Babi Pula Yang Selsema

4.29.2009
Ambo ore Biaso

Dulu selsema burung, kini selsema babi pulak. Lepas ni entah apa pula yang akan selsema pulak. Kucing ke, anjing ke, tak pun selsema gajah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Dulu kalau kita sebut saja ‘babi’ seolah-olah tidak sopan dan agak kasar bunyinya, tapi kalau kita sebut ‘khinzir’ bunyinya macam sopan sedikit dan agak manis sebutannya. Hakikatnya babi atau khinzir ini adalah benda yang sama iaitu sejenis binatang dan merupakan salah satu makhluk ciptaan Allah s.w.t. Mungkin untuk bulan April ini selayaknya kita menobatkan babi sebagai haiwan paling popular peringkat antarabangsa kerana rata-rata seluruh media elektronik, media cetak semuanya bercerita mengenai isu babi ini

Maksud firman Allah dalam surah al Baqarah ayat yang ke 173 :

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disenbelih tidak kerana Allah ; maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu) maka tidaklah is berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Seperti yang diketahui umum (harap tahu), wabak Selsema Babi atau swine flu berpunca daripada sejenis virus terbaru iaitu H1N1 iaitu sejenis virus yang tidak pernah dikesan sebelum ini yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia. Wabak ini dilaporkan sedang melanda Mexico dan Amerika Utara beberapa hari lepas. 81 orang maut di Mexico ,menjangkiti 12 orang di Amerika Syarikat, 1500 telah dijangkiti dan buat pertama kalinya pihak berkuasa di New Zealand mengesahkan 10 pelajar negara berkenaan yang baru pulang dari Mexico menghidap selesema babi dan terpaksa dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Macam bahaya sungguh virus ini. Semasa wabak selsema burung dulu ramai juga yang terkorban, tapi selsema burung tersebar melalui burung. Selsema babi ini disebarkan oleh manusia pula. Ini yang mencetuskan keadaan panik di Mexico dan Amerika Utara. World Health Organization (WHO) pada 24 April 2009 dengan situasi yang begini bersetuju untuk mengistiharkan krisis kecemasan kesihatan antarabangsa.

Simptom-simptom yang dipamerkan pesakit yang dijangkiti H1N1 adalah seperti, selsema, demam, batuk, kepenatan dan juga kurang selera makan. Ada juga laporan menyebut bahawa pesakit mengadu sakit tekak, loya, muntah-muntah dan cirit-birit. Virus H1N1 ini dipercayai menjangkiti manusia ke manusia melalui udara, titisan rembesan hidung mahupun mulut yang berlegar di udara. Selsema Babi mudah menjangkiti manusia lain dalam lima ke sepuluh hari pertama jangkitan. Ubat yang disarankan adalah seperti; amantadine, rimantadine, oseltamivir dan zanamivir, walaubagaimanapun, untuk wabak terbaru ini, rawatan yang disarankan adalah dengan menggunakan oseltamivir dan zanamivir. Vaksin untuk selsema manusia bermusim tidak melindungi manusia dari Selsema Babi.

Mari kita tengok reaksi negara-negara di dunia terhadap wabak ini :
JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia menggantung semua import babi dan produk daging berkenaan semalam sebagai tindakan berjaga-jaga terhadap penularan wabak selesema babi.
Langkah itu dilakukan berikutan pertemuan menteri-menteri kanan yang berbincang mengenai koordinasi terhadap ancaman wabak itu terhadap Indonesia.

Sementara itu di Bangkok, pihak berkuasa Thailand mula memasang alat pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi bagi menyekat kemasukan produk babi dari Mexico atau Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kesihatan, Witthaya Kaewparadai berkata, para penumpang dari beberapa destinasi turut diperiksa terhadap simptom jangkitan virus selesema babi. – AFP
MANILA - Pihak berkuasa kesihatan Filipina semalam menggesa orang ramai mengelak berpelukan dan berkucupan di tempat awam berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak selesema babi.

Pada Ambo, sudah tidak ada benda lain ke yang hendak dimakan, kenapa babi juga yang menjadi pilihan? Ambo tidak menyalahkan babi dalam kes ini, babi tidak bersalah. Babi adalah makhluk ciptaan Allah, ada hikmah disebalik penciptaan babi ini. Cuma babi hanya diharamkan untuk dimakan dan dikira sebagai najis mughallazoh(berat) sekiranya menyentuh babi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala hikmahnya.

Maksud firman Allah s.w.t :
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik(yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.”


Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda