
Ambo Mulakan dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Seusai talaqqi Al Quran dengan riwayat Abu Jaafar Ambo terus bertanya Syeikhuna Syeikh Hassan Rejab (syeikh talaqqi Al Quran bersanad dan panel pentashih Al Quran Mesir) mengenai hukum bacaan Iqlab iaitu bagaimana cara sebenar bacaan hukum Iqlab. Beliau menyatakan bahawa terdapat 2 cara bacaan Iqlab iaitu yang pertama adalah membaca dengan merapatkan kedua dua bibir mulut dan cara yang kedua iaitu cara yang paling sahih adalah dengan membuka sedikit mulut (tidak merapatkan) ketika membacanya. Beliau menambah lagi dengan menyatakan kadar bukaan mulut hanyalah sekadar memuatkan sehelai kertas sahaja. Tidak membuka terlalu besar.
Ini adalah sebahagian perbahasan para ulama’ mengenai hukum bacaan Iqlab.
Iqlab menurut etimologi bererti mengubah sesuatu daripada bentuknya. Berdasarkan istilah tajwid yang dinyatakan oleh Syeikh Mahmud Khalil Husori (syeikh al Qurra’ Mesir) rahimahullah di dalam kitab Ahkam Qiraatul Quranul Karim iaitu menjadikan huruf tertentu pada posisi huruf lain dengan mengekalkan ghunnah(dengung) berserta ikhfa’(menyembunyikan). Huruf Iqlab hanya satu iaitu huruf Ba’ dan hukum Iqlab berlaku apabila Nun yang sukun atau Tanwin bertemu dengan huruf Ba’.
Hal ini dinyatakan oleh Syeikh Sulaiman Bin Hussain Al Jamzuri (pengarang matan Tuhfatul Atfal) di dalam matan beliau :
Maksud yang di sini adalah mengubah huruf Nun yang sukun dan tanwin menjadi Mim apabila bertemu dengan huruf Ba’ dan dibaca dengan Ghunnah berserta Ikhfa’(menyembunyikan) Mim. Jelas di sini bahawa bacaan Iqlab adalah dengan menyembunyikan Mim, bukan bermakna menghilangkan zat huruf Mim secara keseluruhan tetapi melemahkannya dan menyembunyikan zat Mim tersebut daripada bergantung kepada makhraj(tempat keluar) huruf Mim kerana makhrajnya adalah pada dua bibir. Cara yang paling tepat adalah dengan tidak merapatkan kedua dua bibir ketika membacanya
Berkata Imam Ibn Al Jazari Rahimahullah di dalam kitab Al Nasyru bahawa tidak ada perbezaan antara :
يعتصم بالله
Tidak wujud perbezaan antara keduanya adalah kerana wujud persamaan semasa membacanya adalah dengan menyembunyikan Mim. Sebagaimana kita membaca hukum Ikhfa’ Syafawi begitu jua cara dalam membaca hukum Iqlab iaitu dengan tidak merapatkan kedua bibir.
Syeikh Abdullah bin Soleh menyatakan dalam kitab beliau Al Itqan Fi Tajwidil Quran Biriwayati Hafs 'An 'Asim berkenaan cara melafazkan iaitu dengan menyebut dengan Mim tanpa merapatkan kedua dua bibir serta menyebut dengan Mim sukun secara lembut dan tidak berat.
Di dalam kitab Taisir Al Rahman yang dikarang oleh Dr Su'ad Abdul Hamid pula menyatakan bahawa terdapat tiga dalam melafazkan hukum Iqlab :
- Mengubah Nun yang sukun menjadi Mim
- Mengikhfa'kan(menyembunyikan) Mim di sisi Ba' tanpa merapatkan bibir mulut
- Menyatakan Ghunnah secara beriringan untun mengikhfa'kan kemudian merapatkan kedua dua bibir untuk menyebut Ba'
Bacaan Iqlab dengan cara merapatkan kedua dua bibir adalah tepat tetapi cara yang paling tepat dan sahih adalah dengan tidak merapatkan(membuka sedikit) mulut semasa membaca hukum Iqlab.
Rujukan
Matan Tuhfatul Atfal, Syeikh Sulaiman Al Jamzuri
Ahkam Qiraatul Quranul Karim, Syeikh Mahmud Khalil Husori muka surat 144-146
Fathul Aqfal, Syarhi Tuhfatul Atfal, Syeikh Syed Syaltut muka surat 35-36
Al Burhan Fi Tajwidil Quran, Syiekh Muhammad Sodiq Qamhawi muka surat 16
Al Itqan Fi Tajwidil Quran, Syeikh Abdullah bin Soleh muka surat 33 dan 36
Taisir Al Rahman Fi Tajwidil Quran, Dr Su'ad Abdul Hamidmuka surat 182