Asal Buat, Sikit Pun Tak Apa

2.03.2010
Pengajaran daripada kisah seekor burung kecil yang membawa air dengan paruh ketika Nabi Ibrahim AS dibakar oleh Namrud.

Perkara ini mesti dijadikan ikutan kepada kita, sekiranya tidak mampu melakukan semua perkara, buat sikit pun tidak mengapa. Asal buat. Mana-mana yang kita mampu, lakukanlah.

Diceritakan dalam kisah tersebut adalah seekor burung kecil, bukan garuda. Diceritakan juga hanyalah burung kecil, bukan kapal terbang. Sejauh mana kemampuan seekor burung kecil? Membawa air di dalam paruhnya yang kecil itu, kerana itulah saja kemampuan yang ada padanya. Tidak mungkin burung kecil hendak mengheret satu tong air atau mengacukan hos atau pili bomba. Kita manusia, bukan burung kecil. Kita punya kekuatan, kita mampu lakukan perkara yang lebih besar.

Kita kata: "burung kecil tersebut tahu bahawa api tidak akan dapat dipadam dengan air daripada paruhnya, tetapi dia tetap juga melakukannya kerana itu adalah usahanya untuk membantu Nabi Allah Ibrahim AS. Jadi kita perlu berusaha melakukan walau sekecil mana perkara untuk membantu menegakkan agama Allah SWT. Lakukan setakat mana yang termampu". Hasilnya bukan persoalan, tetapi sejauh mana usaha yang telah dilakukan.

Lakukan apa kita mampu, ini betul. Jauh sekali perbezaan kita dengan burung kecil pada sudut tenaga dan kekuatan. Burung kecil tersebut telah menggunakan seluruh tenaga dan sumber yang ada padanya. Bagaimana dengan kita? Adakah yang dikatakan 'mampu' itu benar-benar dilakukan dengan sepenuh daya dan tenaga? Adakah dilakukan dengan sepenuh kemampuan yang ada? Atau sekadar melakukan 'setakat yang dimahukan' sahaja? Jika hanya setakat 'mahu' sahaja, burung kecil tersebut jauh lebih mulia daripada kita dengan hasil usahanya.

Renung kembali, apa yang telah kita lakukan selama ini untuk Islam? Kita lakukan apa yang kita mampu, atau sekadar apa yang kita mahu?
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda