Hari Keluarga 2010

2.14.2010 2 komentar

Cuti 2 minggu tidak dibiar kosong tanpa terisi. 13/2/2010 telah berlangsung Hari Keluarga Shoubra dengan penuh meriah meskipun dalam keadaan cuaca yang sedikit panas. Pelbagai acara telah dilangsungkan sempena Hari Keluarga pada kali ini. Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi ikatan ukhuwah yang telah terjalin sekian lama.

NIKON D90 milik Ali Imran Salleh membantu saya merakam foto-foto sepanjang Hari Keluarga pada kali ini.

Ingin melihat gambar-gambar menarik?
Klik di sini

Kita Ibarat Kucing?

2.11.2010 0 komentar
klik pada gambar untuk saiz penuh


Kisah seorang ahli sufi, Hazrat Mo'inuddin Chisti.

Hayati dan renungi kisah di atas.

Kita manusia yang lemah, dikurniakan secebis kekuatan pada tubuh badan, diberi nikmat akal dan pelbagai jenis nikmat yang membezakan kita dengan makhluk-makhluk lain. Dengan nikmat tersebut kita tidak menghiraukan Yang Maha Pencipta yang sentiasa mengasihi dan menyayangi hamba-hambanya seolah-olah dunia ini kita yang punya. Walaupun kita terus berada dalam kancah maksiat, Allah tidak terus menghukum pada saat kita melakukan kesalahan. Sebaliknya kasih sayang dan nikmat terus dilimpahkan keatas seluruh hambaNya. Allah Yang Maha Pengampun juga membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat hamba-hambaNya yang melakukan kesalahan untuk kembali ke pangkal jalan.

Mengapa kita hamba yang lemah lagi hina terus bersikap kejam, takabbur, ego dan ...???
Siapa kita?
Fikir-fikirkan.

Mangkuk Berkata-kata

2.10.2010 2 komentar

Nasihat saya, jika tidak tahu tentang sesuatu perkara, katakan sahaja "aku tidak tahu". Buat apa nak malu. Apa yang nak dimalukan? Bukannya rugi apa-apa. Nak jaga imejlah kononnya. Menjadi masalah besar apabila berkata-kata seolah-olah semua perkara diketahui olehnya. Sebut sahaja tentang apa, hukum apa, masalah apa dan segala yang sewaktu dengannya. Semuanya diketahui. Hakikatnya cuma pandai bermain kata-kata. Sangat bahaya. Lebih-lebih lagi apabila menyentuh perkara yang berkait tentang persoalan hukum-hukum agama.

Ibarat 'mangkuk yang berkata-kata'. Mangkuk apa usah ditanya, jenis apa tidak perlu disoal.

Jangan malu untuk katakan "AKU TIDAK TAHU".

Firman Allah SWT "maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui" - Surah al Nahl : 43

Saya Maafkan Anda Semua

2.09.2010 0 komentar
Firman Allah swt, : "Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan" (Surah Ali Imran : Ayat 134)

“Forgiveness research” atau kajian tentang perbuatan memaafkan kini tergolong dalam bidang yang banyak dikaji oleh para ilmuwan dalam segenap bidang keilmuan seperti kedoktoran, psikologi dan kesihatan. Hal ini kerana perbuatan memaafkan ternyata memiliki pengaruh besar terhadap kesihatan jiwa dan mental serta hubungan antara manusia.

Beberapa bukti telah menunjukkan bahawa perbuatan memaafkan akan mendatangkan manfaat kesihatan bagi orang yang memaafkan. Lebih daripada itu, kajian terbaru menunjukkan pula bahawa kesan memaafkan ternyata turut memberi impak yang baik terhadap kehidupan orang yang dimaafkan.

Orang yang tidak memaafkan orang lain berkait rapat dengan sikap pemarah dan seterusnya akan memberi kesan negatif yang menyebabkan kepada ketidakstabilan fungsi imuniti tubuh. Pemikiran mereka yang tidak memaafkan juga sama dengan pemikiran orang yang sedang stress, marah dan akan bertindak secara agresif kerana tekanan yang dihadapi.

Sikap tidak mahu memaafkan orang lain akan memberi kesan buruk pada kesihatan tubuh badan dan mental kerana membiarkan diri dan fikiran sentiasa berada dalam keadaan stress dan tertekan. Sebaliknya, sikap pemaaf berfungsi mewujudkan tanggapan serta melahirkan emosi positif yang akan menyahkan tanggapan dan emosi emosi negatif.

Tarbiyah : Antara Perlu Atau Mahu?

2.08.2010 2 komentar

Tarbiyah iaitu pendidikan yang bererti proses mempersiapkan manusia dengan persiapan yang menyeluruh meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk sudut rohani, jasmani dan akal fikiran.

Persoalannya, tarbiyah diperlukan atau dimahukan?

Jawapan saya, pada asasnya tarbiyah diperlukan agar dapat mewujudkan rasa kemahuan kepada tarbiyah.

Jom Pakat Tidur Tengahari

2.06.2010 1 komentar

Berdasarkan Ensiklopedia Mukjizat Al-Quran dan Hadis, Jilid 4: Kemukjizatan Psikoterapi Islam.

Rasulullah SAW telah bersabda, "Tidurlah pada waktu siang, kerana syaitan tidak tidur pada waktu siang."- Hadis Riwayat Thabrani. Menurut al-Jauhari, tidur pada waktu siang itu adalah tidur sebentar pada waktu tengah hari (sebelum solat Zohor).

Sebuah kajian menunjukkan bahawa tidur pada waktu siang di pejabat sangat bermanfaat terhadap kesihatan jantung kerana dapat mengurangkan stress dan degupan jantung yang berlebihan. Tidur pada waktu siang sangat memberi kesan dalam meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kadar kematian. Dr. Trichopoulos mengulas, "Saya mengesyorkan agar jika ada kesempatan, tidurlah pada waktu siang dan jika memiliki sofa di pejabat, manfaatkan ia dengan sebaiknya."

Setelah meneliti hasil kajian tersebut, beberapa syarikat perusahaan kini membenarkan para pekerja mereka untuk tidur pada waktu siang kerana ia didapati mampu meningkatkan mutu pekerjaan dan produktiviti syarikat malah ada syarikat yang menyediakan ruang khusus bagi para pekerja untuk tidur pada waktu siang. Para pekerja silih berganti masuk ke ruangan tersebut untuk tidur selama setengah jam. Hal ini dilakukan atas saranan pakar kesihatan yang mendapati bahawa tidur siang dapat mengurangkan stress dan tekanan serta membantu memberikan tenaga seharian penuh.

p/s : jangan tidur amalkan dalam kelas pengajian pada waktu tengahari

Asal Buat, Sikit Pun Tak Apa

2.03.2010 0 komentar
Pengajaran daripada kisah seekor burung kecil yang membawa air dengan paruh ketika Nabi Ibrahim AS dibakar oleh Namrud.

Perkara ini mesti dijadikan ikutan kepada kita, sekiranya tidak mampu melakukan semua perkara, buat sikit pun tidak mengapa. Asal buat. Mana-mana yang kita mampu, lakukanlah.

Diceritakan dalam kisah tersebut adalah seekor burung kecil, bukan garuda. Diceritakan juga hanyalah burung kecil, bukan kapal terbang. Sejauh mana kemampuan seekor burung kecil? Membawa air di dalam paruhnya yang kecil itu, kerana itulah saja kemampuan yang ada padanya. Tidak mungkin burung kecil hendak mengheret satu tong air atau mengacukan hos atau pili bomba. Kita manusia, bukan burung kecil. Kita punya kekuatan, kita mampu lakukan perkara yang lebih besar.

Kita kata: "burung kecil tersebut tahu bahawa api tidak akan dapat dipadam dengan air daripada paruhnya, tetapi dia tetap juga melakukannya kerana itu adalah usahanya untuk membantu Nabi Allah Ibrahim AS. Jadi kita perlu berusaha melakukan walau sekecil mana perkara untuk membantu menegakkan agama Allah SWT. Lakukan setakat mana yang termampu". Hasilnya bukan persoalan, tetapi sejauh mana usaha yang telah dilakukan.

Lakukan apa kita mampu, ini betul. Jauh sekali perbezaan kita dengan burung kecil pada sudut tenaga dan kekuatan. Burung kecil tersebut telah menggunakan seluruh tenaga dan sumber yang ada padanya. Bagaimana dengan kita? Adakah yang dikatakan 'mampu' itu benar-benar dilakukan dengan sepenuh daya dan tenaga? Adakah dilakukan dengan sepenuh kemampuan yang ada? Atau sekadar melakukan 'setakat yang dimahukan' sahaja? Jika hanya setakat 'mahu' sahaja, burung kecil tersebut jauh lebih mulia daripada kita dengan hasil usahanya.

Renung kembali, apa yang telah kita lakukan selama ini untuk Islam? Kita lakukan apa yang kita mampu, atau sekadar apa yang kita mahu?