Bangkitkan Semangat!!!

2.26.2010
Raja Abu Sa'id al Muzaffar adalah merupakan orang yang pertama yang mengadakan dan memperingati Maulid Nabi SAW secara besar-besaran. Beliau adalah seorang raja yang memerintah kerajaan Ibril, di negara Iraq. Untuk mengadakan Maulid Nabi SAW, beliau telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak 300 ribu dinar pada waktu itu.

Ibril adalah sebuah negeri kecil, pernah diserang dan diserbu oleh Raja Mongolia, Zengis Khan. Ini membuatkan Raja Muzaffar berfikir dan membayangkan, apabila rakyat sudah tidak memiliki daya tahan juang yang tinggi, sudah pasti mereka akan menjadi korban keganasan dan kekejaman tentera mongolia.

Pada masa semangat rakyat sudah mulai lemah dan goyah, Raja Muzaffar telah mendapat buah fikiran yang bernas iaitu dengan cara mengadakan Maulid Nabi. Di Dalam Maulid Nabi itu, dibacakan riwayat-riwayat kehidupan Rasulullah SAW. Ternyata dengan mengadakan majlis Maulid tersebut, menjadikan semangt rakyatnya bangkit kembali serta menambahkan perasaan berani menghadapi musuh. Dengan tentangan keras dan sikap tidak mudah menyerah kalah, negeri Ibril tidak berhasil untuk ditakluki oleh tentera-tentera Mongolia.

Idea Raja Muzaffar ini kemudian digunakan pula oleh Salahuddin al Ayyubi untuk membangkitkan semangat rakyat dalam Perang Salib, yang berlarutan cukup lama. Ketika itu, dunia Islam sedang menghadapi gelombang tentangan dari berbagai bangsa Eropah, Perancis, Jerman dan Inggeris.

Pada awalnya, cadangan Salahuddin al Ayyubi ini ditentang oleh para ulama'. Ini kerana sejak zaman Nabi SAW, peringatan Maulid seperti itu tidak pernah ada. Tambahan pula hari raya rasmi menurut Islam cuma ada dua iaitu 'Idulfitri dan 'Iduladha. Akan tetapi Salahuddin menegaskan, perayaan Maulid Nabi hanyalah majlis yang akan menyemarakkan syiar Islam, bukan perayaan biasa dan bukan diketegorikan bida'ah yang sesat.

Ketika Salahuddin al Ayyubi meminta persetujuan dari Khalifah al Nasir di Baghdad, ternyata Khalifah merestui tindakan dan bersetuju. Maka pada ibadah haji pada bulan Zulhijjah 579 Hijrah bersamaan 1183 masihi, Salahuddin memaklumkan kepada seluruh jemaah haji, jika pulang ke negeri masing-masing agar menyebarkan kepada umat Islam bahawa, mulai tahun 580 hijrah 1184 masihi, tanggal 12 Rabi'ulawwal adalah merupakan hari perayaan Maulid Nabi yang harus dihidupkan dengan berbagai kegiatan yang membangkitkan semangat umat Islam.

Salah satu atur cara yang diadakan oleh Salahuddin al Ayyubi pada peringatan Maulid Nabi adalah mempertandingkan sayembara penulisan riwayat serta puji-pujian bagi Rasulullah SAW dengan bahasa seindah mungkin. Seluruh ulama' dan tokoh-tokoh saterawan diundang hadir mengikuti majlis tersebut. Pemenangnya adalah Syeikh Ja'far al Barzanji. Karyanya yang terkenal sebagai kitab Berzanji yang sering dibaca umat Islam pada setiap kali Maulid Nabi SAW.

Ternyata peringatan Maulid Nabi yang diadakan Salahuddin al Ayyubi itu membuahkan hasil yang memuaskan. Semangat umat Islam dalam Perang Salib bergelora kembali. Pada tahun 583 Hijrah 1187 masihi, Jurusallem dapat ditawan kembali oleh Salahuddin al Ayyubi dari tangan bangsa Eropah dan Masjid al Aqsa kembali menjadi tempat beribadah umat Islam.

Petikan daripada : Biografi Bercahaya Muhammad Rasulullah SAW.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda