Khatam Al Quran Lapan Kali Sehari

8.19.2011 1 komentar


Ramadhan sudah melepasi garis tengahnya dan semakin berganjak menuju titik penghujung. Lingkungan tempoh penghujung ini adalah puncak maksima bagi penumpuan melipat gandakan amalan. Bagaimana dengan keadaan kita? Sudah berapa kali khatamkan al Quran? Tahukah kita mengenai kehebatan para sahabat dan para solihin terdahulu sehingga mereka mampu khatam al Quran lapan kali dalam sehari. Imam Nawawi R.A menyatakan, riwayat jumlah paling banyak khatam al Quran adalah sebanyak LAPAN KALI dalam sehari. Mampukah kita...

1. Khatam al-Quran empat kali pada waktu siang dan empat kali pada waktu malam seperti al-Sayyid al-Jalil Ibnul Katib al-Sufi?

1. Khatam al-Quran tiga kali sehari seperti Salim bin Umar rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam satu rakaat pada solat seperti Sayyidina Uthman bin Affan, Tamim al-Dari, Sa'id bin Jabir dan al-Syafie r.a?

1. Khatam al-Quran diantara solat maghrib dan isya' pada bulan Ramadhan seperti Mujahid rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam masa tiga hari pada bulan Ramadhan seperti Abdullah bin Mas'ud r.a?

1. Khatam dalam masa tiga hari seperti Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa tujuh hari seperti Zaid bin Thabit r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa lapan hari seperi Ubay bin Ka'ab r.a?

1. Khatam al-Quran pada setiap sepuluh malam seperti al-Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri?

1. Khatam al-Quran sebanyak 18000 kali seperti Imam Syu'bah?

* mengapa semua No.1?
* kita berada pada tahap mana?
*anda mampu melakukannya?
Jika mampu, pilihlah tahap mana yang kita mahu lakukan, semua adalah terbaik. Sama-sama gunakan kesempatan ramadhan ini semaksimanya.


Berinteraksi Dengan Al Quran

8.17.2011 0 komentar
Antara peristiwa terpenting yang berlaku di bulan ramadhan adalah berlakunya penurunan al Quran. Ramadhan adalah bulan diturunkan al Quran.

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Alquran sebagai petunjuk bagi manusia danpenjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil)." - al-Baqarah : 184

Oleh kerana itu, selain disebut sebagai syahrus siyam (bulan puasa), bulan Ramadhan juga disebut sebagai syahrul quran (bulan al Quran). Pada bulan Ramadhan, al Quran diturunkan untuk menjadi panduan, perlembagaan dan pedoman kepada manusia terhadap segala aktiviti dan gerak geri mereka di dunia.

Pada bulan ini juga, Malaikat Jibril turun bertemu baginda Rasulullah SAW untuk mendengar dan menyemak bacaan al Quran daripada Rasulullah SAW.

Iman Al Zuhri berkata, 
"Apabila datang Ramadhan, kegiatan utama kita (selain berpuasa) ialah membaca al Quran."

Namun, seharusnya kita tidak hanya sekadar membaca sahaja, kita perlu mentadabbur, memahami dan mengamalkan segala isi kandungan al Quran. Bukannya memilih mana-mana bahagian yang berkenan kita ambil, bahagian yang tidak berkenan kita tinggalkan.

Bulan Ramadhan merupakan kesempatan serta peluang bagi umat Islam untuk benar-benar berinteraksi dengan al-Quran. Hal ini bertujuan untuk meraih kualiti hidup sebagai hamba, keberkatan dan meniti jalan menuju umat terbaik dengan petunjuk daripada al Quran. Bagaimana untuk kita berinteraksi dengan al Quran? 

1. Tilawah (membaca)
2. Tadabbur (menghayati dan memahami)
3. Hafal
4. Amal
5. Mengajar
6. Tahkim (menjadikan sebagai perlembagaan dan berhukum dengan al Quran)

Rasulullah SAW bersabda :
“Sebaik-baiknya kamu adalah yang mempelajari Alquran dan yang mengajarkannya.”

Ramadhan sebagai syahrul quran (bulan al Quran) dan bulan yang penuh berkat, terlalu rugi jika hari demi hari bulan Ramadhan terus berlalu begitu saja. Prioriti amalan yang berkait dengan al Quran menjadi keutamaan!

Helaian demi helaian akhbar mampu dibelek, mata yang tidak berkelip memahami isi kandungan novel. Mengapa kita tidak boleh melakukan sebegitu kepada kitab agung al Quran? Sedang pada masa yang sama kita sedar novel itu cuma imaginasi penulisnya sahaja, akhbar pula sangat tipis kesahihannya tetapi al Quran itu langsung tidak ada keraguan padanya.


Darjat Dan Jenis Puasa

0 komentar


Puasa bukan hanya sekadar dipraktik secara zahir, malah ia perlu dihayati daripada sudut batin atau rohaninya supaya puasa kita akan mendatangkan lebih kesan kepada jiwa dan roh kita. Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;

1. Puasa umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa khususul khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.

Jadi puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya perkara-perkara yang membatalkan puasa) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.


Berbeza Qiraat, Berbeza Ganjaran

8.12.2011 0 komentar

Perbezaan bacaan qiraat al Quran mengandungi hikmah serta kelebihannya yang tersendiri. Jika dibedah dan dikaji sampai kiamat sekalipun rahsia-rahsia yang terkandung di dalam kitab agung al Quran tidak akan pernah habis digali. Antara perkara yang dinyatakan oleh para sarjana ilmuan Islam adalah perbezaan bacaan qiraat al Quran akan menghasilkan perbezaan ganjaran pahala yang diperolehi oleh pembaca.

Sebagai contoh adalah perbezaan bacaan qiraat pada ayat keempat dalam surah al Fatihah iaitu pada kalimah :

Imam 'Asim, Imam al Kisaie, Imam Yaakub dan Imam Khalaf al 'Asyir membaca dengan huruf Alif selepas huruf Mim (مالك) manakala para imam qurra' yang lain membaca dengan tanpa huruf Alif selepas huruf Mim (ملك)

Imam Qurtubi menyatakan, sebahagiannya menjadikan alasan melebihkan qiraat (مالك) kerana terdapat padanya satu huruf yang ditambah iaitu huruf Alif. Maka si pembacanya memperolehi ganjaran sepuluh kebaikan berbanding dengan qiraat (ملك). Walaubagaimanapun, ia hanyalah perbandingan pada sudut sebutan lafaz sahaja dan bukannya pada sudut makna kalimah tersebut.

Imam al Razi juga menyatakan sedemikian di dalam Tafsir al Kabir mengenai kalimah (مالك) di dalam surah al Fatihah, "sesungguhnya pada kalimah ini terdapat pertambahan huruf, maka pada bacaannya akan melebihkan ganjaran pahala yang diperolehi".

Hal ini disandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW mengenai kelebihan orang yang membaca al Quran :

Maksudnya “Barangsiapa yang membaca satu huruf kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif adalah satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.”

Jom, sama-sama perbanyakkan bacaan al Quran di bulan Ramadhan ini. Jika mampu, bacalah dengan bacaan qiraat yang berbeza kerana ganjarannya juga berbeza sebagaimana yang disebut oleh para ulama'

Target bacaan penuh al Quran sepanjang Ramadhan ini :
Qiraat Hafs - selesai
Qiraat Abu Jaafar - menanti
Qiraat Warsy - akan dilaksanakan


Saham Dosa Bertambah Setelah Mati

7.26.2011 0 komentar


Ramai yang beranggapan bahawa setelah kematiannya nanti, dosa-dosanya juga akan terhenti pertambahannya. Meyakini dengan tanggapan dosa-dosanya tidak akan berkembang dan bertambah lagi setelah meninggal dunia. Padahal, selain amal jariyah (mendapat pahala yang terus-menerus), ada juga dosa yang diperolehi secara terus menerus iaitu dosa-dosanya tetap bertambah sekalipun setelah jasad berkubang tanah.

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa yang menyeru orang lain pada kesesatan (tradisi buruk), maka dia akan menanggung dosa sebagaimana dosa yang dilakukan oleh orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa-dosa orang yang mengikutinya.”


Seseorang yang mengarahkan orang lain melakukan perbuatan yang baik, dia akan mendapatkan saham pahala kebaikan, sebagaimana pahala yang dilakukan oleh orang yang mengikutinya sedangkan mereka yang mengarahkan kepada perbuatan buruk, dia akan mendapatkan saham dosa daripada orang yang mengikutinya arahan perbuatannya kerana dia telah memotivasikan dan mengarahkan orang lain untuk melakukan dosa-dosa.

“(Ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahwa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu.” - Surah al Nahl ayat 25

Saham pahala amalan seseorang setelah kematiannya terbahagi kepada beberapa bahagian. Pertama, seseorang yang meninggal dunia, pahala kebaikan dan dosa kejahatannya juga terputus. Dia tidak memperolehi apa-apa kecuali apa yang telah dilakukannya selama kehidupannya di dunia. Kedua, orang yang meninggal dunia tetapi pahala kebaikan serta dosa kejahatannnya terus diperolehinya. Nasib golongan ini di akhirat nanti bergantung kepada timbangan amalan kebaikan dan keburukannya. Sekiranya banyak kebaikan, bahagialah dirinya namun jika banyak kejahatannya, dia tergolong di kalangan orang-orang yang celaka.

Amat beruntung sekiranya selepas menghembuskan nafas terakhir, saham amalan kebaikan terus mengalir ke dalam akaun amalan kita namun alangkah malangnya nasib kita jika keuntungan hasil daripada pelaburan saham kejahatan terus bercambah ke dalam akaun amalan kita.

Imam al-Ghazali menyatakan, 

“Sungguh beruntung orang yang meninggal dunia, maka putuslah dosa-dosanya dan sungguh celaka seseorang yang meninggal dunia tetapi dia meninggalkan dosa yang ganjaran kejahatan terus berjalan tiada hentinya.” Alangkah bahagianya mereka yang memiliki amal jariyah dan alangkah sengsaranya seseorang yang menanam dosa jariyah."



Peringatan, Jika Melupakan Al Quran

7.13.2011 0 komentar


Allah SWT mencipta manusia dengan sifat dan tabiat pelupa. Oleh yang demikian, kita sebagai manusia perlu sentiasa mengulang kaji dan mengingati kembali apa yang telah dihafal. Allah SWT menyatakan melalui firmannya yang bermaksud :

"Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu dari sisi kami suatu peringatan (al Quran). Barang siapa yang berpaling daripada al Quran maka sesungguhnya ia akan memikul dosa  yang besar di hari kiamat." - surah Taha : 99-100

"Dan barang siapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia, 'Ya Tuhanku, mengapa engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal dahulunya aku adalah seorang yang melihat?. Allah berfiman, 'demikianlah, telah datang kepada kamu ayat-ayat Kami maka kamu melupakannya dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan." - surah Taha :  124-126

Secara zahir ayat di atas dimaksudkan kepada pembacaan al Quran (lihat tafsir al Qurtubi). Imam Ibn Kathir berkata, "sebahagian ahli tafsir menyatakan maksud 'berpaling dari peringatanKu' adalah berpaling daripada pembacaan al Quran, berpaling kerana melupakannya serta tidak mengambil endah dengannya.

Rasulullah SAW telah memberikan peringatan kepada kita supaya bersungguh-sungguh dalam menjaga dan berpegang dengan al Quran dengan mengumpamakan al Quran yang dijaga oleh seseorang seperti seekor unta yang diikat. Jika kuat ikatannya, unta tersebut tidak akan terlepas namun jika melepaskannya ia akan pergi.

Maksud daripada beberapa sabda Rasulullah SAW:

"Tiada siapa pun yang membaca Al-Quran kemudian melupakannya kecuali ia akan bertemu Allah SWT di hari kiamat dalam keadaan kerdil"

"Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari satu surah dari Al-Quran atau satu ayat ,yang diberikan kepada seorang lelaki kemudian ia melupakannya"

"...tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari dosa penghafaz al-Quran kemudian meninggalkannya" 

Para ulama menyatakan pandangan dalam bab melupakan Al-Quran. Ada diantaranya yang menyenaraikan dosa melupakan al Quran sebagai dosa besar manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa melupakan al Quran adalah dengan maksud melupakan dengan tidak mengamalkan al Quran.

Mungkin ada yang akan berkata, "baik tak payah hafal al Quran terus, nanti kalau lupa kena tanggung dosa pulak". Ini jelas bertentangan dengan objektif syariah. Peringatan-peringatan yang diberikan adalah supaya benar-benar tekun dan bersungguh-sungguh menjaga al Quran dengan membacanya siang dan malam serta mengamalkannya. Apa gunanya hafal kalau melupakan dan tidak mengamalkannya!.


Tempoh Masa Menghafal al Quran

7.10.2011 2 komentar
Entri ini pernah di'post'kan suatu masa dahulu, kini di tambah dengan sedikit pengisian. Link


Berapa lama tempoh masa yang mampu anda habiskan 30 juzu' al Quran?

Kurniaan rahmat dan nikmat Allah SWT kepada hamba-hanbaNya tidak terhitung banyaknya. Antara nikmat yang terbesar adalah diberi peluang oleh Allah SWT menghafal kalamNya yang Maha Agung. Allah SWT memudahkan kepada umat manusia untuk menerima intipati serta pengajaran daripada al Quran yang dijelaskan melalui maksud firmannya :

"Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al Quran untuk orang mengambil pelajaran, maka adakah orang yang mahu  mengambil pelajaran?" - surah al Qamar :17

Apabila diteliti, bukan semua kalangan kita diberi peluang serta mampu menghafal keseluruhan al Quran kerana Allah SWT memilih dikalangan hambaNya demi menjaga dan mewarisi kitab yang dijamin akan terjaga sehingga hari kiamat. Maksud firman Allah SWT:

"Kemudian Kami wariskan  kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu  diantara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan ada yang pertengahan dan ada diantara mereka (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan (yang dimaksudkan dengan 'orang yang  menganiaya diri sendiri' adalah orang yang lebih banyak kesalahan daripada kebaikannya dan 'pertengahan' adalah orang yang kebaikannya berbanding kesalahannya dan yang dimaksudkan dengan 'orang yang lebih dahulu melakukan kebaikan' orang yang kebaikannya amat banyak dan amat jarang melakukan kesalahan) dengan izin Allah. Demikian itu adalah kurnia yang amat besar." - surah Faatir : 32
Rasulullah SAW menjelaskan melalui sabda baginda yang bermaksud:

"Sebaik-baik kamu mereka adalah yang belajar al Quran dan mengajarkannya"

Mungkin ada yang akan bertanya, bagaimana kita mahu mengetahui bahawa kita adalah golongan yang dipilih oleh Allah? Jawapannya mudah, hafal dahulu al Quran dan belajar segala ilmu yang berkaitan dengannya. Setelah berjaya, baru kita tahu kita tergolong dikalangan orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT. Belajar dan menghafal dahulu baru kita tahu. Semoga bermanfaat.