Mahasiswa/wi Gila Komputer

5.02.2009

Rata-rata kini kita melihat mahasiswa/i tak kira di dalam atau luar negara masing-masing memiliki komputer atau laptop. Jika dilihat pada suatu sudut memang banyak kelebihannya tapi jika diperhatikan pada satu sudut yang lain menampakkan terlalu banyak yang negatif pula. Ini dapat dilihat apabila mahasiswa/wi kini seolah-olah menjadi ketagih untuk bersama dengan komputer, lebih-lebih lagi mereka yang memiliki kemudahan internet dan ‘kaki game’.

Bermula bangkit daripada tidur, selesai saja solat subuh ada yang terus mengadap komputer kesayangan,. Terus ke waktu zohor, selesai saja solat terus bersemuka dengan komputer. Begitulah seterusnya pada waktu-waktu yang lain. Sampai pada hari peperiksaan pun komputer lebih diutamakan daripada mengulangkaji pelajaran. Jika setiap orang ada 24 jam sehari masa di depan komputer mungkin mencecah 6-7 jam atau mungkin lebih mengikut tahap ketagihan yang dihadapi masing-masing.

Mungkin bagi mereka yang ada kemudahan internet atau jenis ‘kaki game’ lebih teruk keadaannya. Kini internet cukup mudah diperolehi dengan bermacam-macam cara samada Broadband, Wifi dan lain-lain. Game pun sama, PES, FIFA 2009, Need For Speed dan macam-macam lagi, tidak perlu Ambo sebut di sini. Anda semua tahu. Asal ada internet atau main game saja tak makan pun tak mengapa, tak tidur sudah menjadi tabiat biasa.

Berbeza keadaan apabila membuka buku atau menelaah pelajaran, paling lama boleh bertahan adalah selama 2 jam dengan sepenuh tumpuan tetapi di depan komputer lebih 2 jam pun tak mengapa. Apabila buka saja buku, mata pun mulalah nak mengantuk, perut pun rasa lain macam saja. Ini adalah realiti yang berlaku dikalangan mahasiswa/wi. Masa dihabiskan dengan ber`chatting`, melayari laman-laman web atau blog, men`download` movie atau cerita bersiri dan macam-macam lagi yang dibuat dengan internet.

Ambo tak menafikan bahawa kemudahan internet sangat penting pada masa kini, untuk mengetahui isu-isu semasa dan mendapat maklumat yang terkini memandangkan maklumat yang disampaikan oleh media-media lain banyak yang ‘palsu’ dan dipengaruhi oleh pihak yang tertentu tetapi persoalannya sejauh mana kita gunakan untuk perkara yang berfaedah seperti itu, Ambo rasa sekejap saja, banyak dilalaikan dengan perkara lain. Kalau game pula, memang sudah maklum untuk menyelesaikan satu-satu misi atau perlawanan akan mengambil masa yang agak lama. Bukan tak boleh main game, cuma biarlah berpada-pada.

Komputer cukup penting, ini Ambo tidak nafikan. Pendakwah masa kini Ambo rasa tidak lengkap sekiranya tidak ada bersama seorang pendakwah itu sebuah laptop dan internet kerana disamping menyampaikan mesej dakwah secara zahir, perlu juga mengambil tempat untuk menyampaikan mesej dakwah di alam cyber yang tidak memiliki sempadan. Kita lihat kini ramai yang mengambil pendekatan ini seperti Tok Guru Nik Abdul Aziz memiliki laman blog sendiri kerana ingin menyampaikan dakwah terutamanya kepada golongan muda yang lebih cenderung menggunakan teknologi cyber ini. Ramai lagi ulama’-ulama’ lain yang memiliki laman web sendiri Dr Yusuf Qardawi dan Dr Said Ramadhan Al Buti(sekadar menyebut dua contoh, ramai lagi ulama’-ulama’ lain).

Apa yang menjadi masalah adalah pembaziran masa dan pelajaran akan terabai disamping komunikasi kita dengan masyarakat realiti di alam sebenar akan terganggu jika terlalu asyik dengan kehidupan di alam maya. Cuba bahagikan masa dengan sebaiknya, jangan sibuk dengan men’tenet’ atau membilang zikir dengan ‘joystick’ tapi pelajaran entah ke mana. Nanti apabila pulang ke kampung halaman, jangan cuba nak ‘sembang kemaih’ dengan mengeluarkan ‘fatwa’ sendiri. Fikir-fikirkan amanah yang kita tanggung dan harapan masyarakat terhadap kita semua mahasiswa/wi Islam.


Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda