7 Cara Menghadapi Kegagalan

5.24.2009
Salam Kejayaan

Tahniah buat mereka yang berjaya namun bukan takziah kepada yang tidak berjaya. Mungkin ramai yang berani menyediakan tips tips untuk menghadapi kejayaan dalam peperiksaan tetapi jarang kita menjumpai Bagaimana Cara Kita Menempuh Kegagalan. Ini tidak bermakna kita mahukan kegagalan, semua orang tidak mahu gagal dalam sesuatu perkara tetapi ia sebagai persediaan sekiranya ditakdirkan untuk menempuh kegagalan. Apa yang perlu dilakukan sekiranya kita gagal dalam peperiksaan? Jangan sesekali cuba untuk bunuh diri atau bertindak bodoh melakukan perkara yang tidak berfaedah yang tidak akan mampu menyelesaikan masalah.

Pertama, perlu bersyukur kepada Allah kerana tergolong dikalangan orang orang yang gagal kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Jika dilihat daripada sudut yang positif, sekiranya kita tekun dan gigih berusaha namun kita tetap gagal mungkin ia adalah suatu ujian daripada Allah untuk menguji kesabaran dan keimanan hambaNya. Teruskan berusaha dan ikhlaskan niat kerana yang akan dinilai disisi Allah adalah sejauh mana usaha dan keikhlasan kita bukannya kejayaan atau kegagalan yang kita perolehi.

Kedua, bersangka baik terhadap ketentuan Allah. Mungkin Allah mahu memberikan kepada kita pahala yang melebihi daripada yang diperolehi oleh orang lain kerana kita sukar dan payah untuk memperolehi kejayaan dan kita akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk berjaya. Mungkin mereka yang telah berjaya usaha mereka terhenti di situ sahaja setelah memperolehi kejayaan namun kita tetap berusaha untuk berjaya sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah yang mungkin dapat kita kiaskan maksudnya dengan kepayahan dan kegigihan dalam berusaha : "orang yang membaca al Quran sedangkan dia mahir melakukannya kelak mendapat tempat di syurga bersama sama rasul yang mulia lagi baik sedangkan orang membaca al Quran tetapi tidak mahir, tertegun tegun dan nampak berat lidahnya (tidak lancar) dia akan mendapat dua pahala".

Ketiga, kegagalan bukan untuk ditakuti tetapi ia dihadapi dengan sikap minda yang positif kerana tanpa minda yang positif kita akan semakin 'stress' menghadapi kegagalan. Apabila kita 'stress' kita akan kehilangan 'energi' untuk bangkit semula daripada sebuah kegagalan kerana dibayangi rasa takut untuk gagal. Oleh itu jangan takut untuk gagal dan berusaha semaksima yang mampu untuk menggapai kejayaan.

Keempat, mencari punca kegagalan. Renung kembali diri kita, apa yang menyebabkan kita gagal dalam peperiksaan? Mungkin sebelum ini kita terlalu asyik dan leka dengan urusan serta hal hal yang lain sehingga mengabaikan usaha mencapai impian untuk berjaya. Mungkin juga kita hanya menumpukan usaha pada saat saat akhir menghadapi peperiksaan atau kita sememangnya tidak memiliki persediaan yang secukupnya untuk menghadapi peperiksaan. Muhasabah diri kita kembali, di mana silap kita dalam merencana diri dan mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan.

Kelima, atasi kegagalan. Apabila kita telah mengetahui punca dan penyebab kegagalan, perlu ada suatu usaha untuk mengatasinya. Setiap penyebab dan punca perlu diatasi dengan strategi dan perancangan sebaiknya agar kegagalan tidak akan berlaku pada kali yang kedua. Sesungguhnya orang muslim tidak akan jatuh pada tempat yang sama pada kali yang kedua kerana cukuplah yang pertama itu sebagai pengajaran buat dirinya. Jadikan pengalaman yang lalu sebagai guru untuk membimbing kita ke arah memperolehi hasil yang lebih baik. Belajar daripada kesilapan.

Keenam, jangan berputus asa. Teruskan berusaha dan istiqamah dalam usaha kita. Jangan sesekali menganggap usaha kita yang lalu adalah sia sia. Maksud firman Allah s.w.t dalam Surah Yusuf ayat 87 "janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"

Ketujuh, berdoa. Setelah berusaha memperbaiki segala kelemahan dan mengatasi punca punca yang menyebabkan kita gagal, jangan sesekali kita melupakan Yang Maha Kuasa. Pohonlah kepada Allah, nescaya Allah akan memperkenan segala permohonan kita. Sentiasa menghampirkan diri kepada Allah setiap masa, ikhlaskan setiap amal perbuatan dan usaha kita hanya keranaNya serta sentiasa memohon dikurniakan kejayaan samada di dunia mahupun akhirat.

Semoga dengan tips tips yang tidak seberapa ini menjadi panduan untuk kita bersama. Alhamdulillah, setinggi tinggi kesyukuran kepada Allah yang telah memberikan kepada Ambo kejayaan dalam peperiksaan tahun pertama. Terima kasih buat seluruh ahli keluarga, para pendidik dan sahabat sahabat atas dorongan dan tunjuk ajar daripda kalian semua. Ambo cuma mampu luahkan ucapan terima kasih, hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian semua.

Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda