Andai Aku Pergi Dulu

5.31.2009

Salam Keinsafan

Usai solat zohor di masjid Umar Abd Aziz. Para jemaah hari ini agak ramai. Imam terus bangkit mengajak para jemaah untuk solat jenazah. Solat jenazah yang hanya empat takbir serta secebis doa tanpa rukuk dan sujud. Jenazah diusung keluar setelah selesai solat. Ramai yang turut mengiringi, mungkin sanak saudara, kerabat dan sahabat sahabat allahyarham yang baru meninggal itu. Semoga Allah melimpahkan rahmat keatasnya...

Terfikir sejenak, bagaimana kalau aku yang berada di tempat jenazah itu? Aku yang dimandikan, dikafankan, aku juga yang disolatkan dan seterusnya diusung untuk di kebumikan. Adakan aku bersedia menghadapi saat kematian itu? Atau masih terdetik di hati kecil bahawa aku masih muda lagi, nanti dah tua baru bertaubat. Tidak semestinya bila sudah tua baru akan mati, lihat saja berapa ramai yang masih muda remaja, kanak-kanak dan bayi yang masih kecil juga turut mati. Aku tidak tahu bila aku akan mati. Mungkin esok atau lusa. Mungkin juga sekejap lagi. Semua itu aturan Allah, tiada siapa yang tahu.

Hari ini aku masih mampu bernafas tetapi adakah esok aku yakin bahawa aku masih mampu untuk bernafas? Tiada siapa yang tahu. Apa yang pasti adalah saat kematian itu pasti akan dirasai setiap makhluk yang bernyawa. Maksud firman Allah s.wt di dalam surah Ali Imran ayat 185 "Tiap tiap yang bernyawa akan merasai mati". Kematian pasti akan berlaku tanpa mengira walau di mana kita berada kerana apabila tiba saatnya, Izrail segera menunaikan tugas mencabut nyawa. Firman Allah dalam surah Al Nisa' ayat 78 "Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu(bila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh".

Aku tahu aku masih tidak bersedia menghadapi saat kematian itu. Aku seolah olah merasa saat itu masih jauh lagi. Begitulah perasaan aku kerana sekiranya aku bersedia untuk menghadapinya pasti tidak ada kemungkaran dan maksiat yang aku lakukan. Setiap hari dengan dosa yang bertimbun timbun, nafsu yang masih merajai jiwa dan raga, setiap masa lalai dan leka daripada mengingatiNya. Aku juga seolah olah tidak yakin bahawa aku akan mati kerana kalau aku benar benar yakin, segala kewajipan pasti aku segerakan, tiada kemungkaran yang aku lakukan dan setiap saat tidak akan aku sia siakan.

Masih ada masa untuk aku bertaubat, merintih dan menangis atas segala dosa dosa aku kerana apabila nyawa aku bercerai daripada badan tidak ada guna lagi aku menyesal dan bersedih walaupun semua kaum kerabat aku berduka dan merintih. Masih ada peluang untuk aku membayar semula hutang rukuk, hutang sujud dan segala kewajipan aku yang lain yang tidak disempurnakan kerana solat jenazah dengan hanya empat takbir tanpa rukuk dan sujud yang dilakukan kepada aku sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah tidak akan mampu membayar hutang rukuk dan sujud aku apatah lagi menebus segala dosa aku.
Masih ada peluang buat aku untuk beristighfar memohon keampunan daripada Tuhan sekalian alam dan meminta kemaafan daripada seluruh manusia penghuni alam kerana istighfar aku dialam barzakh dan alam mahsyar tidak akan menyelamatkan dan menebus kesalahan yang aku lakukan. Masih ada jalan untuk aku meningkatkan iman dan menambah ketakwaan kerana apabila aku telah di'talkin'kan, iman dan takwa yang akan menjawab segala persoalan yang diajukan.

Bagaimana dengan umur, harta, pangkat dan segala macam nikmat yang dikurniakan kepada aku? Adakan semuanya aku syukuri atau aku kufuri serta aku menambahkan lagi kemungkaran dan kekufuran. Perlu untuk aku fikirkan kerana semasa aku hendak ditanam, tiga perkara yang mengekori aku ke perkuburan iaitu harta, keluarga dan amalan. Dua akan ditinggalkan dan hanya satu yang akn bersama aku iaitu amalan. Tiada guna harta dan keluarga sekiranya tidak diguna pada jalan kebaikan.

Aku cuba untuk bayangkan sekiranya umur aku cuma tinggal seminggu sahaja lagi, sudah pasti semua yang ada di dunia ini terasa pahit untuk aku. Apa yang aku fikirkan adalah persediaan menghadapi kematian dengan melakukan amalan kebaikan, meningkatkan takwa dan keimanan serta meninggalkan segala jenis kemungkaran. Itu kalau umur aku masih berbaki seminggu. Tidak perlu untuk aku fikir sejauh seminggu, bagaimana kalau sebentar lagi Izrail datang dan terus mencabut nyawa aku?

Ya Allah, ampunilah segala dosa hambaMu ni. Sekiranya ada terdapat sebarang kesalahan sepanjang Ambo hidup ini, pohon segala kemaafan daripada seluruh ahli keluarga, kaum kerabat, sahabat sahabat dan semua yang mengenali diri ini. Terlalu banyak dosa dan kesalahan yang ditanggung diri ini harap diampuni dan dimaafkan 'Andai Aku Pergi Dulu'.


Menanti Azan Subuh
04.10 pagi
Beit Darul Elyas

Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda