Masa Bukan Emas

6.22.2010

Peribahasa 'Masa itu emas' perlu diperbetulkan, emas boleh dijual beli sedangkan masa sesaat pun tidak mampu dibeli walau dengan bergunung-gunung emas. Setahun akan datang adalah lebih hampir daripada sedetik yang telah berlalu, ia telah jauh meninggalkan kita sehingga tidak mampu diundur kembali. Hari kiamat lebih dekat berbanding hari semalam.

Orang tua selalu berangan-angan, "Kalaulah aku masih muda..."
Orang muda pula berangan-angan, "Kalaulah aku masih remaja..."

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.” (Al-Asr: 1-2)

Saat ini adalah waktu ini. Jika telah berlabuh malam, siang tadi pasti tidak akan kembali. Hal inilah yang menggugah Umar bin Abdul Aziz pada suatu malam yang beliau amat keletihan. Umar menolak kunjungan seorang rakyat. "Esok pagi sajalah!" kata beliau spontan dengan berharap pada esok pagi segala urusan dapat diselesaikan dengan lebih baik.

Tersentak dengan sebuah ucapan yang mengatakan "Wahai Umar, adakah kamu yakin masih hidup esok pagi?" Lantas beliau segera istighfar dan menerima kunjungan rakyat tersebut.

Kita memandang remeh pada ruang waktu dan masa kerana kita cuma menganggap waktu seperti emas, emas boleh dijual beli serta dipajak gadai. Masa adalah nyawa kita. Hitungan secara kasar menunjukkan kita menggunakan satu pertiga umur adalah untuk tidur sahaja jika masa yang diperuntukkan untuk tidur adalah  selama 8 jam sehari. Jika umur 30 tahun, 10 tahun hanya untuk tidur.

Katakan satu waktu solat diperuntukkan sebanyak 10 minit, lima kali sehari bersamaan 50 minit, ditambah dengan doa dan zikir sebanyak 30 minit. Jumlah semua baru mencecah 80 minit, itu pun kalau dapat bertahan sehingga 80 minit setiap hari. Setelah dicampur dan ditolak dengan usia 10 tahun sebelum mumayyiz, waktu solat, doa dan zikir hanya sekitar 1.8 peratus sahaja daripada waktu tidur.

Tak terasa pelik ke? Orang bergembira meraikan hari ulang tahun, hakikat sebenarnya sedang meraikan umur yang semakin berkurang. Setiap tahun berlalu, kematian semakin dekat. Manusia biasanya akan menyesal pada saat-saat akhir sebagaimana yang diceritakan di dalam al Quran :
“Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya. Dia mengatakan: ‘Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal soleh) untuk hidupku ini.” (Al-Fajr: 23-24)

Orang beriman tidak akan mensia-siakan masa dan waktu yang ada. Setiap waktu pasti seiringan dengan amalan dan pahala kerana masa tidak punya harga tetapi masa adalah nyawa.

p/s : Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Ingatlah orang yang tersayang
Comments
1 Comments

1 komentar:

  • a good reminder..

    there's one Arabic quote saying :
    Statiknya (bertakung) air akan merosakkannya, statiknya pemuda(dengan banyaknya masa lapang) akan membunuh dirinya ..

    Lets life to the fullest that benefits others..iAllah

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda