Hanya Zina & Khalwat Maksiat

12.31.2009 0 komentar

Semasa diundang menjadi salah seorang fasilitator dalam satu Kem Remaja Islam, saya pernah bertanya kepada beberapa orang peserta kem tersebut mengenai apa yang difahami oleh mereka tentang 'maksiat'. Rata-rata yang menjawab hanya memfokuskan kepada satu perkara sahaja. "Maksiat ini adalah apabila seorang laki-laki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat yang sunyi atau gelap dan melakukan perbuatan 'itu'". Inilah jawapan yang diberikan oleh salah seorang peserta dan jawapan ini diakui oleh kebanyakan peserta yang mengikuti kem tersebut.

Ditanya kembali kepada mereka, mengapa hanya mengkhususkan perbuatan berkhalwat atau berzina sahaja sebagai maksiat? Jawapannya adalah kerana wujudnya 'pihak pencegah maksiat' yang menghalang dan menangkap mereka yang melakukan perbuatan khalwat dan berzina. Inilah kefahaman yang wujud dalam pemikiran mereka dan saya yakin bahawa maksud yang juga sama difahami oleh kebanyakan masyarakat Islam kini iaitu hanya menganggap bahawa perbuatan berkhalwat dan berzina adalah maksiat manakala yang selainnya tidak dianggap sebagai maksiat.

Mungkin benar seperti yang difahami oleh mereka mengenai takrifan kerana wujudnya 'pihak pencegah maksiat khusus' yang menghalang dan menangkap mereka yang berkhalwat dan melakukan zina sedangkan perbuatan-perbuatan lain seperti mencuri, minum arak , pergaulan bebas dan lain-lain tiada 'pihak pencegah maksiat'. Wajar atau tidak diwujudkan pihak pencegah maksiat bagi kes mencuri, minum arak dan lain-lain sama-sama kita fikirkan kerana tugas pencegah maksiat sebenar tidak hanya tertumpu dalam mencegah dan menangkap pesalah yang melakukan zina sahaja malahan perlu mencegah maksiat dan kemungkaran dalam konteks yang lebih luas.

Kefahaman yang dangkal ini perlu dikikis dan dihapuskan daripada pemikiran masyarakat Islam dan takrifan sebenar perlu dijelaskan dengan sedalam-dalamnya agar semua pihak memahami bahawa maksiat adalah melakukan perkara-perkara yang dilarang, tercela dalam syariat Islam, bertentangan dengan hukum syarak dan pelakunya akan mendapat dosa.

Jangan Harapkan Penjaga Gol

12.28.2009 2 komentar

Sebuah pasukan bola sepak yang handal dan kuat perlu memiliki seorang penjaga gawang gol yang benar-benar tangkas dan cekap bagi memastikan gawang mereka sukar ditembusi oleh serangan daripada mana-mana pihak lawan. Adakah cukup sekadar memiliki seorang penjaga gawang gol yang hebat sahaja? Sudah tentu tidak.

Serangan yang diatur jentera pihak lawan tidak mampu ditangkis dan dipatahkan oleh seorang penjaga gol tanpa bantuan daripada para pemain di bahagian lain. Setiap serangan yang teratur dan padu serta tidak dikawal pasti akan dapat menembusi gawang gol walaupun penjaga gawang tersebut merupakan penjaga gol Nombor Satu Dunia.

Bantuan daripada pemain bahagian pertahanan amat diperlukan bagi mengawal, menangkis dan mengkucar-kacir setiap serangan yang dilakukan oleh pihak lawan. Kerjasama dan persefahaman baik yang wujud antara penjaga gol dengan pemain di bahagian pertahanan akan menyebabkan gawang gol sukar ditembusi dan akan mewujudkan sebuah pertahanan yang benar-benar kebal. Secara purata, kebanyakan gol yang berjaya dihasilkan adalah berpunca daripada kesilapan yang dilakukan oleh pemain di bahagian pertahanan yang cuai atau gagal mengawal pemain penyerang pihak lawan.

Tidak memadai dengan hanya mengharapkan penjaga gol dan bahagian pertahanan sahaja kerana pemain di bahagian tengah juga punya peranannya tersendiri. Setiap serangan yang dipatahkan oleh pemain di bahagian pertahanan atau ditangkis oleh penjaga gol akan terus dihantar kepada pemain bahagian tengah bagi menyusun serangan balas terhadap pihak lawan. Pemain bahagian tengah juga amat berperanan bagi mengawal rentak permainan agar peratusan kawalan bola tidak dimonopoli oleh pihak lawan. Bahagian pertahanan(termasuk penjaga gol) pasti mengalami tekanan jika serangan yang tidak bertali arus dilancarkan oleh pihak lawan apabila gerakan bola dimonopoli pihak mereka.

Pemain penyerang perlu bijak mengatur permainan dan melancarkan serangan bagi membolosi pertahanan pihak lawan seterusnya menyempurnakan segala peluang yang diperolehi bagi mencapai matlamat yang dikejar(gol). Kapten pasukan yang memikul tanggungjawab mengetuai sesebuah pasukan perlu bijak dan kreatif dalam melaksanakan segala strategi yang dirancang bersama para pemain yang lain manakala jurulatih pula bertindak seperti seorang murabbi dalam memberikan pendidikan(tarbiyyah) dan latihan yang sempurna kepada semua pemain sebelum perlawanan agar setiap pemain berada pada tahap yang terbaik.

Kata kuncinya adalah kerjasama dan tolong menolong. Firman Allah s.w.t : "Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan takwa dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan" - Al Maidah ayat 2. Jangan hanya mengharapkan kekebalan dan ketangkasan seorang penjaga gol sahaja menangkis serangan pihak lawan tetapi semua pihak perlu bekerja dengan bersungguh-sungguh pada posisi masing-masing bagi mewujudkan sebuah pasukan atau kumpulan yang benar-benar kuat dan hebat.

Kukuhkan Rumah Ini

12.25.2009 2 komentar

Isu utama adalah sebuah binaan, ibarat seperti sebuah rumah. Rumah yang telah dibina sejak sekian lama. Mungkin di mata kalian rumah yang kami dibina ini masih tidak sempurna, terdapat kecacatan di sana sini. Jawapannya benar, rumah ini masih tidak sempurna, hakikat itu kami juga diakui.

Tegasnya, kami tidak akan membiarkan kecacatan itu terus menerus menghantui dan membelenggu rumah yang kami bina, kami sedang cuba sedaya upaya mengerahkan tulang empat kerat yang kami ada bagi menampung segala kecacatan yang wujud pada rumah kami serta kami juga tidak membiarkan segala kekurangan yang kalian nyatakan terus wujud pada rumah kami.

Tetapi, apa yang menjadi masalah adalah kalian juga turut membina rumah lain. Kalian juga melaung-laungkan slogan kesatuan. Jadi, adakah rasional kalian membina rumah lagi? Adakah rumah ini dikatakan tempang oleh kalian menjadi penyebab utama mengapa kalian membina sebuah rumah lagi? Jika ini sebabnya, maka amat tidak wajar rumah kalian diwujudkan. Jika kalian melihat tingkap pada rumah kami rosak lalu kalian membina sebuah rumah baru. Bukankah itu adalah satu kerja bodoh? Kalian bukan sahaja telah membazirkan wang malah membazirkan masa, tenaga dan segala-galanya.

Sebenarnya rumah yang kalian bina mengancam keutuhan rumah kami. Rumah kalian juga menyebabkan tiang-tiang ukhuwah yang kami pasakkan semakin rapuh. Jika kalian mengatakan rumah tingkap yang rosak, apa salahnya kalian membantu kami membaiki tingkap yang rosak itu, mungkin kalian merupakan ahli yang pakar pada bahagian tingkap. Tidak perlu kalian membina sebuah rumah baru.

Kalian sibuk mengata rumah kami cacat, tidak lengkap dan kurang di sana sini, adakah rumah kaliah sudah benar-benar sempurna? Atau baru sekadar memiliki sebelah tingkap kaca tetapi sudah mengaku memiliki sebuah rumah yang lengkap dengan lif. Lebih baik kalian meletakkan tingkap kaca tersebut pada rumah yang telah kami bina agar dapat menjamin keutuhan dan mengukuhkan lagi rumah ini. Kelak kita sama-sama dapat menumpang teduh dibawah satu rumah yang kukuh dan selamat.

Gempar! Markaz Dipecah Masuk Lagi

12.20.2009 0 komentar
Shoubra, 21 Dis. - Dewan Perwakilan Mahasiswa [MAQAZ] Shoubra sekali dikejutkan dengan kejadian pecah masuk markaz. Kejadian ini merupakan kes yang kelima dicatatkan sepanjang dua tahun lalu.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11.00 sehingga jam 12.30 tengahari. Difahamkan, kejadian ini disedari oleh Ustaz Saifullah Nik Abdullah semasa beliau hendak menghadiri kelas talaqqi.

Menurut laporan terkini, kejadian pecah masuk kali ini bernasib baik kerana kejadian tersebut disedari awal kerana pencuri tersebut hanya sempat melarikan 2 tong gas sahaja manakala barangan lain tidak sempat untuk dilarikan.

Kini, pihak DPM masih dalam proses menyiasat jumlah kerugian sebenar. Kali terakhir kejadian pecah masuk ini berlaku adalah pada November lalu yang telah menyebabkan kerugian mencecah LE 1000.

Pihak DPM akan menganjur solat hajat perdana pada 21/12/2009 (esok) selepas kelas pengajian bersama Ustaz Nazrul Nasir memohon perlindungan daripada Allah s.w.t untuk keselamatan markaz kita. Semua dijemput hadir.

Angan-Angan Atau Impian

12.19.2009 2 komentar


Jika suatu hari nanti saya...

1. Memiliki Ijazah Doktor Falsafah daripada Universiti Al Azhar.

2. Menguasai pelbagai cabang bidang ilmu.

3. Membina keluarga muslim.

4. Menegakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam bersama Parti Islam SeMalaysia.

5. Memiliki rangkaian perniagaan antarabangsa berasaskan keperluan harian yang dijamin halal.

6. Mengelola sebuah Universiti Islam Antarabangsa yang menyediakan semua bidang pengajian secara percuma.

7. Mengawal segala kemaksiatan samada di alam nyata atau alam maya (alam cyber).

8. Memiliki stesen televisyen antarabangsa. Siaran ke seluruh dunia.

9. Mengumpulkan pemain-pemain bola sepak Islam terbaik dunia dalam sebuah pasukan.

10. Memastikan pasukan bola sepak Malaysia memenangi Piala Dunia.

11. Memastikan negara Islam Malaysia memiliki teknologi persenjataan paling canggih.

12. Membebaskan bumi Palestin.

13. Mati syahid (cita-cita tertinggi).

Kita meletakkan sesuatu matlamat pada minda bawah sedar (subconscious mind) dan perkara itu seterusnya akan merangsang minda sedar (conscious mind) untuk mencari peluang-peluang untuk demi mencapai matlamat tersebut.

Pelik Tak???

12.18.2009 1 komentar

Peliknya kita
Setiap tahun ada pertandingan tilawah al-Quran
Tak cukup peringkat kebangsaan, dibuat pula peringkat antarabangsa
Tapi dengan al-Quran masih lagi bersikap ikut selera
Mana rasa elok, diamalkan
Mana rasa tak elok dikatakan ketinggalan zaman

Peliknya kita
Kerana bola, jam 3 pagi boleh bersengkang mata
Kerana bola, mampu bangun diwaktu ayam pun tak bangun lagi
Tetapi 3 pagi akan jadi terlalu berat jika untuk solat 2 rakaat
Waktu sahur cukup menyeksakan

Peliknya kita
Sanggup bersesak, berhimpit di padang konsert hiburan
Sanggup memberi komitmen memenuhi dan memeriahkan konsert hiburan
Tetapi program Allah 5 kali sehari langsung tidak mendapat sambutan meriah
Tidak sanggup untuk berdiri di dalam saf walaupun 5 minit sahaja

Peliknya kita
Gembira mendabik dada kerana anak pandai menyanyi
Namun tiada yang sedih jika zuriatnya buta al-Quran
Langsung tidak resah jika anaknya tidak tahu sujud kepada yang Esa.

Peliknya kita
Setiap tahun mereka sanggup menunggu tepat jam 12 malam
Sempena hari merdeka dan tahun baru
Tidak ramai yang mahu menunggu tiba waktu solat di masjid

Peliknya kita
Menangis teresak-esak apabila artis pujaan tewas
Bersedih apabila bintang pilihan tersingkir daripada rancangan realiti
Namun berapa ramai yang sudi melinangkan air mata penyesalan taubat kepada yg Esa
Siapa yang menangisi kematian alim ulama'

Peliknya kita
Jari jemari cukup ringan menaip mesej untuk pasangan kekasih
Menghabiskan berpuluh ringgit membeli tiket menonton wayang
Tetapi jari kaku untuk memasukkan seringgit ke dalam tabung masjid
Terlalu berat untuk bersedekah kepada fakir miskin

Pelik...
Bila tengok anak-anak muda datang masjid untuk solat jumaat
Tapi bila orang solat, mereka sibuk berbual sambil hisap rokok

Pelik...
Tengok orang naik motor guna satu tayar
Konon-kononnya nak terbang
Lebih baik letak satu tayar saja atau siap pasang sayap kapal terbang

Pelik...
Bila mak ayah buat tak nampak saja
Anak gadis pakai ketat dan sendat
Dedah sana buka sini ikut suka hati
Bila sudah 'kena', mula nak salahkan orang lain

Pelik...
Jumpa kawan-kawan sekolah dulu
Dulu belajar agama
Tapi sekarang macam orang tak pernah belajar agama

Pelik...
Kalau kita kata kita belajar agama
Mesti ada orang akan tanya
Nanti habis belajar nak kerja apa?

Peliknya kita
Setiap kali aku menulis fakta yang benar dan kenyataan
Mengenai bangsaku, kaumku dan umatku
Pasti ada suara sumbang dan lantang yang cuba mempertikaikannya
Umpama menegakkan benang yang basah.

Masih ada waktu
Masa untuk berubah

Segalanya ditangan anda

Salam Maal Hijrah 1431 Hijrah

Saidina Atau Sayyidina?

12.10.2009 5 komentar

Ada sesuatu yang ingin dikongsi pada entri kali ini. Seringkali mendengar kalangan kita terutamanya semasa berselawat dengan menyebut pada kalimah saidina’ سَيِِدنا (tanpa membariskan dan mentasydidkan ya’). Sedar atau tidak, rupa-rupanya sebutan ‘saidina’ adalah tidak tepat dan sebutan yang tepat adalah dengan mentasydidkan huruf Ya’ iaitu dengan menyebut سيّدنا (sayyidina).

Jika dirujuk dan diteliti berdasarkan kaedah ilmu sorof iaitu salah satu cabang ilmu bahasa arab, asal kalimah سيّد adalah سَيود. Berdasarkan kaedah dalam ilmu sorof juga, setiap huruf sebelum huruf Wau atau huruf Ya’ berbaris di atas akan ditukarkan kepada huruf Alif. Contoh, kalimah باب, asal kalimah tersebut adalah بوب.

Apabila berkumpul Wau dan Ya’ dan didahului dengan sukun(baris mati) salah satu daripada kedua huruf tersebut, ditukarkan huruf Wau kepada huruf Ya’ dan seterusnya diidghamkan(dimasukkan) huruf Ya’ yang ditukarkan kepada huruf Ya’ yang pertama dan menjadikan huruf Ya’ tersebut bertasydid.

Contoh yang mudah dibawakan di sini adalah kalimah سيّد yang asal kalimah tersebut adalah سيود dengan huruf Wau yang ditukar kepada huruf Ya’ beserta dengan idgham kedua-dua huruf tersebut. Hasilnya adalah kalimah سيّد. Jadi, sebutan yang tepat adalah سيّدنا (sayyidina) dan bukannya سيِِدنا (saidina).

Sila tekan 'Ctrl + +' untuk keselesaan dalam pembacaan

P/S: Segala pandangan dan tunjuk ajar amat diperlukan bagi memperbaiki segala kekurangan.