Mungkin Ibu Sedang Kesepian

6.18.2010 4 komentar
Kita mengakui kita seringkali lupa keberadaan ibu yang berada di rumah. Buktinya, kita jarang sekali melahirkan rasa khuatir adakah ibu kita sudah makan atau belum, tenang atau takut keadaannya kini, senang atau susah dirinya saat ini, bahagiakah dirinya waktu ini, atau mungkin dia sedang berada dalam dakapan sepi.

Ibu mungkin tidak pernah merasa kesepian ketika ibu sendirian membesarkan anak-anaknya namun kini kita dan adik-beradik yang lain mungkin sedang menempa kejayaan, sibuk dengan kerjaya, pendidikan tinggi dan pangkat tinggi.

Kenang sejenak, ibu kadang-kadang 'berbohong' demi mengalih perhatian kita. Tidak pernah menunjukkan rasa penat dan letih bekerja serta menguruskan anak-anaknya. Kenang kembali, kegawatan ekonomi 1998, saat hidup serba kekurangan, sambil memindahkan nasi ke pinggan anak-anaknya, ibu dengan tenang berkata, "Makanlah nak, mak sudah kenyang." Kini kita sedar bahawa saat itu ibu sedang 'berbohong'.

Ayah pergi mengadap tuhan. Ibu mengambil alih tugas ayah, membiayai segala keperluan hidup. Tiada hari tanpa keperitan namun ditutupinya dengan senyuman dan wajah yang tenang.

Ibu kesepian. Ditinggal anak-anaknya yang merantau menentukan pilihan hidup masing-masing. Semuanya sudah dewasa, merantau mencari ilmu, mencari rezeki dan sebagainya.

Bukan gulungan sijil yang membahagiakan seorang ibu. Ibu menginginkan setiap anak didikannya menjadi anak yang soleh atau solehah dan berakhlak mulia. Itu yang paling membahagiakan. Tiada perkara yang paling menyenangkan selain anak-anaknya terus mengharungi dunia dalam penuh ketaatan kepada Allah SWT. Lebih senang bagi dirinya kerana setiap pahala doa munajat anak-anaknya bisa sampai setelah kepergiannya ke alam barzakh, masih ada yang berdoa dan memohon ampun untuknya.

Kita berada pada dunia yang berbeza, zaman yang tidak serupa, perubahan gaya serta budaya yang mungkin tidak sama. Kadang-kadang mungkin wujud kefahaman yang tidak sama, kehendak yang berbeza dan pemikiran yang tidak sehala. Mungkin kini ibu sedang sepi memikirkan kita seringkali tidak memahami keinginannya. Mungkin kita anggap biasa kerana kita sekadar puas dengan senyuman daripadanya, boleh jadi dia sedang mengharapkan sesuatu yang kita anggap biasa tetapi terlalu berharga di sisinya.

Ibu yang merindui kita dan terlalu merindui kita sampai bila-bila. Kecanggihan teknologi tidak mampu menandingi segalanya, wajah setiap anak sentiasa berada di benak fikiranya, kelibat si anak seringkali bermain antara kedua anak matanya. Jauh bezanya dengan kita, bila susah baru teringat pada ibu, mak, ummi, mama, ma, mek, emak dan sebagainya. Mungkin ibu sedang kesepian menanti kunjungan anak-anaknya.

p/s : Mak, mohon ampunkan anak nak 'buas' ini...

Biar Tak Soleh, Asalkan Genius

6.10.2010 16 komentar
Masyarakat Islam kini tidak lagi meletakkan Islam ditempat pertama, menyisihkan Islam daripada kehidupan seharian. Secara zahirnya, diperhatikan Islam kini diamalkan oleh masyarakat kita hanya pada empat keadaan sahaja iaitu semasa kelahiran (majlis aqiqah dan tahnik), semasa berkhatan, perkahwinan dan kematian. Hakikatnya Islam sebenarnya adalah satu tatacara hidup yang menyeluruh meliputi segala ruang lingkup kehidupan.

Ramai yang mengambil cakna mengenai keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM anak-anak rakan dan saudara mara namun tidak ramai yang bertanya mengenai keputusan PSRA, PMRU, SMA dan STAM. Tidak ramai juga yang mengambil peduli mengenai anak-anak yang tidak tahu solat, tidak kenal huruf al Quran dan tidak pernah berpuasa. Inilah realitinya, masyarakat kita cuma menganggap agama cuma perkara sampingan dalam kehidupan.

Jika mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, pasti ramai yang bertanya ke negara mana mahu terbang menggunakan biasiswa JPA atau MARA tetapi pasti ramai yang kecewa jika jawapannya mahu menyambung Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana mahu terbang mendalami ilmu agama. Mungkin hal ini kita anggap biasa namun ia sudah cukup menggambarkan pada sudut mana agama diletakkan di sisi masyarakat kita. Tanya saja, berapa ramai ibubapa yang menyuruh anak-anaknya bersungguh-sungguh mendalami ilmu agama, ramai yang cuma tahu menghabiskan wang beratus ringgit membayar tuisyen demi memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Sanjungan yang terlalu agung diberikan kepada anak-anak yang cemerlang dalam bidang akademik, bijak, genius dan pandai. Mereka dihantar ke tempat-tempat pengajian yang terbaik tetapi jika anak-anak yang agak sengal, lembab dan bodoh-bodoh ubi mereka dicampakkan ke mana-mana pondok untuk mendalami ilmu agama. Kata mereka "kalau sudah bodoh tu pergilah belajar agama, yang cerdik pandai jadi doktor dan engineer. Nanti dapat gaji mahal, hidup pun senang". Masyarakat kita sudah tunggang terbalik. Sisi pandangan masyarakat kini mengatakan tidak layak golongan cerdik pandai mendalami ilmu agama. Tidak perlu tunggu lama, sedikit masa lagi kita boleh lihat akan lahir golongan mufti, imam-imam dan ustaz-ustaz yang daripada kalangan yang 'bodoh'. Mengapa yang genius-genius tidak dihantar mendalami agama? Bukankah itu menjadi sumbangan yang besar kepada Islam? Mungkin masyarakat kita menjawab, biarlah tidak soleh mana pun, asalkan genius, hidup senang dan gaji mahal. Dunia memang sudah terbalik. Kita tanya kembali, boleh ke hidup senang tanpa agama? Nanti nak masuk kubur bawa apa? Kereta, harta atau agama?

Perancangan Yahudi Nasrani dilihat semakin mencapai matlamat iaitu menerapkan pemikiran sekular dan meterial dalam minda umat Islam. Agama dan dunia dipisahkan malahan agama dianggap tidak penting dan tidak perlu. Ahli agama dipinggirkan sebaliknya ahli dunia yang diagung-agungkan.

p/s : Jika ada lagi kenyataan "Yang 'bodoh-bodoh' tu pergilah belajar agama", jangan terkejut jika tumit kaki yang singgah di muka. Jangan sampai ada yang hilang sabar.

Menanti 'Si Solehah'

6.08.2010 4 komentar
Titik permulaan segala sesuatu di sisi kita ialah menghidupkan umat Islam dengan ilmu dan tarbiyah Islamiyyah. Secara mudah, lelaki soleh dan wanita solehah adalah mereka yang bersedia memenuhi segala tuntutan Islam keatas mereka. Dua elemen inilah yang akan membentuk sebuah unit yang dinamakan keluarga. Keluarga pada tabi'inya adalah unit asas dalam sesebuah masyarakat dan merupakan unit yang paling penting dalam sesebuah masyarakat.

Dinyatakan di dalam kitab Fiqh al Sunnah bahawa Imam Tarmizi dan Imam Ibnu Majah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW mengenai ayat 34 surah al Taubah semasa dalam satu perjalanan Rasulullah SAW bersama para sahabat, maka sebahagian para sahabat berkata "Telah ada ayat yang turun mengenai harta dan perak, maka sekiranya diketahui bahawa ada yang lain  yang lebih utama maka kami akan mengambilnya". Rasulullah bersabda : "Lidah yang selalu berzikir, hati yang sentiasa bersyukur dan isteri mukminah yang mengukuhkan iman suaminya".

Rasulullah SAW bersabda : "Bagi mukmin, tidak ada hal yang terlebih baik sesudah bertaqwa kepada Allah selain mendapat isteri yang solehah".
 
Rasulullah SAW juga bersabda : "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik berhiasan adalah wanita solehah"

Di dalam satu riwayat yang lain ada dinyatakan berkenaan perihal wanita solehah : "Apabila diperintahkan kepadanya, dia taat. Apabila melihat kepadanya akan menyenangkan. Apabila diberi janji, dia menerima dan apabila dia ditinggalkan, dia menjaga diri dan harta suaminya dengan baik".

Sabda Rasulullah SAW : "Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, barangkali kerana kecantikan itu membinasakannya. Janganlah kamu kahwin kerana hartanya, barangkali kekayaannya itu menyebabkan dia derhaka, tetapi kahwinlah dengan perempuan kerana agamanya. Sesungguhnya perempuan yang tidak berhidung lagi budak adalah lebih baik (daripada yang lain)."

Jawapan Rasulullah SAW ketika ditanya oleh kaum muslimat tentang jihad seharusnya dijadikan panduan bersama iaitu : "Sampaikanlah kepada perempuan-perempuan yang kamu temui bahawa taat kepada suami dan mengakui hak-haknya adalah sama dengannya (jihad di jalan Allah).

Wanita solehah perlu mempersiapkan diri dengan ilmu Islam yang secukupnya kerana kecintaan kepada ilmu dan kesungguhan dalam menimba ilmu adalah merupakan sifat para wanita solehah sejak zaman Rasulullah SAW. Sejarah menceritakan bagaimana luasnya ilmu yang ada pada Sayyidatina Aisyah dan betapa dalamnya ilmu yang ada pada Zainab. Keperibadian mulia, sikap berani dalam membela hak dan menegakkan keadilan menjadi ciri-ciri yang menghiasi perbadi dan mewarnai hidup seorang wanita solehah seperti yang ditunjukkan oleh Khaulah binti Tha'labah.
 
Wanita solehah itu, sifat malu membenteng diri, pergaulan yang dipagari, kecantikan bukan berada pada wajahnya, kemanisan bukan berada pada kemanjaannya, kemanisan bicara tidak menjadi daya penariknya yang bisa menggoyah iman kaum muslimin tetapi terletak pada perjuangannya menjaga dan memartabatkan agamanya. Kata orang, nafsu kata wanita cantik pada paras rupa, akal kata wanita cantik pada ilmu dan hati kata wanita cantik pada akhlaknya. Wanita solehah itu adalah yang menjaga kecantikan luaran dan mengutamakan kecantikan dalaman.

Wahai kaum lelaki, jangan terlalu mencari-cari dan menanti-nanti 'si solehah' yang diimpikan akan menjadi milik kita sebalik menjadikan diri kita benar-benar soleh serta sanggup memenuhi segala tuntutan Islam keatas kita adalah lebih utama. Sekiranya syarat ini dipenuhi pasti 'si solehah' yang diidamkan yang mencari dan menanti kita.
 
p/s : Mengapa saya menulis mengenai wanita? Saya juga tidak tahu.

Mulut Maki Tapi Kepala Otak Masih Buat Tak Reti

6.07.2010 0 komentar
Bukan perkara baru, isu memboikot produk Yahudi Israel. Kita sudah lama kenal siapa mereka golongan Yahudi yang berada di negara haram Israel. Terlalu banyak pencabulan yang telah mereka lakukan sehingga Imam Hassan al Banna rahimahullah mengatakan bahawa puak-puak Yahudi Israel hanya akan mengerti dengan jihad al qital (peperangan).

Baru-baru ini kes melukis karikatur Rasulullah di laman Facebook, isu umat Islam di bumi Palestin dan isu kemanusiaan terhadap misi bantuan ke bumi Gaza sedikit menyedarkan umat Islam khususnya dan masyarakat dunia umumnya namun kesedaran cuma berlegar-legar di mulut sahaja sedangkan tangan masih asyik menekan keyboard membalas komen dan mesej serta berchatting di laman Facebook.

Saya sangat tidak setuju apabila baru-baru ini ada kempen supaya meng'log  off' untuk sementara waktu laman Facebook masing-masing. Memang bijak orang yang membina laman Facebook kerana akaun yang telah dibuat tidak boleh di'delete', yang boleh cuma deactivate sahaja. Apa masalahnya jika terus deactivate sahaja akaun Facebook dan jangan buka sampai bila-bila? Apa yang nak ditakutkan?

Hah? Nak berdakwah dengan Facebook? Tak boleh delete akaun Facebook, nanti terputus hubungan dengan kawan-kawan. Alasan biasa, sudah naik mual.

Nak berdakwah konon, banyak lagi alternatif lain, gunalah semaksimumnya. Apa yang diperhatikan, ramai dikalangan kita bukan berpaksikan misi dakwah dengan Facebook, terlalu ramai yang leka, lalai dan hanyut dengan Facebook. Bukan nak berdakwah sangat, yang dibuat oleh lelaki adalah tengok profile dan gambar perempuan (perempuan juga sebaliknya), saling komen gambar dan chatting yang bukan-bukan. Itukah dakwah? Saya setuju jika bergantung kepada cara penggunaan, tetapi susah sangat nak jumpa yang menggunakan Facebook peribadi hanya untuk misi dakwah, yang banyak adalah mengarut. Kalau penggunaan yang mengarut lebih banyak daripada digunakan untuk berdakwah, jangan beralasan untuk tidak mahu deactivate akaun kerana nak berdakwah. Alasan yang sangat tidak munasabah.

Memang mudah mencari alasan kerana kita sudah termakan dengan pujuk rayu serta godaan syaitan. Syaitan memang bijak bermain dengan tipu daya, terlalu banyak pengalaman, sejak zaman Nabi Adam sehinggalah sekarang. Setakat kita yang iman cuma setebal kulit bawang, terlalu mudah bagi syaitan mempermainkan kita.

Cukuplah dengan sejarah CEO laman Facebook yang pernah menggodam laman sesawang universitinya suatu ketika dahulu, anda percaya data anda kini selamat? Cukuplah dengan dengan kes perceraian yang meninggak disebabkan oleh laman Facebook, anda mahu menjadi mangsanya? Cukuplah dengan saluran keuntungan pengiklanan di Facebook kepada negara haram Israel, anda mahu menjadi pemegang saham dalam misi membunuh saudara sendiri di Palestin? Cukuplah.

Jangan beralasan kerana mahu berdakwah untuk tinggalkan Facebook kerana kita sedang termakan dengan dakyah Yahudi melalui Facebook.


Kata-Kata Itu...

6.06.2010 0 komentar
Kami adalah mata pena itu
Sedia membela mencatat kebenaran

Kami adalah anak-anak panah itu
Siap dilepaskan menuju sasaran

Kami adalah pedang-pedang itu
Siap terhunus menetak dan menebas musuh

Kami adalah butir-butir peluru
Sedia ditembak dan meletup pada bila-bila waktu

Demi Allah dan Islam tercinta
Demi Muhammad dan al Quran yang dibawa
Siap menggoncang menggegar alam
Sedia merobek menumbangkan kezaliman
Islam akan dijulang

Jiwa, nyawa, harta dan keluarga
Semuanya sebagai ufti memperoleh syurga
Janji Allah dalam perniagaan yang tiada istilah kerugian

"Mengapa perlu takut untuk mati? Kematian adalah sesuatu yang pasti. Setiap yang hidup pasti akan mati. Kita perlu sedar bahawa kita semua sedang menanti hari pengakhiran di dunia. Mati akibat sakit jantung adalah kematian dan mati akibat ditembak helikopter Apache juga adalah kematian yang sama. Jika diberi pilihan antara dua, saya memilih untuk mati ditembak helikopter Apache"

p/s - Kita bagaimana? Adakah sekadar petah berbicara?

Ucapan & Amanat Masyaikh Sempena Haflah Takrim al Qurra'

6.05.2010 0 komentar









Maulana Syeikh Sayyid Ali Abdul Majid
Dilahirkan pada 25/10/1943
Menuntut dengan ramai para ulama dan para qurra' di Mesir, Mekah dan Madinah. Antaranya :
- Syeikh Muhammad Ismail
- Syeikh Muhammad Mustofa
- Syeikh Muhammad Saqar
- Syeikh Khalil Zaqawi
- Syeikh Mustofa Zaqawi
- Syeikh Abdul Hakim
Bekas tenaga pengajar di Maahad al Qiraat
Kini merupakan Naib Pengerusi Lajnah Pentashih al Quran Mesir

Semoga bermanfaat

Rakaman lain sila lihat TV Liqa' Mahabbah

Memori Haflah Takrim al Qurra'

6.04.2010 0 komentar
3 Jun 2010 menjadi suatu memori yang pastinya tidak akan hilang dan akan terus segar dalam ingatan setelah berlangsungnya Haflah Takrim al Qurra' yang julung-julung kali diadakan.

Sekali lagi Dewan Asrama Johor, Raba'ah mengukir sejarah sebagaimana yang telah dilakukan pada tahun lalu sempena Majlis Pembacaan Kutub Sittah bersama masyaikh al Azhar. Sebagaimana yang dirancang, sepuluh orang masyaikh termasuk Naib Mudir serta Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Ustaz Shahrizan Mohd Hazime yang hadir menyempurnakan Haflah Takrim al Qurra'.

Hampir 300 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa Qiraat Shoubra dan mahasiswi Qiraat Mansurah hadir memenuhi Dewan Asrama Johor, Raba'ah. Turut menyerikan majlis adalah kehadiran dua kanak-kanal comel iaitu Tuan Mohd Uwais al Qarny bin Tuan Mohd Azman dan Luqmanul Hakim bin Mohd Tarmizi.

Semoga semua yang turut serta dalam majlis mendapat manfaat dan menjadikan setiap amanat para masyaikh yang disandarkan dengan nas-nas al Quran dan hadis sebagai pakaian harian ahli al Quran.

Terima Kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Haflah Takrim al Qurra' samada secara langsung atau tidak langsung. Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa yang telah kalian curahkan.

Memetik respon daripada Maulana Syeikh Sayyid Ali Abdul Majid, Naib Pengerusi Lajnah Pentashih al Quran Mesir, alhamdulillah, satu majlis yang sangat baik dan diberkati. Setiap perkara yang baik pasti Allah akan bersamanya.

Masyaikh menerima cenderahati

Semua masyaikh yang hadir
Sesi bergambar
Kenangan
Amanat dan doa daripada Maulana Syeikh Sayyid Ali Abdul Majid
Syeikh Hassan Rejab, Syeikhul Awwal Bi Khazandarah
Syeikh Muhammad Abdul Nabi
Syeikh Redha Ali Darwish
Siswi
Presiden PMRAM bersama masyaikh
Foto selanjutnya, klik di sini