Mungkin Ibu Sedang Kesepian

6.18.2010
Kita mengakui kita seringkali lupa keberadaan ibu yang berada di rumah. Buktinya, kita jarang sekali melahirkan rasa khuatir adakah ibu kita sudah makan atau belum, tenang atau takut keadaannya kini, senang atau susah dirinya saat ini, bahagiakah dirinya waktu ini, atau mungkin dia sedang berada dalam dakapan sepi.

Ibu mungkin tidak pernah merasa kesepian ketika ibu sendirian membesarkan anak-anaknya namun kini kita dan adik-beradik yang lain mungkin sedang menempa kejayaan, sibuk dengan kerjaya, pendidikan tinggi dan pangkat tinggi.

Kenang sejenak, ibu kadang-kadang 'berbohong' demi mengalih perhatian kita. Tidak pernah menunjukkan rasa penat dan letih bekerja serta menguruskan anak-anaknya. Kenang kembali, kegawatan ekonomi 1998, saat hidup serba kekurangan, sambil memindahkan nasi ke pinggan anak-anaknya, ibu dengan tenang berkata, "Makanlah nak, mak sudah kenyang." Kini kita sedar bahawa saat itu ibu sedang 'berbohong'.

Ayah pergi mengadap tuhan. Ibu mengambil alih tugas ayah, membiayai segala keperluan hidup. Tiada hari tanpa keperitan namun ditutupinya dengan senyuman dan wajah yang tenang.

Ibu kesepian. Ditinggal anak-anaknya yang merantau menentukan pilihan hidup masing-masing. Semuanya sudah dewasa, merantau mencari ilmu, mencari rezeki dan sebagainya.

Bukan gulungan sijil yang membahagiakan seorang ibu. Ibu menginginkan setiap anak didikannya menjadi anak yang soleh atau solehah dan berakhlak mulia. Itu yang paling membahagiakan. Tiada perkara yang paling menyenangkan selain anak-anaknya terus mengharungi dunia dalam penuh ketaatan kepada Allah SWT. Lebih senang bagi dirinya kerana setiap pahala doa munajat anak-anaknya bisa sampai setelah kepergiannya ke alam barzakh, masih ada yang berdoa dan memohon ampun untuknya.

Kita berada pada dunia yang berbeza, zaman yang tidak serupa, perubahan gaya serta budaya yang mungkin tidak sama. Kadang-kadang mungkin wujud kefahaman yang tidak sama, kehendak yang berbeza dan pemikiran yang tidak sehala. Mungkin kini ibu sedang sepi memikirkan kita seringkali tidak memahami keinginannya. Mungkin kita anggap biasa kerana kita sekadar puas dengan senyuman daripadanya, boleh jadi dia sedang mengharapkan sesuatu yang kita anggap biasa tetapi terlalu berharga di sisinya.

Ibu yang merindui kita dan terlalu merindui kita sampai bila-bila. Kecanggihan teknologi tidak mampu menandingi segalanya, wajah setiap anak sentiasa berada di benak fikiranya, kelibat si anak seringkali bermain antara kedua anak matanya. Jauh bezanya dengan kita, bila susah baru teringat pada ibu, mak, ummi, mama, ma, mek, emak dan sebagainya. Mungkin ibu sedang kesepian menanti kunjungan anak-anaknya.

p/s : Mak, mohon ampunkan anak nak 'buas' ini...
Comments
4 Comments

4 komentar:

  • i like this article..
    very good perspective...
    :-D
    keep writing

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • salam..mungkin mak ustaz merindui ustaz..doakan mak kita semua agar dipanjangkan umur dalam amalan kebaikan..insyallah

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda