Ikon Untuk Pemuda

11.21.2010
Selalu kita dengar dan baca kisah nama-nama ini :

Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali, Mus’ab Bin Umair, Imam As-Syafie, Umar Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayubi, Imam Nawawi, Imam Hasan Al-Banna.

Subhanallah, hebat nama-nama yang disebut ini. Siapakah mereka? Mereka adalah pemuda Islam yang telah mengubah dan mencorakkan dunia mengikut perspektif dan acuan Islam yang tersendiri. Sungguh gilang gemilang catatan sejarah yang telah mereka ukirkan buat tatapan kita umat Islam khususnya pemuda Islam. Kehebatan mereka ini bukan terletak pada nama, pangkat, keturunan ataupun darjat tapi pada ketaatan, ketaqwaan dan kebersamaan mereka dengan Islam sehingga mereka bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan Islam hingga ke puncak kemuliaannya. Untuk apa? Tidak lain dan tidak bukan untuk menegakkan kalimah dan syariat Allah serta memakmurkan bumi Allah ini dengan syariat Islam serta kewajipan yang diturunkan Allah SWT. Sungguh inilah jalan kejayaan sebenar buat mereka yang mahu menjejak kaki ke syurga bersama mereka.

Mereka bukan sekadar dikagumi oleh penduduk bumi, malah dipuji dan disanjung tinggi oleh penduduk langit. Mereka ini bukan pemuda yang dilahirkan dengan ciri anggota yang luar biasa. Tapi segalanya sama dengan manusia lain. Mereka lahir dari salur rahim manusia juga. Mereka makan seperti manusia .Tiada yang berbeza dari manusia lain dari sudut kehidupan biasa.

Tetapi ada beberapa perkara berbeza yang ada pada mereka tapi tidak ada pada kita kebanyakan pemuda Islam pada zaman mutakhir ini. Apa yang disenaraikan di bawah ini merupakan hanya beberapa sifat dominan mereka yang saya dapati dari pembacaan yang ringkas tentang riwayat perjalanan hidup mereka :

1) Hidup bukan bermatlamat untuk mengejar pangkat, nama dan kedudukan tetapi matlamat mereka hanyalah Allah semata-mata, mengejar keredhaan Allah SWT dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

2) Memiliki ketaqwaan yang sangat tinggi dan hanya berharap pada Allah SWT dalam setiap pekerjaan yang mereka lakukan.

3) Mereka sentiasa mewujudkan atau mencipta suasana kehidupan mereka yang seringkali berbeza dengan orang lain(penuh berdisiplin).

4) Mereka menggunakan setiap peluang dan bidang mereka untuk memperkuatkan Islam lebih daripada mengutamakan kesenangan diri mereka sendiri.

5) Mereka sangat merendah diri dan hampir dengan orang yang lebih alim walaupun keilmuan mereka diakui melangkaui zaman.

Itulah antara sifat dominan mereka yang mengundang kejayaan bagi pemuda Islam. Maka marilah wahai pemuda Islam sekalian kita sama-sama ikut jejak langkah mereka dengan mencontohi ikon-ikon yang saya sebut di atas. Asuhlah diri pemuda cintakan akhirat dan ceritakanlah kepada tentang tipuan dunia. Pasti akan gemilang!
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda