Wasiat Penyapu Lidi

2.23.2011


Lelaki tua yang melewati separuh abad usianya, tergopoh-gapah ke sebuah sekolah. Dia segera menemui pengetua, sambil membawa seikat penyapu lidi. Tanpa banyak bicara, terus diserahkan penyapu lidi itu. “Saya sudah tua, amal pun tak banyak. Saya cuma mampu memberikan penyapu lidi ini untuk meyapu sampah”, begitulah wasiatnya.

Lelaki tua datang dari jauh, hanya untuk menyerahkan seikat penyapu lidi. Di bawah cuaca terik tengahari, dia memberikan tiga ikat penyapu lidi di tiga buah sekolah yang berbeza. Andai dirinya kaya raya, mahu diwakafkan tanah untuk masjid dan sekolah, serta menunaikan zakat pada tiap kali genap tempohnya. Jika dia penguasa, mahu berlaku adil, memihak kepada yang lemah dan menolong mereka yang menderita. Tetapi usianya kini menjelang senja, cita-cita mulianya masih belum dikabulkan. Maka, dia mencari inisiatifnya sendiri.

Bebekalkan tenaga usia senja miliknya, dia meminta beberapa lembar daun kelapa milik jirannya. Diraut satu persatu daun kelapa sehingga menjadi tiga ikat penyapu lidi. Ikatan penyapu lidi, memberi makna sebuah jemaah, bentuk sebuah kesatuan umat. Penyapu lidi berfungsi untuk membersihkan sampah, antara tugas yang terhasil daripada gerakan jemaah ini adalah menyapu sampah masyarakat penipuan, korupsi, penindasan serta penyakit-penyakit sosial yang lain.

Ia memilih sekolah, harapannya penyapu lidi yang dihadiahkan difahami maknanya oleh semua peringkat usia. Sebuah generasi yang baik ditempa di sebuah tempat yang mendidik murid-muridnya taat pada kebersihan. Sampah hanyalah simbolik kekotoran yang juga melekat pada diri manusia. Penyapu lidi yang wujud dalam diri manusia adalah bentuk istighfar, kemaafan diri dan pemikiran positif berasaskan wahyu yang menjadi landasan manusia untuk menjadi manusia yang sebenarnya. Manusia yang taat pada Tuhannya, memanusiakan manusia yang lain, yang sentiasa menjauhi kekotoran dan berlaku adil.

Seikat penyapu lidi, melambangkan sebuah bentuk kesatuan umat. Sebuah generasi perlu difahamkan bahawa perjuangan memartabatkan kesucian Islam tidak mampu ditanggung seorang diri. Sebatang lidi terlalu mudah untuk dipatahkan berbanding seikat lidi. Seikat lidi juga ternyata dengan mudah mengikis karat-karat sampah berbading sebatang lidi. Satu kemestian untuk hidup berjemaah.

Melalui bahasa dan sudut pandangannya itu, lelaki tua itu memberikan penyapu lidi kepada sekolah. Dilihat kepada kewujudannya, memang tidak ada yang istimewa. Tetapi wasiat yang menyertai penyapu lidi itu, roh yang mengandungi nasihat dalam seikat penyapu lidi menjadi hidup dan mekar. Secara kasar, lelaki tua itu hanya orang biasa, tapi dia mahu menutup usianya dengan makna hidup yang luar biasa.

Setelah menyerahkan penyapu lidi, lelaki tua itu segera beredar. Dia telah menunaikan niat mulianya dengan cara yang dia yakininya mencapai matlamatnya. Pengajaran hidup untuk kita untuk lebih memaknakan sebuah kehidupan.

Catatan di tanah air
PenaDaie

Comments
1 Comments

1 komentar:

  • Di negaraku..matlamat partisan tertentu telah merosakkan pemikiran anak2...brozabar

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda