung jawab melaksanakan amanah yang berat. Oleh sebab demikian, kita memerlukan gandingan hidup, belahan jiwa, pasangan cinta, pendokong dan penyokong setia yang selari dengan fikrah dan kefahaman kita. Kefahaman adalah produk yang dihasilkan daripada sistem tarbiyyah yang sama. Inilah yang dimaksudkan sekufu pada sudut tarbiyyah dan fikrah. Kefahaman dan keserasian pada sudut fikrah tidak akan terhasil sekiranya wujud perbezaan yang ketara pada sistem tarbiyyah sekalipun dia adalah orang yang paling kita kenal, orang yang selalu bersamanya, orang yang sangat dicintai dan disayangi kerana nilaian duniawi tidak akan dapat menjamin keserasian dan kefahaman dalam melayarkan kehidupan dakwah yang menggalas misi yang besar ini.

Memilih pasangan yang sekufu pada sudut tarbiyyah dan fikrah adalah satu keutamaan kerana ia bakal menentukan kebahagiaan dan kelangsungan hidup yang bukan sehari dua, atau sebulan dua, atau setahun dua, atau sepuluh tahun atau dua puluh tahun tetapi untuk selama-lamanya sehingga bertemu di taman-taman syurga. Insya'Allah. Memilih pasangan yang tidak sekufu pada situasi ini sebenarnya mempertaruh kehidupan berumahtangga kepada risiko keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan samada cepat atau lambat. Paling tidak, kehambaran dan kepedihan hidup bersama dalam duka kerana terpaksa bersama sekalipun cinta di hati telah tiada gara-gara memilih pasangan yang tidak sekufu dalam tarbiyyah dan fikrah.

"Beza sikit saja, nanti boleh disamakan". Jangan sesekali mempertaruhkan masa depan hidup kita. Mengapa mesti memilih risiko dan bahaya kepada diri dan gerakan dakwah? Sedangkan pilihan cukup banyak dan peluang yang terbuka luas untuk memilih yang sekufu dalam tarbiyyah dan fikrah. Ini adalah persoalan yang utama. Berjaya atau tidak menyamakan perbezaan atau menutup jurang perbezaan adalah persoalan kedua. Mengapa memilih jalan jika kita sudah tahu jalan itu bahaya? "Beza sikit saja, nanti boleh disamakan" hanya pemanis di bibir yang sangat pahit untuk ditelan secara realiti kehidupan kerana perbezaan yang wujud bukan perbezaan luaran sebaliknya perbezaan prinsip dan dalaman. Boleh jadi semakin kita cuba menutup jurang perbezaan, percanggahan yang wujud semakin jelas dan ketara. Kitalah yang menanggung kerugian atas pelaburan yang berisiko "beza sikit saja, nanti boleh disamakan" kerana kerugian wang boleh dicari tetapi kerugian nikmat hidup dan usia tidak akan berulang kembali.

"Beza sikit saja, nanti saya ubah dia" juga sekadar pemanis bicara yang tidak menjaminkan apa-apa kecuali risiko bahaya yang besar. "Saya ubah dia" hanya tinggal kenangan pahit. Apa yang terjadi adalah "dia ubah saya". Jika dulu berbangga dengan "beza sikit saja, nanti saya ubah dia", sekarang siapa yang mengubah dan siapa yang telah berubah? "Beza sikit" yang sekecil mana pun kita cuba elakkan kerana mengundang pelbagai risiko bahaya, apatah lagi kalau wujud "beza besar".

Mudahnya, pilihlah yang sekufu pada sudut tarbiyyah dan fikrah untuk dijadikan pasangan hidup mati, belahan jiwa rasa kasih sayang dan cinta serta sama-sama mendokong tugas dakwah. Jadikan faktor ini sebagai salah satu faktor yang penting dan utama, bukan faktor kecantikan fizikal paras rupa, kekayaan harta, keturunan yang mulia, pendidikan yang berjaya dan sebagainya. Allah SWT adalah penentu samada bahagia atau sengsara bukan faktor fizikal, harta, keturunan, pendidikan dan kerjaya. Pilihlah pasangan yang memiliki fikrah kefahaman Islam yang sebenar. Nescaya kita pasti beruntung.
Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya perempuan dikahwini kerana empat perkara : harta, kecantikan, keturunan dan agamanya. Pilihlah yang beragama, kamu memerlukannya."
p/s : Sesuatu pandangan boleh diterima dan ditolak. Terpulang bagaimana anda menilai pandangan tersebut.

Berebut Mahasiswa

9.19.2010 1 komentar

Sebelum ini, cuma dengar-dengar hujung telinga sahaja cerita dan kes berebut dan curi mahasiswa yang baru tiba dari Malaysia ke bumi Mesir. Hari ini berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana pelajar yang datang melalui Sekritariat Menyambung Pelajaran Universiti Tempatan & Timur Tengah Darul Quran (SMUTEM DQ) yang disambut oleh AJK Unit Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) Shoubra dan Mansurah yang cuba untuk diambil oleh pihak lain.

Bukannya nak ulas panjang berkenaan kronologi dan cerita sepanjang petang itu kerana hampir semuanya berjaya dirakamkan dengan jelas dengan perakam video tetapi ada beberapa perkara yang perlu kita semua tahu.

Mengapa mesti ada pihak lain yang menyambut dan cuba mengambil mahasiswa baru sedangkan pada masa yang sama sudah ada ahli jawatankuasa USMB yang bersiap sedia untuk menyambut mereka? Menyusahkan saja!

Melihat kepada reaksi mahasiswi tersebut, ternyata beliau berada dalam keadaan terpinga-pinga. Mungkin kerana baru sahaja menjejakkan kakinya ke bumi Mesir sudah ada ujian pertama buatnya. Pastinya jika kita berada di posisi beliau, kita juga tidak pasti mahu mengikut yang mana kerana kedua-dua pihak mengatakan mereka yang lebih berhak. Kasihan mahasiswi berkenaan.

Pihak SMUTEM DQ yang berurusan secara terus dengan pihak USMB Shoubra dan Mansurah berhubung ketibaan mahasiswa SMUTEM DQ ke bumi Mesir dan telah disepakati bersama oleh pihak pengurusan bahawa USMB Shoubra dan Mansurah yang menyambut dan mengambil semua mahasiswa yang hadir dibawah kelolaan pihak SMUTEM DQ. Mengapa mesti ada campur tangan daripada pihak lain? Apa hak mereka?

Sedikit ketegangan yang berlaku pada petang tersebut berjaya dilenturkan dengan baik dan akhirnya semua mahasiswa yang hadir melalui SMUTEM DQ dibawa oleh pihak USMB Shoubra dan Mansurah terus ke cawangan masing-masing. Jutaan terima kasih kepada Ustaz Najib yang turut membantu.

Senyum dalam kepenatan.
Entri ini ditulis pada 16 September 2010 jam 11.50 p.m.

------------------------------------------------------------------------------

"Melayu Sepakat, Islam Berdaulat"

Benarkah kenyataan ini? Saya sangat tidak bersetuju! Kenyataan ini jelas tertera pada sebuah risalah yang diedarkan secara senyap-senyap pada petang tadi di dataran Hayyu 'Asyir. Adakah kerana Melayu Islam berdaulat? Islam memerlukan Melayu atau Melayu yang memerlukan Islam? Islam hak Melayu atau hak siapa? Siapa setuju dengan saya, sila lihat pada skrin komputer. Siapa tak setuju dengan saya, pergilah dengan melayu anda! Islam bukan ditegakkan dengan bangsa. Fikir-fikirkan..

Mengapa Penemuan Sains Berlaku Di kalangan Bukan Muslim?

9.17.2010 1 komentar

Al Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW banyak menyatakan berkenaan tentang sains dan teknologi yang hanya dapat dicapai oleh manusia setelah berpuluh-puluh abad lamanya dinyatakan oleh Rasulullah melalui al Quran al karim dan sabda baginda yang mulia. Sains dan teknologi dijelaskan secara implisit di dalam al Quran dan hadith Rasulullah iaitu secara tersirat melalui berbagai penjelasan berkenaan aqidah dan lain-lain. Oleh sebab demikian, penjelasan al Quran dan hadith sentiasa selari dan seiring dengan perkembangan zaman dan keadaan serta selama-lamanya tidak akan pernah wujud percanggahan antara al Quran dan hadith dengan logikal pemikiran manusia.

Satu persoalan yang mungkin terbit daripada lubuk hati kita berkenaan tentang banyak penemuan dan perkembangan sains dan teknologi dewasa ini yang banyak dilakukan oleh golongan bukan Islam terutamanya pihak dunia barat. Mengapa terjadi sedemikian? Sudah pasti ada hikmahnya mengapa Allah SWT menentukan realiti sedemikian. Antaranya adalah, seandainya penemuan-penemuan dan pekembangan sains dan teknologi sentiasa dilakukan oleh golongan muslim, maka sudah tentu keistimewaan kebenaran yang wujud pada al Quran dan hadith-hadith tidak diperhatikan dan diteliti oleh golongan bukan Islam. Jika golongan muslim yang sentiasa melakukan penemuan terkini, mungkin sahaja ada yang beranggapan bahawa hasil penemuan seorang muslim pastinya akan membenarkan isi kandungan al Quran dan hadith. Namun, sekiranya penemuan dilakukan oleh golongan bukan muslim yang ternyata penemuan tersebut membenarkan dan selari dengan apa yang terkandung di dalam al Quran dan hadith, sudah pasti akan lebih menguatkan kebenaran isi al Quran dan hadith yang sememangnya benar dan sahih. Tidak hairanlah jika ramai dikalangan saintis barat yang mendekati dan memilih Islam sebagai cara hidup hasil daripada kajian dan penemuan yang mereka lakukan tepat sepertimana yang dinyatakan oleh al Quran dan Hadith.

Beberapa contoh mudah disebutkan di sini :

Berpuluh-puluh abad sebelum ahli biologi menemuikan rahsia proses penciptaan manusia di dalam rahim ibu, al-Quran sudah jelas menyatakan :

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia itu daripada suatu saripati (berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) di dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk (berbentuk) lain. Maha Suci Allah Pencipta Yang Paling Baik. Surah al-mu'minun : 12-14

Puluhan abad sebelum wujudnya teknologi televisyen dan monitor, Al-Qur’an sudah mengenalkan tentang adanya paparan skrin dan televisyen, sebagaimana disebutkan di dalam kisah Ratu Balqis bersama Nabi Sulaiman :

"Dikatakan kepadanya : 'masuklah ke dalam istana'. Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, dikiranya kolam air yang besar, dan disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman: “Sesungguhnya ia adalah istana licin yang menggilap terbuat daripada kaca.” al-Naml : 44

Ratu Balqis merasakan sebagai sebuah kolam air yang besar kerana memang dilihat sedemikian. Sebenarnya ia adalah kaca dan pada masa kini ia dikenali sebagai teknologi paparan skrin TV atau televisyen.

“Kemudian aku didatangi binatang yang disebut Buroq, yang lebih tinggi daripada keldai namun lebih pendek dari baghal, yang setiap langkah kakinya adalah sejauh batas pandangan mata. Aku dibawa di atasnya, kemudian kami pergi hingga kami mendatangi langit dunia.”
( HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain )

Hadith ini mengisyaratkan akan wujudnya teknologi kenderaan yang memiliki kelajuan dan kepantasan yang 'super' sehingga mengatasi kelajuan bunyi, baik kendaraan di darat mahupun udara seperti pesawat supersonic, pesawat challenger dan lain-lainnya.

Maha Suci Allah Yang Maha Agung

Tulisan Buat Penulis

9.14.2010 1 komentar

Berdakwah melalui pena dan penulisan? Mampukah? Pastinya mampu jika kita bersedia untuk melaksanakannya. Perkara pokok dan yang paling utama adalah mesti mempunyai visi. Seorang penulis muslim perlu menggalas visi untuk melakukan pencerahan melalui tulisan, sentiasa memperbaiki kualiti diri serta meningkatkan keimanan dan ilmu pengetahuan sejajar dengan tuntutan dan pengajaran daripada wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT(Iqra'). Ertinya, seorang penulis muslim mesti berusaha membentuk dan mewujudkan sebuah masayarakat membaca dan menulis dengan matlamat mengislah diri diatas dasar nilai moral yang diredhai Allah SWT.

Tiga perkara yang perlu menjadi sandaran dalam penulisan bagi seseorang penulis muslim adalah :

1. Merujuk kepada sumber utama Islam yang empat iaitu Al Quran, Hadith, Ijma' dan Qias dengan kefahaman yang sebenar agar tidak terpesong daripada landasan Islam.

2. Memastikan penulisan adalah sebahagian daripada ibadah. Islam adalah kaffah, menyeluruh dan meliputi seluruh aspek kehidupan. Menyanggah kefahaman sekular yang menyempitkan ruang lingkup ibadat dan menyahkan agama daripada aspek ekonomi, sosial, politik, kebudayaan dan sastera. Tiada ruang kehidupan yang terkecuali daripada Islam.

3. Selain mengukuhkan kesedaran pembaca terhadap ketuhanan dan dakwah, tulisan seorang muslim juga perlu 'berpijak di bumi yang nyata' dengan kesedaran kemanusiaan, isu semasa dan kemasyarakatan.

Sebagai seorang muslim, jadilah penulis yang muslim. Penulis yang ingin yang menyumbangkan percikan kilau daripada rantaian kata yang disusunnya. Seorang penulis juga mesti bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, baik dunia mahupun akhirat. Sebelum menulis, fikirkan sejenak dengan semasak-masaknya, apakah tulisan ini membawa keredhaan Allah atau mengundang murkaNya? Mencerahkan atau memporakperandakan institusi masyarakat sekitar?

Ingatlah pesanan Dr. Yusuf al Qaradawi, setiap penulis pasti akan mati dan berlalu. Tetapi waktu yang mengabdikan hasil penulisannya. Maka janganlah kalian menulis dengan tangan anda, selain tulisan yang akan dapat membuatkan anda tersenyum ketika anda melihatnya kembali.

p/s : Agak lama tidak menulis, maaf...