Perbezaan Al Quran Dan Al Qiraat

3.18.2010
Para ulama’ berselisih pendapat mengenai persoalan ini, adakah kedua-duanya adalah perkara yang sama atau sebaliknya? Al-Imam Badruddin al-Zarkasyi menyatakan bahawa al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang berlainan kerana al-Quran adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW sebagai mukjizat dan keterangan manakala al-Qiraat adalah kepelbagaian dan perbezaan kaedah dan cara pembacaan lafaz-lafaz wahyu pada huruf dan kalimah serta kaedah pembacaan seperti takhfif dan tasydid. Pandangan ini juga disebutkan oleh al Imam Jalaluddin al-Sayuti di dalam al-Itqan Fi Ulum al Quran, al Imam al Qastolani dalam kitab Lataif al Isyaraat dan al Dumyaati dalam Ittihaf al Fudhala’ al Basyar.

Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang sama sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Salim Muhaisin di dalam kitabnya al Qaul al Sadid Fi Difa’I ‘an Qiraat al Quran al Majid  Fi Dhoui al Kitab wa al Sunnah kerana al Quran adalah masdar(kata terbitan) yang seerti dengan al Qiraah dan al Qiraat adalah jama’ kepada al Qiraah.

Persamaan ini berhujahkan firman Allah SWT  dalam surah al-Qiyamah ayat 8 yang bermaksud :

“Oleh itu, apabila kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu dengan perantaraan Jibril) maka bacalah menurut bacaan itu” 

Doktor Muhammad Ahmad al Jamal menjelaskan di dalam Wujuh al Balaghiyyah Fi Taujih al Qiraat bahawa apa yang dimaksudkan oleh al Imam al Zarkasyi adalah keseluruhan qiraat merangkumi yang mutawatir dan yang tidak mutawatir serta qiraat yang menepati tulisan mashaf dan yang tidak menepati tulisan mashaf. Perbezaannya dengan al Quran adalah pada aspek mutawatir kerana terdapat qiraat yang diriwayatkan secara tidak mutawatir (riwayat dhoif atau ahad) manakala al Quran mesti diriwayatkan secara mutawatir. Persamaannya adalah pada bacaan qiraat yang mutawatir adalah merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT sebagaimana al Quran yang diturunkan oleh Allah SWT dengan semua wajah dan cara bacaan (qiraat).

Walaupun terdapat perselisihan pandangan para ulama’ dalam menyatakan hubungan antara al Quran dan al Qiraat, akan tetapi pada hakikatnya al Quran dan al Qiraat bukan dua perkara yang mempunyai persamaan secara mutlak dan tidak mempunyai perbezaan secara menyeluruh. Secara amnya, al Quran dan al Qiraat memiliki ikatan yang kukuh dan saling berkait rapat antara satu sama lain.

Lebih lanjut, sila rujuk Perbahasan Ringkas Ilmu Qiraat.

Petikan daripada kertas kerja : Perbahasan Ringkas Ilmu Qiraat oleh Noraidin bin Nordin dan Muhamad Zul Ikhwan bin Zahari. Kertas kerja ini masih belum siap 100%, dalam proses memasukkan ayat-ayat al Quran yang berkaitan dan takhrij hadith.

Sedikit masa lagi diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan kertas kerja ini. Jika memerlukan kepada pembentangan, sila berhubung dengan Ustaz Noraidin bin Nordin, bukan saya. Harap maklum.
Comments
2 Comments

2 komentar:

  • wan yaakub

    salam..

    perbincangan yang amat menarik..

    taniah..

    bagi pendapat yang saya, Qiraat(mutawatir) adalah al-Quran..

    contoh: qiraat yang kita selalu baca adalah qiraat hafs daripada 'asim,adalah Quran.. begitu juga Qiraat(wajah-wajah bacaan yang Rasulullah talaqqi dengan jibril) yang lain adalah Quran juga..

    maksud hadis, "diturunkan al-Quran atas tujuh huruf(wajah-wajah yang tertentu).."

    we kob

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • betul la tu ust wea..
    sama la macam yg dalam artikel tu..
    jelas sudah kan?

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda