Kita Mencuri???

7.30.2009 2 komentar

Setiap hari teknologi yang mampu dicapai oleh manusia semakin canggih sehingga kita tidak mampu untuk mengejar satu persatu. Ambo hanya sekadar hendak berkongsi pendapat tentang penggunaan software atau windows pirate yang semakin berleluasa penggunaannya kini. Apakah hukumnya di sisi Islam? Haram atau tidak? Kalau kita sebagai pelajar, memang banyak sangat menggunakan software dan windows pirate macam ni...Maklum sajalah, boleh dikatakan kita memang tidak mampu untuk membeli software atau windows yang original kerana harganya yang terlalu mahal. Persoalannya sekarang, apakah kesannya pada kita pada kemudian hari. Adakah penggunaan software dan windows pirate kita itu tidak dikira sebagai 'mencuri' hak orang lain? Selain itu, ramai dikalangan pelajar kini menjalankan perniagaan sambilan dengan membaiki dan mem'format' komputer. Sekiranya kita menjalankan perniagaan berkaitan dengan komputer(tidak kira pelajar atau bukan pelajar), seperti repair + format pc dengan menggunakan software pirate. Apakah kita tidak menzalimi pereka software atau windows tersebut dengan 'mencuri' hasil yang sepatutnya diperolehi oleh mereka tetapi dirampas melalui software pirate yang kita gunakan tersebut?
Apakah status rezeki yang diperolehi sumber perniagaan begitu?

Ada pandangan? Klik di sini


Perlu Jaga Tepi Kain Orang

7.26.2009 0 komentar

“Jangan nak menyibuk hal orang la!!”
“Jangan sibuk nak jaga tepi kain orang”
“Awak ni siapa nak halang saya??”
“Saya tak ganggu hal awak dan saya tak nak awak campur hal saya”
“Jangan ganggu hal aku. Suka hati akulah apa aku nak buat. Kalau aku mati pun bukannya aku duduk satu kubur dengan kau”

Inilah antara ungkapan yang sering singgah di cuping telinga apabila kita cuba menghalang atau menegur seseorang yang melakukan kesalahan samada salah disisi undang-undang Allah atau undang-undang ciptaan manusia. Kononnya mereka menganggap diri mereka 'up to date' dan mengatakan kita ini tak 'up to date' kerana tidak mengikut arus kemodenan. Inilah realiti yang berlaku apabila kejahilan, sifat sombong, mentaliti hiburan dan kedegilan telah menggari umat Islam.

Keadaan akan menjadi kian kronik sekiranya tanggungjawab menyuruh perkara yang baik dan mencegah perkara yang mungkar ditinggalkan kerana segala kemungkaran berlaku tanpa ada pencegahan. Sememangnya menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk ‘menjaga tepi kain sendiri dan menjaga tepi kain orang dalam konteks mencegah perkara mungkar disamping menyeru dan menyuruh kearah perkara kebaikan.

“dan hendaklah ada sebahagian dikalangan kamu yang menyeru kearah kebaikan dan mengarah kearah ma’ruf serta mencegah yang mungkar dan mereka inilah golongan yang beroleh kejayaan” Ali Imran : 104

“kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan ditengah-tengah masyarakat manusia untuk mengajak mereka kearah yang ma’ruf dan mencegah mereka dari yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah s.w.t. Ali Imran : 110

Sabda Rasulullah s.a.w : “sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah mencegah dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hati. Ini adalah selemah-lemah iman”.

Implikasi yang amat buruk bakal dihadapi seluruh umat manusia apabila gerak kerja ini diabaikan dan ditinggalkan. Paling ketara adalah retaknya hubungan dua hala antara Allah dan hambaNya. Lebih ketara apabila implikasi itu menular sehingga menghancurkan peradaban manusia. Tanpa amar ma’ruf dan nahi mungkar generasi manusia kehilangan pedoman, akhlak kian terhakis dan akidah akan terancam.

Sikap hanya jaga tepi kain sendiri’ perlu dihapuskan serta merta dalam diri setiap umat Islam kerana sikap ini cukup berbahaya kerana ia akan memberi laluan yang cukup selesa kepada aktiviti kemungkaran tanpa ada sebarang pencegahan untuk menghalang berlakunya kemungkaran. Sebagai contoh, kita membina rumahtangga yang penuh dengan tarbiyah islamiyah dalam mendidik isteri dan anak-anak tetapi membiarkan serta tidak mempedulikan segala kemungkaran yang berlaku di sekitar kawasan tempat tinggal kita. Persoalannya, selama manakah kita akan mengurung isteri dan anak-anak di dalam rumah? Adakah anak-anak tidak punya rakan dan teman? Bagaimana pula dengan komunikasi keluarga kita dengan masyarakat?

Sewajibnya kita setiap umat Islam mesti bertanggungjawab untuk melaksanakan hal ini bagi memastikan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan seterusnya mengelakkan kita dilaknat oleh Allah sebagaimana Allah melaknat Bani Israel akibat keengganan mencegah kemungkaran.

Muslimah Upload Gambar

7.18.2009 11 komentar

Dunia semakin canggih, segalanya hanya di hujung jari. Klik saja terus dapat. Bercerita tentang aktiviti meng'upload' gambar pada laman-laman tertentu seperti Friendster, Myspace, Facebook, Blog dan lain-lain dilihat kini menjadi perkara biasa sahaja terutama dikalangan wanita yang bergelar muslimah. Gambar-gambar yang di'upload' itu disertai dengan bermacam-macam ragam, aksi(aksi yang paling popular adalah 'peace' dengan dua jari) dan gaya 'posing' yang berbagai sehingga ada gambar-gambar yang di'upload' menampakkan kesan-kesan jerawat yang ada di muka. Terbit rasa hairan di dalam hati ini, di manakah perginya rasa segan mereka? Tidakkah terbit rasa malu di hati mereka? Malu adalah merupakan lambang keimanan...

Berbagai kemungkinan yang menjadi tujuan utama mereka meng'upload' gambar-gambar pada laman-laman tertentu seperti gambar tersebut adalah untuk tontonan umum sebagai menceritakan perkara-perkara yang telah berlaku dengan gambar seperti menyambut hari lahir, hari raya dan pergi melancong. Kemungkinan juga tujuannya adalah supaya orang yang tidak mengenali mereka boleh mengenali dengan gambar dan mungkin juga sebagai tontonan untuk mereka yang sudah kenal serta boleh melihat gambar selalu. Mungkin juga mereka ingin mempertontonkan kepada umum kecantikan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Ada golongan yang mem'private'kan album gambar mereka dan hanya boleh ditonton oleh orang-orang tertentu sahaja(jawapan ada dibawah). Berbagai kemungkinan, segalanya bergantung kepada tujuan dan niat masing-masing.

Tidakkah kalian merasa gambar kalian adalah sangat berharga? Adakah wajah kalian yang cantik itu dicipta hanya untuk tontonan umun? Tidak salah rasanya jika ada yang menyatakan bahawa ramai yang bangga meletakkan gambar dengan niat mahu mempertontonkan kecantikan yangg telah dikurniakan Allah kepadanya. Sanggupkah kalian menjadikan wajah yang cantik itu untuk memerangkap kaum lelaki, menggoyahkan iman kaum lelaki dan seterusnya mampu meruntuhkan iman kaum lelaki yang melihat gambar tersebut? Sanggupkah kalian menjadikan gambar dan diri kalian menjadi bahan umpatan bagi kaum lelaki? Tentu kalian tidak tahu apa yang mereka bualkan di belakang, jika kalian tahu sudah tentu kalian akan 'cuak' untuk meng'upload' gambar.

Dunia hari ini semakin canggih sehingga kita tidak mampu untuk mengejar satu persatu kelajuan perkembangan teknologi. Perlu kalian ingat bahawa hanya dengan 'klik' pada butang tetikus sahaja gambar kalian akan ter'save' secara automatik dan dimuat turun ke mana-mana komputer sahaja. Bagi kes mereka yang mem'private'kan album gambar, perlu diketahui bahawa orang lain mungkin tidak mampu untuk memecah masuk ke album 'private' anda tetapi perlu kita ingat bahawa 'owner'(pemilik) laman tersebut senang sahaja melihat gambar-gambar 'private' kalian. Perlu kalian tahu bahawa selain pemilik laman tersebut, mungkin ada dikalangan 'hackers' yang mampu memecah masuk ke album-album peribadi kalian. 'INGAT', dengan segala kecanggihan yang ada kini dengan mudah sahaja gambar-gambar kalian di'edit' oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan Superimpose Photo, Photoshop, Fireworks dan lain-lain. Jangan kalian terkejut sekiranya gambar-gambar kalian terpampang pada skrin laman-laman yang tidak sepatutnya kerana hanya satu kesilapan sahaja. Adakah ketika itu kalian mampu lagi berbangga? Apa yang mampu anda lakukan ketika itu adalah hanya merintih tak tentu pasal sahaja atas kesilapan yg dilakukan oleh kalian sendiri.

Perlu ambo tekankan di sini bahawa ambo bukanlah musuh-musuh kalian semua, bukan mahu mengaibkan atau menghentam kalian semua tetapi ambo adalah saudara seislam kalian yang hanya mahu mengingatkan diri ini sendiri dan kalian semua agar gambar-gambar kita tidak dieksploitasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

http://www.youtube.com/watch?v=OVHDB7BnuWo

http://gadis-melayu-bertudung.blogspot.com

Jika kita perasan, laman di atas kadangkala mencerita perkara yang langsung tidak ada kena mengena dengan gambar yang dipamerkan. Semoga kita memelihara diri dan maruah kita daripada dicemari oleh manusia yang tidak berakhlak.Kadang-kadang kita hendak menasihati orang supaya jangan meletakkan gambar dengan sewenang-wenangnya pada laman friendster, myspace, facebook, blog dan lain-lain tetapi seolah-olah macam tak makan saman. Nanti kata "ala..ape salahnye..". Tapi kalau tak peduli kena eksploitasi..terpulanglah pada diri masing-masing. Kalau nak letak sangat gambar, sila fikirkan bagaimana keadaan gambar itu supaya tak dieksploitasi seperti yang ada dalam laman di atas. Apa-apa pun, marilah sama-sama kita menjaga pandangan kita.

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". - An-Nuur: 30

Apa Pandangan Anda?? Klik di sini

Formula Serangan 4 S dan 4 F

7.16.2009 0 komentar
Sewaktu masa dahulu, golongan kafir yang menentang Islam menyerang umat Islam melalui peperangan bersenjata tetapi serangan-serangan yang dilakukan oleh mereka dilihat gagal untuk melemahkan umat Islam malah lebih meningkatkan kekuatan ketenteraan Islam kerana perbezaan motif peperangan antara golongan Islam dan golongan kafir adalah umat Islam yang berperang kerana memiliki impian untuk mati(syahid) tetapi golongan kafir berperang adalah untuk hidup. Menurut sejarah, bermula selepas berakhirnya perang Salib, pendekatan yang digunakan oleh golongan kafir bukan lagi menyerang secara membunuh nyawa-nyawa umat Islam tetapi serangan yang digunakan adalah cukup licik dan halus iaitu dengan membunuh pemikiran Islam yang ada dalam jiwa umat Islam secara serangan pemikiran (ghazwul fikr) untuk melemahkan akidah dan melekakan umat Islam daripada memahami dan menghayati Islam seterusnya memudahkan mereka dalam menghapuskan nyawa umat Islam.

Serangan pemikiran keatas umat Islam yang dilakukan secara bertubi-tubi, teratur, kemas dan terancang dilihat berjaya untuk melemahkan umat Islam apabila mampu untuk merosakkan akhlak umat Islam dengan mewujudkan insan yang pincang akhlak serta buruk tingkah laku. Melalui serangan pemikiran juga dapat menghancurkan fikrah Islam, memporak perandakan kefahaman Islam dan meleraikan kesatuan umat Islam malahan lebih dibimbangi ia dapat merosakkan akidah umat Islam dengan menyangsikan umat dengan pegangan Islam.

Terdapat lapan fomula yang dikenalpasti menjadi formula barat dalam menyerang pemikiran umat Islam iaitu Formula 4 S(Empat S) dan Formula 4 F(Empat F).

Formula Empat S

S 1 : Song (lagu) - Lagu-lagu yang melalaikan daripada mengingati Allah

S2 : Sport (sukan) - kempen membuka aurat, melupakan ibadah dan percampuran diluar batas antara lelaki dan wanita

S3 : Sex (seks) - mengajurkan seks luar nikah

S4 : Smoke (rokok) - ketagihan dan pembaziran harta

Formula Empat F

F1 : Fun (seronok) - Keseronokan yang melampau dan tidak mengikut syariat, hedonisme dan arak

F2 : Food (makanan) - Makanan Syubhah(diragui taraf kesahihan halal dan haram)

F3 : Fashion (fesyen) - Pendedahan aurat terutamanya wanita

F4 : Fit (dadah) - ketagihan dan merosak akal sera jasad manusia

Pelbagai kesan buruk timbul terhadap umat Islam seperti umat jahil pada Islam, tidak mengenal Al Quran, tidak memahami erti jihad, politik dikuasai oleh golongan sekular, penguasaan militeri(tentera), kemunduran ekonomi umat Islam, ketandusan generasi pewaris Islam, larutnya keperibadian Muslim dalam jiwa umat Islam dan menyebabkan ketaatan umat Islam kepada orang-orang kafir.
Adakah kita telah tergolong dalam kalangan percaturan dan perancangan musuh-musuh Islam???
Ayuh bangkit wahai umat Islam.
...

Di Mana Al Quran Berjalan?

7.12.2009 0 komentar

Persoalan berlegar di fikiran tatkala memikirkan keadaan diri ini, penghafaz, pengkaji, pelajar dan pembaca Al Quran yang kini dilihat semakin hari semakin ramai. Alhamdulillah, satu perkembangan yang cukup baik jika dilihat pada sudut kuantiti namun sebaliknya jika diperhatikan secara mendalam pada sudut kualiti golongan ini pada masa kini. Ramai yang mampu untuk membaca, belajar dan menghafal isi kandungan Al Quran tetapi berapa ramai yang mampu untuk melaksanakan isi kandungan yang dibaca, dihafal dan dipelajari daripada Al Quran dalam berakhlak, berkelakuan dan cara hidup di dunia ini? Hati ini sangat sedih dan pedih sekali apabila masyarakat kini mula mempertikai, memperlekeh dan meremehkan golongan pelajar Al Quran akibat akhlak dan keperibadian buruk yang ditonjolkan oleh golongan pelajar Al Quran sendiri.

Apa yang dapat kita lihat adalah naskhah Al Quran yang cukup banyak pada masa kini sehingga tidak termampu untuk membelek kesemuanya tetapi 'Al Quran yang berjalan' di muka bumi kini amat sukar untuk dilihat. Al Quran yang berjalan dengan maksud golongan yang mempelajari Al Quran dan melaksanakan sepenuhnya segala tuntutan serta arahan yang terkandung di dalam Al Quran ibarat seorang tentera yang menerima arahan dan melaksanakan segala arahan tersebut. Kita sebagai golongan yang belajar dan membaca Al Quran tidak sepatutnya menjadikan Al Quran hanya sebagai bahan bacaan harian atau bahan untuk menambahkan ilmu semata-mata tetapi kita sepatutnya mempelajari Al Quran adalah untuk dilaksanakan dengan serta merta samada dalam urusan hidup peribadi atau urusan hidup masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasaie ketika saidatina Aisyah ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w maka beliau menjawab "kelakuan dan perjalanan hidup baginda(Rasulullah s.a.w) adalah Al Quran.

Al Allamah Syed Qutb menyatakan Al Quran datang bukan sebagai sebuah buku panglipur lara, bukan sebagai sebuah buku sastera, juga bukan sebagai sebuah buku kesenian, sejarah dan novel, malah ia datang untuk dijadikan panduan hidup, panduan Ilahi yang tulen dan sendiri merasmikan Al Quran sebagai pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Demi melahirkan golongan Al Quran yang berjalan, dasar 'belajar untuk terus melaksanakan' perlu ada dalam diri setiap pelajar dan pembaca Al Quran, bukan ayat-ayat Al Quran hanya meniti di bibir sahaja tanpa ada pemahaman dan pelaksanaan isi kandungan Al Quran ibarat seekor burung tiong yang mampu berkata-kata tetapi tidak memahami dan melaksanakannya.

Di mana Al Quran yang berjalan pada masa kini? Bagaimana dengan kualiti golongan penghafal, pelajar dan pembaca Al Quran kini? Adakah kita merasakan diri kita tergolong dikalangan Al Quran yang berjalan? Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang disabdakan Rasulullah yang bermaksud: "berapa ramai orang yang membaca Al Quran akan tetapi Al Quran melaknat mereka"

Ketahuilah bahawa golongan Al Quran yang berjalan adalah tunggak utama dalam perjuangan Islam yang berada di barisan yang paling hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Semoga kita dapat mencontohi akhlak yang telah dipamerkan oleh generasi permulaan Islam yang lalu dalam menjadikan diri kita sebagai salah seorang daripada 'Al Quran yang berjalan'.

Apa pandangan anda? Klik di sini

Aku Lebih Baik

7.11.2009 0 komentar

Cuba imbau kembali masa lalu samada baru sebentar tadi atau yang telah lama berlalu, pernah tak terpacul daripada mulut atau terdetik di hati kita 'aku lebih baik' dengan makna kita lebih baik, lebih bagus, lebih segala-galanya serta meremeh dan merendahkan orang lain. Tentu pernah kan? Itu adalah hasil daripada sifat takabbur atau sombong yang telah berkudis di dalam hati dan jiwa kita. Takabbur atau sombong dalam erti kata yang sebenar adalah menolak kebenaran dan meremehkan serta merendahkan manusia. Untuk apa kita bersikap sombong? Tidak sedarkah diri kita cuma hamba yang diciptakan hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Allah amat murka jika ada makhluk yang bersifat takabbur kerana sifat tersebut tidak layak bagi makhluk. Kisah sang Iblis secara jelas menunjukkan sifat takabbur dengan mengingkari serta enggan untuk sujud kepada Adam a.s. Punca keengganan Iblis untuk sujud kepada Adam a.s adalah kerana menyangka ia lebih baik daripada Adam a.s sebagaimana digambarkan oleh Allah dalam surah Al A'raf ayat 12 yang bermaksud "Allah berfirman: 'apakah yang menghalangmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?' Iblis menjawab: 'aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku daripada api, sedang dia Engkau jadikan daripada tanah".

Lihat saja kini berbagai-bagai ragam manusia sombong, orang kaya sombong berjalan dengan megah dan berbangga dengan kekayaan yang dimilikinya, pemerintah seperti UMNO-BN juga sombong dengan keengganan menerima cara yang digariskan oleh Islam dalam mentadbir negara dan setiap lapisan masyarakat punya cara tersendiri dalam bersikap sombong. Golongan yang paling teruk dan paling rugi adalah orang yang miskin dan bodoh tetapi bersikap sombong.

Paling mengaibkan adalah para agamawan, pendakwah dan aktivis Islam yang bersikap sombong kerana sikap sombong tersebut menjadi fitnah kepada Islam dan menjadi penghalang bagi orang-orang yang cuba mendekati Islam. Sebetulnya bagi agamawan, pendokong Islam, pendakwah, aktivis Islam dan seluruh umat Islam bersifat tawadhuk atau merendah diri kerana sifat tawadhuk adalah sangat mulia disisi Islam dan dipandang mulia di mata masyarakat.

Iman Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali seseorang yang sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini pertama, kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Keduanya kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.

Perkara ketiga yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat. Perkara keempat menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk. Sifat sombong kelima berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.

Keenam, sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap badan dengan batu dan besi. Akhirnya yang ketujuh kata Imam Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak dan dijilat api.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sekalipun seberat biji sawi daripada sifat takabbur".

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah."” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

Hargai Peluang

7.10.2009 0 komentar
Orang selalu kata peluang hanya datang sekali sahaja, jangan lepaskan peluang yang ada. Kalau masa boleh boleh diundur kembali, Ambo akan putar masa kembali ke zaman kanak-kanak. Mustahil. Itu cuma angan-angan kosong. Hakikatnya adalah kehidupan mesti diteruskan. Masa bukan emas kerana masa tidak ternilai harganya. Nilainya tidak setanding dengan nilaian emas yang mampu dijual beli dengan wang ringgit. Masa adalah nyawa kita, masa adalah kehidupan kita. Masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Itu adalah nilaian masa. Allah s.w.t bersumpah dengan masa dalam surah Al-'Asr yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Ada sesekali datang peluang yang sangat dinanti-nantikan, ada juga datang dua peluang sekaligus dan hanya perlu memilih salah satu sahaja serta ada juga yang datang hanyalah peluang yang terakhir. Macam-macam. Apa yang menjadi masalah adalah tidak mahu mengambil peluang tersebut dan tidak tahu menggunakan peluang yang ada. Ini adalah sangat merugikan.
Jarang sekali akan datang peluang untuk kali yang kedua jika pada kali yang pertama menemui kegagalan tetapi jika hadir peluang yang kedua, usah sia-siakan peluang yang ada. Pergunakan dengan sebaiknya untuk mencipta kejayaan pada kali kedua.

Jangan berangan untuk berjaya pada kesempatan akan datang kerana kesempatan akan datang belum lagi pasti akan muncul kembali dan kita belum pasti akan bertemu dengan peluang akan akan datang. Pergunakan sebaiknya peluang yang sudah terbentang di hadapan mata dengan sebaiknya dan usah persia-siakan.
Rancanglah dengan sebaiknya kerana kegagalan dalam perancangan adalah sama seperti merancang untuk gagal.Semoga berjaya kepada sahabat dalam imtihan daur thani(peperiksaan ulangan). Insya' Allah bittaufiq wannajah.

Apa pandangan anda? Klik di sini
...