Bebaskah Kita Daripada Maksiat?

11.28.2010

Kadang-kadang kita baca berita di akhbar tentang kes rogol, kes buang anak, kes seks bebas dan sebagainya. Lalu kita pun membuat pelbagai tohmahan, pelbagai kritikan dan pelbagai andaian. Dalam pada kita kita menyumpah-nyumpah tersebut, kita lupa yang kita pun tak terlepas! Siapa boleh jamin yang dirinya akan mati dalam keadaan mulia tanpa dihadapkan sedikit pun dengan situasi yang memaksa kita untuk melakukan zina? Siapa yang boleh menjamin imannya akan sentiasa tinggi sehingga tiada langsung niat untuk berbuat maksiat, apatah lagi yang mencabuli hak orang lain? Siapa boleh janji seumur hidupnya tidak akan melihat perkara-perkara yang haram. Siapa boleh bercakap dengan penuh angkuh bahawa perasaan untuk melakukan kemungkaran tidak akan sekali-kali timbul dalam hatinya? Tatkala rasa nak buat maksiat tu memuncak dan keadaan sekeliling pun sangat mendesak, akan mampukah kita bertahan?

Ah, kita merasakan diri kita itu terlalu suci. Sedarlah, takut-takut perasaan kita itulah yang akan menjerumuskan kita ke dalam lembah neraka kerana kita tidak betul-betul berjaga-jaga. Ya lah, dah baik. Buat apa nak berjaga-jaga lagi. Awas! Jangan sampai ketika datangnya dugaan yang menekan dan memaksa kita untuk melakukan maksiat, kita tersungkur rebah di pintu neraka. Awas! Jangan sampai amal-amal kita selama ini menjadi sia-sia kerana matinya kita dalam keadaan hina dan di pintu maksiat. Apa yang cuba saya sampaikan? Kita pun tak terlepas daripada kemungkinan untuk terlanjur dan melakukan maksiat. Maka berjaga-jagalah sentiasa.

Jangan sampai kita dihadapkan dengan godaan-godaan yang tidak mampu kita hadapi dan menyebabkan kita terjerumus ke dalam maksiat. Jangan sampai Allah menukarkan cara hidup kita 180 darjah menjadi pelaku maksiat tegar. Ya, sekarang mungkin kita mencaci mereka-mereka yang berzina, merogol dan membuang anak. Mungkin suatu hari nanti, kita juga akan mendapat cacian yang sama kerana kita pun tak terlepas.

Kita berada dalam dunia sekarang yang penuh dengan godaan daripada kanan dan kiri, depan dan belakang, atas dan bawah, daripada luar dan dalam. Apa yang kita lihat, dengar dan rasakan itu begitu memudahkan kita untuk terjerumus ke lembah maksiat. Kalau pun bukan dengan diketahui oleh orang lain, maksiat yang kita sembunyi-sembunyikan. Terlalu banyak godaan yang sedang menyerang kita! Sedarkah kita? Adakah kita masih lagi merasa bebas daripada sebarang bentuk keterlanjuran dan tidak berjaga-jaga?

Kita pun mungkin tak terlepas. Kalau bukan kita, adik-adik kita, ibu dan ayah kita, anak-anak kita nantinya.

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)... Surah al Tahrim : ayat 6
Comments
1 Comments

1 komentar:

  • Hamba Ilahi

    Ya Allah..

    muhasabah di malam hari.

    banyak benarnya kata-kata anda.

    kadangkala, amal ibadat membuatkan kita berasa diri ini baik, sedangkan orang yang berbuat dosa, mereka sentiasa merasakan diri mereka tidak baik.


    untuk apa kita merasakan diri sudah baik, bukankah kita disuruh untuk menambahkan amalan.

    terima kasih, perkongsian menarik.

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda