Mencari Kebahagiaan Dengan Kebebasan?

11.14.2010

KEBAHAGIAAN bukan terletak pada banyaknya wang ringgit atau harta semata-mata, bukan juga terletak pada kebebasan hidup menurut hawa nafsu tanpa ada landasan yang memandu sebuah kehidupan kerana kebahagiaan adalah berkait dengan ketenangan hati. Kebahagiaan adalah kesenangan dan ketenangan hidup, suasana aman yang dilalui seseorang dalam kehidupan.

Ada golongan cerdik pandai yang mengatakan untuk mencari bahagia, bebaskan hati daripada dendam, hasad dengki dan rasa takut. Hidup dengan sederhana, mengharap sedikit, memberi sebanyak-banyaknya. Isi dan penuhkan harapan dengan kasih sayang. Lupakan kepentingan diri dan utamakan kepentingan ummah dan orang lain. Lakukan kebaikan sesama manusia sebagaimana yang anda ingin diperlakukan.

Ramai kalangan kita kini sering tersalah anggap mengenai sebuah kebahagiaan, mentafsirkan kebahagiaan dengan keseronokan dan keinginan hidup bebas tanpa sebarang kongkongan. Sebenarnya itu semua bukanlah kebahagiaan tetapi sedang menggali sebuah jurang kesengsaraan. Oleh sebab inilah mengakibatkan ramai kalangan kita terutamanya muda mudi terjerumus ke kancah pergolakan hidup, pergaulan bebas, melepak, berkeliaran tanpa membuat kerja berfaedah.

Kebahagiaan terletak dalam hati, apabila hati bahagia akan terpancar kebahagiaan di wajah seseorang. Ketenangan jiwa juga boleh membawa kebahagiaan dalam hidup seseorang. Firman Allah yang bermaksud:

“Orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’ad, ayat 28)


Hamka menyatakan,

“Kekayaan harta benda, pangkat atau kedudukan yang tinggi tidaklah dapat menutupi kekerdilan jiwa atau tabiat yang tidak jujur. Malah, bertambah banyak kekayaan atau bertambah tinggi kedudukan, bertambah jelaslah kekerdilan jiwa dan kekurangan seseorang. Oleh sebab itu, kayakan batin lebih dulu untuk menghadapi kemungkinan naik atau kemungkinan turun.”


Perhatikan sahaja persekitaran sekeliling kita, orang miskin sering dilihat serba kekurangan dan menderita, tetapi hidup mereka tenang, bergembira dan bahagia. Orang kaya, serba mewah, berpengetahuan, tetapi hidupnya resah, cemas dan selalu merasa tidak puas, hidup dalam keadaan yang tidak pernah cukup.

Sifat zuhud teramat penting, harta cuma di tangan dan bukan di hati. Sesuatu yang dimiliki, dikawal dengan keimanan dan jiwa bersih. Jika tidak, ia hanya akan membuat diri menjadi keluh-kesah dan tidak pernah merasa cukup (tamak).

Mencari jalan menuju kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat amat penting dan setiap umat Islam mestilah berusaha untuk mencapai misi ini dengan matlamat mencari keredhaan Allah SWT. Teruskanlah mendidik hati dan jiwa supaya mencapai ketenangan dan kebahagiaan serta kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat dapat kita kecapi bersama.
Comments
1 Comments

1 komentar:

  • Sakinah Ismail

    kebahagiaan hidup berpunca daripada keberkatan.
    semuanya menjadi indah bila diberkati Allah.

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda