Bersiap menghadapi ‘peperangan’

4.13.2009
Hari yang dijanjikan semakin menghampiri, sememangnya tidak mampu untuk mengelak lagi melainkan mengharungi dengan segenap keringat yang ada. Keadaan ‘musuh’ pada kali ini tidak mampu untuk diduga, tidak seperti di bumi kelahiran Malaysia sebagaimana yang pernah dihadapi sebelum ini ternyata kita mampu menduga starategi, taktik dan kelicikan serangan. Ada juga beberapa ketika dugaan meleset. Di sini memang berbeza. Itu sahaja yang mampu disimpulkan.

Kini cuma berbaki belasan hari sahaja, Memang belasan hari jika dihitung dengan teori 24 jam sehari tetapi persoalannya adakah 24 jam itu digunakan dengan semaksimumnya demi menghadapi ‘peperangan’ kali pertama di bumi panahan ini. Jika ditolak campur dengan aktiviti lain, lalai dan banyak merehatkan tulang belakang di atas tilam, masa yang diperuntukkan untuk meningkatkan kekuatan ketenteraan cuma beberapa jam sahaja dalam sehari. Ya Allah!! Terlalu banyak masa yang telah Kau berikan namun aku mempersia-siakannya.

Memang terasa malu untuk memohon supaya Engkau Yang Maha Pemurah dan Penyayang mengurniakan kemenangan dalam ‘peperangan’ yang bakal dihadapi nanti kerana kelalaian dan kealpaan yang merajai diri namun ditelan juga perasaan malu itu kerana tidak ada tempat lain untuk memohon pertolongan selain daripadaMu. Kurniakan ‘kemenangan’ kepada kami Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun.

Hakikat yang mesti diakui dan diterima adalah ‘kekuatan’ dan ‘persenjataan’ masih belum sempurna. Bukan setakat tidak sempurna malah terlalu banyak kecacatan yang menampal di sana sini. Adakah mampu untuk menghadapi ‘musuh’ pada hari ‘peperangan’ nanti jika ‘persenjataan’ ala kadar yang digunakan dan ‘kekuatan’ yang rapuh dan lembik bagai biskut yang dicicah air kopi panas. Logiknya memang tidak mampu melainkan ada ‘keajaiban’. Masa kian singkat. Kini cuma menghitung bilangan dari sehari ke sehari.

Adakah kita ingin mengharap kepada keajaiban yang tidak pasti. Kita bukanlah seorang nabi atau wali yang dikurniakan mukjizat dan karamah. Melihat kepada keadaan diri yang dibelenggui pelbagai dosa dan noda masakan akan ada keajaiban yang berlaku melainkan kalau ada yang berlaku maka itu adalah istidraj, na’uzubillah. Ya Allah!! Ampuni segala dosa kami. Lupakan sahaja soal keajaiban yang tidak pasti.

Peluang masih lagi terbuka, walaupun sudah agak terlambat namun masa yang masih ada ini perlu digunakan semaksimum mungkin walau terpaksa mengerahkan seluruh keringat dan tenaga demi meningkatkan ‘kekuatan’ dan ‘persenjatan’ demi menghadapi ‘musuh’ yang tidak pasti bagaimana keadaannya nanti. Bukan terpaksa tetapi kita mesti memaksa diri untuk melakukannya. Mulakan sekarang sementara masih ada kesempatan. Mohonlah kepada Allah disaat susah mahupun senang. Semoga Allah mengurniakan ‘kemenangan’ kepada kita dalam misi ‘peperangan’ yang bakal dihadapi nanti.

Salam imtihan. Insya’Allah bittaufiq wa najah.

Comments
1 Comments

1 komentar:

  • Post a Comment

    Apa komen anda