Lelaki Lemah???

7.03.2009

Jika melihat pada sudut fizikal dan kekuatan zahiriah tubuh badan sememangnya lelaki dikurniakan oleh Allah s.w.t dengan sedikit kekuatan melebihi kaum wanita kerana lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita. Disebalik keperkasaan dan kekuatan itu, lelaki juga turut memiliki kelemahan sebagaimana firman Allah dalan surah al-Nisa' yang bermaksud : "kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" ayat 29.

Terdapat tiga perkara yang dikenal pasti menjadi kelemahan seseorang lelaki sejak zaman berzaman dan lebih dikenali sebagai formula 'tiga ta' untuk memusnahkan dan melemahkan seseorang lelaki iaitu :

1. Wanita
2. Harta
3. Takhta

Tidak sedikit lelaki yang rebah dipersada wanita. Sekuat-kuat lelaki boleh ditipu oleh sebodoh-bodoh wanita. Begitulah nisbah hebat dan kuatnya kuasa wanita dalam menundukkan lelaki. Sekuat mana pun lelaki selalunya kalah oleh kata-kata lembut sang wanita. Seorang lelaki boleh menangis apabila ditinggalkan oleh seorang wanita, padahal dia terkenal dengan seorang yang perkasa. Di medan pertempuran dia boleh membunuh begitu ramai musuh, tetapi berhadapan dengan wanita, hatinya boleh tunduk dan lemah longlai. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "takutlah akan dunia dan takutlah akan wanita kerana fitnah pertama yang melanda Bani Israil adalah daripada wanita".

Islam tidak menghalang umatnya untuk mencari harta kerana harta benda adalah merupakan perhiasan hidup di dunia. Perlu diketahui bahawa harta adalah merupakan satu fitnah kepada manusia. Ramai manusia yang sanggup menggadaikan agama kerana harta, sanggup membunuh kerana harta dan sanggup melakukan segala-galanya kerana harta. Ramai juga dikalangan lelaki yang pada awalnya sangat kuat dan berani tetapi manjadi lemah apabila disogokkan dengan harta dan sikap materialistik mula membenih di dalam jiwa. Contoh yang paling mudah adalah kisah Qarun pada zaman Nabi Musa a.s yang mengingkari perintah Allah akibat tenggelam dalam kemewahan harta yang dimilikinya. Firman Allah s.w.t dalam surah al Anfal yang bermaksud: "dan ketahuiah bahawa harta dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian".

Takhta, pangkat, darjat dan sebagainya sememangnya menjadi kegilaan ramai manusia.
Dengan adanya takhta, pangkat atau kekuasaan, seorang manusia mampu mempengaruhi manusia yang lain, mudah mendapatkan harta, lebih dikenali orang ramai dan sebagainya. Seorang lelaki boleh dilemahkan dengan hanya menawarkan kepada mereka takhta atau pangkat kerana itu adalah sifat yang ada pada manusia yang suka kepada pangkat dan kekuasaan. Lelaki juga akan menjadi lemah dan penakut untuk menyatakan kebenaran kerana bimbang akan kehilangan pangkat dan kekuasaan yang dimiliki.

Segala kelemahan di atas sebenarnya mampu diatasi oleh para lelaki yang berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam, sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dan menjalankan kehidupan berdasarkan manhaj kehidupan yang telah digariskan oleh Islam kepada umatnya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada".


Comments
1 Comments

1 komentar:

  • memeng lelaki lemah lebih-lebih lagi kalau dengan perempuan...walaupun dikatakan lelaki ni ada 9 akal dan satu nafsu tetapi nafsunya yang satu itu adalah untuk wanita semata-mata...
    setuju sangat la..kita sama-sama pertingkatkan taqwa dan amalah kita..
    moga dirahmati Allah sentiasa

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda