Ber'Agama' Dalam Kurungan (A)

5.29.2009
Salam Kedinginan

Banyak sekolah dan institusi pengajian tinggi kini yang berteraskan agama dan menawarkan kursus kursus pengajian Islam. Ini adalah sangat bagus namun kenapa semakin hari kita lihat semakin ramai yang tidak beramal dan tidak mahu menerima Islam sebagai cara hidup?Semasa di sekolah atau IPT mereka boleh berpakaian sopan dan menutup aurat tetapi apabila di luar sekolah atau IPT tidak ada bezanya mereka yang belajar agama dengan yang tidak belajar agama samada lelaki atau perempuan terutama cara berpakaian dan akhlak mereka. Adakah hukum berpakaian sopan, menutup aurat dan berakhlak mulia adalah undang undang sekolah atau IPT? Bukan peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t?

Ambo masih ingat semasa masih menuntut di peringkat menengah di sebuah sekolah. Semasa belajar dan sepanjang berada di kawasan sekolah semua pelajar 'wajib' berpakaian sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak sekolah iaitu bagi pelajar lelaki mesti berpakaian sopan dan menutup aurat dan pelajar perempuan mesti bertudung litup atau labuh dan memakai baju kurung. Tidak perlu menunggu sehingga tamat belajar, setiap kali cuti pengajian penjagaan aurat juga turut 'bercuti' bersama.

Setelah tamat belajar pula dilihat ramai dikalangan kawan kawan yang turut 'merdeka' daripada hukum menutup aurat. Hanya beberapa orang sahaja dikalangan pelajar perempuan yang mampu mengekalkan pemakaian tudung labuh dan baju kurung, sebahagian besarnya melaram dengan pelbagai fesyen tudung dan baju serta ada juga yang tidak segan silu menyarung jeans ketat dan t-shirt sendat sehingga menampakkan 'nasi lemak' masing masing(terpaksa sebut juga walau agak berbaur lucah). Dedah sana, tayang sini, menonjol sana, belah sini. Pihak lelaki tidak menunjukkan perubahan yang ketara cuma waktu tertentu seperti berkelah atau bemain futsal ramai yang tanpa segan silu menyarung seluar pendek serta menayangkan pelbagai rekabentuk pusat masing masing. Di mana pakaian anda yang sebelum ini? Adakah hanya untuk dipakai semasa dizaman sekolah?

Hukum menutup aurat adalah hukum Islam, bukan peraturan yang dicipta oleh pihak sekolah. Pihak sekolah sekadar mengambil hukum Islam dan menjadikannya sebagai undang undang sekolah. Hukum Islam adalah tetap hukum Islam, tidak kira di mana jua kita berada samada di sekolah, IPT atau di mana mana. Islam bukan hanya untuk diamalkan disekolah dan IPT tetapi seluruh hidup kita mesti beramal dengan cara Islam daripada sekecil kecil perkara sehingga kepada sebesar besar perkara. Islam itu syumul(menyeluruh).

Ini adalah racun sekularisme yang meresap dalam pemkiran umat Islam mula membarah dan bernanah bermula sejak di bangku persekolahan lagi. Ramai yang berfahaman Islam hanya di masjid masjid , perkahwinan(nak kahwin empat kerana nak ikut sunnah), berkhatan, dan kematian sahaja. Adakah ini sahaja Islam? Sudah pasti tidak kerana ini adalah fahaman yang sesat dan batil. Islam itu syumul, merangkumi seluruh perkara. Politik Islam, ekonomi Islam, undang undang Islam dan segala galanya mesti berlandaskan Islam.

Mungkin ada dikalangan sahabat sahabat lama terasa 'terkena' dengan entri ini kerana segelintir daripadanya Ambo pernah menegur keadaan diri mereka. Memang salah satu tujuan entri ini ditulis adalah ditujukan kepada mereka yang berkenaan selain untuk dakwah secara umum.

Kalau ditanya kepada seorang kanak kanak kecil sekalipun samada hendak pilih syurga atau neraka, sudah tentu mereka akan pilih kehidupan di syurga tetapi sangat pelik sekali bagi mereka yang sudah agak dewasa, tahu hukum hakam dan bila ditanya tentang syurga atau neraka semuanya memilih syurga tetapi keadaan mereka seolah olah menempah tiket ke neraka. Berpakaian dengan pakaian ahli neraka serta berakhlak dengan akhlak ahli neraka. Fikir fikirkan. Maksud firman Allah dalan surah Al Zaariyat "dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang orang yang beriman". Ayuh sama sama jadikannya sebagai peringatan kepada kita bersama.

Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda