
Apa dosa seorang bayi ini? Sungguh kejam dan tidak berhati perut mereka yang berbuat demikian. Sudahlah menanggung dosa besar berzina kini ditambah pula dengan membuang dan membunuh anak hasil hubungan haram berkenaan tanpa rasa bersalah, lebih teruk daripada binatang. Kes buang bayi begitu sinomin dengan hubungan luar nikah yang dilakukan oleh pasangan muda mudi yang terlanjur dalam perhubungan mereka kerana mahu menutup malu yang menimpa mereka setelah melakukan penzinaan.
Melihat kepada keadaan sosial yang semakin meruncing serta keruntuhan akhlak kian menggila yang sedang melanda pelajar-pelajar Malaysia di Mesir, adalah tidak mustahil kita boleh menjangkakan satu kesimpulan awal bahawa suatu hari nanti akan muncul kes buang bayi yang melibatkan pelajar-pelajar Malaysia di sini jika keadaan berterusan begini. Tidak perlu diceritakan bagaimana tahap keruntuhan akhlak yang sedang berlaku kini.
Maksiat demi maksiat terus menggila dan semakin tidak terkawal ini tidak boleh dianggap remeh dan dipandang ringan. Mungkin bermula dengan berdua-duaan di sebuah bilik, seterusnya perut si perempuan terus membunting dan membesar. Maka akan lahirlah anak yang tidak berdosa lalu dibuang di dalam tong sampah, di kaki lima dan di lubang tandas demi menutup aib diri. Jika sebelum kedatangan Islam, masyarakat pada waktu itu sanggup menanam anak hidup-hidup, jadi apa bezanya dengan masyarakat kini yang membunuh dan membuang anak yang dilahirkan sendiri?
Semua pihak mesti bertanggungjawab demi membendung gejala maksiat yang semakin mendapat sambutan dikalangan pelajar-pelajar di sini sebelum segalanya terlambat. Jangan nanti apabila sudah terjadi kes buang bayi baru ada pihak yang mahu membuka mata dan bertindak. Cegah sebelum terlambat.
"Mencegah itu lebih baik daripada mengubati"