Macam-Macam Cerita Getah

2.22.2011

Harga semasa getah naik menggila. Cerita harga getah kini dijaja di mana-mana. Para penoreh getah mula dipandang mulia sebagai 'orang kaya'. Masakan tidak kaya, pendapatan bersih bulanan penoreh kini mampu mencecah RM1500 - RM2000 per hektar. Ada yang mampu mencapai pendapatan RM6000 sebulan hasil jualan getah skrap. Cerita gembira daripada para penoreh getah.

Ada juga cerita duka, para penoreh kepenatan menoreh seharian dan menanti sehingga penuh mangguk-mangkuk susu getah mereka. Pabila tiba hari penjualan getah, mereka hanya terlopong melihat mangkuk-mangkuk yang penuh berisi getah yang ditoreh sepanjang seminggu hanya kosong. Getah skrap mereka dicuri! Kalau bukan kerja 'geng-geng mat pit', siapa lagi...

Ada cerita yang mengejutkan. Seorang lelaki telah ditangkap semasa sedang mencuri getah skrap milik seorang penoreh dan kemudiannya pencuri terbabit telah dibelasah sehingga remuk tulang pinggulnya. Situasi yang sama juga, namun berlaku di tempat yang berbeza dan lebih kejam. Seorang lelaki yang didapati bersalah kerana mencuri getah skrap telah meninggal dunia akibat dipukul beramai-ramai dan dipaksa meminum air susu getah beku serta disumbat dengan getah skrap ke dalam mulutnya.

Apa yang lebih menarik adalah, kita biasa melihat pengawal keselamatan hanya berkawal di bank-bank dan tempat-tempat tertentu tetapi para penoreh kini yang dilihat sebagai orang kaya baru mampu mengupah 'pak guard sambilan' mereka untuk menjaga kebun-kebun getah bagi mengelakkan getah skrap mereka dicuri.

Moga harga getah terus melambung tinggi!


Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda