Hari berganti hari. Keadaanku semakin tenat. Tubuhku terkaku seperti mayat di atas katil di salah sebuah hospital yang aku sendiri tidak tahu mengapa aku di tempatkan di sini. Sebelum tu, yang aku ingat aku sedang memandu kereta , lalu bertembung dengan sebuah lori. Tapi selepas itu aku tidak ingat apa- apa. Pandanganku kabur. Tidak dapat ku pastikan siapa orang-orang yang berada di sekelilingku. Aku terasa dadaku teramat berat dan bahagian pinggangku sudah tidak berasa apa-apa lagi. Derita sngguh. Nafasku sesak. Tiba-tiba tanganku di pegang kuat. 'Mengucap nak, mengucap! 'Asyhaduallailahaillallah' ucapan itu dibisikkan ke telingaku disertai dengan tangisan. Itu suara ibu. Manusia yang pernah mendodoikan daku semasa kecil, manusia yang pernah menyuapkan nasi ke dalam mulutku, manusia yang pernah memberi susunya serta yang pernah merotanku kerana degil.
"Bagaimana dengan keadaannya doktor?" Aku amati suara itu. Pasti itu suara abang. Mungkin abang baru sampai. "Tenat", jawab doktor dengan ringkas. "Itu kata doktor bang, jangan berserah kepada takdir sahaja. Kita perlu usaha". Sudah seminggu aku terlantar di wad ini, kenapa baru sekarang abang menjengah? Datang lah ke sini, aku ingin berbicara denganmu. datanglah... Tapi mataku semakin gelap. Adakah aku sudah buta? Tidak!!! Aku tidak mahu buta. Aku masih ingin melihat dunia ini. "Sabarlah dik,banyak-banyak ingatkan Allah. "Abangkah yang bersuara itu? Apa yang aku tanggung ini tidak semudah yang kau lafazkan, abang. Tolonglah adikmu ini.Tolong bukakan mataku. "Tekanan darahnya amat rendah". Sayup sayup kedengaran suara doktor. Kedengaran juga ibu menangis teresak-esak. Ibu, kau hanya mampu menangis saja, dan bila tiba saatnya,kita akan berpisah. Tapi, ibu, aku tidak mahu berpisah denganmu. Tolonglah ibu,selamatkanlah daku. 'Yasiin'. Bacaan surah Yasiin terngiyang-ngiyang di telingaku. Aku tahu itu suara abang. Tetapi kenapa aku di perdengarkan dengan suara itu? Apakah aku sudah menghampiri maut? Aku takut! Sedetik lagi sakaratul maut datang. Sedetik lagi izrail datang. Sedetik lagi malaikat maut datang.
Aku di ambang sakaratul maut. Aku semakin cemas dan semakin sesak nafas di dadaku. Ketika itu,aku tidak ingat apa-apa lagi. Aku tidak kenal sesiapa di sekelilingku.Tapi yang pastinya sekarang, aku berdepan dengan
sakaratul maut. 'Tolong ibu,tolonglah aku, aku takut!'. Tapi rintihan aku tidak di pedulikan. Apa mereka semua sudah pekak? Aku dilambung resah, gelisah dan penuh kesah. Keluhan dan rintihan "Panas, dahaga, haus... 'tiada siapa pun yang peduli.
'Mengucap nak, mengucap. Asyhaduallailahaillallah'. Ucapan itu diajukan sekali lagi ke telingaku. Itu suara ibu. Tapi lidahku sudah menjadi kelu. Kedinginan menjalar, merayap perlahan-lahan dari hujung kaki ke hujung rambut dan kini seluruh jasadku diselimuti sejuk.Sakit yang teramat sangat aku rasakan. Tidak pernah aku merasakan kesakitan sebegini. Menggelupur, menjerit, meraung sekuat hati. Sakit. Bercerai roh dengan jasadku. Menghemburlah bangkai yang sebusuk-busuknya. Tiba-tiba bau busuk menusuk ke hidungku, seperti bau sampah yang amat busuk. 'Apa yang busuk ni? Ah,busuknya, hanyirnya, hancingnya. Datang seorang pemuda. 'Kau siapa wahai pemuda? Seorang lelaki tercegat di hadapan katilku. Aku tidak pernah melihat wajah yang sehodoh, sekotor, dan sebusuknya di dunia ini. Rambutnya yang tidak terurus, badan yang sangat kotor, wajah yang cukup menjijikkan. Hidung, telinga dan mulutnya terdapat nanah dan darah pekat yang keluar. Jijik, loya, aku rasa teramat loya melihatnya. 'Kau tak kenal aku?'. 'Tidak', jawabku tegas. 'Mana mungkin aku kenal kau sehodoh dan sejijik ini'. 'Aku sahabatmu, akulah amalanmu. Kau yang melakukan aku setiap hari'. 'Bohong!, aku menjerit sekuat hati. Biar semua penghuni wad ini
mendengarnya. 'Aku tak kenal engkau! Lebih baik kau pergi dari sini'. 'Akulah amalanmu yang keji'.
Aku terdiam. Aku tidak mampu berkata apa-apa, teringat kini semuanya telah pernah kudengar dan kupelajari dulu. Segala dosa dan keburukan yang kita lakukan di dunia akan dijelmakan dalam sebagai suatu makhluk yang teramat hodoh di hadapan kita di alam barzakh nanti. Oh Tuhan, aku banyak dosa. Aku memang lalai,cuai dan lupa dengan segala nikmat yang telah kau kurniakan. Solatku kerana kawan, dan bukannya ikhlas kerana Allah. Pergaulanku bebas, tak kenal muhrim ataupun tidak. Tapi itu semua telah berlalu dan sudah terlambat untuk bertaubat. Apa yang aku harus lakukan! Aku melihat kak long dan kak ngah menangis. Aku juga lihat mata mak bengkak. Tiba-tiba badanku disirami air. Air apa ini? 'Tolong, sejuk!. Kenapa air ini berbau air kapur barus? Tolong jangan tekan perutku dengan kuat, sakit! Kenapa ramai orang melihat aku? Aku di usung ke suatu ruang. Aku lihat kain putih dibentangkan. Lalu aku diletakkan di atas kain putih tersebut. Kapas dimasukkan pada setiap celah-celah badanku. Lalu aku di bungkus satu demi satu dengan kain itu. 'Nanti, tunggu! Jangan bungkus aku. Kenapa kalian semua buat aku macam ini? Tolong rimas, panas'. Kemudian aku di letakkan di suatu sudut.
Beberapa orang termasuk tok imam menyembahyangkanku. Kelihatan ayah dan abang berada di saf yang pertama. Tapi kenapa aku di sembahyangkan? Bukankah aku boleh sembahyang sendiri? Aku teringat kata-kata ustazku dahulu. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan'. Kini baru aku sedar aku sudah tidak mampu lagi untuk mengangkat takbir, ruku', sujud dan tahiyyat. Aku diangkat perlahan-lahan kemudian di letakkan di dalam sebuah pengusung. Aku di usung oleh lapan orang termasuk ayah dan abang. Setapak demi setapak. 'Al-Fatihah!' Kedengaran jelas suara tok imam. Kelihatan ibu, kak long, kak ngah dan lain-lain mengekori dari belakang tapi ke mana hendak bawa aku?. Nun jauh di sana, kelihatan tanah perkuburan kampungku. 'Ke situkah aku hendak dibawa? 'Tolong turunkan aku, aku takut!'. Setibanya di tanah perkuburan, aku diletakkan ditepi sebuah liang lahad. Beberapa tangan memegangku, dan aku diturunkan ke dalam liang itu. 'Perlahan-lahan'. Aku terdengar suara tok imam memberitahu.'Tolong keluarkan aku! Aku takut!'.
Kini jasadku berada di dalam liang lahad. Sedikit demi sedikit tanah menutupiku. 'Aduh sakitnya badanku ditimbus tanah'. 'Innalillahiwa innailaihi rajiuuun. Dari Allah kita datang, dan kepada Allah jualah kita kembali'. 'Sesungguhnya mati itu benar alam barzakh itu benar, siratul mustaqim itu benar, syurga dan neraka itu jua benar'. Sayup sayup aku dengar orang membaca al Quran , tetapi makin lama makin hilang. Pandanganku makin, makin kabur dan terus tidak kelihatan. Tubuhku terasa telah di timbusi sedikit demi sedikit pasir dan tanah yang di lemparkan ke atasku. Terasa semakin gelap dan aku kini keseorangan.
Ini Peluang Anda Wahai Perokok
9.01.2009 catatan Pena Daie pada Tuesday, September 01, 2009 2 komentar
Salam RamadhanSekiranya anda bercadang untuk berhenti merokok, gunakan peluang sepanjang Ramadhan ini untuk menjauhkan diri anda dan membuang tabiat buruk merokok yang ada pada diri anda itu. Proses berhenti merokok memerlukan perancangan dan juga penentuan masa yang sesuai dan teratur. Jika ia dirancang dengan betul dengan keazaman yang kuat pasti akan membawa kepada kejayaan.
Banyak alasan diberikan oleh perokok untuk meneruskan tabiat buruk ini. Antara alasan yang sering dilontarkan ialah merokok merupakan tabiat lama yang telah sebati dengan jiwa, merokok boleh mengurangkan stress dan menyebabkan ketagihan kepada nikotin. Hal ini berlaku kerana sikap anda yang tidak serius untuk meninggalkan tabiat buruk tersebut. Ya, memang sukar untuk meninggalkan tabiat lama tetapi walau sesukar mana sekalipun anda mampu untuk melakukannya dengan berbagai cara.
Berhenti Secara Mendadak
Cara ini memerlukan motivasi, ketahanan diri dan kesungguhan yang tinggi dalam diri seseorang. Sekiranya anda mampu menahan diri untuk tidak merokok selama 12 hingga 14 jam pada siang hari dibulan Ramadhan, alangkah baiknya jika anda teruskan sehingga 24 jam dan hari-hari yang seterusnya tanpa merokok.
Berhenti Beransur-ansur
Anda boleh mengurangkan jumlah batang rokok yang dihisap dalam sehari secara beransur-ansur sehingga ketahap tanpa rokok. Cara ini biasanya menemui kegagalan kerana faktor persekitaran, emosi dan keinginan nafsu. Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk kita melatih nafsu. Sekiranya pada siang hari kita mampu mengawal nafsu dengan baik, pada waktu malam juga kita mampu untuk melakukannya.
Menangguh Pengambilan
Perokok menangguh pengambilan rokok. Biasanya anda merokok selepas berbuka, cuba tangguh dengan melakukan perkara lain untuk mengurangkan kekerapan merokok. Selepas berbuka anda boleh terus bersiap menunaikan solat maghrib dan membaca al Quran.
Sokongan
Beritahu rakan dan ahli keluarga tentang rancangan anda untuk membuang tabiat buruk merokok. Dapatkan bantuan dan sokongan dari rakan dan ahli keluarga. Ini amat diperlukan kerana anda mungkin tidak mampu untuk mendepaninya sendirian.
Untuk membuang tabiat buruk merokok memerlukan komitmen yang tinggi serta usaha yang berterusan. Sesetengah perokok hanya berjaya berhenti untuk tempoh sekejap sahaja. Sekiranya ini berlaku kepada anda, janganlah beranggapan anda telah gagal atau merasa kecewa. Teruskan azam dan kuatkan semangat, kejayaan tidak berlaku hanya dengan satu cubaan sahaja. Gunakan kesempatan kelebihan puasa untuk menghalang diri anda daripada terus merokok.

Tetapkan pendirian untuk tidak akan merokok dan jangan sekali-kali menerima tawaran rokok percuma daripada kawan-kawan sama ada untuk menjaga hati kawan atau sebagainya. Berterus terang kepada mereka tentang niat anda.
Bila timbul keinginan untuk merokok, tolak keinginan itu dengan sekeras-kerasnya. Katakan sahaja 'Tak Nak' tanpa segan dan jangan sesekali menyatakan 'tak apa sebatang sahaja', kerana disebabkan sebatang itulah yang akan menyebabkan anda kembali menjadi penagih nikotin dan hamba rokok.
Baca Al Quran Tapi Tak Bertudung
8.30.2009 catatan Pena Daie pada Sunday, August 30, 2009 1 komentar
Catatan 8 Ramadhan 1430 Hijrah.
Perjalanan ke Hayyu Sabie' dimulakan dengan pergaduhan antara pemandu Tremco dengan seorang penumpang. Pergaduhan semacam itu menjadi kebiasaan di sini. Perkara kecil saja tetapi dibesar-besarkan.Posisi kedudukan agak tidak selesa kerana terpaksa duduk di sebelah seorang wanita arab. Keadaannya yang hanya mengenakan jeans, rambut yang diikat dibiarkan tanpa ditutup, berbaju coklat yang jelas menampakkan bahagian leher dan sedikit bahagian dada.(Ya Allah! Aku sedang berpuasa). Pandangan dikawal rapi.
Tremco menyusur laju. Wanita yang berada di sebelah tadi membuka beg yang dibawanya. Perlahan-lahan mushaf al Quran dikeluarkan, membelek-belek sebentar lalu dibacanya. Kaget. Terkejut. Pandangan ditumpukan kepada mushaf yang dipegang wanita tersebut untuk mendapatkan kepastian. Ya, itu memang al Quran. Dia sedang membaca ayat-ayat daripada surah Ali Imran. Setelah benar-benar pasti, aku bisikkan pada teman di sebelah. Dia juga terkejut. Memang ini kali pertama kami melihat perkara ini dengan mata kepala sendiri. Tidak pernah kami melihat di Malaysia atau di mana-mana.
Berbagai andaian dan persoalan bermain di fikiran namun biarlah ia sekadar andaian dan persoalan sahaja. Kami hanya memerhatikan sahaja tanpa ada sebarang teguran atau pertanyaan.
Ini hanya catatan. Sekadar perkongsian pengalaman untuk semua.
Bunga Cantik Tapi Tak Wangi
8.27.2009 catatan Pena Daie pada Thursday, August 27, 2009 4 komentar
Salam Ramadhan Al MubarakAnda pernah melihat bunga? Tentu sekali pernah. Orang kata bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi. Itulah ibarat kepada seseorang yang cantik tetapi tidak berakhlak dan berbudi.
Seseorang gadis dipuji dengan kata-kata seperti "Awak cantiklah" , maka akan menguntumlah senyuman di bibir dan berbungalah hatinya . Tersipu-sipulah ia .Ahh! Siapa yang tak seronok apabila dipuji dan dikatakan cantik dan lawa? Itulah resam manusia , seronok bila dipuji dan kecewa bila dikeji. Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang sentiasa merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa diri kerdil apabila berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia.
Wanita cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana menyangka dirinya punya kelebihan . Kata orang juga, wanita cantik banyak yang dimahunya . Apabila diri merasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya . Kalau dia seorang gadis, dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi 'andartu'. Hidup liar bagai merpati, senang didekati tetapi ditangkap lari (tolong baca sampai habis artikel ini). Jika dia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikannya maka suami yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan kerenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka dan menjadi hamba kepada kecantikan isterinya . Menyayangi isteri hanya atas dasar kecantikan maka jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayuskan suami. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuanya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau lebih teruk dengan meminta dicerai. Alangkah indahnya jika si isteri menggunakan kecantikannya untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.
Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada agama dan akhlaknya. Kalau dia seorang isteri, kecantikannya hanya untuk suaminya dan ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah.
Wanita yang cantik tetapi tidak punya pekerti tinggi, tidak berakhlak adalah ibarat seperti bunga raya. Cantik warnanya tapi keharumannya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak terlalu cantik tapi berakhlak mulia, taat pada Allah dan suami adalah ibarat bunga cempaka. Kecantikannya tidak seberapa tetapi keharumannya memikat jiwa. Antara bunga cempaka dan bunga raya, sudah pasti bunga cempaka diminati dan dipilih orang. Kasihan pada bunga raya kerana tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Kononnya nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar bahawa diri hanya jadi bahan mainan.
Wanita yang tidak cantik malah tidak berakhlak pula hanya akan menyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula berbau harum dan wangi. Maka tiada apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Jadi usah dibangga dengan kecantikan dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia tetapi marilah berlumba-lumba utk menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya lebih bernilai dan disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.
Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurnian Allah itu dari dirinya. Bukan jua kerana iri hati dan tidak mahu ada yang menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung timbunan dosa akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka kerana sifat mazmumah sudah membelenggu jiwa akibat daripada kecantikan diri yang dijulang bagai mahkota.
Bersyukurlah dengan segala nikmat kurniaan Allah. Baik dan buruk, cantik atau hodoh itu semua adalah pemberianNya. Yang berwajah cantik atau hodoh(maknanya kurang cantik) sama-sama perlukan persediaan kerana pasti akan tiba suatu masa di mana yang berwajah cantik atau hodoh dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Adakah pada saat itu masih berguna kecantikan yang ada? Kita semua tahu jawapannya.
Maksud sabda Rasulullah s.a.w: "sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa paras, tidak melihat pada keturunan, tidak melihat pada harta tetapi Allah melihat pada hati-hati kamu dan amalan kamu"
"Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allah datangnya, dan bila kamu di timpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta pertolongan." An-Nahl ayat 53
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa diantara kamu(bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)..." Al Hujurat ayat 14
Wallahu a’lam. Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi orang yang terbaik
Pandangan Anda Klik Di Sini
Pulang Nanti Jadi Doktor???
8.22.2009 catatan Pena Daie pada Saturday, August 22, 2009 2 komentar
Ya, pulang ke Malaysia nanti kewajipan kita untuk menjadi seorang doktor. Bukan doktor yang biasa-biasa malah kita perlu menjadi seorang doktor yang benar-benar pakar. Tentu timbul persoalan kerana pengajian kita di Mesir atau di Jordan atau di mana sahaja dalam bidang pengajian Islam, langsung tidak wujud perkaitan dengan jurusan kedoktoran. Sebenarnya ia langsung tidak bercanggah, istilah 'doktor' yang digunakan adalah tepat dan benar.Biar saya jelaskan. Keadaan akhlak dan gejala sosial yang melanda masyarakat di negara kita kini kian meruncing dan berada pada tahap yang membimbangkan. Anda masih ingat satu kajian yang dilakukan terhadap lebih kurang 80 orang gadis dan hasil kajian tersebut hanya seorang sahaja yang tidak pernah melakukan hubungan seks(sila betulkan fakta sekiranya silap). Kajian ini dianggap 'sampah' oleh pihak kerajaan dan memandang remeh kebejatan akhlak yang melanda masyarakat. Fakta tersebut sudah cukup menjadi bukti gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang kini berada pada tahap kritikal. Tidak perlu saya ceritakan hal-hal yang lain seperti gejala murtad , pesta seks songsang dan lain-lain.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu terdapat seketul daging, apabila baik daging tersebut maka akan baiklah seluruh anggota badan dan apabila rosak daging tersebut maka akan rosaklah seluruh anggota badan. Daging tersebut adalah hati"
"Setiap dosa yang dilakukan akan menyebabkan satu titik hitam pada hati"
Perkaitan dengan hadis di atas adalah masyarkat kita kini sedang mengalami keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang sangat kritikal, puncanya adalah berlaku kerosakan dan masalah yang amat teruk pada hati kerana tidak ada nur dan hidayah Allah s.w.t lalu menyebabkan seluruh anggota lain turut rosak serta hanyut dalam kancah kemaksiatan. Sehingga ke saat ini masih tidak terdapat sebarang ubatan di hospital kerajaan mahupun swasta yang menjadi penawar kepada 'kerosakan hati' ini.

Siapa doktor yang akan mengubati penyakit ini? Apakah penawarnya? Jawapannya adalah kita, golongan yang belajar dan memahami ilmu agama. Kita perlu menjadi 'doktor' yang mampu menyediakan ubatan dengan memberi suntikan ilmu dan kefahaman Islam supaya penyakit tersebut tidak terus membelenggu masyarakat. Kita perlu membimbing masyarakat dalam menerapkan vaksin keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t agar mereka kebal daripada sebarang kuman dan virus maksiat. Kita adalah bakal doktor yang menyampaikan dakwah Islam dan menjadi 'rijal al taghyir' (lelaki yang menjadi agen pengubah) kepada umat untuk merubah hati segenap lapisan masyarakat dan seluruh anggota masyarakat seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat yang menjadikan Islam sebagai cara hidup.
Menjadi doktor dalam bidang ini bukan suatu perkara yang mudah, sistem imunisasi yang sangat kuat perlu ada pada diri kita sebagai doktor. Imunisasinya adalah kefahaman Islam yang mendalam, keimanan dan ketaqwaan yang kukuh serta sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Oleh itu kita jangan sia-siakan peluang sebelum kita pulang menjadi doktor untuk meningkatkan imunisasi dan mempersiapkan bekalan ubatan dan vaksin untuk diberi dan dicurahkan kepada masyarakat yang sangat memerlukan doktor pakar untuk mengubati berbagai penyakit mereka pada ketika dan saat ini.
Pandangan Anda Klik Di Sini
Tawaran Hebat! Jangan Lepaskan Peluang Ini!
8.21.2009 catatan Pena Daie pada Friday, August 21, 2009 0 komentarKenapa Suka Buruk Sangka?
catatan Pena Daie pada Friday, August 21, 2009 2 komentar
Kenapa suka buruk sangka?
Sejak dahulu hinggalah kini manusia memang suka bersangka-sangka, bermacam sangkaan yang dibuat, ada yang bersangka baik dan ada bersangka buruk.
Sesama teman dan saudara sendiri pun nak berburuk sangka. Di mana nilai persaudaraan kita? Bukankah setiap umat Islam itu bersaudara?
Inilah antara sangkaan buruk manusia
Pantang saja tengok...
Orang rajin beribadah disangka riak kerana hendak menunjuk-nunjuk amalannya
Orang rileks disangka sebagai pemalas
Orang pakai baju baru disangka tidak zuhud
Orang makan banyak disangka pelahap
Orang makan sedikit disangka berjimat
Orang senyum disangka mengejek
Orang bermuzakarah disangka mengumpat
Orang diam disangka mengasingkan diri
Orang masam disangka merajuk
Orang yang baik disangka buruk
Orang buruk disangka mulia
Namun siapa tahu...
Orang rajin beribadah itu adalah kerana ketaatan dan keikhlasannya kepada Allah s.w.t
Orang yang makan sedikit itu supaya nanti tidak malas untuk beribadah
Orang yang diam itu kerana bimbang percakapannya akan menambah dosa
Orang senyum kerana itu adalah bersedekah
Orang masam kerana mengenangkan dosa-dosa lalu
Orang bermuzakarah kerana berbincang masalah umat
Jauhilah sikap suka buruk sangka kerana ia bakal memusnahkan titian
ukhuwwah seperti musnahnya kayu dimamah api
Tanamlah di hati sifat suka bersangka baik(husnu zhon) sesama kita
Maksud firman Allah s.w.t di dalam surah al Hujurat ayat 12 :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa...
Salam ukhuwwah dan selamat berjuang sahabat-sahabat sekalian....
Subscribe to:
Posts (Atom)


