Pak Cik Yang Belum Mumaiyiz

12.04.2011 0 komentar

Sedang rancak berbincang isu semasa, kami ditegur oleh seorang lelaki yang tidak dikenali sekitar berusia akhir 50an. Rasanya bukan orang tempatan, tiada yang mengenalinya.

Katanya, "kamu tak payah nak sibuk soal negara, kamu semua ni budak-budak lagi. Mereka yang duk pimpin negara tu tahu la macam mana nak uruskan negara. Mereka tu pandai la, kalau tak macam mana mereka semua tu boleh jadi menteri!".

Teman saya menjawab, "ya, kami tahu kami masih muda lagi tapi kami bukan budak-budak. Rasanya pak cik ni yang belum MUMAIYIZ lagi, tak tahu nak beza yang mana baik dan yang mana buruk. Nasi dengan tahi ada kat depan mata pun tak tahu nak bezakan. Kami ni budak-budak tahu bezakan yang mana tahi dan yang mana nasi."

Wah! Pedas betul penangannya.

Hahaha...padan muka, sah memang UMNO punya pak cik!

Kasihan pun ada.


Cara Khatam Al Quran Dalam Seminggu

11.24.2011 1 komentar

Rasulullah s.a.w menekankan kepada kita supaya meluangkan seberapa banyak masa untuk membaca dan memahami al Quran. Secepat-cepat tempoh masa yang boleh khatam al Quran adalah selama 3 hari dan selewat-lewatnya jangan jangan lebih dari sebulan. Sebaik-baiknya al Quran dikhatamkan bacaannya dalam tempoh seminggu.

Beberapa sahabat Rasulullah s.a.w yang masyhur seperti sayyidina Uthman, Zaid Ibn Thabit, Ibn Mas'ud dan lain-lain mengkhatamkan al Quran dalam masa seminggu dengan dibuat penyusunan surah-surah seperti berikut :

Malam Jumaat :  surah al Baqarah hingga surah al Maidah

Malam Sabtu :  surah al An'am hingga surah Hud

Malam Ahad :  surah Yusuf hingga surah Maryam

Malam Isnin :  surah Toha hingga surah al Qasas

Malam Selasa :  surah al 'Ankabut hingga surah Sod

Malam Rabu :  surah Tanzil (al Zumar) hingga surah al Rahman

Malam Khamis :  menghabiskan surah yang berbaki

Selamat beramal!


Sila Kira Bulu Kambing!

11.18.2011 0 komentar

Kisah seorang 'alim

Datang seorang dengan penuh lagak sombong, langsung tanpa adab. Lalu segera bertanya :

Lelaki : kalau sudah rasa alim sangat, sila beritahu berapa jumlah bintang yang ada di langit?

Orang alim : (terdiam sebentar) kalau kamu mahu tahu berapa jumlah bintang di langit, sila kira bulu kambing! Jumlahnya lebih kurang sama.

Lelaki : (diam sambil tergaru-garu kepalanya)


p/s : Kadang-kadang, bukan semua soalan yang ditanya perlu kita jawab. Moga bermanfaat.


Cara Memusnahkan Mushaf @ Kertas Ayat Al Quran

11.03.2011 2 komentar


Mushaf atau kertas yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran tidak boleh dikoyakkan atau dicarik-carik kerana cara itu bererti memutus huruf-huruf dan kalimahnya dan mempersia-siakan apa yang termaktub itu.

Jika mushaf atau tulisan-tulisan ayat Al-Quran itu tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dimusnahkan di antara caranya ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi atau membakarnya atau menanamnya.

Sebahagian ulama berpendapat membakarnya adalah lebih utama kerana Sayidina Uthman Al-Affan pernah membakar mushaf-mushaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya. Sebahagian ulama pula menetapkan ia tidak boleh dibakar kerana cara itu tidak menghormati namanya sehingga menghukumkannya sebagai makruh.

Selain itu ada yang berpendapat bahawa membasuhnya lebih utama. Sebahagiannya pula mengatakan mushaf itu tidak dibakar, bahkan ia hendaklah ditanam dalam tanah dan dengan cara ini ia tidak akan terkena pijakan. (Al-Itqan: 4:165).

Dalam pada itu, setengah ulama mutakhir berpendapat bahawa cara membakar itu adalah cara yang paling ringan dilakukan. Disertakan dengan niat yang baik, maka cara ini dilakukan hanya semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan Al-Quran, bukan merendahkan, apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan. (Ahsan Al-Kalam: 2:210).

Disimpulkan bahawa mushaf Al-Quran yang menjadi kitab suci umat Islam adalah wajib dihormati, seperti tidak meletakkan sesuatu di atasnya, menyentuh atau mengangkatnya hanya ketika dalam keadaan berwuduk dan tidak menuliskannya pada kertas, kad, poster atau bahan-bahan cetak yang lain yang terdedah kepada pencemaran kesucian dan kehormatannya itu. 



Seksaan Bagi Meninggalkan Solat

11.02.2011 0 komentar
Orang yang tidak solat akan diseksa dengan 15 seksaan, 6 daripadanya akan diterima di dunia, 3 seksaan tatkala hendak mati, 3 seksa lagi ketika berada di alam kubur dan 3 seksa lagi di hari kiamat.


Enam seksa semasa hidup di dunia: 


1. Diangkat berkat pada umurnya.
2. Allah akan menghapuskan tanda-tanda orang soleh daripada mukanya.
3. Tiap-tiap amal yang dikerjakan tiada diberikan pahala kepadanya.
4. Segala doanya tidak diangkat ke langit.
5. Dia diangkat berkat pada rezekinya
6. Tidak ada bahagian daripada Islam

Tiga seksa tatkala hendak mati: 


1. Dia mati dalam kehinaan.
2. Dia akan merasa yang amat pedih ketika roh dicabut keluar. 
3. Mati dalam keadaan yang sangat haus, sehinggakan jika dituangkan kepadanya sekelian air laut di dunia ini, dia tetap merasa tidak puas. 

Tiga seksa ketika di alam kubur: 


1. Disempitkan kuburnya.
2. Dinyalakan api, di mana dia akan membalik-balikkan dirinya didalam bara api itu.
3. Allah mengerahkan ular yang bernama syuja'u aqra'

Tiga seksa di hari kiamat: 


1. Hisab ke atsanya menjadi sangat berat.
2. Allah S.W.T sangat murka kepadanya.
3. Allah S.W.T akan menyiksanya dengan api neraka.


Corak Hidup Semut Yang Menakjubkan

9.30.2011 0 komentar

Menempuh ujian dengan semut berada di merata-rata di sekitar rumah. Jangan kata makanan manis, air sejuk pun dimasuki semut. Kebaikannya, dapat mengetahui corak kehidupan amat menakjubkan dan ia hampir sama dengan corak kehidupan manusia. Perhatikan maksud ayat al Quran ini :

"Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib(dalam barisan). Hingga apabila mereka sampai di Lembah Semut, berkatalah seekor semut : "Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedang mereka tidak menyedari." - Surah al Naml : ayat 17-18

Pada masa dahulu, mereka yang membaca ayat ini akan mempersendakannya dan mengatakan bahawa al Quran adalah sebuah cerita dongeng kerana ia menceritakan perihal semut bercakap antara satu dengan yang lain. Bagaimanapun, sains moden telah membuktikan bahawa corak kehidupan sejenis serangga yang hampir sama dengan corak kehidupan manusia adalah semut. Hal ini boleh dilihat dalam beberapa aspek tertentu seperti di bawah :

1. Semut akan menanam semut lain yang mati, dan ini menyamai manusia.

2. Semut mengamalkan sistem yang sama seperti manusia dalam melakukan kerja. Terdapat pekerja-pekerja dan ketua dalam melakukan setiap pekerjaan.

3. Mereka ber'cakap' pada waktu-waktu tertentu

4. Semut menggunakan sistem yang canggih untuk berkomunikasi

5. Semut menukar barangan mereka dalam 'pasar harian'.

6. Semut dapat menyimpan biji-bijian dengan lama pada musim sejuk. Apabila bijian itu bercambah, mereka akan memotongnya untuk mengelakkannya daripada rosak. Jika bijian tersebut terkena air, mereka akan mengeluarkannya untuk dijemur di bawah sinaran panas matahari.

Kata orang, kalau nak rajin, rajinlah macam semut. Anda pernah melihat semut curi tulang? Pernah melihat semut terbaring sedang berehat melepas lelah kepenatan bekerja? Mereka hanya diusung setelah mana cedera atau mati sahaja.

Dua Bulan Lagi Nak Mati

9.29.2011 0 komentar
Menziarahi teman yang sakit tenat. Riak wajahnya penuh senyuman, tiada sedikit pun resah, gelisah dan cemas.
Maklumat yang diterima, doktor mengatakan situasinya kini sudah berada pada tahap paling kritikal. Paling lama mampu bertahan untuk hidup cuma dua bulan sahaja. Hanya jangkaan berdasarkan pengalaman dan kajian, segalanya ketentuan Allah s.w.t.

Katanya dengan tenang, "saya tahu, doktor kata tempoh untuk saya hidup kurang dua bulan saja lagi. Alhamdulillah, nikmat yang besar Allah kurniakan kepada saya. Saya diberi peringatan awal sebelum menempuh kematian, sekurang-kurangnya saya boleh bersedia menghadapi saat kematian saya."

"Mengapa risaukan saya? Kalian tidak perlu risaukan saya, fikirkan tentang diri kalian. Kalian sepatutnya fikirkan bila kalian akan mati. Anda yakin anda masih boleh terus hidup untuk dua bulan lagi? Seminggu lagi? Sudah tentu tidak. Esok pun belum pasti. Tiada siapa tahu bila saat ajal akan datang menemui kita, boleh jadi kalian akan dicabut nyawa terlebih dahulu daripada saya."

Kata-kata sangat menyentuh jiwa kami, tiada apa yang mampu diucapkan. Hanya melebarkan senyuman kelat dengan hati gundah bercampur sedih memikirkan apa yang telah diperkatakan.

Sungguh mulia hatimu teman, kamu sangat beruntung!


Kelebihan Istighfar

9.19.2011 0 komentar


Mengucapkan istighfar, minimumnya dengan menyebut "astaghfirullah, rabbighfirli, allahummaghfirli dan lain-lain lagi. Melalui istighfar yang diucapkan, kita akan memperoleh banyak kelebihan dan kebaikan daripadanya.

Pertama, dihapus keburukannya dan diangkat darjatnya.

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - Surah al Nisa’ : 110

Kedua, dilapangkan rezeki, anak, harta, dan penyebab turunnya hujan.

“Maka Aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?” - Surah Nuh : 10-13

Ketiga, ditambah kekuatannya.

“Dan (dia berkata): ‘Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa’.” - Surah Hud : 52

Keempat, dihapuskan dosanya.

Setiap dosa akan meninggalkan titik hitam pada hati. Titik hitam yang akan menggelapkan hati. Titik hitam akan lenyap dengan kalimah istighfar.
“Sesungguhnya bila seorang mukmin melakukan satu dosa, pada hatinya timbul satu titik hitam. Apabila dia bertaubat, berhenti dari maksiat, dan beristighfar, nescaya mengilap hatinya.” - maksud hadith

Kelima, dimudahkan segala urusannya.

“Barangsiapa membiasakan diri untuk beristighfar, Allah akan memberikan jalan keluar baginya dari setiap kesulitan, akan memberikan kebahagiaan dari setiap kesusahan, dan akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” - maksud hadith


Power Juga Budak Ni..

9.10.2011 0 komentar

Seorang kanak-kanak, sekitar usia 8 tahun memanjat sebatang pokok. Seorang lelaki dewasa lantas menegurnya menyuruh supaya turun daripada pokok tersebut.

Lelaki : Turun la, nanti kalau jatuh sia-sia saja kamu mati!

Kanak kanak : Tak apa lah saya jatuh, lepas tu mati. Saya boleh masuk syurga. Kanak-kanak kan tak ada dosa!

Lelaki itu terdiam lalu menjerit,

Lelaki : Haaa...pandai la kau menjawab! Kamu naik la tinggi-tinggi lagi! Jatuh pastu mati!

Kanak-kanak : Apa ni bang? Doa tak elok untuk orang! Kita kena suruh orang buat baik, bukan suruh orang buat benda tak elok!

Lelaki : Lantak kau lah! (marah)

Kanak-kanak : Jangan marah bang! Nabi dulu lagi susah suruh orang buat baik! (sambil gelak-gelak)

Dari jauh, saya cuma tersenyum sendirian...(",)


Khatam Al Quran Lapan Kali Sehari

8.19.2011 1 komentar


Ramadhan sudah melepasi garis tengahnya dan semakin berganjak menuju titik penghujung. Lingkungan tempoh penghujung ini adalah puncak maksima bagi penumpuan melipat gandakan amalan. Bagaimana dengan keadaan kita? Sudah berapa kali khatamkan al Quran? Tahukah kita mengenai kehebatan para sahabat dan para solihin terdahulu sehingga mereka mampu khatam al Quran lapan kali dalam sehari. Imam Nawawi R.A menyatakan, riwayat jumlah paling banyak khatam al Quran adalah sebanyak LAPAN KALI dalam sehari. Mampukah kita...

1. Khatam al-Quran empat kali pada waktu siang dan empat kali pada waktu malam seperti al-Sayyid al-Jalil Ibnul Katib al-Sufi?

1. Khatam al-Quran tiga kali sehari seperti Salim bin Umar rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam satu rakaat pada solat seperti Sayyidina Uthman bin Affan, Tamim al-Dari, Sa'id bin Jabir dan al-Syafie r.a?

1. Khatam al-Quran diantara solat maghrib dan isya' pada bulan Ramadhan seperti Mujahid rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam masa tiga hari pada bulan Ramadhan seperti Abdullah bin Mas'ud r.a?

1. Khatam dalam masa tiga hari seperti Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa tujuh hari seperti Zaid bin Thabit r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa lapan hari seperi Ubay bin Ka'ab r.a?

1. Khatam al-Quran pada setiap sepuluh malam seperti al-Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri?

1. Khatam al-Quran sebanyak 18000 kali seperti Imam Syu'bah?

* mengapa semua No.1?
* kita berada pada tahap mana?
*anda mampu melakukannya?
Jika mampu, pilihlah tahap mana yang kita mahu lakukan, semua adalah terbaik. Sama-sama gunakan kesempatan ramadhan ini semaksimanya.


Berinteraksi Dengan Al Quran

8.17.2011 0 komentar
Antara peristiwa terpenting yang berlaku di bulan ramadhan adalah berlakunya penurunan al Quran. Ramadhan adalah bulan diturunkan al Quran.

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Alquran sebagai petunjuk bagi manusia danpenjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil)." - al-Baqarah : 184

Oleh kerana itu, selain disebut sebagai syahrus siyam (bulan puasa), bulan Ramadhan juga disebut sebagai syahrul quran (bulan al Quran). Pada bulan Ramadhan, al Quran diturunkan untuk menjadi panduan, perlembagaan dan pedoman kepada manusia terhadap segala aktiviti dan gerak geri mereka di dunia.

Pada bulan ini juga, Malaikat Jibril turun bertemu baginda Rasulullah SAW untuk mendengar dan menyemak bacaan al Quran daripada Rasulullah SAW.

Iman Al Zuhri berkata, 
"Apabila datang Ramadhan, kegiatan utama kita (selain berpuasa) ialah membaca al Quran."

Namun, seharusnya kita tidak hanya sekadar membaca sahaja, kita perlu mentadabbur, memahami dan mengamalkan segala isi kandungan al Quran. Bukannya memilih mana-mana bahagian yang berkenan kita ambil, bahagian yang tidak berkenan kita tinggalkan.

Bulan Ramadhan merupakan kesempatan serta peluang bagi umat Islam untuk benar-benar berinteraksi dengan al-Quran. Hal ini bertujuan untuk meraih kualiti hidup sebagai hamba, keberkatan dan meniti jalan menuju umat terbaik dengan petunjuk daripada al Quran. Bagaimana untuk kita berinteraksi dengan al Quran? 

1. Tilawah (membaca)
2. Tadabbur (menghayati dan memahami)
3. Hafal
4. Amal
5. Mengajar
6. Tahkim (menjadikan sebagai perlembagaan dan berhukum dengan al Quran)

Rasulullah SAW bersabda :
“Sebaik-baiknya kamu adalah yang mempelajari Alquran dan yang mengajarkannya.”

Ramadhan sebagai syahrul quran (bulan al Quran) dan bulan yang penuh berkat, terlalu rugi jika hari demi hari bulan Ramadhan terus berlalu begitu saja. Prioriti amalan yang berkait dengan al Quran menjadi keutamaan!

Helaian demi helaian akhbar mampu dibelek, mata yang tidak berkelip memahami isi kandungan novel. Mengapa kita tidak boleh melakukan sebegitu kepada kitab agung al Quran? Sedang pada masa yang sama kita sedar novel itu cuma imaginasi penulisnya sahaja, akhbar pula sangat tipis kesahihannya tetapi al Quran itu langsung tidak ada keraguan padanya.


Darjat Dan Jenis Puasa

0 komentar


Puasa bukan hanya sekadar dipraktik secara zahir, malah ia perlu dihayati daripada sudut batin atau rohaninya supaya puasa kita akan mendatangkan lebih kesan kepada jiwa dan roh kita. Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;

1. Puasa umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa khususul khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.

Jadi puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya perkara-perkara yang membatalkan puasa) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.


Berbeza Qiraat, Berbeza Ganjaran

8.12.2011 0 komentar

Perbezaan bacaan qiraat al Quran mengandungi hikmah serta kelebihannya yang tersendiri. Jika dibedah dan dikaji sampai kiamat sekalipun rahsia-rahsia yang terkandung di dalam kitab agung al Quran tidak akan pernah habis digali. Antara perkara yang dinyatakan oleh para sarjana ilmuan Islam adalah perbezaan bacaan qiraat al Quran akan menghasilkan perbezaan ganjaran pahala yang diperolehi oleh pembaca.

Sebagai contoh adalah perbezaan bacaan qiraat pada ayat keempat dalam surah al Fatihah iaitu pada kalimah :

Imam 'Asim, Imam al Kisaie, Imam Yaakub dan Imam Khalaf al 'Asyir membaca dengan huruf Alif selepas huruf Mim (مالك) manakala para imam qurra' yang lain membaca dengan tanpa huruf Alif selepas huruf Mim (ملك)

Imam Qurtubi menyatakan, sebahagiannya menjadikan alasan melebihkan qiraat (مالك) kerana terdapat padanya satu huruf yang ditambah iaitu huruf Alif. Maka si pembacanya memperolehi ganjaran sepuluh kebaikan berbanding dengan qiraat (ملك). Walaubagaimanapun, ia hanyalah perbandingan pada sudut sebutan lafaz sahaja dan bukannya pada sudut makna kalimah tersebut.

Imam al Razi juga menyatakan sedemikian di dalam Tafsir al Kabir mengenai kalimah (مالك) di dalam surah al Fatihah, "sesungguhnya pada kalimah ini terdapat pertambahan huruf, maka pada bacaannya akan melebihkan ganjaran pahala yang diperolehi".

Hal ini disandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW mengenai kelebihan orang yang membaca al Quran :

Maksudnya “Barangsiapa yang membaca satu huruf kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif adalah satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.”

Jom, sama-sama perbanyakkan bacaan al Quran di bulan Ramadhan ini. Jika mampu, bacalah dengan bacaan qiraat yang berbeza kerana ganjarannya juga berbeza sebagaimana yang disebut oleh para ulama'

Target bacaan penuh al Quran sepanjang Ramadhan ini :
Qiraat Hafs - selesai
Qiraat Abu Jaafar - menanti
Qiraat Warsy - akan dilaksanakan


Saham Dosa Bertambah Setelah Mati

7.26.2011 0 komentar


Ramai yang beranggapan bahawa setelah kematiannya nanti, dosa-dosanya juga akan terhenti pertambahannya. Meyakini dengan tanggapan dosa-dosanya tidak akan berkembang dan bertambah lagi setelah meninggal dunia. Padahal, selain amal jariyah (mendapat pahala yang terus-menerus), ada juga dosa yang diperolehi secara terus menerus iaitu dosa-dosanya tetap bertambah sekalipun setelah jasad berkubang tanah.

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa yang menyeru orang lain pada kesesatan (tradisi buruk), maka dia akan menanggung dosa sebagaimana dosa yang dilakukan oleh orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa-dosa orang yang mengikutinya.”


Seseorang yang mengarahkan orang lain melakukan perbuatan yang baik, dia akan mendapatkan saham pahala kebaikan, sebagaimana pahala yang dilakukan oleh orang yang mengikutinya sedangkan mereka yang mengarahkan kepada perbuatan buruk, dia akan mendapatkan saham dosa daripada orang yang mengikutinya arahan perbuatannya kerana dia telah memotivasikan dan mengarahkan orang lain untuk melakukan dosa-dosa.

“(Ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahwa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu.” - Surah al Nahl ayat 25

Saham pahala amalan seseorang setelah kematiannya terbahagi kepada beberapa bahagian. Pertama, seseorang yang meninggal dunia, pahala kebaikan dan dosa kejahatannya juga terputus. Dia tidak memperolehi apa-apa kecuali apa yang telah dilakukannya selama kehidupannya di dunia. Kedua, orang yang meninggal dunia tetapi pahala kebaikan serta dosa kejahatannnya terus diperolehinya. Nasib golongan ini di akhirat nanti bergantung kepada timbangan amalan kebaikan dan keburukannya. Sekiranya banyak kebaikan, bahagialah dirinya namun jika banyak kejahatannya, dia tergolong di kalangan orang-orang yang celaka.

Amat beruntung sekiranya selepas menghembuskan nafas terakhir, saham amalan kebaikan terus mengalir ke dalam akaun amalan kita namun alangkah malangnya nasib kita jika keuntungan hasil daripada pelaburan saham kejahatan terus bercambah ke dalam akaun amalan kita.

Imam al-Ghazali menyatakan, 

“Sungguh beruntung orang yang meninggal dunia, maka putuslah dosa-dosanya dan sungguh celaka seseorang yang meninggal dunia tetapi dia meninggalkan dosa yang ganjaran kejahatan terus berjalan tiada hentinya.” Alangkah bahagianya mereka yang memiliki amal jariyah dan alangkah sengsaranya seseorang yang menanam dosa jariyah."



Peringatan, Jika Melupakan Al Quran

7.13.2011 0 komentar


Allah SWT mencipta manusia dengan sifat dan tabiat pelupa. Oleh yang demikian, kita sebagai manusia perlu sentiasa mengulang kaji dan mengingati kembali apa yang telah dihafal. Allah SWT menyatakan melalui firmannya yang bermaksud :

"Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu dari sisi kami suatu peringatan (al Quran). Barang siapa yang berpaling daripada al Quran maka sesungguhnya ia akan memikul dosa  yang besar di hari kiamat." - surah Taha : 99-100

"Dan barang siapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia, 'Ya Tuhanku, mengapa engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal dahulunya aku adalah seorang yang melihat?. Allah berfiman, 'demikianlah, telah datang kepada kamu ayat-ayat Kami maka kamu melupakannya dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan." - surah Taha :  124-126

Secara zahir ayat di atas dimaksudkan kepada pembacaan al Quran (lihat tafsir al Qurtubi). Imam Ibn Kathir berkata, "sebahagian ahli tafsir menyatakan maksud 'berpaling dari peringatanKu' adalah berpaling daripada pembacaan al Quran, berpaling kerana melupakannya serta tidak mengambil endah dengannya.

Rasulullah SAW telah memberikan peringatan kepada kita supaya bersungguh-sungguh dalam menjaga dan berpegang dengan al Quran dengan mengumpamakan al Quran yang dijaga oleh seseorang seperti seekor unta yang diikat. Jika kuat ikatannya, unta tersebut tidak akan terlepas namun jika melepaskannya ia akan pergi.

Maksud daripada beberapa sabda Rasulullah SAW:

"Tiada siapa pun yang membaca Al-Quran kemudian melupakannya kecuali ia akan bertemu Allah SWT di hari kiamat dalam keadaan kerdil"

"Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari satu surah dari Al-Quran atau satu ayat ,yang diberikan kepada seorang lelaki kemudian ia melupakannya"

"...tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari dosa penghafaz al-Quran kemudian meninggalkannya" 

Para ulama menyatakan pandangan dalam bab melupakan Al-Quran. Ada diantaranya yang menyenaraikan dosa melupakan al Quran sebagai dosa besar manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa melupakan al Quran adalah dengan maksud melupakan dengan tidak mengamalkan al Quran.

Mungkin ada yang akan berkata, "baik tak payah hafal al Quran terus, nanti kalau lupa kena tanggung dosa pulak". Ini jelas bertentangan dengan objektif syariah. Peringatan-peringatan yang diberikan adalah supaya benar-benar tekun dan bersungguh-sungguh menjaga al Quran dengan membacanya siang dan malam serta mengamalkannya. Apa gunanya hafal kalau melupakan dan tidak mengamalkannya!.


Tempoh Masa Menghafal al Quran

7.10.2011 2 komentar
Entri ini pernah di'post'kan suatu masa dahulu, kini di tambah dengan sedikit pengisian. Link


Berapa lama tempoh masa yang mampu anda habiskan 30 juzu' al Quran?

Kurniaan rahmat dan nikmat Allah SWT kepada hamba-hanbaNya tidak terhitung banyaknya. Antara nikmat yang terbesar adalah diberi peluang oleh Allah SWT menghafal kalamNya yang Maha Agung. Allah SWT memudahkan kepada umat manusia untuk menerima intipati serta pengajaran daripada al Quran yang dijelaskan melalui maksud firmannya :

"Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al Quran untuk orang mengambil pelajaran, maka adakah orang yang mahu  mengambil pelajaran?" - surah al Qamar :17

Apabila diteliti, bukan semua kalangan kita diberi peluang serta mampu menghafal keseluruhan al Quran kerana Allah SWT memilih dikalangan hambaNya demi menjaga dan mewarisi kitab yang dijamin akan terjaga sehingga hari kiamat. Maksud firman Allah SWT:

"Kemudian Kami wariskan  kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu  diantara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan ada yang pertengahan dan ada diantara mereka (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan (yang dimaksudkan dengan 'orang yang  menganiaya diri sendiri' adalah orang yang lebih banyak kesalahan daripada kebaikannya dan 'pertengahan' adalah orang yang kebaikannya berbanding kesalahannya dan yang dimaksudkan dengan 'orang yang lebih dahulu melakukan kebaikan' orang yang kebaikannya amat banyak dan amat jarang melakukan kesalahan) dengan izin Allah. Demikian itu adalah kurnia yang amat besar." - surah Faatir : 32
Rasulullah SAW menjelaskan melalui sabda baginda yang bermaksud:

"Sebaik-baik kamu mereka adalah yang belajar al Quran dan mengajarkannya"

Mungkin ada yang akan bertanya, bagaimana kita mahu mengetahui bahawa kita adalah golongan yang dipilih oleh Allah? Jawapannya mudah, hafal dahulu al Quran dan belajar segala ilmu yang berkaitan dengannya. Setelah berjaya, baru kita tahu kita tergolong dikalangan orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT. Belajar dan menghafal dahulu baru kita tahu. Semoga bermanfaat.


Sesiapa Pun Perlu Ditegur

7.07.2011 0 komentar

Sememangnya kita memerlukan teguran, kritikan serta komentar dalam banyak perkara yang kita laksanakan setiap hari. Biasanya teguran dan kritikan itu bersifat membina melainkan tujuannya mahu menghina dan mencela. Kita perlukan teguran, kita sangat berhajat kepada kritikan kerana terlalu banyak perkara yang kita tidak sedar, ada orang lain yang menyedarinya terlebih dahulu. Bila ditegur, baru kita menyedarinya kerana tidak sama apa yang kita sedari dengan apa yang orang lain lihat.

Sebab itu apabila ditegur, jangan cepat melatah. Jika kita cepat-cepat menolak teguran tersebut mentah, kita adalah orantg yang paling rugi kerana kita punya peluang membaiki dan membina diri tetapi awal-awal lagi kita sudah merobohkannya. Jika ada yang menegur dan menasihati, cuba fikirkan apa yang positif dan menerima apa yang baik.

Biasanya orang akan marah apabila ditegur dan dikritik tetapi orang yang bijak adalah memperbaiki diri dengan kritikan orang lain.

Tidak kiralah siapa kita, samada orang awam biasa, bijak pandai, pemimpin hatta alim ulama sekali pun memerlu teguran kerana kita semua adalah manusia biasa, tidak ma'sum. Setiap kemungkaran yang dilihat wajib ditegur dan diperbaiki sedaya yang mampu. Jika tidak mampu menggunakan tangan, gunakanlah bicara lisan. Jika tidak mampu juga, ubahlah dengan hati. Ibn Mas'ud berkata mengenai menegur dan mengubah dengan hati, "ia bergantung kepada individu yang melihat kemungkaran tersebut tetapi tidak mampu membaikinya, Allah mengetahui apa yang dibenci di dalam hatinya" - Tafsir al Qurtubi.

Kezaliman sebuah pemimpin yang memerintah perlu dibasmi, keadilan perlu ditegakkan. Ulama'-ulama' jahat pengampu kezaliman pemimpin perlu ditegur dan dinasihatkan. Rasulullah SAW telah jelas menyatakan mengenai dua barisan manusia,jika baik dua golongan manusia ini maka akan baik manusia yang lain. Jika jahat dan rosak dua golongan ini maka akan rosaklah manusia yang lain. Mereka adalah para ulama' dan para pemimpin.


Short Movie : Sujud Cinta (mesti saksikan)

7.01.2011 5 komentar



Alhamdulillah, akhirnya ada juga pihak yang sudi menerima idea saya untuk dihasilkan sebagai video filem pendek. Hasil yang terbaik. Mungkin cerita ini boleh di'upgrade' ke tahap yang lebih baik dan bermutu.

Pengarah : Jamal Mohd Qurtubi
Cerita Asal : Zul Ikhwan Zahari
Pelakon :
Jamal Mohd Qurtubi
Syeikh Muhd Mujahid
Mohamad Afif Abd Karim
Mohd Taisir
Jurukamera :
Faiz Hamdan
Taufik Daud
Syahir Ahmad
Afham Wajdi

Semoga bermanfaat!


Moga Bermanfaat

6.30.2011 0 komentar

Pengenalan Ringkas Ilmu Qiraat al Quran

Senarai Imam Qurra dan Perawi

Tazkirah : Hidup Ini Satu Perlumbaan

Seluruh Dewan Perwakilan Mahasiswa yang Bernaung di bawah bumbung PMRAM


Jaminan Allah Menjaga Al Quran

6.27.2011 0 komentar



Musuh-musuh Islam menganggap al Quran sebagai sumber asasi kekuatan umat Islam di mana ia merupakan  sumber yang akan mengembalikan mereka kepada keagungan dan kemuliaan  sebagaimana di masa lalu ia telah memainkan peranan  sebenar sebagai sumber kekuatan dan kemajuan. Musuh-musuh Islam berusaha untuk menyelewengkannya atau melenyapkannya sedaya kuasa yang mereka ada.

1. Gladstone pernah berucap di dalam dewan parlimen Britain sambil mengangkat al Quran di hadapan ahli-ahli parlimen : "Selagimana al Quran itu berada di tangan umat Islam, maka Eropah selama-lamanya tidak akan berupaya menguasai negara Islam dan Eropah sendiri tidak akan berada dalam keadaan aman tenteram."

2. Seorang pendakyah Kristian, Willian Jifford Bellcraf telah berkata : " Apabila al Quran, Mekah dan Madinah telah hilang daripada negara arab, maka ketika itu kita akan melihat bangsa arab akan bergerak perlahan-lahan ke jalan tamadun barat, jauh daripada Muhammad dan kitabnya."

3. Seorang lagi pendakyah Kristian, Cartly telah berkata : " Kita perlu menggunakan al Quran untuk menentang Islam itu sendiri sehingga kita berjaya menghapuskan Islam keseluruhannya. Kita perlu menyatakan kepada umat Islam bahawa perkara yang sahih di dalam al Quran bukanlah sesuatu yang baru dan benda yang baru bukanlah sesuatu yang sahih."

4. Pemerintah Perancis di Algeria telah berkata sempena 100 tahun penjajahannya : " Kita mesti melenyapkan al Quran daripada bangsa arab dan menghapuskan bahasa arab daripada percakapan mereka sehingga kita dapat menguasai mereka."

Tetapi mereka selama-lamanya tidak akan berupaya untuk mencapai matlamat untuk menghapuskan al Quran, menyelewengkannya atau menimbulkan keraguan padanya kerana Allah memberi jaminan untuk memeliharanya daripada penyelewengan atau penukaran sehingga hari kiamat. Allah SWT berfirman :

Maksudnya :"Sesungguhnya Kami-lah yang telah menurunkan al Quran itu dan Kami-lah yang memeliharanya(daripada diubah) - al Hijr :9


Kalam Rindu Buat Sang Ayah

6.17.2011 1 komentar


Tulisan ini di'post' kembali setelah dua tahun menyepi di bawah entri-entri lain. Bulan Jun kembali, menggagahkan diri untuk mengupdate blog yang sekian lama bersawang. Kalau dulu, bila teringat 22 Jun 2002, mata mula berkaca tetapi kini tidak lagi. Ingatan masih tetap sama, kerinduan tetap macam dulu juga, cuma kawalan perasaan yang sudah agak berbeza. Mungkin diri ini sudah semakin dewasa...rindu padamu ayahanda.

Ayah...
Terlalu asyik rasa duduk membilang hari
Bulan demi bulan dan tahun demi tahun berlalu,
Sudah hampir sepuluh tahun ayah pergi,
Rasanya baru semalam ayah usap kepala kita, sejuk syahdu masih lagi terasa

Ayah...
Petang itu masih segar dalan ingatan
Itulah kali terakhir ayah mengusap kepala anak lelaki yang nakal ini
Emmmm...rupanya ayah seperti dah tahu yang ayah nak pergi jauh
Nak tinggalkan anak-anak ayah, nak tinggalkan dunia fana ini

Ayah macam sudah bersedia
Seminggu sebelum tu,
Ayah pesan siap-siap, suruh belajar rajin-rajin, jadi macam tok guru dan alim ulama'
Walaupun ayah sudah tidak ada, kita tetap kena belajar juga

Ayah kata, ayah tak mampu nak tinggalkan harta
Ini saja yang ayah mampu buat, suruh semua anak-anak ayah belajar
Walau macam mana susah sekalipun, mesti kena belajar
Nanti boleh doakan untuk ayah dan mak

Tinggi benar harapan ayah
Hendak tengok semua anak-anaknya belajar agama
Onak dan duri ayah tak kisah, semuanya untuk anak-anak
Ayah tak makan pun tak mengapa, asalkan anak-anak senang dan kenyang
Ayah tak pernah putus asa
Tak cukup pagi dan petang, waktu malam pun ayah usahakan

Ayah...
Petang hari Jumaat dapat berita ayah masuk wad
Malam tu juga bergegas pulang ke rumah
Ayah dalam kesakitan, tangan ayah luka teruk. Hampir dengan urat nadi
Tambah pula dengan sakit buah pinggang yang sangat kritikal
Kedua-dua belah buah pinggang rosak teruk
Ayah tak nak buat Dialisis, kami semua akur
Katanya nak ikhtiar cuba cara kampung pula, Dialisis mahal katanya
Nanti siapa nak tanggung anak-anak belajar
Kami hanya berdiam seribu makna...
Saat begini pun ayah masih mengutamakan kami.

Ayah...
Ampunkan kami semua
Kami nak ayah sihat
Kami sayang ayah
Kami tak mahu ayah sakit
Kami tak kisah tak dapat belajar pun
Asalkan ayah sihat
Ampunkan kami ayah

Ayah...
Dulu masa kita yang sakit
Tangan terseliuh teruk sebab kita yang nakal
Ke hulu ke hilir ayah tak senang duduk
Ayah cari tukang urut terbaik
Alhamdulillah tangan kita kembali pulih

Ayah...
Usai solat asar, ayah dibawa berjumpa pengamal perubatan Islam
Kita ikut sama dan itulah kali terakhir kita menaiki kereta bersama ayah
Sebelum turun dari rumah, ayah pesan kena pergi sekejap saja
Sebab ayah nak balik segera
Mak pernah berbisik, ayah pesan yang ayah nak 'meninggal' kat rumah
Kita hanya diam tak terkata
Mungkin ayah dah tahu saatnya semakin hampir

Ayah...
Jam 7.30 petang 22/06/2002
Selepas satu jam tiba di rumah
Abang membisikkan kalimah tauhid di telinga ayah
Tidak lama, terpacul kalimah 'innalillah'
Nafas terakhir dihembuskan dipangkuan abang
Ayah mesti nampak kami semua menangis saat itu
Mesti ayah nampak abang cium dahi ayah
Mesti ayah dengar kakak dan membaca surah yaasin untuk ayah
Mesti ayah nampak adik dan semua orang menangis
Mesti ayah nampak semua tu kan

Ayah...
Malam tu tak seperti malam yang biasa
Suasana suram walaupun ramai orang hadir
Adik kat sebelah hanya diam melayan perasaan
Hujung tudungnya dibasahi airmata
Kenangan kita bersama ayah berputar dalam kepala
Jalan di depan terasa makin kelam
Airmata berterusan mencurah-curah
Sepanjang malam terasa kedinginan itu, lain benar suasananya
Terasa syahdu dan sayu

Ayah...
Kita masih ingat lagi
Kita baca Al Quran di sebelah ayah menemankan ayah
Mak dan kakak pun turut baca bersama
Kita baca Al Quran sambil berlinangan air mata
Mak kata "jangan nangis...kalau sayang ayah jangan buat gitu..jangan nangis"
Bila mak berkata begitu
Deraian air mata ini mengalir semakin laju

Jam 11.00 pagi ayah dimandikan
Kami anak beranak memangku ayah
Sebelum muka ayah ditutup
Semua anak-anak tampil menatap wajah ayah buat kali terakhir
Semua orang kata ayah seolah-olah senyum saja
Ayah rasa tak
Masa tu kita cium dahi ayah
Kita rasa sejuk sangat dahi ayah
Air mata tak mampu ditahan
Abang mengimamkan solat jenazah ayah

Jam 12 tengahari ayah diusung keluar dari rumah
Ramai yang mengiringi jenazah ke kuburan
Kami tiga orang menanti di liang lahad
Menyambut jasad ayah
Itu adalah tanggungjawab kami anak-anak

Ayah.....
Hari-hari dilalui tanpa ayah lagi
Begitu terasa kehilangan ayah
Boleh kata setiap kali tatap gambar ayah pasti berendam air mata
Semakin ditenung terasa semakin sayu
Tangisan tak dapat dibendung
Lagu 'di pondok kecil' mengiringi kerinduan ini
Semoga kerinduan terubat dengan pertemuan di syurga nanti
Insya'Allah...

Ayah...
Kita rindu sangat-sangat pada ayah
Hanya bacaan ayat-ayat Al Quran dan doa yang mampu kita sampaikan
Kita mendoakan ayah sentiasa dicucuri rahmat Allah
Terima kasih kerana mendidik dan membesarkan kita
Mengajar kita menjadi seorang manusia, hamba Allah Yang Esa
Memberi seluruh kasih sayang sejak kita lahir sehingga masuk sekolah
Sampai masuk univesiti.
Sampai kite boleh merasa belajar di negara orang
Sampai kiamat pun, jasa ayah tak akan mampu kita balas

Membilang tahun, angkanya sudah hampir kesepuluh
Semoga ayah sentiasa dicucuri rahmat Allah
Kami anak-anak sentiasa mendoakan ayah
Kami tidak akan sia-siakan harapan dan cita-cita ayah
Kalam rindu buat si ayah
Daripada, anak ayah 


Hipokritkah?

6.04.2011 4 komentar
Pertama,

Di luar solat, tidak kenal apa itu aurat. Seluar bukan sahaja singkat, ditambah lagi dengan sendat, baju pula ketat. Katanya tak nak hipokrit, tak nak bermuka-muka. Hipokrit tak elok. Tak nak jadi munafik. Tak nak jadi orang lain, nak jadi diri sendiri. Tapi semasa nak solat, cantik pula bertelekung. Labuhnya sampai ke lantai. Macam tu tak hipokrit dengan Allah ke? Allah Maha Melihat, bukan semasa solat saja. Kalau tak nak hipokrit, pakai sajalah baju kecik singkat seluar ketat tu masa solat. Amacam?

Kedua,

Berbulan-bulan sebelum peperiksaan, study biasa-biasa saja. Solat lewat-lewat sikit pun tak apa. Solat sunat lain kali boleh buat. Al Quran buka jarang-jarang je. Semakin hampir dengan peperiksaan, study hard, pantang ada ruang mesti nak solat sunat, ke hulu ke hilir dengan buku saja, solat hajat dan doa berjela-jela, mohon diperkenan apa yang dipinta. Selesai peperiksaan, buku-buku entah ke mana, mahu enjoy menggila, tiada lagi solat sunat, solat hajat dan doa yang berjela-jela... Kalau macam ni tak hipokrit ke? Bermuka-muka semasa peperiksaan saja.

Ujian sebenar kita bukan semasa peperiksaan tetapi setelah selesai peperiksaan, setakat mana melazimi dengan ilmu dan amalan kita. 

Imam Syafie berkata : 'bukanlah ilmu itu hanya sesuatu yang dihafal semata-mata, ilmu itu adalah yang bermanfaat dan berguna.'

Selamat Menghadapi Peperiksaan

alhamdulillah, masih sempat menghasilkan banner untuk PMRAM


Palestin, Isu Yang Bermusim?

5.18.2011 0 komentar

Cuba menyoal diri sendiri
Adakah isu Palestin cuma suatu isu yang bermusim?
Saat media kecoh, kita turut sama kecoh. Bila media senyap, kita juga senyap bagai orang bisu dan pekak.
Adakah isu Palestin hanya berkait dengan tarikh-tarikh yang tertentu?
Apabila tiba tarikh Nakbah 15 Mei, riuh sana sini pasal Nakbah.
Tiba tarikh Yahudi membakar Masjid al Aqsa, semua bising berbicara hal ini.
Datang musim boikot barangan Israel Amerika, kita turut boikot bersama.
Tapi, tiba musim megasale perayaan, orang memborong sakan, kita ikut sama.
Dah tak ambil kisah produk siapa, asalkan rasa murah diangkut saja.

Kita mudah lupa
Atau kita sengaja melupakan? Malas mengambil cakna? Isu yang dah berlarutan sejak sekian lama, sensitiviti kita semakin terhakis dengan peredaran masa. Umat Islam di Palestin terus di bunuh sesuka hati mereka.

Harapnya, tidak. Isu Palestin bukan bermusim.
Selagi Palestin tidak dibebaskan, selagi nyawa dikandung badan. Perjuangan ini wajib diteruskan.

Tetapi...
Kita asyik dengan hilai tawa. Kita merasa bahagia disaat saudara kita sedang mempertaruhkan nyawa. Palestin terus terhimpit menderita setiap masa. Terkurung di sebuah penjara terbesar di dunia. Tanpa mendapat peduli sesiapa. Setiap hari bergenang air mata. Daging dan tulang bersepai di mana-mana. Terlalu kejam jika kita hanya mengambil cakna hanya untuk seketika. Setelah itu, diam tanpa bicara.


Kalau ada yang bertanya
Siapa mahu ke Palestin?
Kita tergagap-gagap untuk menyahut "Ya! Saya mahu!".
Menyahut pun sudah gagap, apatah lagi melangkah kaki ke sana.
Lihat orang lain di kiri kanan mengangkat tangan, kita turut mengangkat sama.
Dalam hati, kalau tak angkat, malu tak tahu nak letak muka di mana.
Angkat saja dulu, pergi atau tidak itu persoalan kedua.

Inilah realiti dan hakikat diri kita semua.
Malulah kepada yang Maha Kuasa
Masih segan dan tidak mahu menerima peniagaanNya
Modal kita adalah darah dan nyawa, membantu saudara kita di sana
Syahid menjadi cita-cita utama
Keutungan hidup abadi di syurga selama-lamanya


Memperingati Nakbah 15 Mei 1948

5.14.2011 0 komentar


Setelah lebih 6 dekad, malapetaka yang melanda saudara kita di bumi Palestin yang menyebabkan Palestin dan Baitul Muqaddis yang terus diceroboh dengan biadab oleh Yahudi Zionis. Sehingga kini, hal ini menjadikan titik hitam pada wajah umat Islam keseluruhannya.

Tepat 15 Mei 1948, tentera Zionis Israel telah melancarkan pembersihan etnik ( etnic cleansing ) iaitu sejumlah 750,000 orang  atau tiga perempat populasi daripada rakyat Palestin dihalau keluar dari kediaman mereka. Mereka dipaksa menjadi pelarian dalam negara Palestin sendiri dan termasuk di negara-negara jiran yang mencecah juta orang. Kini sudah lebih 6 dekad pelarian Palestin hidup dalam kemiskinan dan penafian keperluan asasi yang sangat parah.

Mereka terpaksa hidup tanpa makanan yang mencukupi , tanpa tempat tinggal , tiada pekerjaan , pendidikan dan kemudahan rawatan. Nasib mereka hingga kini tidak dipeduli oleh masyarakat antarabangsa yang didominasi oleh Israel yang berlindung disebalik kuasa Amerika Syarikat.

Kini Israel maseh meneruskan polisi pembersihan etnik ke atas  rakyat Palestin . Sejak pencerobohan ke atas Tebing Barat dan Jurusalem Timur pada tahun 1967 , Israel telah membangunkan kependudukan Yahudi yang melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi PBB. Lebih 6 juta orang Yahudi menceroboh bumi Palestin, sementara 5 juta rakyat Palestin menjadi pelarian. Semenjak hari itu dan sehingga kini, kita terus berpeluk tubuh.

Setelah lebih 60 tahun, saudara kita di Palestin hidup di medan peperangan, berada di tengah–tengah kekejaman penjajah durjana Israel laknatullah. Mereka di tindas dan dizalimi tanpa simpati sesiapa. Rakyat Palestin menjadi banduan di penjara terbesar di dunia apabila mereka di kepung oleh tentera Israel di Palestin dengan tembok sepanjang 720 km dan 8-12 meter tinggi. Rakyat Palestin terus dicekik oleh regim Israel yang didalangi Amerika Syarikat setelah mereka menutup terminal Rafah pada 9 hb Jun 2007  iaitu pintu masuk di sempadan antara Israel dan Mesir.

Pada hari ini, Ribuan rakyat Mesir sedang membuat persiapan untuk menyeberang masuk ke Gaza pada 15 Mei nanti bagi memperingati ulang tahun Nakba. Mereka akan melintasi sempadan di Rafah sebagai solidariti dan usaha berterusan menghentikan sekatan dan embargo yang dikenakan oleh rejim zalim Israel ke atas rakyat Gaza. Dahulunya, Hosni Mubarak menjadi pihak yang bertanggungjawab memastikan sekatan Israel ke atas Gaza dapat dilaksanakan, memisahkan lebih 1.5 juta rakyat Gaza dari dunia luar dengan menutup pintu masuk di Rafah — satu-satunya jalan masuk ke Gaza di luar daerah yang dikawal Israel.

Intifadah Palestin Ketiga bakal dilahirkan yang juga boleh digelar sebagai Gerakan Dunia Arab.” Gerakan tersebut juga menyeru semua bangsa Arab untuk maju ke sempadan-sempadan Palestin di Mesir, Syria, Lubnan dan Jordan bagi menuntut hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka.

Ayuh! Kita bersama!


Kita Dan Movie

5.12.2011 0 komentar


Nak dijadikan cerita, seorang teman mengadu dimarahi teruk gara-gara menjadi punca kerosakkan external hard disk yang  sarat penuh dengan movie dan series rakannyanya secara tidak sengaja. Semua datanya hilang. Hampir penuh 450GB dengan movie, series, anime dan lain-lain.

"Bodoh! Berminggu-minggu aku download! Kurang ajar punya budak! Abis hilang macam tu je." kata-kata pedas dari rakannya.

Perkara ini kita anggap biasa jika orang biasa-biasa yang melakukannya. Tetapi jangan terkejut jika orangnya adalah seorang pemuda Islam yang aktif di lapangan dakwah mahasiswa dan masyarakat umum.

Kita rasa pelik? Atau kita bersikap biasa-biasa saja. Fokusnya bukan menonton tetapi sikap keterlaluan dalam men'download' dan menonton movie. Bermula dari pagi hingga ke petang, komputer berterusan di'on'. Menonton movie kegemaran sehingga larut malam sehingga terpaksa menunda solat hingga ke saat-saat akhir waktu kerana terlalu asyik dan leka bergelak ketawa sewaktu menonton. Kita boleh lihat bagaimana tabiat suka menonton movie dan series ini seperti menjadi satu kebiasaan bagi kita. Jika dahulunya seorang yang aktif berdakwah kini bertukar sebagai geng menggoyang kaki depan komputer setelah menjejaki dunia movie dan mahir men'download'.

Kita maklum diluar sana kebanyakan pemuda berstatus mahasiswa yang tidak mengambil kisah tentang hal ini malahan turut terlibat sama menjayakan sikap kurang sihat ini. Perlu kita ingat, bukan pengisian movie dan kemahiran men'download' yang kita nak bawa setelah terjun ke lapangan masyarakat tetapi kita yang akan memimpin umat pada masa hadapan. Begitu juga dalam keluarga, tak kan nak didik anak ikut cara Maharaja Lawak?

Lihat,

"Wei, kau dah tengok Maharaja Lawak terbaru?" "Lawak giler la geng Jambu tu"

Sekali pandang, kita menganggap normal pertanyaannya. Tapi ramai kalangan kite yang menjawab: 
"Belum lagi. Kau dah download ke? HD ke ambil kat YouTube je?"

Apa ini? Tidak adakah pertanyaan lain? Bila bersembang isu-isu umat Islam sedunia tentang audara kita di Palestin, di Syria dan di Libya...apa pun langsung tak ambil tahu.

Maharaja Lawak, Hikayat Merong Mahawangsa, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Senjakala, Khurafat, Fast n Furious 5 dan lain-lain lagi sehingga tahu apa episod terkini yang perlu di'download' dan ditonton. Bukan setakat menonton, malah boleh menceritakan kembali daripada mula hingga episod semasa. Kita menonton dengan tujuan mahu merehatkan minda? Adakah dikira merehatkan minda sehingga melengahkan waktu solat? Di manakah tahajud dan bacaan al Quran yang menjadi rehat dan penenang hati daripada kekacauan dunia yang melelahkan?

Alasan kita, mengapa suka sangat menonton movie dan series. Sebab nak up to date dengan movie dan series. Kononnya nak catch up dengan perkembangan semasa supaya tidak ketinggalan. Aduh, dalam bab movie kita tidak mahu ketinggalan di belakang tetapi dalam bab mengejar ilmu pengetahuan kita lebih rela mendahulukan orang lain. Isu-isu semasa kita buat tak endah saja. Catch up dengan perkembangan semasa ke macam tu?

Ada yang kata banyak pengajaran yang boleh diambil daripada movie dan series yang ditonton. Semakin kusut dibuatnya. Tak cukupkah lagi bagi kita pengajaran dan teladan selain al Quran dan hadith-hadith? kisah para sahabat dan tabiin? Dokumentari yang ilmiah? Mengapa mesti tayangan movie yang dipilih untuk mengambil teladan dan pengajaran?

Sebab dan alasan yang tidak masuk akal.

Sama-sama kita fikirkan. Kewajipan lebih banyak daripada waktu yang ada.


Memperingati 8 Mei

5.07.2011 1 komentar

Boleh saya ungkapkan bahawa ini adalah merupakan suatu bentuk PENJAJAHAN dalam bidang pemdidikan. Kini, mahasiswa bukan lagi seperti bola yang boleh disepak terajang ke sana sini. Mahasiswa yang merupakan kelompok terpenting dalam sesebuah masyarakat serta memiliki jatidiri sebenar sebagai seorang pemuda atau pemudi, memiliki prinsip yang tegas, mampu melakukan perubahan dan berani menegakkan kebenaran demi menjatuhkan kemungkaran dan penindasan.

Hampir genap setahun luka parah yang masih segar mengalirkan darahnya akibat peristiwa pahit yang jelas menafikan hak mahasiswa/wi al Quran dan Qiraat daripada menduduki peperiksaan yang bertitik tolak daripada kegagalan fungsi pegawai Malaysia Student's Department. Ibarat menyapu garam pada luka, pegawai MSD sebaliknya menuding kesalahan kepada mahasiswa, padahal hak tersebut perlu diberikan kepada setiap mahasiswa tanpa memandang status sosial atau bidang pengajian mereka.

Penafian hak mahasiswa merupakan satu langkah yang kurang bijak dilakukan kerana penafian hak mahasiswa merupakan satu langkah yang menghina tahap kecerdikan dan integriti mereka. Menganggap Mahasiswa itu bodoh dan tidak mampu untuk menilai dengan bijak adalah merupakan kesilapan yang sangat besar. Penafian hak sebegini hanya akan membawa kepada padah dan masalah yang lebih besar di masa hadapan.


Bukan Tak Boleh Tapi Tak Mahu

5.06.2011 0 komentar


Antara boleh dengan tak boleh hanya dipisahkan dengan satu perkataan sahaja, iaitu mahu. Kalau mahu memang boleh; kalau tak mahu memang tak boleh. Mudah saja kan? Kerana ia terlalu mudah, terlalu biasa, sering didengar sejak dahulu lagi, maka ia dianggap remeh. Padahal ini adalah perkara yang sangat penting sebab inilah punca kejayaan atau kegagalan.

Begitulah, banyak kunci-kunci utama dalam mencapai kejayaan sudah dilupakan begitu sahaja kerana terlalu kerap didengar, sejak kecil lagi. Prinsip-prinsip kejayaan sudah setua sejarah kehidupan manusia. Ia telah wujud sejak zaman berzaman lagi. Kerana sudah begitu biasa, tidak ramai yang mengambil endah lagi. Begitulah, manusia lebih tertarik kepada yang sesuatu yang lebih baru. Malangnya, prinsip kejayaan bukan baru, ia prinsip lama dan sudah terlalu biasa. Prinsip kejayaan tidak pernah berubah 1000 tahun dahulu hinggalah 1000 tahun kemudian.

Sebagai contoh, rajin. Semua orang tahu, kalau hendak mencapai kejayaan, merubah keadaan hidup mesti rajin. Seribu tahun dulu, inilah prinsipnya. Seribu tahun akan datang, kalau hendak merubah keadaan hidup ke arah yang lebih baik, tetap mestilah rajin. Oleh kerana sejak kecil lagi sudah kedengaran, rajin, rajin, mesti rajin, mesti rajin kalau nak berjaya. Nak kaya, perkataan rajin itu sudah menjadi terlalu biasa, sudah tak diambil endah. Kerana itu jugalah, bila sebut sahaja tentang prinsip-prinsip kejayaan, segera menjawab, Ohhhhhh?.. itu saya sudah tahu, semua saya tahu... Memang hampir semua orang tahu tetapi mengapa tidak ramai yang berjaya di dalam hidup? Menurut kajian hanya kurang dari 5% sahaja penduduk di bumi ini yang dapat mencapai kejayaan hidup, kekayaan dan keselesaan hidup. Kerana walaupun mereka tahu tetapi mereka tidak mahu melaksanakan apa yang mereka tahu. Bukan tak boleh tapi tak mahu.

Tanyalah kepada siapa saja, dari kanak-kanak hingga dewasa, dari pembesar hinggalah kepada pengemis, mereka dengan panjang lebar boleh memberitahu anda prinsip-prinsip kejayaan. "Encik Pengemis, tahu tak bagaimana hendak berjaya dalam hidup??" Pengemis pun menjawab, "Ooooo.. senang saja. Kamu mesti berusaha dengan rajin, dedikasi, komitmen, berdisiplin, jangan putus asa, ada matlamat, jangan keluar landasan, berdikari jangan suka meminta-minta." "Encik Pengemis boleh menyenaraikan prinsip-prinsip kejayaan dengan tepat. Tapi mengapa Encik Pengemis tak berjaya??" Anda bertanya lagi. "Kamu silap, saya berjaya dalam bidang saya. Bidang mengemis." Jawab pengemis itu. Yang sebenarnya, pengemis itu tahu tetapi tidak mahu melaksanakan prinsip-prinsip kejayaan. Dia atau sesiapa saja di muka bumi ini boleh berjaya jika mahu. Bukan tak boleh tapi tak mahu.

Selamat menghadapi Imtihan kepada mahasiswa/wi qiraat tahun 1 dan 2.
Bittaufiq wannajah!


Misi Menghapuskan Terrorist Kembali

5.02.2011 2 komentar

Amerika melalui Presidennya, Barrack Obama kononnya berjaya menawan dunia dengan berita kejayaannya membunuh Osama Bin Laden. Seluruh dunia mempercayainya. Apa yang dikesalkan adalah terlalu ramai yang mempercayai dengan mudah berita kematian Osama walaupun gambar serta laporan kematiannya berada pada tahap yang sangat meragukan.

Perhatikan propaganda yang dimainkan oleh musuh-musuh Islam. Setelah bertahun-tahun lamanya nama Osama menyepi setelah dikaitkan dengan pengganas yang menjadi dalang tragedi 11 Sept ciptaan Amerika, kini tiba-tiba muncul dengan berita kematiannya di Pakistan.

Pengganas Amerika mahu gembar gemburkan kembali semboyan "Islam pengganas" yang menyebabkan seluruh dunia mengalami islamphobia sepertimana dilaungkan sebelum ini yang ternyata berjaya mengalih perhatian masyarakat dunia. Mereka tidak mahu Islam bangkit memakmurkan dunia. Kesannya boleh dilihat di Iraq dan Afghanistan. Turut tidak ketinggalan, sekolah agama rakyat di Malaysia turut terkena tempias Islamphobia.

Pengganas yang pastinya tidak akan senang duduk dengan kebangkitan Islam di Tanah Arab sekarang. Lebih-lebih lagi apabila sempadan Mesir-Palestin akan dibuka. Padahnya akan diterima oleh negara haram Yahudi, Israel. Pada awalnya mungkin akan bertindak menghapuskan 'pengganas' di Pakistan sepertimana yang telah dilakukan di Iraq dan Afghanistan. Setelah Pakistan, mungkin mereka akan beralih arah kepada bumi Timur Tengah dengan alasan yang sama iaitu menghapuskan 'pengganas'. Siapa sebenarnya pengganas?

Berita 'kematian Osama' juga bertujuan mahu mengalihkan tumpuan masyarakat dunia daripada tertumpu kepada kejatuhan ekonomi yang sedang melanda Amerika kini yang memungkinkan mereka bankrap. Teknik ini dilihat adalah 'copy paste' daripada apa yang berlaku di Malaysia seperti isu kenaikan harga minyak yang dilenyapkan dengan isu video seks. Teknik yang sama, hanya isu yang berbeza. Siapa yang yang mencipta teknik ini? Dan siapa yang meng'copy and paste'?


Para Pelajar Dan Penuntut Ilmu, Sila Ambil Perhatian!

4.30.2011 2 komentar


Sering didengari dan diperhatikan, ramai di kalangan kita yang begitu gigih dan tekun dalam menelaah pelajaran dan menuntut ilmu siang dan malam tidak kira dalam apa jua bidang pengajian kerana mahu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Melalui natijah kecemerlangan yang diperoleh dalam peperiksaan tersebut akan menjadi wasilah kepada sebuah pekerjaan yang baik, gaji yang lumayan serta pangkat yang tinggi. Jangan kita tertipu dengan habuan dunia yang sedikit, perhatikan nasihat al Imam Hujjatul Islam al Imam al Ghazali di dalam kitab Bidayatul Hidayah.

Dan ketahuilah bahawa manusia di dalam menuntut ilmu ini terbahagi kepada tiga keadaan :

Pertama : Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat maka dia tidak berniat  dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah SWT dan negri akhirat. Maka orang ini termasuk di dalam golongan orang yang beruntung.

Kedua : Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan segera (dunia) dan mendapatkan kemuliaan pangkat dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini adalah berada di dalam golongan yang berbahaya. Jikalau dia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan 'su'u al khatimah' kemudian urusannya terserah kepada Allah (kalau mahu dimaafkan atau diseksa). Tetapi kalau dia mendapat taufik sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan  terhadap apa yang tercedera dan tercuai. Maka bolehlah dia dikumpulkan bersama golongan yang beruntung kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.

Ketiga : Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut itu untuk mencapai  segala hajatnya dan mengaut keuntungan dunia. Walaupun  demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para ulama'. Dia bercakap seperti percakapan ulama' dan berpakaian seperti pakaian ulama', padahal zahirnya dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpunkan kekayaan dunia. Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang binasa , jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk dia bertaubat kepada Allah  kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal dia telah lupa firman Allah yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan perkara yang kamu tidak amalkan?" - Surah al Sof : ayat 2

Dan orang ini sebenarnya termasuk dalam golongan yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud :

"Selain daripada Dajjal, ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal. Lalu ada orang yang bertanya : 'Apakah itu wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab : 'Mereka adalah ulama' Su' yakni ulama' yang jahat."

Dajjal itu tujuannya sudah jelas untuk menyesatkan manusia tetapi ulama' su' ini walaupun lidahnya pandai memalingkan orang lain daripada cinta dunia, namun amal dan perbuatan mereka adalah mengajak orang lain membuat kejahatan kerana amalan seseorang itu lebih berkesan daripada percakapannya. Dan orang ramai lebih mudah tertarik dengan perbuatan ulama' su' ini dengan perbuatan mereka. Maka apa yang dapat dirosakkan oleh ulama' su' ini dengan perbuatan mereka adalah lebih banyak daripada apa yang dapat  dibaikkan oleh lidah mereka. Orang yang jahil sebenarnya belum berani menghimpun harta dunia sebanyak-banyaknya kecuali setelah mereka melihat keberanian ulama' su' ini. Maka ilmu yang ada pada mereka menjadi penyebab keberanian orang ramai membuat berbagai maksiat. Maka inilah yang dibimbangi oleh Rasulullah SAW.

Namun demikian, nafsu ammarah ulama' su' selalu membisikkan di telinga mereka bermacam-macam angan-angan dan membisikkan kepadanya bahawa dia telah banyak menabur jasa dikalangan manusia sehingga dia layak untuk menerima bermacam-macam anugerah daripada Allah. Nafsunya juga mengkhayalkan kepadanya bahawa dia adalah lebih baik daripada hamba-hamba Allah yang lain.

Wahai para penuntut! Maka jadikanlah dirimu bersama dengan golongan yang pertama dan hati-hatilah supaya engkau tidak termasuk di dalam golongan yang kedua kerana banyak sekali orang yang lalai yang telah diragut oleh kematian sebelum sempat bertaubat lalu rugilah dia. Dan jangan sama sekali engkau termasuk ke dalam golongan yang ketiga maka engkau akan terjerumus ke jurang kebinasaan yang tidak diharapkan dapat diselamatkan atau diperbaiki lagi.