Tanggungjawab Pemuda Muslim

4.02.2011 0 komentar

Empat tanggungjawab pemuda muslim hari ini menurut Dr. Yusuf al Qaradawi :

1. Memahami Islam secara sahih
2. Mengamalkan Islam yang difahami
3. Menyebarkan Islam
4. Menggabungkan diri dengan kesatuan Islam


Dunia Semakin Ke Penghujung

0 komentar

Arus globalisasi kini semakin melewati pelbagai kancah kemusnahan. Rata-rata apa yang berlaku seluruh dunia kini seakan memberi satu isyarat betapa dunia sekarang kian memacu perubahan dan sudah sampai ke penghujungnya. Fenomena ini secara tidak langsung akan memperlihatkan sejauh mana keprihatinan manusia dengan pelbagai kejadian yang berlaku akhir-akhir ini.

Tunisia

Tidak ketinggalan juga , peristiwa kebangkitan rakyat di Tunisia yang menjadi perintis betapa ampuhnya suara rakyat. Mereka yang dizalimi mengatur langkah untuk bangun daripada terus dijadikan boneka kepada pemerintah yang kehidupannya bertuhankan keseronokkan dan kekayaan semata-mata.

Segala hasil daripada rakyat dipergunakan demi kepentingan sendiri sehinggakan peratus penganggur terus meningkat.

Revolusi Mesir

Begitu juga pergolakkan yang telah berlaku di Mesir , hampir 30 tahun Hosni Mubarak menerajui kepimpinan dan selama tempoh tersebut rakyat Mesir mengalami pelbagai tekanan demi tekanan. Penyelewengan dan konspirasi pengaruhnya membuatkan semangat anak-anak muda Mesir membuak-buak dalam membela nasib mereka. Tidak sanggup lagi dijadikan hamba kepada seorang diktator.

Oleh kerana yang demikian, keinginan rakyat yang mahukan kepimpinan untuk tunduk pada suara rakyat akhirnya tercapai juga.

Ketika manusia leka dengan kenikmatan dunia, Allah datangkan tanda sebagai isyarat agar manusia tidak terpesong jauh daripada landasan sebenar. Pelbagai lagi peristiwa dan kejadian akhir-akhir ini, telah membuka minda dan pemikiran ramai pihak betapa umur dunia ini semakin tua.

Bukan itu sahaja, masyarakat Muslim kini semakin berani untuk memperjuangkan hak dan maruah tanpa sekelumit gentar berdepan musuh sepertimana yang berlaku di Libya.

Pergolakan Libya

Ketika pergolakkan Mesir masih lagi bersisa, perkhabaran di Libya menyusul.Kepimpinan Muammar Gadafi menjadi pertikaian. Maka berlakulah siri peperangan antara rakyat pemerintah. Kezalimannya lebih menyerlah apabila orang awam juga menjadi korban akibat pertelingkahan tersebut.

Rakyat Libya mengatur stratergi menakluki beberapa kawasan dan kubu kuat pertahanan pemimpin itu. Namun sehingga kini , sukar untuk dijangka pengakhirannya apabila wujudnya pihak yang ketiga mula campur tangan. Kehendak rakyat agar beliau berundur semakin lesu dan kini bumi Libya dihidangkan muntahan peluru dan bidik tembakan saban waktu.

Tsunami Jepun

Variasi kemusnahan alam, suatu ketika dahulu pernah menggemparkan dunia kini berulang kembali . Sekali lagi tsunami melanda Jepun dengan meragut ribuan nyawa di negara tersebut selepas kejadian yang sama berlaku di Acheh, Indonesia.

Pelbagai andaian telah ditafsirkan oleh manusia, namun apakah manusia sekadar bahawa percaturan Allah mengatasi segalanya. Gegaran yang berlaku dengan 8.9 magnitud pada skala ritcher dan ombak setinggi 10 meter memusnahkan beberapa bandar disekitar kawasan pantai Perairan timur lautan Miyagi dan Pulau Honshu yang jumlah penduduknya sekitar 30 juta orang.

Akibat kejadian tersebut kerosakkan berlaku dibandar itu dengan terputusnya bekalan elektrik dan ditenggelami air pada beberapa kawasan.

Banjir Di Thailand

Banjir yang melanda Thailand baru-baru ini juga merupakan salah satu bukti kekuasaan Allah SWT.Bencana tersebut meragut 21 nyawa dan ribuan nyawa terkandas. Hampir sejuta penduduk di wilayah tersebut mengalami musibah  yang berlarutan sehingga seminggu.

Sentimen Anti Islam

Kesan daripada peristiwa 11 September  2001 yang lalu, memberi tamparan hebat kepada umat Islam di Amerika. Kadar diskriminasi ditempat  kerja yang meningkat 150 peratus dengan melibatkan etika pemakaian dan jadual solat manakala pemuda-pemuda Islam pula dijadikan bahan cacian dan hinaan kawasan setempat. Sentimen anti Islam mula meningkat membabitkan beberapa kes-kes diskriminasi persekutuan, hak hartanah dan pelbagai lagi.

Dunia Semakin Ke Penghujungnya

Kita semakin hari didedahkan dengan isu globalisasi yang begitu meruncing, namun bagaimana pula dengan senstiviti kita selaku mahasiswa Islam. Apakah cukup sekadar mengetahui? Adakah memadai dengan hanya sekadar berpeluk tubuh? Peristiwa yang telah berlaku bukan hanya untuk diketahui bahkan mengajak kita berfikir apakah persediaan kita menghadapi hari mendatang.

Ketahuilah, dunia semakin kepada ke penghujungnya.

sumber


Filem Tamil Jauh Lebih Baik

3.01.2011 1 komentar

Industri perfileman dan drama kita seolah-olah dilanda kemarau idea sejak sekian lama. Kebanyakkan filem yang dihasilkan hanya menumpukan kepada 3 unsur utama iaitu unsur lawak bangang yang tak lawak, kisah cinta beruk sama beruk dan unsur seram yang cuma dapat menakut-nakutkan budak-budak yang nak pergi mengaji al Quran pada waktu malam. Inilah realiti perfileman Malaysia. Menyampah dibuatnya. Walaupun ada telemovie yang mahu memberi kesedaran dan pengajaran kepada masyarakat umum, namun pelakon yang melakonkan watak baik langsung tidak sesuai dengan watak yang dipegang olehnya. Sebagai contoh, telemovie 'La ikraha fiddin', watak seorang ustazah lepasan al Azhar, Mesir yang dilakonkan oleh seorang pelakon wanita yang tanpa segan silu berkemban di khalayak ramai dan pernah membotakkan kepalanya. Satu penghinaan kepada lepasan al Azhar.

Mengapa filem tamil lebih baik?

Kita tahu, aksi pergaduhan hero filem tamil langsung tidak dapat diterima akal kita yang sihat, abaikan bahagian ini seketika. Cuba perhatikan pada sudut yang lain. Filem tamil yang dihasilkan mampu menyentuh aspek politik dan kepimpinan sesebuah negara sehingga mampu menyindir seorang menteri kabinet sebuah kerajaan. Lihat filem 'Sivaji The Boss' yang mengisahkan seorang anak muda yang berjuang menentang penyelewengan wang, rasuah kepada seorang menteri, penyalahgunaan kuasa serta menunjukkan bahawa kuasa politik bukan terletak pada kerajaan tetapi berada dalam genggaman orang-orang yang menguasai menteri-menteri.

Inilah realiti yang ada dalam mana-mana kerajaan di dunia pada hari ini hatta negara kita juga 'dikuasai' oleh orang-orang tertentu yang berada diluar kerajaan. Pasti, kita semua sedar. Sesiapa yang masih tidak menyedari hal ini, mereka adalah golongan yang benar-benar buta mata pengelihatan dan buta mata hati. Kerajaan yang ada hanyalah sebuah boneka yang melakonkan apa yang disuruh oleh 'pengarah'nya. Jika ada mana-mana syarikat perfileman negara kita yang cuba menghasilkan filem sebagaimana filem 'Sivaji The Boss', pasti semua kakitangan syarikat, pengarah, pelakon, jurukamera serta jurusolek sekalipun akan 'hilang' mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Inilah masalah yang menghantui penghasil filem di Malaysia.

Penonton sudah muak dan menyampah dengan filem-filem tidak bermutu yang dihasilkan oleh negara kita, seharusnya syarikat-syarikat perfileman mengambil peranan 'menegur' menteri-menteri yang salah guna kuasa, 'menyindir' pimpinan yang mabuk rasuah, ahli politik yang kaki perempuan serta menyampaikan nilai-nilai murni kepada masyarakat umum.

Jika industri perfileman negara kita masih di takuk ini, sampai bila-bila industri filem kita tidak akan mampu menyaingi mana-mana syarikat filem luar yang menghasilkan filem-filem yang lebih bermutu dan bermoral. Oleh sebab itu, filem tamil jauh lebih baik berbanding filem kita.


Merokok Adalah Haram!

2.28.2011 2 komentar

Bukan sesuatu yang baru, mungkin masih ramai yang tidak tahu atau ramai yang tahu tetapi sengaja buat-buat lupa. Sekadar mengingatkan kembali apa yang telah diputuskan oleh para ulama kita.

Merokok Adalah Haram

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam Malaysia kali ke 37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 bersetuju membuat keputusan bahawa :

Nas al Quran dan Hadis seperti berikut adalah menjadi asas kepada penetapan hukum
"dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan" - al Baqarah : 195

terjemahan hadis :

"tidak memudharat (orang lain) dan tidak saling memudharatkan (antara satu sama lain)" - riwayat Ahmad dan Ibnu majah

Salah seorang mufti Mesir memfatwakan merokok adalah haram di sisi syarak, begitu juga dengan Majlis Ulama Indonesia (MUI) memfatwakan perkara yang sama.

Tapi mengapa hanya tertera pada kotak-kotak rokok "Amaran kerajaan Malaysia : Merokok membahayakan kesihatan"??? Lekatkan saja LOGO HARAM pada kotak rokok. Ada masalahkah?

Yang ada cuma kempen 'Tak Nak Merokok', 'Setiap Sedutan Membawa Padah' yang dikenalpasti kurang memberi kesan tetapi langsung tidak ada kempen 'Merokok Adalah Haram' secara meluas.

p/s : sama kita kempen "Merokok Adalah Haram"


Wasiat Rasulullah Kepada Sayyidina Ali

2.25.2011 1 komentar

Wahai Ali, bagi orang-orang mukmin terdapat 3 tanda-tandanya :

1. Tidak terpaut hatinya pada harta dunia
2. Tidak terpesona dengan pujuk rayu wanita
3. Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia

Wahai Ali, bagi orang alim itu terdapat 3 tanda-tanyanya :

1. Jujur dalam kata-kata
2. Menjauhi segala yang haram
3. Merendahkan diri

Wahai Ali, bagi orang bertaqwa itu ada 3 tanda-tandanya :

1. Takut berlaku dusta dan keji
2. Menjauhi kejahatan
3. Memohon yang halal kerana takut jatuh ke dalam yang keharaman

Wahai Ali, bagi orang yang jujur itu ada 3 tanda-tandanya :

1. Merahsiakan ibadahnya
2. Merahsiakan sedekahnya
3. Merahsiakan ujian yang menimpanya


Wasiat Penyapu Lidi

2.23.2011 1 komentar


Lelaki tua yang melewati separuh abad usianya, tergopoh-gapah ke sebuah sekolah. Dia segera menemui pengetua, sambil membawa seikat penyapu lidi. Tanpa banyak bicara, terus diserahkan penyapu lidi itu. “Saya sudah tua, amal pun tak banyak. Saya cuma mampu memberikan penyapu lidi ini untuk meyapu sampah”, begitulah wasiatnya.

Lelaki tua datang dari jauh, hanya untuk menyerahkan seikat penyapu lidi. Di bawah cuaca terik tengahari, dia memberikan tiga ikat penyapu lidi di tiga buah sekolah yang berbeza. Andai dirinya kaya raya, mahu diwakafkan tanah untuk masjid dan sekolah, serta menunaikan zakat pada tiap kali genap tempohnya. Jika dia penguasa, mahu berlaku adil, memihak kepada yang lemah dan menolong mereka yang menderita. Tetapi usianya kini menjelang senja, cita-cita mulianya masih belum dikabulkan. Maka, dia mencari inisiatifnya sendiri.

Bebekalkan tenaga usia senja miliknya, dia meminta beberapa lembar daun kelapa milik jirannya. Diraut satu persatu daun kelapa sehingga menjadi tiga ikat penyapu lidi. Ikatan penyapu lidi, memberi makna sebuah jemaah, bentuk sebuah kesatuan umat. Penyapu lidi berfungsi untuk membersihkan sampah, antara tugas yang terhasil daripada gerakan jemaah ini adalah menyapu sampah masyarakat penipuan, korupsi, penindasan serta penyakit-penyakit sosial yang lain.

Ia memilih sekolah, harapannya penyapu lidi yang dihadiahkan difahami maknanya oleh semua peringkat usia. Sebuah generasi yang baik ditempa di sebuah tempat yang mendidik murid-muridnya taat pada kebersihan. Sampah hanyalah simbolik kekotoran yang juga melekat pada diri manusia. Penyapu lidi yang wujud dalam diri manusia adalah bentuk istighfar, kemaafan diri dan pemikiran positif berasaskan wahyu yang menjadi landasan manusia untuk menjadi manusia yang sebenarnya. Manusia yang taat pada Tuhannya, memanusiakan manusia yang lain, yang sentiasa menjauhi kekotoran dan berlaku adil.

Seikat penyapu lidi, melambangkan sebuah bentuk kesatuan umat. Sebuah generasi perlu difahamkan bahawa perjuangan memartabatkan kesucian Islam tidak mampu ditanggung seorang diri. Sebatang lidi terlalu mudah untuk dipatahkan berbanding seikat lidi. Seikat lidi juga ternyata dengan mudah mengikis karat-karat sampah berbading sebatang lidi. Satu kemestian untuk hidup berjemaah.

Melalui bahasa dan sudut pandangannya itu, lelaki tua itu memberikan penyapu lidi kepada sekolah. Dilihat kepada kewujudannya, memang tidak ada yang istimewa. Tetapi wasiat yang menyertai penyapu lidi itu, roh yang mengandungi nasihat dalam seikat penyapu lidi menjadi hidup dan mekar. Secara kasar, lelaki tua itu hanya orang biasa, tapi dia mahu menutup usianya dengan makna hidup yang luar biasa.

Setelah menyerahkan penyapu lidi, lelaki tua itu segera beredar. Dia telah menunaikan niat mulianya dengan cara yang dia yakininya mencapai matlamatnya. Pengajaran hidup untuk kita untuk lebih memaknakan sebuah kehidupan.

Catatan di tanah air
PenaDaie

Macam-Macam Cerita Getah

2.22.2011 0 komentar

Harga semasa getah naik menggila. Cerita harga getah kini dijaja di mana-mana. Para penoreh getah mula dipandang mulia sebagai 'orang kaya'. Masakan tidak kaya, pendapatan bersih bulanan penoreh kini mampu mencecah RM1500 - RM2000 per hektar. Ada yang mampu mencapai pendapatan RM6000 sebulan hasil jualan getah skrap. Cerita gembira daripada para penoreh getah.

Ada juga cerita duka, para penoreh kepenatan menoreh seharian dan menanti sehingga penuh mangguk-mangkuk susu getah mereka. Pabila tiba hari penjualan getah, mereka hanya terlopong melihat mangkuk-mangkuk yang penuh berisi getah yang ditoreh sepanjang seminggu hanya kosong. Getah skrap mereka dicuri! Kalau bukan kerja 'geng-geng mat pit', siapa lagi...

Ada cerita yang mengejutkan. Seorang lelaki telah ditangkap semasa sedang mencuri getah skrap milik seorang penoreh dan kemudiannya pencuri terbabit telah dibelasah sehingga remuk tulang pinggulnya. Situasi yang sama juga, namun berlaku di tempat yang berbeza dan lebih kejam. Seorang lelaki yang didapati bersalah kerana mencuri getah skrap telah meninggal dunia akibat dipukul beramai-ramai dan dipaksa meminum air susu getah beku serta disumbat dengan getah skrap ke dalam mulutnya.

Apa yang lebih menarik adalah, kita biasa melihat pengawal keselamatan hanya berkawal di bank-bank dan tempat-tempat tertentu tetapi para penoreh kini yang dilihat sebagai orang kaya baru mampu mengupah 'pak guard sambilan' mereka untuk menjaga kebun-kebun getah bagi mengelakkan getah skrap mereka dicuri.

Moga harga getah terus melambung tinggi!