
Perlu difahami dengan sebaiknya, tujuannya bukan ingin menabur fitnah kepada para muslimah tetapi ingin memberi kesedaran agar para 'muslimah sejati' membuka mata melihat kepincangan akhlak yang berlaku dikalangan muslimah khususnya dan seluruh umat Islam amnya. Perlu diketahui bahawa wujud juga dikalangan muslimah yang boleh dikategorikan sebagai 'playgirl' kerana memiliki ramai teman lelaki. Mereka inilah yang menjadi fitnah kepada 'muslimah sejati'. Jika dilihat pada sudut perwatakan secara zahir, merupakan pelajar agama yang menampakkan keperibadian baik, kesantunan, kesopanan, bertudung litup, berjubah dan hanya kadang-kadang berbaju kurung. Baju singkat dan seluar ketat jauh sekali dan memang tidak dipakai tetapi disebalik nilai ke'Islaman' yang ditonjolkan, tersirat suatu keperibadian yang menunjukkan akhlak yang sangat buruk dikalangan muslimah 'yang berlakon baik ini'. Di depan dengan keperibadian cukup baik sekali tetapi di belakang dia merupakan seorang muslimah yang 'playgirl'.
Ambo tidak menulis tanpa bukti dan jauh sekali hendak menabur fitnah kepada kaum muslimah. Hal ini berlaku kepada seorang teman yang telah menjadi mangsa kepada muslimah 'playgirl' ini. Bermodalkan rupa paras yang agak ayu, cantik dan menarik serta berjaya 'melakonkan' keperibadian yang cukup baik sehingga mampu membuatkan ramai lelaki tertarik kepadanya, muslimah ini berjaya mencairkan dan menawan hati ramai lelaki. Lebih kurang 3 atau 4 lelaki yang berjaya dikuasainya. Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Keperibadian dan akhlak sebenar muslimah ini akhirnya 'terkantoi' apabila dua daripada lelaki yang menjadi temannya merupakan dua orang sahabat baik. Ambo dikhabarkan bahawa muslimah tersebut tidak pernah keluar 'berdating' dengan mana-mana lelaki yang menjadi temannya dan hanya berhubung melalui SMS dan telefon (kononnya bercinta cara Islam).
Mungkin istilah yang agak berat kerana Ambo gunakan kerana melabelkan muslimah tersebut sebagai seorang 'playgirl' tetapi Ambo rasa itu adalah suatu istilah yang paling sesuai kerana akhlak yang ditunjukkan langsung tidak mempamerkan akhlak dan keperibadian seorang muslimah sejati. Ambo tidak menghukum semua para muslimah, hanya kerana segelinitir kecil muslimah 'playgirl' ia menjadi fitnah yang cukup besar kepada muslimah sejati. Kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Buat para muslimah sejati, anda adalah aset Islam yang cukup penting dan usah terasa dengan entri ini kerana siapa yang makan lada, dia yang akan terasa pedas lada tersebut. Khas buat 'muslimah playgirl', sedarlah bahawa hidup di dunia ini adalah sementara dan usah terpedaya dengan kehendak nafsu,tipu daya dunia dan hasutan syaitan. Jangan kerana anda, maruah Islam yang tercemar. Pesanan buat kaum lelaki(termasuk Ambo), berhati-hati dalam memilih pasangan dan usah terpedaya dengan kecantikan rupa paras yang tidak kekal, pilihlah yang benar-benar memahami dan mengamalkan Islam dalam kehidupan(bukan sekadar berlakon) nescaya kita tergolong dikalangan orang-orang yang beruntung di dunia dan akhirat.