Sibuk Cerita Aurat Perempuan, Aurat Lelaki Bagaimana?

10.09.2011
Secara mudah, aurat dapat diertikan  sebagai tubuh badan samada atau wanita yang diwajibkan oleh syarak menutupnya daripada pandangan mata.

Aurat Lelaki Dengan Lelaki

Aurat lelaki yang wajib ditutupi  daripada pandangan seorang lelaki lain adalah bahagian tubuh antara pusat dan lutut. Sekali lagi diulangi, bahagian tubuh antara pusat. Bukannya cuma menutup pusat dan lutut sahaja. Ini bermakna bahawa seorang lelaki tidak diharuskan melihat aurat lelaki lain pada bahagian yang terletak antara pusat dan lututnya.

Hukum ini disepakati oleh jumhur ulama' berdasarkan kepada beberapa buah hadis yang sahih, antaranya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub r.a yang bermaksud :

" Bahagian anggota yang terletak di atas dua lutut adalah termasuk aurat dan bahagian yang terletak di bawah pusat adalah juga aurat."

Amru bin Shuib pula meriwayatkan  daripada bapanya daripada datuknya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :

"Apabila salah seorang diantara kamu mengahwinkan hamba wanitanya dengan hamba lelakinya atau orang upahannya maka dia (iaitu hamba wanitanya) dilarang sama sekali melihat auratnya kerana apa sahaja yang(bahagian anggota) yang terletak dibawah pusatnya hingga kepada dua lututnya adalah auratnya"

Selanjutnya Rasulullah s.a.w juga melarang melihat aurat itu sebagaimana sabda baginda yang bermaksud :

"Seorang lelaki dilarang melihat aurat lelaki yang lain dan juga seorang wanita dilarang melihat aurat seorang wanita yang lain"

Aurat Lelaki Dengan Wanita

Aurat lelaki bersama wanita adalah berbeza kerana kedudukannya dengan wanita tersebut. Sekiranya mereka bersama mahramnya seperti adik beradik kandung dan lain-lainnya, maka aurat yang mesti ditutupi adalah bahagian antara pusat dan lututnya. Ada pula pendapat yang mewajibkan supaya lelaki menutup seluruh badannya apabila berhadapan dengan wanita ajnabi(bukan mahramnya) iaitu tidak harus wanita melihat badan lelaki yang bukan mahramnya. Tetapi jika lelaki itu suaminya, tidak timbul masalah aurat antara kedua-duanya.

Bagaimana Dengan Berbogel?

Rasulullah s.a.w juga melarang kita mendedahkan aurat  sekalipun ketika bersendirian sebagaimana maksud sabda baginda  :

"Jauhilah daripada perbuatan berbogel, sesungguhnya ada bersama-sama kamu orang yang tidak berpisah dengan denganmu, kecuali ketika membuang air (besar dan kecil) dan ketika seorang lelaki bersetubuh dengan isterinya."


Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda