Moga Bermanfaat

6.30.2011 0 komentar

Pengenalan Ringkas Ilmu Qiraat al Quran

Senarai Imam Qurra dan Perawi

Tazkirah : Hidup Ini Satu Perlumbaan

Seluruh Dewan Perwakilan Mahasiswa yang Bernaung di bawah bumbung PMRAM


Jaminan Allah Menjaga Al Quran

6.27.2011 0 komentar



Musuh-musuh Islam menganggap al Quran sebagai sumber asasi kekuatan umat Islam di mana ia merupakan  sumber yang akan mengembalikan mereka kepada keagungan dan kemuliaan  sebagaimana di masa lalu ia telah memainkan peranan  sebenar sebagai sumber kekuatan dan kemajuan. Musuh-musuh Islam berusaha untuk menyelewengkannya atau melenyapkannya sedaya kuasa yang mereka ada.

1. Gladstone pernah berucap di dalam dewan parlimen Britain sambil mengangkat al Quran di hadapan ahli-ahli parlimen : "Selagimana al Quran itu berada di tangan umat Islam, maka Eropah selama-lamanya tidak akan berupaya menguasai negara Islam dan Eropah sendiri tidak akan berada dalam keadaan aman tenteram."

2. Seorang pendakyah Kristian, Willian Jifford Bellcraf telah berkata : " Apabila al Quran, Mekah dan Madinah telah hilang daripada negara arab, maka ketika itu kita akan melihat bangsa arab akan bergerak perlahan-lahan ke jalan tamadun barat, jauh daripada Muhammad dan kitabnya."

3. Seorang lagi pendakyah Kristian, Cartly telah berkata : " Kita perlu menggunakan al Quran untuk menentang Islam itu sendiri sehingga kita berjaya menghapuskan Islam keseluruhannya. Kita perlu menyatakan kepada umat Islam bahawa perkara yang sahih di dalam al Quran bukanlah sesuatu yang baru dan benda yang baru bukanlah sesuatu yang sahih."

4. Pemerintah Perancis di Algeria telah berkata sempena 100 tahun penjajahannya : " Kita mesti melenyapkan al Quran daripada bangsa arab dan menghapuskan bahasa arab daripada percakapan mereka sehingga kita dapat menguasai mereka."

Tetapi mereka selama-lamanya tidak akan berupaya untuk mencapai matlamat untuk menghapuskan al Quran, menyelewengkannya atau menimbulkan keraguan padanya kerana Allah memberi jaminan untuk memeliharanya daripada penyelewengan atau penukaran sehingga hari kiamat. Allah SWT berfirman :

Maksudnya :"Sesungguhnya Kami-lah yang telah menurunkan al Quran itu dan Kami-lah yang memeliharanya(daripada diubah) - al Hijr :9


Kalam Rindu Buat Sang Ayah

6.17.2011 1 komentar


Tulisan ini di'post' kembali setelah dua tahun menyepi di bawah entri-entri lain. Bulan Jun kembali, menggagahkan diri untuk mengupdate blog yang sekian lama bersawang. Kalau dulu, bila teringat 22 Jun 2002, mata mula berkaca tetapi kini tidak lagi. Ingatan masih tetap sama, kerinduan tetap macam dulu juga, cuma kawalan perasaan yang sudah agak berbeza. Mungkin diri ini sudah semakin dewasa...rindu padamu ayahanda.

Ayah...
Terlalu asyik rasa duduk membilang hari
Bulan demi bulan dan tahun demi tahun berlalu,
Sudah hampir sepuluh tahun ayah pergi,
Rasanya baru semalam ayah usap kepala kita, sejuk syahdu masih lagi terasa

Ayah...
Petang itu masih segar dalan ingatan
Itulah kali terakhir ayah mengusap kepala anak lelaki yang nakal ini
Emmmm...rupanya ayah seperti dah tahu yang ayah nak pergi jauh
Nak tinggalkan anak-anak ayah, nak tinggalkan dunia fana ini

Ayah macam sudah bersedia
Seminggu sebelum tu,
Ayah pesan siap-siap, suruh belajar rajin-rajin, jadi macam tok guru dan alim ulama'
Walaupun ayah sudah tidak ada, kita tetap kena belajar juga

Ayah kata, ayah tak mampu nak tinggalkan harta
Ini saja yang ayah mampu buat, suruh semua anak-anak ayah belajar
Walau macam mana susah sekalipun, mesti kena belajar
Nanti boleh doakan untuk ayah dan mak

Tinggi benar harapan ayah
Hendak tengok semua anak-anaknya belajar agama
Onak dan duri ayah tak kisah, semuanya untuk anak-anak
Ayah tak makan pun tak mengapa, asalkan anak-anak senang dan kenyang
Ayah tak pernah putus asa
Tak cukup pagi dan petang, waktu malam pun ayah usahakan

Ayah...
Petang hari Jumaat dapat berita ayah masuk wad
Malam tu juga bergegas pulang ke rumah
Ayah dalam kesakitan, tangan ayah luka teruk. Hampir dengan urat nadi
Tambah pula dengan sakit buah pinggang yang sangat kritikal
Kedua-dua belah buah pinggang rosak teruk
Ayah tak nak buat Dialisis, kami semua akur
Katanya nak ikhtiar cuba cara kampung pula, Dialisis mahal katanya
Nanti siapa nak tanggung anak-anak belajar
Kami hanya berdiam seribu makna...
Saat begini pun ayah masih mengutamakan kami.

Ayah...
Ampunkan kami semua
Kami nak ayah sihat
Kami sayang ayah
Kami tak mahu ayah sakit
Kami tak kisah tak dapat belajar pun
Asalkan ayah sihat
Ampunkan kami ayah

Ayah...
Dulu masa kita yang sakit
Tangan terseliuh teruk sebab kita yang nakal
Ke hulu ke hilir ayah tak senang duduk
Ayah cari tukang urut terbaik
Alhamdulillah tangan kita kembali pulih

Ayah...
Usai solat asar, ayah dibawa berjumpa pengamal perubatan Islam
Kita ikut sama dan itulah kali terakhir kita menaiki kereta bersama ayah
Sebelum turun dari rumah, ayah pesan kena pergi sekejap saja
Sebab ayah nak balik segera
Mak pernah berbisik, ayah pesan yang ayah nak 'meninggal' kat rumah
Kita hanya diam tak terkata
Mungkin ayah dah tahu saatnya semakin hampir

Ayah...
Jam 7.30 petang 22/06/2002
Selepas satu jam tiba di rumah
Abang membisikkan kalimah tauhid di telinga ayah
Tidak lama, terpacul kalimah 'innalillah'
Nafas terakhir dihembuskan dipangkuan abang
Ayah mesti nampak kami semua menangis saat itu
Mesti ayah nampak abang cium dahi ayah
Mesti ayah dengar kakak dan membaca surah yaasin untuk ayah
Mesti ayah nampak adik dan semua orang menangis
Mesti ayah nampak semua tu kan

Ayah...
Malam tu tak seperti malam yang biasa
Suasana suram walaupun ramai orang hadir
Adik kat sebelah hanya diam melayan perasaan
Hujung tudungnya dibasahi airmata
Kenangan kita bersama ayah berputar dalam kepala
Jalan di depan terasa makin kelam
Airmata berterusan mencurah-curah
Sepanjang malam terasa kedinginan itu, lain benar suasananya
Terasa syahdu dan sayu

Ayah...
Kita masih ingat lagi
Kita baca Al Quran di sebelah ayah menemankan ayah
Mak dan kakak pun turut baca bersama
Kita baca Al Quran sambil berlinangan air mata
Mak kata "jangan nangis...kalau sayang ayah jangan buat gitu..jangan nangis"
Bila mak berkata begitu
Deraian air mata ini mengalir semakin laju

Jam 11.00 pagi ayah dimandikan
Kami anak beranak memangku ayah
Sebelum muka ayah ditutup
Semua anak-anak tampil menatap wajah ayah buat kali terakhir
Semua orang kata ayah seolah-olah senyum saja
Ayah rasa tak
Masa tu kita cium dahi ayah
Kita rasa sejuk sangat dahi ayah
Air mata tak mampu ditahan
Abang mengimamkan solat jenazah ayah

Jam 12 tengahari ayah diusung keluar dari rumah
Ramai yang mengiringi jenazah ke kuburan
Kami tiga orang menanti di liang lahad
Menyambut jasad ayah
Itu adalah tanggungjawab kami anak-anak

Ayah.....
Hari-hari dilalui tanpa ayah lagi
Begitu terasa kehilangan ayah
Boleh kata setiap kali tatap gambar ayah pasti berendam air mata
Semakin ditenung terasa semakin sayu
Tangisan tak dapat dibendung
Lagu 'di pondok kecil' mengiringi kerinduan ini
Semoga kerinduan terubat dengan pertemuan di syurga nanti
Insya'Allah...

Ayah...
Kita rindu sangat-sangat pada ayah
Hanya bacaan ayat-ayat Al Quran dan doa yang mampu kita sampaikan
Kita mendoakan ayah sentiasa dicucuri rahmat Allah
Terima kasih kerana mendidik dan membesarkan kita
Mengajar kita menjadi seorang manusia, hamba Allah Yang Esa
Memberi seluruh kasih sayang sejak kita lahir sehingga masuk sekolah
Sampai masuk univesiti.
Sampai kite boleh merasa belajar di negara orang
Sampai kiamat pun, jasa ayah tak akan mampu kita balas

Membilang tahun, angkanya sudah hampir kesepuluh
Semoga ayah sentiasa dicucuri rahmat Allah
Kami anak-anak sentiasa mendoakan ayah
Kami tidak akan sia-siakan harapan dan cita-cita ayah
Kalam rindu buat si ayah
Daripada, anak ayah 


Hipokritkah?

6.04.2011 4 komentar
Pertama,

Di luar solat, tidak kenal apa itu aurat. Seluar bukan sahaja singkat, ditambah lagi dengan sendat, baju pula ketat. Katanya tak nak hipokrit, tak nak bermuka-muka. Hipokrit tak elok. Tak nak jadi munafik. Tak nak jadi orang lain, nak jadi diri sendiri. Tapi semasa nak solat, cantik pula bertelekung. Labuhnya sampai ke lantai. Macam tu tak hipokrit dengan Allah ke? Allah Maha Melihat, bukan semasa solat saja. Kalau tak nak hipokrit, pakai sajalah baju kecik singkat seluar ketat tu masa solat. Amacam?

Kedua,

Berbulan-bulan sebelum peperiksaan, study biasa-biasa saja. Solat lewat-lewat sikit pun tak apa. Solat sunat lain kali boleh buat. Al Quran buka jarang-jarang je. Semakin hampir dengan peperiksaan, study hard, pantang ada ruang mesti nak solat sunat, ke hulu ke hilir dengan buku saja, solat hajat dan doa berjela-jela, mohon diperkenan apa yang dipinta. Selesai peperiksaan, buku-buku entah ke mana, mahu enjoy menggila, tiada lagi solat sunat, solat hajat dan doa yang berjela-jela... Kalau macam ni tak hipokrit ke? Bermuka-muka semasa peperiksaan saja.

Ujian sebenar kita bukan semasa peperiksaan tetapi setelah selesai peperiksaan, setakat mana melazimi dengan ilmu dan amalan kita. 

Imam Syafie berkata : 'bukanlah ilmu itu hanya sesuatu yang dihafal semata-mata, ilmu itu adalah yang bermanfaat dan berguna.'

Selamat Menghadapi Peperiksaan

alhamdulillah, masih sempat menghasilkan banner untuk PMRAM


Palestin, Isu Yang Bermusim?

5.18.2011 0 komentar

Cuba menyoal diri sendiri
Adakah isu Palestin cuma suatu isu yang bermusim?
Saat media kecoh, kita turut sama kecoh. Bila media senyap, kita juga senyap bagai orang bisu dan pekak.
Adakah isu Palestin hanya berkait dengan tarikh-tarikh yang tertentu?
Apabila tiba tarikh Nakbah 15 Mei, riuh sana sini pasal Nakbah.
Tiba tarikh Yahudi membakar Masjid al Aqsa, semua bising berbicara hal ini.
Datang musim boikot barangan Israel Amerika, kita turut boikot bersama.
Tapi, tiba musim megasale perayaan, orang memborong sakan, kita ikut sama.
Dah tak ambil kisah produk siapa, asalkan rasa murah diangkut saja.

Kita mudah lupa
Atau kita sengaja melupakan? Malas mengambil cakna? Isu yang dah berlarutan sejak sekian lama, sensitiviti kita semakin terhakis dengan peredaran masa. Umat Islam di Palestin terus di bunuh sesuka hati mereka.

Harapnya, tidak. Isu Palestin bukan bermusim.
Selagi Palestin tidak dibebaskan, selagi nyawa dikandung badan. Perjuangan ini wajib diteruskan.

Tetapi...
Kita asyik dengan hilai tawa. Kita merasa bahagia disaat saudara kita sedang mempertaruhkan nyawa. Palestin terus terhimpit menderita setiap masa. Terkurung di sebuah penjara terbesar di dunia. Tanpa mendapat peduli sesiapa. Setiap hari bergenang air mata. Daging dan tulang bersepai di mana-mana. Terlalu kejam jika kita hanya mengambil cakna hanya untuk seketika. Setelah itu, diam tanpa bicara.


Kalau ada yang bertanya
Siapa mahu ke Palestin?
Kita tergagap-gagap untuk menyahut "Ya! Saya mahu!".
Menyahut pun sudah gagap, apatah lagi melangkah kaki ke sana.
Lihat orang lain di kiri kanan mengangkat tangan, kita turut mengangkat sama.
Dalam hati, kalau tak angkat, malu tak tahu nak letak muka di mana.
Angkat saja dulu, pergi atau tidak itu persoalan kedua.

Inilah realiti dan hakikat diri kita semua.
Malulah kepada yang Maha Kuasa
Masih segan dan tidak mahu menerima peniagaanNya
Modal kita adalah darah dan nyawa, membantu saudara kita di sana
Syahid menjadi cita-cita utama
Keutungan hidup abadi di syurga selama-lamanya


Memperingati Nakbah 15 Mei 1948

5.14.2011 0 komentar


Setelah lebih 6 dekad, malapetaka yang melanda saudara kita di bumi Palestin yang menyebabkan Palestin dan Baitul Muqaddis yang terus diceroboh dengan biadab oleh Yahudi Zionis. Sehingga kini, hal ini menjadikan titik hitam pada wajah umat Islam keseluruhannya.

Tepat 15 Mei 1948, tentera Zionis Israel telah melancarkan pembersihan etnik ( etnic cleansing ) iaitu sejumlah 750,000 orang  atau tiga perempat populasi daripada rakyat Palestin dihalau keluar dari kediaman mereka. Mereka dipaksa menjadi pelarian dalam negara Palestin sendiri dan termasuk di negara-negara jiran yang mencecah juta orang. Kini sudah lebih 6 dekad pelarian Palestin hidup dalam kemiskinan dan penafian keperluan asasi yang sangat parah.

Mereka terpaksa hidup tanpa makanan yang mencukupi , tanpa tempat tinggal , tiada pekerjaan , pendidikan dan kemudahan rawatan. Nasib mereka hingga kini tidak dipeduli oleh masyarakat antarabangsa yang didominasi oleh Israel yang berlindung disebalik kuasa Amerika Syarikat.

Kini Israel maseh meneruskan polisi pembersihan etnik ke atas  rakyat Palestin . Sejak pencerobohan ke atas Tebing Barat dan Jurusalem Timur pada tahun 1967 , Israel telah membangunkan kependudukan Yahudi yang melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi PBB. Lebih 6 juta orang Yahudi menceroboh bumi Palestin, sementara 5 juta rakyat Palestin menjadi pelarian. Semenjak hari itu dan sehingga kini, kita terus berpeluk tubuh.

Setelah lebih 60 tahun, saudara kita di Palestin hidup di medan peperangan, berada di tengah–tengah kekejaman penjajah durjana Israel laknatullah. Mereka di tindas dan dizalimi tanpa simpati sesiapa. Rakyat Palestin menjadi banduan di penjara terbesar di dunia apabila mereka di kepung oleh tentera Israel di Palestin dengan tembok sepanjang 720 km dan 8-12 meter tinggi. Rakyat Palestin terus dicekik oleh regim Israel yang didalangi Amerika Syarikat setelah mereka menutup terminal Rafah pada 9 hb Jun 2007  iaitu pintu masuk di sempadan antara Israel dan Mesir.

Pada hari ini, Ribuan rakyat Mesir sedang membuat persiapan untuk menyeberang masuk ke Gaza pada 15 Mei nanti bagi memperingati ulang tahun Nakba. Mereka akan melintasi sempadan di Rafah sebagai solidariti dan usaha berterusan menghentikan sekatan dan embargo yang dikenakan oleh rejim zalim Israel ke atas rakyat Gaza. Dahulunya, Hosni Mubarak menjadi pihak yang bertanggungjawab memastikan sekatan Israel ke atas Gaza dapat dilaksanakan, memisahkan lebih 1.5 juta rakyat Gaza dari dunia luar dengan menutup pintu masuk di Rafah — satu-satunya jalan masuk ke Gaza di luar daerah yang dikawal Israel.

Intifadah Palestin Ketiga bakal dilahirkan yang juga boleh digelar sebagai Gerakan Dunia Arab.” Gerakan tersebut juga menyeru semua bangsa Arab untuk maju ke sempadan-sempadan Palestin di Mesir, Syria, Lubnan dan Jordan bagi menuntut hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka.

Ayuh! Kita bersama!


Kita Dan Movie

5.12.2011 0 komentar


Nak dijadikan cerita, seorang teman mengadu dimarahi teruk gara-gara menjadi punca kerosakkan external hard disk yang  sarat penuh dengan movie dan series rakannyanya secara tidak sengaja. Semua datanya hilang. Hampir penuh 450GB dengan movie, series, anime dan lain-lain.

"Bodoh! Berminggu-minggu aku download! Kurang ajar punya budak! Abis hilang macam tu je." kata-kata pedas dari rakannya.

Perkara ini kita anggap biasa jika orang biasa-biasa yang melakukannya. Tetapi jangan terkejut jika orangnya adalah seorang pemuda Islam yang aktif di lapangan dakwah mahasiswa dan masyarakat umum.

Kita rasa pelik? Atau kita bersikap biasa-biasa saja. Fokusnya bukan menonton tetapi sikap keterlaluan dalam men'download' dan menonton movie. Bermula dari pagi hingga ke petang, komputer berterusan di'on'. Menonton movie kegemaran sehingga larut malam sehingga terpaksa menunda solat hingga ke saat-saat akhir waktu kerana terlalu asyik dan leka bergelak ketawa sewaktu menonton. Kita boleh lihat bagaimana tabiat suka menonton movie dan series ini seperti menjadi satu kebiasaan bagi kita. Jika dahulunya seorang yang aktif berdakwah kini bertukar sebagai geng menggoyang kaki depan komputer setelah menjejaki dunia movie dan mahir men'download'.

Kita maklum diluar sana kebanyakan pemuda berstatus mahasiswa yang tidak mengambil kisah tentang hal ini malahan turut terlibat sama menjayakan sikap kurang sihat ini. Perlu kita ingat, bukan pengisian movie dan kemahiran men'download' yang kita nak bawa setelah terjun ke lapangan masyarakat tetapi kita yang akan memimpin umat pada masa hadapan. Begitu juga dalam keluarga, tak kan nak didik anak ikut cara Maharaja Lawak?

Lihat,

"Wei, kau dah tengok Maharaja Lawak terbaru?" "Lawak giler la geng Jambu tu"

Sekali pandang, kita menganggap normal pertanyaannya. Tapi ramai kalangan kite yang menjawab: 
"Belum lagi. Kau dah download ke? HD ke ambil kat YouTube je?"

Apa ini? Tidak adakah pertanyaan lain? Bila bersembang isu-isu umat Islam sedunia tentang audara kita di Palestin, di Syria dan di Libya...apa pun langsung tak ambil tahu.

Maharaja Lawak, Hikayat Merong Mahawangsa, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Senjakala, Khurafat, Fast n Furious 5 dan lain-lain lagi sehingga tahu apa episod terkini yang perlu di'download' dan ditonton. Bukan setakat menonton, malah boleh menceritakan kembali daripada mula hingga episod semasa. Kita menonton dengan tujuan mahu merehatkan minda? Adakah dikira merehatkan minda sehingga melengahkan waktu solat? Di manakah tahajud dan bacaan al Quran yang menjadi rehat dan penenang hati daripada kekacauan dunia yang melelahkan?

Alasan kita, mengapa suka sangat menonton movie dan series. Sebab nak up to date dengan movie dan series. Kononnya nak catch up dengan perkembangan semasa supaya tidak ketinggalan. Aduh, dalam bab movie kita tidak mahu ketinggalan di belakang tetapi dalam bab mengejar ilmu pengetahuan kita lebih rela mendahulukan orang lain. Isu-isu semasa kita buat tak endah saja. Catch up dengan perkembangan semasa ke macam tu?

Ada yang kata banyak pengajaran yang boleh diambil daripada movie dan series yang ditonton. Semakin kusut dibuatnya. Tak cukupkah lagi bagi kita pengajaran dan teladan selain al Quran dan hadith-hadith? kisah para sahabat dan tabiin? Dokumentari yang ilmiah? Mengapa mesti tayangan movie yang dipilih untuk mengambil teladan dan pengajaran?

Sebab dan alasan yang tidak masuk akal.

Sama-sama kita fikirkan. Kewajipan lebih banyak daripada waktu yang ada.