Lebih Baik Diam

11.08.2009

NABI Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah ke dunia ini bagi membawa dan menunjukkan teladan baik dan murni bagi menjadi ikutan umat manusia. Allah berfirman bermaksud :

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” [Al-Ahzab : 21]

Al-Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w dapat di teladani dalam beberapa aspek termasuk salah satu daripadanya adalah dalam aspek perkataannya. Baginda menjadi ikutan sebagai insan yang berbicara sesuatu dari hati nuraninya yang ikhlas. Baginda tidak berbicara dan berkata sesuatu yang tidak diperlukan, apatah lagi menuturkan sesuatu yang sia-sia.

Baginda berbicara tentang sesuatu yang mempunyai hubungan dengan kepentingan umat dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Baginda sentiasa jujur dan benar. Rasulullah s.a.w berpesan bahawa sesiapa yang beriman dengan Allah s.w.t dan hari akhirat hendaklah dia bercakap yang baik atau diam saja.

Di sini jelas antara perbuatan mulia yang disarankan oleh Baginda adalah supaya diam. Ulama tasawwuf juga menyarankan kita agar lebih banyak mendiamkan diri atau mengurangkan percakapan yang tidak berkaitan dan perkataan yang sia-sia supaya lidah tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa bencana. Rahsia yang tersembunyi disebalik bersikap diam adalah meningkatkan tahap pemikiran, mengajar jiwa agar lebih warak dan mendekatkan diri kepada sifat takwa.

Rasulullah s.a.w ketika menjawab pertanyaan Uqbah bin Amir mengenai perkara yang boleh menyelamatkan diri pada hari akhirat, dengan bersabda bermaksud : “Tahanlah lidah daripada berkata yang tidak sepatutnya, selesakanlah rumahmu dan menangislah diatas dosa-dosamu."

Sabda Baginda lagi : “Seseorang hamba itu tidak bertakwa dengan sebenar-benar takwa kepada Tuhannya sehingga dia menjaga lidahnya."

Diriwayatkan oleh Abu Naim Al-Asfahani, daripada Ibrahim bin Adham, Luqman Al-Hakim berkata kepada anaknya : "Hai anakku! Bahawasanya seorang lelaki dia akan terus bercakap hingga dia dikatakan bodoh, sedangkan dia bukanlah seorang yang bodoh. Dan seorang lelaki dia akan terus berdiam diri, hinggalah dia dikatakan seorang yang sopan santun, sedangkan dia bukanlah begitu."

Kata Luqman lagi : “Barangsiapa yang tidak berbincang akan menyesal, barang siapa yang duduk bergaul dengan ulama akan menjadi alim dan barang siapa yang kurang percakapan kesihatannya akan berkekalan.”

Dalam hal diam, al Imam Syafie berpesan : “Banyak orang berkata : "Mengapa engkau diam padahal engkau dimusuhi?"

“Aku katakan kepada mereka, menganggap sesuatu permusuhan sama dengan melakukan kejahatan. Bersikap diam dalam menghadapi orang bodoh atau orang yang gila adalah kebajikan jiwa.

“Dalam sikap diam juga ada penjagaan bagi kehormatan. Tidakkah engkau lihat harimau-harimau hutan itu ditakuti dan disegani ketika diam, sedangkan anjing di jalan raya banyak yang dilempari kerana selalu menyalak”.

Al Imam Syafie berkata lagi : “Aku menganggap diam sebagai perniagaan. Meskipun tidak ada untungnya, paling tidak aku tidak rugi. Diam ibarat barang niaga yang membawa banyak keuntungan bagi pemiliknya.”
Comments
2 Comments

2 komentar:

  • Ridzuan

    Salam ziarah..bagus post nie..nak tnye..kata2 nie.."banyak percakapan, banyak silapnya,banyak silap, banyak dosa, banyak dosa,neraka tempatnya"..nie kata2 sapa ye?ana terlupa..

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Pena Daie

    Salam..
    kalau tak silap ana, kata-kata tu adalah lebih kurang maksudnya dengan kata-kata al Imam al Nawani r.a.

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda