Nak Kahwin Tapi Tak Cukup Duit

6.29.2009 11 komentar
Salam Kehangantan. Hari ini lebih hangat daripada biasa, cukup bersesuaian dengan tajuk yang mungkin agak hangat ini...
Semua orang nak berkahwin(kalau yang tak nak tu tak normal la), tak kira lelaki atau perempuan kerana itu adalah fitrah seorang manusia dan merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka yang telah berkahwin juga berkeinginan hendak berkahwin lagi(lelaki sahaja) apatah lagi mereka yang belum berkahwin.

Ramai orang yang nak kahwin tapi tak cukup duit. Tidak cukup duit adalah salah satu daripada yang masalah telah dikenal pasti menjadi punca kepada perkahwinan lambat berlaku kerana memikirkan pelbagai perkara seperti mas kahwin, wang hantaran, kos kenduri, barangan hantaran dan lain-lain. Suatu perkara yang menjadi keresahan pihak lelaki adalah pada jumlah wang hantaran(bukan mas kahwin) yang kini seolah-olah seperti wujud sifir nilai wang hantaran berdasar kelulusan seseorang wanita seperti yang terdapat dalam jadual di bawah :

sifir wang hantaran mengikut tahap kelulusan

Maksud sabda Rasulullah s.a.w : daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah bersabda "sesungguhnya sebesar-besar keberkatan dalam perkahwinan adalah yang sederhana maharnya"(riwayat Imam Ahmad)

Benarkah perkara ini berlaku?(seperti dalam jadual)
Adakah perlu menetapkan wang hantaran yang begitu tinggi mengikut kelulusan seperti dalam jadual di atas?
Bagaimana mengatasi hal ini?

Pohon pandangan para pembaca yang mulia. Untuk menyatakan pandangan, sila klik

Nak Ke Tak Nak

6.27.2009 0 komentar

Cuba perhatikan situasi yang berlaku di bawah, ia sebenarnya berlaku di sekitar kita samada di rumah-rumah, di asrama atau di mana-mana sahaja.

Azan berkumandang
Allahu Akbar!! Allahu Akbar!!
Laungan azan daripada muazzin(tukang azan) jelas kedengaran daripada corong-corong masjid yang berdekatan.(kalau kat Mesir masjid kat sebelah rumah saja)

Beberapa minit seusai azan.
"Dah azan dah ke?"(Saja buat-buat tanya walaupun dah dengar)
"Dah, lebih kurang dalam 5 minit tadi kot. Kenapa?"
"Entahlah, tiba-tiba mata aku ni rasa mengantuk semacam je".Sambil menarik bantal dan merebahkan badan ke atas tilam yang empuk.

"Eh, jom la kita solat dulu. Nanti dah selesai baru kita rehat"
"Tak apa la, kau pergi la masjid dulu. Aku solat kat rumah saja kot rasa macam tak larat pulak nak pegi masjid tu, lagipun aku rasa nak masuk tandas dulu sebab perut ni rasa semacam la pulak"
"Engkau ni kan, 'time' ni la macam-macam alasan yang kau reka. Lebih senang kalau kau mengaku saja yang kau malas nak pergi masjid."…

Ketahuilah bahawa :

“Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan Yang mendapat petunjuk”. Surah Al Taubah : 17-18

Rasulullah s.a.w bersabda : "Solat berjamaah adalah lebih afdhal berbanding dengan solat bersendirian iaitu dengan 27 darjat"

Sebenarnya di sisi kita ada pilihan samada kita mahu tergolong dikalangan orang-orang yang 'bijak' atau 'bodoh'. Bijak atau bodoh seseorang itu bergantung kepada pilihan tersendiri samada ingin solat berjemaah di masjid atau bersolat sendirian di dalam bilik. Mungkin agak kasar dengan istilah 'bodoh' tetapi itu adalah gelaran yang paling sesuai dengan kebodohan yang ada padanya adalah kerana tidak tahu menilai samada satu atau 27 darjat yang lebih tinggi.
Jika bijak, fikirlah dengan akal yang waras kurniaan Allah s.w.t.…

Jangan Sampai Menghina

6.26.2009 1 komentar
Allah maha agung penciptaanNya, mencipta manusia dengan memiliki pelbagai jenis naluri hati dan berbagai cara pemikiran. Meskipun dua beradik kembar yang memiliki wajah yang seiras dan sama jantina, cara pemikiran dua beradik ini adalah tidak semestinya sama. Setiap orang bebas memberi dan menyatakan pandangan masing-masing tetapi dengan syarat ia mestilah tidak bercanggah dan tidak membelakangi ketetapan syara'. Kita berhak menerima atau menolak pandangan yang diberikan dengan cara yang baik. Jika tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, kita boleh menolak dengan baik dan bukannya dengan meremehkan dan merendahkan pendapat dan orang yang mengeluarkan pendapat tersebut. Kita juga boleh mengkritik pendangan seseorang tetapi jangan sesekali menghina pandangan yang telah dilontarkan olehnya kerana pandangan kita belum tentu merupakan pandangan yang terbaik dan boleh jadi pandangan yang kita perlekehkan itu adalah yang yang paling bernas dan terbaik.

Jangan kita rasa kita adalah lebih baik daripada orang lain kerana ia boleh membawa kepada lahirnya rasa takabbur dalam diri. Elakkan bersikap seperti iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam a.s kerana takabbur dengan menyangka dirinya lebih baik daripada Adam a.s kerana ia diciptakan daripada api sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah. Takabbur dalam definsi yang sebenar yang sebenar adalah menolak kebenaran dan menghina manusia. Begitu juga halnya dalam menerima dan mengkritik pandangan orang lain, jangan biarkan sifat takabbur merajai hati dan diri kerana Rasulullah bersabda "tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi sekalipun daripada sifat takabbur". Jika mengkritik sesuatu pandangan, jangan sesekali sampai menghina dan memperlekehkan pandangan orang, cuba hormati dan meraikan pandangan yang dilontarkan meskipun pandangan yang dilontarkan agak kurang bernas. Cuba amalkan sikap berlapang dada dan tidak terlalu taksub dengan pandangan kita. Contohi akhlak yang ditunjukkan Rasulullah semasa peperangan khandak Rasulullah bagaimana Rasulullah menerima cadangan Salman Al Farisi untuk menggali parit. Jika akhlak rasulullah tidak menjadi qudwah kepada kita, akhlak siapa lagi yang hendak kita contohi.

Rindu Pada Ayah

6.22.2009 2 komentar

Alhamdulillah, dapat juga tulis entri bersempena hari bapa. Walaupun agak berbeza dengan sahabat dan teman yang lain, hanya ini yang mampu dikarang. Kalau dulu, bila teringat 22 Jun 2002, mata mula berkaca tetapi kini tidak lagi. Ingatan masih tetap sama, kerinduan macam dulu juga, cuma kawalan perasaan sudah agak berbeza. Mungkin diri ini sudah agak dewasa...rindu pada ayah

Ayah...
Terlalu asyik rasa duduk membilang hari
Bulan demi bulan dan tahun demi tahun berlalu,
Dah hampir tujuh tahun ayah pergi,
Rasanya baru semalam ayah usap kepala kita, sejuk syahdu masih lagi terasa

Ayah...
Petang itu masih segar dalan ingatan
Itulah kali terakhir ayah usap kepala anak ayah yang nakal ni
Emmmm...rupanya ayah dah tahu yang ayah nak pergi jauh
Nak tinggal kan anak-anak ayah, nak tinggal kan dunia fana ni

Ayah macam dah sedia
Seminggu sebelum tu
Ayah pesan suruh belajar rajin-rajin, jadi macam tok guru dan alim ulama'
Walaupun ayah tak ada, kita tetap kena belajar juga

Ayah kata ayah tak mampu nak tinggalkan harta
Ini saja yang ayah boleh buat, suruh semua anak-anak ayah belajar
Walau macam mana susah sekalipun kena belajar
Nanti boleh doakan untuk ayah dan mak

Tinggi harapan ayah
Hendak tengok semua anak-anak belajar agama
Onak dan duri ayah tak kisah, untuk anak-anak
Ayah tak makan pun tak apa, asalkan anak-anak senang
Ayah tak pernah putus asa
Tak cukup pagi dan petang, waktu malam pun ayah usahakan

Ayah...
Hari tu hari Jumaat dapat berita daripada abang ayah masuk wad
Malam tu juga kita balik rumah
Ayah dalam kesakitan, tangan ayah luka teruk. Hampir dengan urat nadi
Tambah pula dengan sakit buah pinggang yang kritikal
Kedua-dua belah buah pinggang dah rosak
Ayah tak nak buat Dialisis, kami semua akur
Katanya nak ikhtiar cuba cara kampung pula, Dialisis mahal katanya
Nanti siapa nak tanggung anak-anak belajar
Kita hanya diam seribu makna...

Ayah...
Ampunkan kami semua
Kami nak ayah sihat
Kami sayang ayah
Kami tak mahu ayah sakit
Kami tak kisah tak dapat belajar pun
Asalkan ayah sihat
Ampunkan kami ayah

Ayah...
Dulu masa kita yang sakit
Tangan terseliuh teruk sebab kita yang nakal
Ke hulu ke hilir ayah tak senang duduk
Ayah cari tukang urut terbaik
Alhamdulillah tangan kita pulih

Ayah...
Lepas solat asar abang bawa ayah jumpa pengamal perubatan Islam
Kita ikut sama dan itulah kali terakhir kita naik kereta bersama ayah
Sebelum turun dari rumah, ayah pesan kena pergi sekejap saja
Sebab ayah nak balik segera
Mak ada beritahu abang, ayah kata kat mak yang ayah nak 'mati' kat rumah
Kita hanya diam tak terkata
Mungkin ayah dah tahu saatnya semakin hampir

Ayah...
Jam 7.30 petang 22/06/2002
Selepas satu jam tiba di rumah
Abang mengajarkan kalimah tauhid di telinga ayah
tidak lama lafaz 'innalillah' keluar dari mulut abang
Ayah mesti nampak kita menangis masa tu
Mesti ayah nampak abang cium dahi ayah
Mesti ayah nampak akak baca surah yaasin untuk ayah
Mesti ayah nampak adik dan semua orang menangis
Mesti ayah nampak semua tu kan

Ayah...
Malam tu tak macam malam yang biasa
Suasana suram walaupun ramai orang hadir
Adik kat sebelah diam melayan perasaan
Kenangan kita bersama ayah berputar dalam kepala
Jalan di depan terasa makin kelam
Airmata dah tak mampu di tahan
Sepanjang malam terasa kedinginan itu lain benar suasananya
Terasa syahdu dan sayu

Ayah...
Kita masih ingat lagi
Kita baca Al Quran kat tepi ayah temankan ayah
Mak dan akak pun turut baca bersama
Kita baca Al Quran sambil berlinangan air mata
Mak kata "jangan nangis...kalau sayang ayah jangan buat gitu..jangan nangis"
Bila mak tu kata macam tu
Makin laju deraian air mata ni

Jam 11.00 pagi ayah dimandikan
Kami anak-anak yang pangku masa ayah dimandikan
Sebelum muka ayah ditutup
Semua anak-anak tampil menatap wajah ayah buat kali terakhir
Semua orang kata ayah seolah-olah senyum saja
Ayah rasa tak
Masa tu kita sentuh dahi ayah
kita rasa sejuk sangat dahi ayah
Air mata kita tak boleh tahan
Lepas tu Abang mengimamkan solat jenazah untuk ayah

Jam 12 tengahari ayah diusung keluar dari rumah
Ramai yang mengiringi ke kuburan
Kami tiga orang menanti di liang lahad
Menyambut jasad ayah
Itu adalah tanggungjawab kami anak-anak

Ayah.....
Hari-hari dilalui tanpa ayah lagi
Begitu terasa kehilangan ayah
Boleh kata setiap kali tatap gambar ayah pasti berendam air mata
Semakin ditenung terasa semakin sayu
Tangisan tak dapat dibendung
Lagu 'di pondok kecil' mengiringi kerinduan ini
Semoga kerinduan terubat dengan pertemuan di syurga nanti
Insya'Allah...

Ayah...
Kita rindu sangat-sangat pada ayah
Hanya bacaan ayat-ayat Al Quran dan doa yang mampu kita sampaikan
Kita mendoakan ayah sentiasa dicucuri rahmat Allah
Terima kasih kerana membesarkan kita
Memberi seluruh kasih sayang sejak kita sampai masuk sekolah
Sampai masuk univesiti.
Sampai kiter boleh rase naik kapal terbang
Boleh rasa duduk kat negara orang
Sampai akhir hayat ini jasa ayah tak akan mampu kita balas...

01.02 a.m
22 Jun 2009
St. Theresa, Shoubra
Mesir

Mujahadah Bermusim. Mujur Ada Exam (repost)

6.19.2009 0 komentar
Exam selesai. Fuhh...ramai yang mengeluh panjang. Lega. Ramai yang bersorak gembira kerana berjaya mencapai 'kemerdekaan' sementara. Segelintirnya ada yang 'monyok' bagai ayam digigit tungau. Ahh..biarkan saja bagaimana keadaan mereka, itu hak mereka samada mahu bergembira atau berduka.

Masih ingat lagi bagaimana keadaan diri kita sebelum peperiksaan? Segalanya masih 'fresh' lagi dalam ingatan. Ke hulu ke hilir mesti bersama buku dan kitab, tidur cuma beberapa jam sahaja sehari, sambil memasak dan membasuh pun boleh membaca, setiap masa kedengaran alunan ayat ayat suci al Quran dibaca, puasa sunat isnin dan khamis memang tidak ditinggalkan, solat hajat, solat sunat dan qiamullail hampir setiap malam dan boleh dikatakan setiap saat yang berlalu adalah sangat berharga dan bermakna. Jika diperhatikan gelagat ini ibarat manusia jelmaan malaikat yang memenuhi rumah-rumah dan bilik-bilik, bagus sungguh. Bermujahadah. Namun yang dikesalkan adalah hal ini cuma berlaku sebelum exam dan semasa exam berlangsung sahaja. Kenapa? Muhasabahlah diri kita.

Apa yang berlaku selepas exam? Memang malas nak cerita tetapi sebagai peringatan untuk kita bersama. Cuba renung renungkan. Habis sahaja exam, gembira tak terkata macam berjaya lunaskan hutang yang berjumlah RM satu juta. Itu belum lagi dapat tahu natijah samada berjaya atau sebaliknya. Berakhir saja exam, Al Quran yang sering dibaca sebelum ini entah berada di mana. Sebelum exam, sekali baca 4,5 juzu' adalah perkara biasa tetapi kini nak habiskan satu juzu' pun cukup cukup seksa. Kerana siapa dan kerana apa kita baca al Quran? Adakah kerana exam semata mata? Istighfar.

Sebelum dan semasa exam dapat diperhatikan bagaimana kita semua bermujahadah demi mencapai kejayaan dalam exam tersebut. Semua mahukan kejayaan. Itu adalah sesuatu yang pasti. Mana ada orang yang mahu gagal. Terfikir juga, kenapa semasa cuma sebelum exam kita begitu bersungguh sungguh sekali tak kira pada sudut solat, ulangkaji pelajaran, amalan ibadah lain semuanya macam sudah cukup sempurna tetapi seusai exam sahaja ke mana perginya segala amal ibadah itu? Sebelum exam kita sanggup mengekang mata dengan mengurangkan tidur tetapi selesai exam tidurnya ibarat ular sawa yang kekenyangan membaham seekor anak lembu. Lebih dahsyat daripada hibernasi seekor beruang pada musim sejuk. Adakah kita beramal kerana exam? Bermujahadah mengulangkaji pelajaran hanya kerana exam? Jawab persoalan tersebut sejujurnya. Tanya diri masing masing.

Bukankah sekurang kurangnya lima kali sehari kita solat kita melafazkan satu 'ikrar' di dalam solat sebaik sahaja selesai takbiratul ihram iaitu pada doa iftitah? Maksudnya "sesungguhnya solatku, amal ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekalian alam". Mungkin kita lupa ikrar ini tetapi logikkah kita lupa kerana setiap hari paling kurang lima kali sehari kita lafazkan ikrar ini. Lainlah bagi mereka yang cuma solat seminggu sekali atau dua kali setahun (solat sunat aidilfitri dan aidiladha). Secara kasarnya kita memang bermujahadah dalam beribadah dan mengulangkaji pelajaran hanya kerana exam. Kita ini hamba exam ke?(maaflah agak kasar sedikit). Istighfar. semuanya adalah untuk exam Kerana selesai saja exam, hilang semuanya. Begitu juga dengan apa yang kita pelajari dan ulangkaji semata mata hanya untuk menghadapi exam, segalanya dicurah dan diluahkan semasa menjawab dalam peperiksaan. Habis exam, segala yang telah difahami dan dihafal hilang begitu sahaja. Ruginya. Bukankan ilmu tersebut untuk digunakan sepanjang hayat? Bukan hanya untuk exam.

Jika niat kita tersasar, sama sama kita perbetulkan kembali. Segalanya adalah hanya kerana Allah s.w.t. Perlu kita ingat, sepanjang hidup kita ini adalah ujian, peperiksaan dan exam. Medan dunia yang sementara adalah tempat ujian menuju akhirat yang kekal abadi. Natijah atau keputusannya kita akan ketahui di sana nanti samada kita berjaya atau sebaliknya. Kegembiraan yang yang sebenar adalah kejayaan dalam menempuh ujian kehidupan di dunia ini. Kejayaan di akhirat adalah kejayaan dan kemerdekaan yang abadi.

Rasanya tidak mahu tulis panjang artikel ini, cukuplah disitu. Selebihnya "lu pikir la sendiri"(pinjam trademark seorang artis). Semoga kita dapat manafaat daripadanya. Cuba untuk memberi sebanyak banyaknya, bukan menerima sebanyak banyaknya. Oleh itu, kalau mahu pintar belajar, kalau mahu berhasil usaha.

p/s: Harap maaf, Ambo lebih senang gunakan istilah 'exam' kerana ia lebih popular daripada peperiksaan dan lebih senang difahami. Ini tidak bermaksud Ambo menyokong PPSMI. Tukar kerajaan yang memperjuangkan PPSMI.

Tahu Mengutuk, Tidak Pandai Beradab

6.18.2009 0 komentar
Gambar di sebelah mungkin ada kaitan dengan entri kali ini. Alhamdulillah masih diberi ruang untuk melakar coretan di laman blog ini. Bukan Ambo sahaja, malah ramai yang turut melahirkan rasa terkilan dan menyatakan kekesalan terhadap keadaan yang berlaku tempoh hari setelah selesai Rehlah Fayyoum 2009 kerana 'rumah telah siap tapi pahat masih berbunyi' dan lebih-lebih apabila ramai manusia 'bacul' mula mengecam, mengeji dan mengutuk 'di belakang'. Terlebih dahulu, tidak lupa kepada mereka yang memahami dan menyelami situasi yang berlaku. Jazakumullahu khairan kathira.

Jawab dahulu persoalan-persolan ini. Kenapa perlu mengecam, mengeji, memfitnah dan mengutuk? Adakah Islam mengajar kita metod ini? Pernah Rasulullah mengecam, mengeji, mengutuk dan mencaci sahabat-sahabat baginda? Dari mana dan daripada siapa kita mencedok cara meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan cara begini? Hanya menurut tuntutan nafsu yang sentiasa menyuruh kearah perkara-perkara yang keji dan dilarang oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia. Kita semua pelajar muslim, sama-sama belajar dan tahu bagaimana Islam mengajar kepada kita cara beradab dan berakhlak. Apa guna semua yang telah kita belajar jika tidak mempraktikkannya?

Sekiranya benar-benar berani dan mahu mendapatkan kebenaran, bukan 'cakap belakang' caranya. Sila tampil ke depan dengan diri kita yang sebenar dan bukan hanya pandai bercakap de sebalik tabir. Islam mengajar kita perbincangan, dapatkan penjelasan daripada pihak AJK dan cuba nilai sendiri adakah perkara tersebut dirancang sebegitu atau sebaliknya. Seterusnya, apa faedah yang diperoleh daripada 'cakap belakang' ini? Jika diselitkan dengan kata-kata menghina, mengumpat, mencarut, memfitnah dan sebagainya, bukankah itu perbuatan yang berdosa?

Untuk pengetahuan semua, Ambo hanya melayan 3 atau 4 mesej yang terawal sahaja (selain tu bukan Ambo. Sekian dimaklumkan) di ruang shoutbox di sebelah ini. Sengaja Ambo biarkan sahaja kerana ingin melihat reaksi para sahabat sekalian. Ambo tidak kisah orang yang memaki Ambo, cuma agak terkilan kerana mereka menghentam dan menghina(boleh lihat disebelah) AJK lain yang telah berusaha memberikan yang terbaik. Tidak cukup setakat itu sahaja, musyrif pun turut menjadi mangsa. Apa bagus sangatkah mereka ini? Kalau bagus sangat, silakan jadi AJK dan atur sebuah program yang langsung tidak ada cacat celanya. Kalau benar-benar lelaki yang berani, sepatutnya kalian menyatakan nama sebenar dan bukan berselindung disebalik 'nickname' yang berbagai itu.
Semoga maksud ayat Al Quran dan Hadis Rasulullah di bawah ini menjadi panduan dan pengajaran untuk kita bersama :

'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.'
(Surah al-Hujurat:11)

Manakala sabda Rasulullah s.a.w pula:

Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)

Ambo hendak mengingatkan diri sendiri dan sahabat sekalian agar kita sama-sama menjaga adab terutamanya dalam tutur kata agar kita tidak tergolong dikalangan mereka yang dicela oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Huffaz 'Burung Tiong'

6.15.2009 3 komentar

Hafiz (bahasa Arab: حافظ قرآن‎ atau حافظ, jamak huffaz, bermaksud penjaga) merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang lelaki yang telah berjaya menghafaz al-Quran sepenuhnya. Gelaran ini juga turut diberikan kepada para ilmuan Hadis yang telah berjaya menghafaz, mengkaji sanad hadis tersebut (salasilah perawi hadis) serta mentafsirnya dengan baik sekali manakala burung tiong pula merupakan sejenis burung yang popular dan digemari kerana kemampuannya boleh dilatih meniru dan mengajuk suara manusia. Apa yang ingin dibicarakan adalah mengenai 'penghafal Al Quran seperti burung tiong'.

Teringat sewaktu berada diminggu Haluan Siswa(orientasi) Darul Quran, Ustaz Zamri Shapik sering mengingatkan kami dengan kata-katanya "kita tidak mahu melahirkan huffaz seperti burung tiong di dalam sangkar emas tetapi kita ingin melahirkan huffaz seperti pokok balak di hutan". Jelas sekali maksud beliau yang tidak mahu kami menjadi seperti seekor burung tiong di dalam sangkar emas yang dipuja oleh segenap lapisan masyarakat dengan kemampuan dalam menghafal Al Quran tetapi hanya sekadar meniti di bibir-bibir sahaja tanpa ada pemahaman dan pengamalan tentang ayat-ayat yang dibaca. Beliau mahukan kami menjadi seperti pokok balak di hutan yang mampu membesar dengan sendiri, berdikari dan berdiri gah di sisi pokok-pokok balak yang lain tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa.

Kini kita sendiri boleh melihat di sekeliling kita dengan kebanjiran penghafal Al Quran bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang rata-rata mampu menutur dan melafazkan setiap kalimah di dalam Al Quran dengan fasih dan lancar tetapi hanya terdapat segolongan kecil dikalangan penghafal Al Quran yang mampu memahami dan hanya beberapa orang sahaja yang dapat memahami serta mengamalkan intipati yang terkandung di dalam kitab suci Al Quran dalam kehidupan seharian. Lihat sahaja pada seekor burung tiong yang dilatih sehingga dapat melafazkan ucapan 'assalamualaikum' setiap kali ada manusia yang menghampirinya tetapi adakah seekor burung tiong yang tidak dikurniakan nikmat akal memahami maksud 'salam' yang dilafazkannya? Sudah tentu tidak. Kalau kita menjawab salam burung tiong tersebut, ia langsung tidak memahami apa yang kita lafazkan. Sama juga halnya dengan sebuah mesin atau robot yang di'set' oleh perekanya yang dapat berkata-kata tetapi langsung tidak memahami perkataan yang dituturkannya.

Adakan kita para penghafal Al Quran hanya seperti seekor burung tiong atau seperti sebuah mesin yang 'berakal'? Hanya mampu untuk melafazkan setiap kalimah dan ayat Al Quran tetapi langsung tidak memahami apa yang dilafazkan. Apabila sedikit pemahaman pun tidak ada, maka pengamalannya bagai bermimpi disiang hari. Oleh sebab hal inilah munculnya ramai dikalangan penghafal Al Quran yang menjadi fitnah kepada seluruh penghafal Al Quran khususnya dan fitnah kepada Islam amnya kerana akhlak dan keperibadian mereka yang jelas bertentangan dengan Al Quran yang meniti bibir-bibir mereka sehari-hari. Oleh yang demikian, kita(penghafal Al Quran) perlu menjadi pokok balak yang teguh mendokong Islam ditengah-tengah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kini dan mejadi 'role model' untuk memimpin masyarakat memahami dan mengamalkan Islam sebagai manhaj kehidupan seharian.

"Kemudian kami jadikan Al Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka diantara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri(dengan tidak mengendahkan ajaran Al Quran), dan diantaranya ada yang bersikap sederhana , dan diantaranya ada yang mendahului(orang lain) dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar(dari Allah semata-mata)- Surah Faatir:33

Sabda Rasulullah s.a.w: "Bacalah Al Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya"- Hadis riwayat Imam Muslim.

Bagaimana Al Quran akan menjadi syafaat kepada kita nanti sekiranya kita tidak memahami dan mengamalkan isi kandungannya serta kita memiliki akhlak yang jelas bertentangan dengan Al Quran? Atau nanti Al Quran yang akan melaknat kita?(nauzubillah) Ayuh mari kita sama-sama memahami dan mengamalkan Al Quran serta menyeru seluruh umat Islam untuk menjadikan Al Quran sebagai perlembagaan dan manhaj kehidupan.